Monday, August 17, 2009

Penangan Nur Kasih

Penangan Nur Kasih

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Tiz dan Remy.

Kehadiran drama 26 episod arahan Kabir Bhatia, lakonan Remy Ishak dan Tiq Zaqyah melonjakkan nama kedua-dua pelakon ini

JODOH Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam skrin memang kuat. Setelah digandingkan dalam telefilem Bernafas Dalam Lumpur arahan Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-22, James Lee pada 2007, mereka kembali disatukan dalam drama penuh emosi dan meruntun jiwa, Nur Kasih.

Impak drama 26 episod itu pun bukan sedikit kerana sejak bersiaran pada 29 Mei lalu, peminat hiburan tanah air mula memperkatakan mengenai drama terbitan Filmscape itu yang disiarkan setiap Jumaat, jam 9 malam. Malah kerana kehadiran drama itu, ramai pihak termasuk rakan selebriti memilih untuk pulang awal dan tidak keluar rumah kerana enggan ketinggalan menontonnya di TV3.


Entah apalah agaknya formula yang digunakan pengarahnya, Kabir Bhatia dibantu Faisal Ishak sehingga mampu membuatkan penonton terpaku di depan kaca TV. Buah tangan suami kepada penulis skrip Mira Mustaffa ini nampaknya terus-terusan memikat hati penonton malah terus diingati sebagai karya berseni dan cantik.


Lalu tidak hairan, percubaan pertama Remy dan Tiz bekerja buat pertama kalinya dengan pengarah itu memberikan penangan yang cukup mengesankan. Watak Adam dan Nuramina yang dipegang mereka hadir dengan impak tersendiri hingga membuatkan penonton ingin terus mengetahui apa kesudahan yang bakal berlaku nanti.

Bukan saja Remy dan Tiz berasa bertuah dapat menimba pengalaman di sisi pengarah itu, bahkan ramai lagi anak seni menyimpan hasrat yang sama. Pertaruhan Kabir menggandingkan mereka di sisi pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fizz Fairuz, Ummi Nazeera, Liza Othman dan Ayu Raudhah ternyata menjadi ramuan terbaik.

Rezeki Tiz untuk menyerlah hanya pada tahun ini selepas berlakon drama Nur Kasih biarpun dia sudah membabitkan diri dalam bidang seni sejak 2005.

Bagi Tiz, drama ini mula memberikan transisi lain kepada pacuan kerjayanya yang mula bercambah sejak 2005. Malah secara kebetulan juga watak Nuramina memerlukannya bertudung seperti watak Kak Ika yang dilakonkan dalam drama Impian Ilyana musim kedua dan ketiga. Kerana tuntutan watak sebegitu juga sudah mula ada yang menyangka gadis berkelulusan SPM ini sebenarnya bertudung.

“Saya harus bersyukur kerana watak Nuramina secara tidak langsung mula membuka mata ramai orang terhadap kehadiran saya. Ia memberi dimensi baru dalam lonjakan kerjaya saya. Ibaratnya seperti baru bermula perjalanan seni saya. Pendedahan dan promosi diri yang saya terima juga begitu berbeza sama sekali.

“Saya sangat terhutang budi kepada Kabir yang memberi peluang dan kepercayaan untuk saya terus meneroka sisi bakat yang ada. Saya diuji bakat di depan Kabir sendiri, malah drama Hartamas arahannya sebelum ini pun pernah dia meminta saya lakukan uji bakat.

“Saya tahu ramai yang tersalah anggap menyangkakan saya bertudung. Malah dalam kenyataan saya sebelum ini pun saya selesa melakonkan watak bertudung. Cuma demi kepelbagaian watak, saya mahu mencuba lagi watak lain. Bukan bermaksud saya mahu lari daripada watak bertudung, sebaliknya saya tidak mahu terus terikat dengan watak yang sama,” kata anak tunggal ini yang akan genap 21 tahun pada 25 Oktober ini.

Jodoh Remy dan Tiz berlakon sebagai pasangan suami isteri terus berlarutan daripada telefilem Bernafas Dalam Lumpur hingga ke drama Nur Kasih.

“Insya-Allah, kena pada waktunya nanti, siapa tahu saya juga akan bertudung tanpa paksaan sesiapapun. Tuhan Maha Adil, lalu saya harus sentiasa mensyukuri rezeki kurniaan-Nya. Apa yang saya kecapi kini atas keberkatan-Nya juga,” kata Tiz lagi sambil memuji Kabir yang dianggap macam abang sendiri.

Beralih bicara kepada Remy, 27, watak Adam sekali lagi membuatkan namanya kembali menjadi sebutan. Perkara yang sama turut terjadi kepada drama sulung lakonannya, Sindarella kerana watak Tengku Haidar yang dipegangnya. Selama tiga tahun membabitkan diri dalam bidang seni, peluang berlakon di bawah arahan Kabir seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Katanya, seiring dengan peredaran masa, Remy percaya kematangan diri terus membuatkannya berazam menjadi lebih bagus daripada semalam. Hadir dengan pakej lengkap, Remy melihat apa yang dilaluinya kini sebagai proses perubahan besar untuk terus memahat nama sebagai pelakon.

“Saya bersyukur kerja keras saya selama ini akhirnya berbayar juga. Namun itu bukan alasan untuk saya terus mendabik dada, sebaliknya ia terus menjadi azimat untuk saya tegar bertahan mencari rezeki sebagai anak seni. Seperti Tiz, saya juga harus berterima kasih kepada Kabir kerana banyak membantu saya mendalami serta mengembangkan watak Adam.

“Kerana Adam juga, biarpun saya berjalan memakai topi dan kaca mata di tempat awam, masyarakat masih perasaan kelibat saya. Pengalaman saya nak ke lokasi pun membolehkan saya bertemu dengan pelbagai ragam orang dan ada di antara mereka turut menghargai bakat saya.

“Malah, ketika terbabit promosi Jom Heboh di Sarawak dan ketika melihat diri saya dikelilingi ramai orang, saya berasa seolah-olah baru saja merasai nikmat sebagai artis. Selagi bakat saya diterima, Insya-Allah saya akan terus memberikan persembahan terbaik untuk dikongsi bersama dan memanjangkan terus legasi seni tempatan,” katanya yang akan terbabit dengan pementasan teater arahan Erma Fatima di Istana Budaya November depan.

Sisi berbeza Remy Ishak

REPUTASI Mohammad Zalimei Ishak pernah tercalar kerana dikatakan berlagak dan sukar memberi kerjasama dengan pihak media untuk melakukan sesi fotografi dan temu bual. Malah paling teruk, ada yang mengatakan Remy hanya layan fotografi muka depan saja. Namun sejak tiga bulan lalu, jadual dirinya sedikit teratur apabila mula menggunakan khidmat pengurus.

“Saya masih Remy yang dulu dengan sikap yang sama. Bezanya cuma peraturan masa dan penerimaan saya terhadap orang lain. Pengalaman tentunya mematangkan diri saya. Saya akui jenis keras kepala dan tak menafikan mungkin ada pihak yang tidak faham cara saya.

“Apabila saya berkata tidak terhadap perihal tertentu, saya dikatakan itu dan ini hingga menjadi isu. Dulu jika tidak berpuas hati, saya akan pendam saja. Sejak ada pengurus, saya lihat segala proses menjadi lancar termasuklah soal membabitkan sesi fotografi,” katanya yang besar kemungkinan tidak dapat terbabit sama untuk musim baru Awan Dania.

APA KATA REMY MENGENAI TIZ, UMMI:

  • Agak rumit juga meletakkan emosi terhadap Tiz. Tapi berkat keserasian, Remy berharap penonton akan merasai apa yang mereka ingin luahkan. Semuanya atas dasar profesionalisme.

  • Mengenai Ummi pula, selepas beberapa bulan mengenali hati budi dan melihat kemungkinan hubungan itu akan pergi jauh, di dalam hatinya mula terbit rasa betapa sukar untuk meneruskan hubungan ini lagi.

  • “Kami terus mencuba, namun tidak pasti sampai ke mana destinasinya. Jadi atau tidak, saya hanya berserah kepada Tuhan. Saya tidak mahu memberi komen berlebih-lebihan. Ini baru peringkat berkawan, kesudahannya saya sendiri tidak mampu mengagak,” katanya.

  • Tetap tegas bahawa wanita bernama Nurul Huda Hamidon yang dikatakan kekasihnya sebelum ini hanyalah kawan.


APA KATA TIZ MENGENAI REMY:
  • Remy sangat komited dan serius di lokasi. Tidak lokek berkongsi ilmu lakonan. Seorang kawan yang baik dan bercakap lemah lembut.

  • Tiz yang masih solo tidak menafikan kriteria yang dimiliki Remy sedikit sebanyak menjadi pilihannya.

  • Tetapi untuk bercinta barangkali tidak mungkin kerana umum juga tahu gosip kini mengaitkan Remy dengan Ummi Nazeera yang turut berlakon dalam drama itu.

No comments: