Wednesday, August 19, 2009

Bujang Haliza Misbun ada 'harga'

Bujang Liza ada 'harga'

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

TIDAK kisah terus membujang meskipun usia Haliza Misbun sudah mencecah 36 tahun. Banyak perkara yang perlu dilakukannya daripada asyik memikirkan jodoh yang entah bila akan kunjung tiba.

Pun begitu kata Haliza, dia sedikit pun tidak tertekan dengan keadaan itu tetapi orang di sekeliling pula sibuk bertanya bila dia hendak naik pelamin.

"Saya ok je. Bukan tak mahu berkahwin tetapi belum ada jodoh tetapi saya tak kisah kerana saya percaya ajal, maut dan jodoh semuanya ketentuan Allah SWT. Tetapi saya tengok orang di sekeliling pula nampak lebih tertekan daripada saya dan tak jemu bertanya bila hendak makan nasi minyak.

"Apa yang saya alami ini pasti turut dirasai wanita yang berusia lanjut macam saya di luar sana. Selalu dihimpit persoalan sama saban waktu. Walaupun saya tidak kisah mengenai status diri yang masih membujang tetapi adakala rimas juga.

"Selain belum ada jodoh, saya belum bersedia untuk menamatkan zaman solo kerana banyak perkara sedang dirancang terutama membabitkan kerjaya. Saya percaya wanita di luar sana juga ada sebab tersendiri mengapa mereka lebih senang hidup sendiri," katanya.

Sebagai meluahkan isi hati mewakili mereka yang sudah termasuk dalam golongan andartu, syarikat produksinya, Big Productions Sdn Bhd menerbitkan filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami arahan Din CJ.

Filem sulung Big Productions itu dijayakan Haliza yang memegang watak utama bersama Ari Wibowo, Abby Abadi, Erra Fazira, Fizo Omar, Abon, Maimun Talib, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan Fahrin Ahmad.

Kata Haliza, filem ini mengisahkan masalah andartu yang selalu dipandang rendah masyarakat. Haliza mahu masyarakat lebih bersikap terbuka selepas menonton filem ini dan tidak mahu lagi golongan andartu berasa rendah diri dan malu kerana masih solo pada usia agak lewat.

"Pada saya tidak ada malunya hidup solo kerana kebahagiaan itu terletak pada hati kita sendiri, bukannya daripada orang di sekeliling kita. Ada kawan sanggup berkahwin tanpa rela kerana 'termakan' cakap orang. Akhirnya usia perkahwinan baru setahun jagung sudah bercerai-berai.

"Keluarga dan masyarakat perlu menghormati hak orang lain, jangan dipaksa jika tidak suka. Tentu seseorang itu ada sebab sendiri kenapa dia tidak mahu berkahwin. Tidak semestinya kebahagiaan hanya boleh dimiliki apabila bersuami.

"Jika dipertemukan dengan lelaki yang baik, syukur ke hadrat Allah SWT, Jika sebaliknya lebih baik membujang sampai tua, apatah lagi wanita yang sudah mempunyai kerjaya bagus," katanya.

Untuk filem ini, sekali lagi Haliza mempelawa Ari berlakon dengannya memegang watak Dr Ryan Diprojo kerana baginya, pelakon terkenal Indonesia itu sangat memahami cita-citanya dalam dunia seni. Mereka pernah bekerjasama dalam VCD Rohaya Roy, lima tahun lalu terbitan Halle Pictures Sdn Bhd, juga milik Haliza.

"Selepas siap pembikinan Rohaya Roy, saya terus terfikir hendak menerbitkan filem dan Ari sentiasa memberikan sokongan serta percaya saya boleh melakukannya. Meskipun dia jauh di seberang, kami selalu berhubung antara satu sama lain.

"Saya tahu ramai mentertawakan saya apabila menyuarakan hasrat hati menerbitkan filem tetapi impian itu menjadi kenyataan juga akhirnya.

"Senang bekerja dengan Ari kerana dia pelakon yang bagus, saling memberi dan menerima. Sifat Ari yang berdiplomasi dan menggunakan pendekatan psikologi apabila bercakap juga membuatkan saya yang keras kepala ini boleh mendengar cakapnya. Dia juga tidak pernah memperlekehkan cita-cita saya," katanya.

Haliza akui agak gementar kembali ke lokasi filem kerana kali terakhir beraksi di layar perak melalui filem Scoop arahan Aziz M Osman yang diterbitkan 13 tahun lalu.

"Untuk berlakon filem semula membuatkan saya gementar. Tetapi Ari menyakinkan saya boleh melakukannya. Bagaimanapun, sebelum melangkah semula ke layar lebar, saya banyak berlakon drama kerana menganggap ia kolej terbaik untuk belajar menjadi pelakon filem berkarisma.

"Berlakon filem untuk tayangan di skrin besar lebih sukar berbanding drama kerana segala kecacatan dalam lakonan akan terserlah," katanya.

Dalam satu babak filem itu, Haliza mandi bunga untuk mencari jodoh yang diatur ibunya, lakonan Maimon. Lokasi diadakan di Kem Isi Rimba Ulu Kemensah, baru-baru ini. Haliza juga tidak kisah tampil berkemban untuk babak itu.

Mengenai pemilihan Din CJ sebagai pengarah, kata Haliza, pengarah filem Mr Cinderella 2 itu antara pengarah yang serasi bekerja dengannya sejak bekerjasama menjayakan drama Cinderella. Disebabkan persefahaman itu juga, Din CJ dipilih mengarahkan Rohaya Roy.

"Abang Din banyak menyokong perjuangan saya dalam bidang seni dan memahami siapa sebenarnya Haliza Misbun. Dia tahu angin saya macam mana dan tahu hendak 'menghentikan' ribut taufan yang datang," katanya.

Menyentuh sikapnya yang baran itu, ramai dikatakan tidak suka bekerja dengannya. Haliza mengakui agak baran tetapi katanya, marahnya mesti bersebab.

"Orang yang marah tanpa tujuan, gila namanya. Takkan orang buat perkara betul, saya hendak marah. Apatah lagi ia membabitkan syarikat sendiri. Bukan murah hendak hasilkan drama atau filem, jadi kerja mesti serius. Sebelum datang ke lokasi, buat persediaan terlebih dulu.

"Buktinya, saya tiada masalah bekerja dengan Erra dan Abby. Ini kerana mereka sangat profesional. Tak adalah pula berlaku kejadian bertarik rambut di lokasi. Buat kerja apa pun kita mesti bersedia supaya tidak membazirkan masa, wang dan tenaga.

"Jika tiba di lokasi, baru hendak hafal skrip dan memahami watak, siapa yang tak marah. Pengarah pun naik hantu. Saya perlu tegas ketika bekerja bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Seperti juga dalam hubungan suami isteri, jika si suami tidak mencetuskan onar dalam rumah tangga, takkan isteri hendak marah membuta tuli.

"Apatah ini adalah filem sulung saya yang diterbit menggunakan wang yang disimpan sekian lama tentu saya mengharapkan segalanya berjalan lancar.

"Demi kepuasan peribadi juga, lebih baik saya terbitkan drama dan filem sendiri. Boleh buat cerita yang saya suka dan pilih hendak pegang watak apa serta mengambil pengarah kesukaan.

"Insya-Allah jika filem ini mendapat sambutan, saya merancang untuk menghasilkan filem seterusnya. Untuk menjadi ahli perniagaan berjaya, saya perlu bersedia dengan pelbagai projek," katanya.

Dalam filem itu, Erra pegang watak Markonah dan pasti peminatnya tidak sabar hendak menonton kelainan lakonannya kali ini. Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami juga lakonan filem pertama Erra selepas bergelar isteri dan ibu.

"Filem ini akan ditayangkan tahun depan, namun saya percaya ramai tak sabar hendak menyaksikan penampilan Erra. Oleh itu, saya bercadang selepas filem ini siap, saya akan mengadakan tiga tayangan perdana istimewa di KL (Kuala Lumpur) dan Brunei.

"Kepada mereka yang ingin menjadi penonton pertama filem itu, kena beli meja dan sebahagian daripada wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada tabung amal Pernim (Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia).

"Oleh kerana Ari berlakon sama, saya juga berhasrat menayangkan filem ini di Indonesia dan saya harap Ari boleh bantu memasarkan filem ini di negaranya. Ari juga sudah tiga tahun tidak berlakon, pasti peminat merindui kelibatnya di pawagam," katanya.

>Profil

NAMA: Haliza Misbun

USIA: 36 tahun

TARIKH LAHIR: 14 Mei 1973

TEMPAT LAHIR: Kuala Lipis, Pahang tetapi dibesarkan di Bangsar, Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada enam beradik

STATUS: Solo

KERJAYA: Pelakon, produser dan pengarah (dokumentari)

DRAMA:

MAKANAN KEGEMARAN: Masakan ibu dan makanan Barat

MINUMAN KEGEMARAN: Air kosong

DRAMA: Cinderella, Rohaya Roy, Gris & Gucci, Karmila, Jernih Kasih Myra, Kembalikan Amanda, Roy... Catatan Andartu

FILEM: Abang 92, Scoop, Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Cinta

ANUGERAH: Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Skrin (ASK) 1997/1998 menerusi drama Cinderalla; Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Air Mata Ibu) dan Pelakon Wanita Terbaik ASK 1997/1998 (Odisi), Pelakon wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2004 menerusi drama Sumayah dan trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (telefilem Schizoid) Anugerah Oskar

No comments: