Sentuhan terakhir Yasmin
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
TANGGAL 25 Julai lalu, negara kehilangan pengarah filem dan iklan terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad. Namun, siapa sangka hingga ke akhir hayatnya sutradara kreatif itu tetap 'tegar' berkarya. Ia nyata terbukti menerusi projek 15Malaysia yang disertainya.
Setia bekerjasama dengan penyanyi dan pencipta lagu yang mengilhamkan projek itu, Pete Teo, sentuhan filem pendek Yasmin, Chocolate meninggalkan kenangan yang begitu mendalam. Tentunya, di kalangan peminat dan kenalan rapat yang mengenali Yasmin.
Menerusi Chocolate yang menggunakan dua bahasa, Melayu dan Mandarin, Yasmin juga setia mempertaruhkan bakat bintang ciptaannya, Sharifah Amani di samping Tan Mei Ling dan Howard Hon Kahoe. Chocolate ditayangkan mulai hari ini di www.15malaysia.com.
Pete Teo berkata, walaupun Yasmin sudah tiada di dunia ini, karyanya tetap diminati. Justeru, saksikan garapan terakhirnya, Chocolate menerusi projek 15Malaysia dijayakan. Ia pasti akan mengingatkan kita semua pada memori yang ditinggalkannya.
"Apa yang pasti, Yasmin memiliki inspirasi yang besar dan semua orang tahu mengenainya. Tetapi, dia sekarang sudah tiada lagi serta inilah karya yang ditinggalkan. Saya harap sesiapa yang menonton Chocolate akan terhibur dengan mesej yang dibawa.
"Bagaimanapun, saya yakin Yasmin tentu bangga dengan projek ini. Maklum saja, sebagai pembikin filem bebas bukan mudah untuk dapatkan bantuan kewangan. Justeru, terima kasih kepada syarikat perkhidmatan Internet tempatan, Packet One Networks (P1) kerana menjadi penaja," katanya.
Selaku penerbit, Pete berkata pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan projek itu. Menurutnya lagi, lebih 100 terbabit secara langsung dalam projek 15Malaysia yang mengetengahkan jalan cerita merangkumi budaya, politik, seni dan isu sosial masyarakat.
"Segala yang dipaparkan berkisar kepada apa yang berlaku di negara ini. Oleh itu, tidak hairanlah apabila gabungan pelakon menjayakannya terdiri daripada pengarah, pemuzik dan ahli politik tanah air. Bahkan, kemunculan mereka atas kesanggupan dan kesesuaian watak.
"Bagaimanapun, filem pendek pertama ditayangkan pada 17 Ogos lalu, Potong Saga arahan Ho Yuhang berjaya mendapat sambutan menggalakkan. Sejak penayangannya, kira-kira 15,000 orang sudah melayari laman web kami termasuk 3,000 mendaftar di Facebook," katanya.
Menurut Pete lagi, satu demi satu filem pendek berdurasi antara 5 hingga 7 minit akan dilancarkan selama 30 hari sehingga 16 September depan. Antaranya, The Tree diarahkan Amir Muhammad pada 21 Ogos, House (Linus Chung -24 Ogos) dan Halal (Liew Seng Tat -26 Ogos).
Diikuti, The Son arahan Desmond Ng ditayang pada 28 Ogos, Lumpur (Kamal Sabran - 31Ogos) One Future (Tan Chui Mui- 2 September), Slovak Sling (Woo Ming Jin - 4 September), Gerhana (James Lee - 7 September), Meter (Benji & Bahir - 9 September), Duit Kecil (Johan John - 11 September), Healthy Paranoia (Khairil Bahar - 14 September), Lollipop (Nam Ron - 15 September) dan Rojak! (Suleiman Brothers - 16 September).
Selain menontonnya di laman sesawang disediakan, filem pendek diminati juga boleh dipindah turun menerusi MP4. Apapun, antara ahli politik terbabit dalam projek ini ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Zaid Ibrahim dan Tian Chua.
Memandangkan ada pembabitan ahli politik, projek 15Malaysia juga diperjelaskan bukan pernyataan politik mana parti politik di negara ini dan bukan juga video promosi mana-mana kementerian. Ia sekadar menyuarakan hasrat hati.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai berkata pihaknya berminat menaja projek 15Malaysia kerana melihat negara ini memiliki ramai pengarah bebas berbakat yang perlukan platform betul untuk ketengahkan idea masing-masing.
"Sebaik Pete menunjukkan kertas kerja projek ini, saya tertarik untuk merealisasikannya kerana berpendapat bakat yang ada itu wajar ditonjolkan. Justeru, selaku penaja, P1 mengeluarkan dana untuk menerbitkan setiap filem pendek sudah dipilih itu.
"Hasilnya cukup membanggakan dan P1 rasa berbaloi menjayakan projek ini. Diharapkan semua yang dipaparkan dapat menyampaikan mesej masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Ini kerana, filem pendek dihasilkan terdiri daripada pelbagai genre," katanya.
Sehubungan itu, antara barisan pelakon tanah air yang menjayakan projek istimewa ini ialah Namewee, Atilia, Ida Nerina, HarithIskander, Amber Chia, Jay Menon, Namron, Ciplak, Jason Lo, Patrick Teo, Daphne Iking, Bront Palarae dan Adibah Noor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment