Legasi Tun Razak di Istana Budaya
Oleh Sani Kamarudzaman
ianz@hmetro.com.my
Darah bangsawan yang diwarisi oleh mu tuan,
Tidak pernah walau setitik kau simpan dalam tempayan emas,
Di mahligai kebesaran seorang negarawan,
Tetapi darah suci itu kau relakan mengalir ke kolam kasih,
Milik marhaen payah di pedalaman jauh serta tumpah di tengah riuh kota yang teguh.
- Seharum Namamu Tuan, Sahrunizam Abdul Talib, Puisi Khas Penyair Pahang.
ALLAHYARHAM Tun Abdul Razak antara contoh terbaik seorang tokoh yang mewariskan legasi kepemimpinan terbaik, bukan saja untuk negara, malah jasa dan bakti beliau menjulang dan meletakkan hak serta martabat bangsa Melayu ke tempat yang tinggi harus sentiasa direnungkan dan diteladani.
Karisma Tun Razak sebagai pemimpin Melayu berjiwa besar, bersemangat waja, gigih berusaha, bijak dan berilmu, berpandangan jauh, berfikiran strategik, ikhlas, setia serta bersungguh-sungguh dalam setiap tindakan khususnya dalam perjuangannya membela bangsa, agama dan negara.
Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan malah amat sinonim dengan Tun Abdul Razak iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Felda. DEB adalah cetusan idea Tun Abdul Razak merangka agenda membela bangsa Melayu dalam usaha menstabilkan politik dan keamanan negara manakala Felda agenda membela masyarakat luar bandar.
DEB membuktikan Allahyarham Tun Abdul Razak individu yang amat memahami latar belakang masyarakat majmuk di negara ini serta seorang yang amat prihatin, mengambil berat mengenai untung nasib dan masa depan bangsa Melayu.
Allahyarham Tun Abdul Razak menzahirkan keinsafan dalam diri semua pihak, khususnya masyarakat Melayu pada waktu itu, bahawa orang Melayu pada saat kepimpinan beliau terlalu jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan DEB bukanlah bertujuan merompak hak dan keistimewaan bangsa lain, tetapi sekadar memberi keadilan kepada bangsa Melayu yang sudah lama berkongsi tanah mereka.
Allahyarham Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB bagi membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.
Sesungguhnya terlalu banyak nilai dan jasa yang boleh dipelajari dan diteladani generasi muda hari ini menerusi legasi Tun Abdul Razak dalam membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.
Allahyarham Tun Abdul Razak mewariskan sebuah sistem kerajaan yang menjadi tunggak utama menentukan jatuh bangun dan maju mundurnya bangsa dan negara yang terus kekal menjadi asas kepada rakyat Malaysia hari ini.
Teater Muzikal Tun Abdul Razak (TMTAR) di Istana Budaya dipentaskan selama lima hari yang berakhir esok menjelmakan kembali legasi yang ditinggalkan Tun Razak.
TMTAR arahan Datuk Rahim Razali mula dipentaskan Ahad lalu menghidupkan kembali perjuangan Tun Abdul Razak selama enam tahun mentadbir Malaysia .
Watak Tun Abdul Razak dilakonkan dengan baik oleh pelakon terkenal, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff melakonkan watak sebagai isteri, beliau Tun Rahah Mohd Noah.
Skrip teater muzikal itu ditulis Mohd Izuddin Ismail, Che Kem, Rosdeen Suboh manakala A Aris Kadir, Shafrul Azim Suhaimi dan Hafiz Untong bertindak sebagai koreografer.
TMTAR turut menjadi kemuncak kepada segala pengalaman penuntut Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang sebelum ini cuma beraksi dalam pementasan kecil.
Pementasan itu memberikan cabaran hebat kepada mereka apatah lagi ia mengangkat perjalanan hidup seorang tokoh yang memberi impak besar kepada masyarakat Malaysia.
Menyentuh mengenai persembahan TMTAR secara keseluruhan, kelihatan interpretasi watak Tun Abdul Razak di tangan Rashidi agak berjaya.
Karisma Bapa Pembangunan Negara itu ditangani dengan begitu berhati-hati oleh Rashidi, namun keupayaan Fauziah menangani watak sebagai Tun Rahah memancarkan keanggunan dan ketokohan beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia suatu ketika dulu.
Gandingan vokal Rashidi dan Fauziah juga tidak menghampakan malah keupayaan vokal Fauziah dalam teater muzikal ini amat menonjol.
Perjalanan persembahan TMTAR yang dipentaskan sebagai satu daripada pengisian sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-52 secara keseluruhan dijalin dengan begitu kemas.
Pilihan segmen persembahan muzikal TMTAR lebih memfokuskan jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak mengemudi pembangunan Negara dan turut ditonjolkan peranan Tun Rahah sebagai sayap kiri beliau sebagai penasihat tidak rasmi dan isteri yang setia,
TMTAR bermula daripada pementasan kecil yang dijayakan penuntut institusi itu di Panggung Eksperimen Aswara dari 20 Oktober hingga 23 Oktober, tahun lalu.
Bagaimanapun, idea kecil itu dikembangkan dengan kajian lebih intensif dilakukan oleh barisan panel penulis skrip untuk disesuaikan dengan skala pementasan bertaraf profesional.
Muzikal yang menyatukan gabungan idea Mohd Izzuddin Ismail, Rosdeen Suboh dan Che Kem sebagai penulis skrip mengungkap tiga persoalan utama iaitu perjuangan, perpaduan dan kekeluargaan.
Dibahagikan kepada empat segmen, persembahan selama dua jam itu akan membawa khalayak mengimbau detik awal perjuangan Allahyarham hingga detik terakhir kepimpinannya yang meninggalkan kesan besar kepada seluruh warga Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment