Wednesday, August 19, 2009

Noriezuana Syed Shafudin ( Juara My Starz LG 2 ) 'Saya mahu jadi contoh'

'Saya mahu jadi contoh'

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


BERTITIK tolak dari tarikh 22 Februari lalu yang menjulang namanya sebagai juara My Starz LG musim kedua, Noriezuana Syed Shafudin, 22, atau Wana sedar mahu atau tidak, dia harus bersedia menghadapi cabaran sebagai anak seni.

Kejayaan itu baginya adalah kepercayaan semua pihak yang menyokong dirinya selama ini terutama keluarga dan peminat.

"Justeru, payah ataupun sukar sekalipun perjalanan anak seni itu, saya perlu tabah dan cekal menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

"Berbekalkan semangat mereka juga, buat saya semakin kuat berusaha membina nama sebagai penyanyi dan penghibur yang dihormati, mudah-mudahan dapat menjadi contoh kepada remaja lain," katanya.

Pada 11 Ogos lalu, Wana selamat melancarkan album sulungnya berjudul Siapa yang mula berada di pasaran sejak semalam (18 Ogos).

Bersesuaian dengan usia tuan empunya diri, Siapa menjurus ke arah konsep segar dan bertenaga, sesuai untuk semua peringkat terutama golongan muda.

Menampilkan komposer seperti Zaf VE dan Audi Mok, album memuatkan lima lagu berkonsepkan pop itu diadun elemen balada serta raggae, cuma mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

"Kalau ikutkan perancangan asal, album ini sepatutnya keluar tiga bulan selepas kemenangan saya di My Starz LG. Namun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, misalnya kesukaran mencari lagu bersesuaian vokal saya termasuk hal lain menyebabkan proses rakaman terpaksa dilewatkan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana album ini dapat juga dilancarkan. Terasa seperti sedang bermimpi pula, meskipun sejak dari kecil saya memang suka menyanyi tetapi tidaklah pula terfikir suatu hari nanti akan memiliki album sendiri.

"Apapun, saya berharap peminat menyukai lagu dalam album ini kerana ia cukup istimewa dan mampu memenuhi kehendak semua pendengar, tidak kira yang muda mahupun tua," katanya.

Untuk single pertama, Wana memilih lagu Orang Biasa berentak pop reggae manakala lagu yang dijangka menjadi tumpuan pendengar, Siapa Orangnya dan Ingin Bersama Kembali, sebuah lagu duet bersama teman seperjuangan menerusi MyStarz LG yang juga pemenang tempat kedua, Nashrin.

Mengenai pemilihan Nashrin sebagai pasangan duet, Wana berkata, keserasian menyatukan mereka untuk bekerjasama dalam album ini.

"Syarikat rakaman Warner Music Malaysia mahu mencipta pasangan duet daripada artis baru. Lagipun, kami terbabit dalam program sama dan sudah lama kenal. Justeru, antara saya dan Nashrin sebenarnya ada keserasian dalam nyanyian," katanya.

Mengakui Gerhana, satu-satunya lagu paling sukar untuk disampaikan kerana ia berentak balada, namun Wana akur untuk mengatakan lagu itulah yang paling disukainya.

"Sejak dulu lagi saya memang jarang menyampaikan lagu balada dan kerana itu, saat merakamkan Gerhana terasa begitu payah sekali. Namun, kesukaran itulah membuatkan saya begitu menyukai Gerhana dan saya sendiri percaya akhirnya berjaya juga menyempurnakan lagu itu," katanya.

Dengan lambakan ramai penyanyi berbakat besar termasuk saingan daripada bintang realiti, Wana sedar dia perlu mempertingkatkan kebolehan dari semasa ke semasa dan tidak boleh berasa selesa dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Gadis yang sentiasa tersenyum ini juga berharap, dia tidak leka dengan pujian dan mahu menjadi artis yang dikenali dengan sikap merendah diri.

"Dekat sekolah dulu orang menggelarkan saya 'kerang busuk' kerana suka tersenyum tidak kira dengan siapapun dan disebabkan sikap itu, saya memperoleh ramai kawan. Saya harap setinggi manapun kejayaan saya nanti, saya tetap kekal dengan sifat bersederhana dan merendah diri," katanya.

No comments: