Wednesday, August 19, 2009

Jawablah!: 'Tak mungkin tutup periuk nasi sendiri'

Jawablah!: 'Tak mungkin tutup periuk nasi sendiri'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


FAHRIN terkilan dengan dakwaan dia seorang pelakon yang tidak berdisiplin.

SEBELUM ini, Fahrin Ahmad pernah dilabelkan sebagai pelakon tidak berdisiplin. Kononnya dia pernah menghadapi masalah dengan produksi program Gadis Melayu musim pertama di TV9 sehingga tersebar cerita terpaksa disingkirkan disebabkan masalah disiplinnya itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Fahrin. Senyap sekejap cerita panas mengenai Fahrin. Kalau ada pun, hanyalah berkisar mengenai kisah putus cinta atau bertemu teman baru yang boleh dikatakan menjadi sebahagian dari kehidupannya.

Terbaru, cerita yang sama dibangkitkan kembali. Fahrin dikatakan kembali ke perangai lamanya iaitu tidak berdisiplin apabila sering menyusahkan petugas dan pelakon di lokasi penggambaran apabila dikatakan sering datang lewat.

Sudahlah datang lambat sehingga menyebabkan jadual penggambaran terpaksa ditangguh atau bercelaru, kemudian nak pulang awal pula kerana terikat dengan tugasan lain. Pendek kata sikap suka menyusahkan orang ini menyebabkan ada produksi yang sudah serik untuk bekerjasama dengan pelakon ini. Iyalah, disebabkan nila setitik, rosak sebelanga. Hanya kerana seorang pelakon buat hal, satu produksi dilanda masalah.

Namub begitu, benarkah Fahrin pelakon bermasalah? Adakah ini khabar angin yang sengaja disebarkan oleh mereka yang kurang senang melihat kejayaannya? Hip mendapatkan penjelasan daripada Fahrin apakah benar dia pelakon tidak berdisiplin seperti yang digembar-gemburkan. Reaksi yang diterima sebaik saja diajukan pertanyaan berhubung perkara ini, Fahrin berkata, dia cukup terkilan kerana cerita yang dipaparkan dalam artikel itu adalah tidak benar.

Hip: Adakah benar Fahrin bersikap seperti yang digambarkan dalam artikel itu?

Fahrin: Terlebih dulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi memberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar. Sebaik saja membaca artikel itu, saya sudah dapat mengagak produksi mana yang diceritakan. Saya masih ingat peristiwa itu berlaku pada 9 Ogos dan ia terjadi kira-kira jam 2 hingga 5 petang di lokasi filem Andartu Terlampau. Saya akui, memang datang lewat dan nak balik cepat pada masa itu. Untuk pengetahuan semua, saya berbuat begitu kerana saya mendapat keizinan daripada penolong pengarah dan juga pengurus produksi. Sejak awal lagi saya sudah berunding dengan mereka mengenai hal ini dan mereka memang mengizinkannya. Jadi apabila cerita seperti ini timbul, saya jadi hairan kerana apa yang ditulis dalam artikel itu kebanyakannya tidak benar.

Hip: Fahrin ada bersemuka dengan pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu ini?

Fahrin: Sebaik saja saya membaca artikel itu, memang saya ada bertemu dengan penolong pengarah dan pengurus produksi untuk membincangkan hal ini. Sebenarnya saya rasa terkilan dengan artikel itu kerana cara penulisannya seolah-olah menggambarkan yang saya memang seorang yang tidak berdisiplin. Walhal hakikatnya tidak sebegitu. Apabila kami lihat kembali artikel itu, rasa lucu juga kerana memikirkan macam mana cerita seperti itu boleh tersebar dan yang lebih penting, apa yang ditulis tidak benar sama sekali. Bagaimanapun, saya anggap setiap orang mempunyai sudut pandangan tersendiri dalam hal ini. Mungkin orang yang menyampaikan cerita itu kepada wartawan berkenaan tidak mengetahui perkara sebenar.

Hip: Mungkin orang yang menyebarkan fitnah itu bertujuan untuk mensabotaj kerjaya lakonan Fahrin?

Fahrin: Saya tidak mahu menuduh. Cuma seperti saya katakan setiap orang sudut pandangan berbeza dalam hal ini. Namun saya tak nafikan, dakwaan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi saya sebagai pelakon. Mana mungkin saya hendak melakukan perkara yang boleh menutup periuk nasi sendiri. Saya rasa sudah matang untuk menyusun jadual sendiri dan tak perlu hendak terkejar-kejar kerana itu bukan saja menyusahkan banyak pihak tetapi juga diri sendiri. Lagipun sebelum ini bukan saya tidak pernah berada di situasi yang berbeza iaitu menjadi pelakon yang terpaksa menunggu artis lain. Tapi, saya tidak merungut kerana saya tahu mereka ada alasan sendiri mengapa lewat. Bagi saya, dalam hal ini kita kena bertolak ansur dan jangan terlalu mementingkan diri sendiri.

Hip: Dari segi tawaran macam mana? Apakah Fahrin masih lagi mengambil banyak tawaran dalam satu masa?

Fahrin: Setakat ini alhamdulillah, rezeki itu ada. Malah menjelang puasa, semakin banyak tawaran yang datang. Saya bercadang untuk rehat seketika pada bulan puasa ini tetapi nampaknya rancangan terpaksa difikirkan semula. Dulu, mungkin saya baru dalam bidang ini. Jadi selagi ada tawaran, selagi itulah saya terima. Tapi kini saya sudah tahu bagaimana hendak menguruskan jadual dan berurusan dengan mereka yang terbabit di bidang ini. Saya banyak belajar dan tidak mungkin saya ulangi kesilapan yang sama.

Hip: Kalau kita lihat, nama Fahrin sering dikaitkan dengan dua perkara ini. Masalah disiplin dan juga teman wanita. Komen sikit?

Fahrin: Itulah! Saya perasan juga perkara ini. Tapi nak buat macam mana. Itu adalah asam garam mereka yang bergelar artis. Bagi saya sendiri, setiap kali cerita seperti ini timbul, saya lihat dari sudut positif. Biarlah orang hendak kata apa pun kerana yang penting, kita tahu apa yang kita lakukan. Tak perlu nak pening memikirkan hal seperti ini. Kita kena cool sentiasa.

Hip: Pertanyaan ini tak ada kena mengena dengan cerita tadi. Bila Fahrin dan Scha nak ada ikatan?

Fahrin: Kalau ikutkan, saya sendiri memang sudah bersedia tetapi tunggulah, saya serahkan semua ini kepada Tuhan. Kalau ada jodoh, adalah.

No comments: