Dengarnya...: Mungkin belum masa bercinta
CIK Normah kadang-kadang simpati juga dengan rakan artis kita ini. Apabila bercinta dan selalu bersama dibenci orang. Sebaliknya, apabila jarang bersama dikatakan hubungan mereka sudah berantakan pula. Lihat saja cerita mengenai hubungan Liyana Jasmay dan Aizat, jika dulu mereka kerap dilihat bersama dan diundang ke sesi fotografi bersama.
Tapi apabila mereka cuba mengurangkan jarak hubungan itu di depan masyarakat, dikatakan pula mereka sudah berpisah. Cik Normah lihat apa yang dilakukan mereka itu sebagai langkah awal supaya masyarakat tidak terus jelak disajikan dengan kisah sama. Ia satu strategi bagus, tapi biasalah bukan senang nak memuaskan hati orang.
Ibaratnya seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa. Semuanya serba tak kena. Demikian juga halnya dengan Diana Danielle yang mana kisah hubungan rapatnya dengan Farid Kamil mula menjadi perhatian. Daripada nak bersikap berdiam diri mengenai perkara itu, akhirnya mahu atau tidak, ia terus mengundang rasa ingin tahu ramai orang.
Cik Normah mengerti perasaan mereka sebab Cik Normah pun seperti orang lain apabila melalui zaman bercinta. Bagi Diana, biarpun usianya masih muda, bukan satu kesalahan jika ada insan mahu menyayanginya. Setiap manusia di dunia ini pastinya mahukan disayangi.
Tapi Cik Normah yakin tumpuan yang patut diutamakan anak kesayangan Norsiah Ramli itu sekarang ialah pengajiannya dalam bidang biosains di Universiti Nottingham di kampus cawangan Semenyih, Selangor. Dalam masa yang sama, cinta Diana dalam bidang lakonan masih utuh.
Cik Normah diberitahu mulai 20 Ogos ini beberapa hari sebelum menjelang Ramadan, Diana akan ke set penggambaran telefilem kisah seram. Tapi bukan pelakon itu yang akan jadi hantu. Sebaliknya dia akan jadi teraju utama di sisi seorang hero tampan yang semakin menjadi perhatian ketika ini. Jangan salah teka pula, hero itu bukan Farid Kamil tau!
Diana juga akan mula sibuk dengan pementasan teater Natrah arahan Erma Fatimah November depan. Tak silap Cik Normah, Remy Ishak pun berlakon juga dalam teater itu. Untuk Diana, semoga terus berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran yang diambil itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment