Wednesday, August 19, 2009

Panas, tegang

Panas, tegang

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Ahli Papita tidak puas hati dengan laporan kewangan persatuan yang tidak kemas

MENGAPA banyak program tidak diketahui oleh AJK dan ahli biasa? Mengapa dalam laporan kewangan mengatakan persatuan mengalami kerugian besar?

Itulah antara isu yang dibangkitkan oleh ahli dalam Mesyuarat Agung Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita) kali ke-12 di Pawagam Mini P Ramlee, Finas pada Sabtu lalu.

Selain berkaitan soal aktiviti dan kedudukan kewangan persatuan, isu lain yang turut ditimbulkan ialah berkaitan dengan status keahlian. Semuanya itu menyebabkan mesyuarat agung berlangsung dalam suasana tegang dan panas terutama selepas Presidennya, Datuk M Daud Wahid membentangkan laporan kewangan 2006 persatuan ini.

Ahli persatuan ini mempersoalkan kenapa Presiden tidak memaklumkan kepada barisan AJK atau ahli persatuan mengenai wujudnya program atau aktiviti seperti Senandung Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malam Anugerah Kecapi, perolehan daripada slot siaran RTM; pendapatan daripada program Ogy Salih Yacob, baki Jam slot RTM, Majlis Makan Malam Malaysiaku Gemilang, Buka Autograf, Projek Tanah di Melaka dan Sijil yang ditandatangani oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Bekas AJK Papita, Othman Mahmood menuntut penjelasan daripada M Daud mengapa lapan program anjuran Papita tidak diketahui.

Katanya, merujuk kepada laporan kewangan yang diedarkan kepada ahli, semua program itu bukan saja tidak diketahui exco yang dilantik namun turut mengalami kerugian yang besar.

“Sebagai AJK, banyak program yang diadakan tidak diketahui oleh kami mahupun ahli biasa dan laporan yang ditulis melaporkan persatuan mengalami kerugian yang besar.

“Sebelum ini pun apa-apa program yang dirancang oleh persatuan tidak diketahui barisan exco lain dan tidak melampirkan minit mesyuarat yang diadakan. Mengikut buku perlembagaan, sekiranya mesyuarat yang diadakan tanpa pengetahuan exco lain dan tiada minit direkodkan, mesyuarat itu dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi syarat perlembagaan.

“Saya dilantik sebagai AJK bagi sesi 2007/2009. Sebagai AJK, saya mahu laporan kewangan 2006 diselesaikan sebelum membentangkan laporan kewangan seterusnya kerana bimbang kalau berlaku penyelewengan ia tidak membabitkan saya,” katanya.

Turut melahirkan perasaan tidak puas hati ialah Shamsuddin PA Moidutty atau lebih dikenali Din Maidin apabila keahliannya selama ini tidak direkodkan bermula 2007 hingga 2009.

“Pada Mesyuarat Agung Papita ke-11, saya mendaftar keahlian dengan membayar yuran sebanyak RM220. RM120 untuk keahlian seumur hidup dan RM100 untuk perkampungan Artis di Melaka.

“Baru-baru ini saya menyemak nama saya di Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan nama saya sah sebagai ahli. Tetapi sebulan lalu, saya dimaklumkan, saya bukan ahli Papita. Keahlian saya dilucutkan. Perlucutan keahlian itu ada dilaporkan di dalam laporan mesyuarat agung hari ini dengan alasan keahlian saya tidak sah kerana tidak berdaftar.

“Sebenarnya, selepas mendaftar keahlian pada tahun 2007, saya dilantik sebagai salah seorang AJK. Tiba-tiba sebulan sebelum mesyuarat agung hari ini diadakan, saya dikhabarkan yang saya bukan ahli dan nama saya tidak ada di dalam keahlian. Jika benar nama saya tidak didaftarkan, mengikut syarat perlembagaan, bermakna mesyuarat sebelum ini tidak sah,” katanya.

Kedudukan kewangan Papita yang tidak kemas turut dimuatkan dalam laporan juru audit luar. Menurut laporan yang dibuat oleh Azmi Ismail & Co., antara lain mengakui buku dan rekod kewangan persatuan tidak disimpan dengan memuaskan dan sistem kawalan dalaman tidak mencukupi.

Laporan itu turut menyatakan walaupun beberapa pelarasan dibuat ke atas penyata kewangan berdasarkan rekod dan dokumen yang sedia ada, maklumat daripada pihak exco persatuan dan penemuan semasa pengesahan ke atas transaksi terpilih, tidak dapat menyatakan transaksi kedudukan urusan persatuan pada 31 Disember 2006.

Selepas agak lama bertegang leher, bertikam lidah antara ahli dan barisan AJK mengenai Laporan Kewangan Persatuan 2006, Pengerusi mesyuarat, Datuk Malek Radzuan kemudian mencelah dan menyuraikan pertelingkahan yang tidak mendapat apa-apa kata putus.

Perdebatan mengenai agenda kedudukan kewangan persatuan 2006 hingga 2008, menyebabkan mesyuarat bersetuju untuk menangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan pada Oktober depan.

M Daud kekal Presiden Papita penggal ketiga

WALAUPUN berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden penggal ketiga berturut-turut, tugas berat pastinya menanti M Daud untuk memberi penjelasan beberapa isu tertunggak dalam Mesyuarat Agung Papita Ke-12, seperti soal kedudukan kewangan, aktiviti persatuan dan keahlian.

M Daud sebagai pemimpin selepas menerima 29 undi berbanding pencabarnya, Nasir Datuk Ahmad Nawab yang memperolehi sembilan undi.

Mengulas kemenangan mengekalkan jawatan Presiden, beliau berkata mesyuarat agung yang diadakan kali ini adalah satu lagi ilmu yang diperoleh sekali gus mematangkan dirinya untuk memimpin persatuan dengan lebih adil dan berkarisma.

“Seperti yang sudah saya ramalkan, Mesyuarat Agung Papita ke-12 panas dengan pihak yang tidak faham dengan apa yang sudah persatuan lalui selama ini. Tapi ketidakpuasan hati itu adalah biasa.

“Pada majlis inilah mereka selama ini mereka berhak luahkan perasaan tidak puas hati itu, dan saya sebagai pemimpin tetap mendengar. Mereka sedang marah dan kita harus mendengar kerana sekiranya kita juga marah, majlis ini akan berakhir dengan perkara tidak baik.

“Mana yang saya boleh jawab saya akan jawab, mana yang tidak boleh dijawab disebabkan kesuntukan masa kita akan tangguhkan. Saya juga bersedia memperjelaskan mana-mana yang tidak jelas pada mesyuarat agung khas yang bakal pada Oktober nanti,” katanya.

Bagaimanapun, M Daud berkata, isu tidak puas hati di kalangan ahli tidak menghalangnya untuk meneruskan beberapa agenda penting yang dirancang untuk tahun depan.

“Antara agenda penting iaitu ialah menganjurkan Festival Muzik Etnik bertaraf antarabangsa dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah. “Selain itu juga, kita akan bekerjasama dengan RTM untuk menghidupkan kembali Pertandingan Kugiran bagi mengisi tabung persatuan. Kita juga merancang untuk memiliki bangunan sendiri dalam masa terdekat ini.

“Saya yakin untuk melaksanakan agenda itu dalam masa dua tahun dari sekarang dan selepas itu sekiranya saya sudah tidak diperlukan dalam persatuan saya akan mengundur diri,” katanya.

INFO: Exco Papita sesi 2009/2011

* Presiden: Datuk M Daud Wahid
* Timbalan Presiden: Datuk Malek Radzuan
* Naib Presiden 1: Johari Mat Rozekhi
* Naib Presiden 2: Nasir Ahmad Nawab
* Setiausaha: -Belum Dilantik
* Penolong Setiausaha -Belum Dilantik
* Bendahari: -Belum Dilantik

No comments: