Penangan badan besi
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
"MANA badan besi," ujar seorang kakitangan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad kepada pelakon kacak, Kamal Adli, 23, sewaktu mereka bertembung di dalam lif.
Dengan wajah tersipu-sipu, Kamal yang mengunjungi Balai Berita, baru-baru ini untuk sesi fotografi khas bersama Rap Harian Metro menjawab: "Hari ini tak pakai la abang, tak ada shooting."
Pertanyaan sebegini barangkali jelik bagi kita mendengarnya tetapi tidak bagi Kamal kerana sejak membintangi drama bersiri Bio-Nik, acap kali dia disapa dengan soalan sedemikian rupa.
Situasi sebegini jelas memberikan petanda, lakonannya sebagai Nik menerusi siri terbitan KRU Studio's itu benar-benar menjadi.
"Sudah selalu sangat orang menyapa saya sebegitu. Malah, mereka lebih mengenali watak daripada nama saya sendiri.
"Baru-baru ini, misalnya, sewaktu mengikuti karnival Jomheboh, ada segelintir peminat mahu bergambar tetapi mereka menegur saya dengan panggilan Nik, malah ada juga memanggil Bio-Nik.
"Lucu mengenangkan keadaan itu. Tetapi tidak mengapalah walaupun ramai yang tidak tahu nama sebenar saya, sekurang-kurangnya ini membuktikan mereka menghargai lakonan saya sehingga watak Nik melekat dalam ingatan mereka.
"Paling tidak dapat dilupakan, pernah beberapa peminat bukan kanak-kanak saja tetapi yang dewasa juga minta saya berlari kerana mahu melihat apakah larian saya sepantas dalam drama Bio-Nik," katanya sambil mengukir senyuman.
Tambahnya, penceritaan yang dipaparkan musim kedua Bio-Nik lebih menarik dengan pelbagai konflik diperkembangkan selain mempamerkan lebih banyak aksi lagak ngeri.
"Kalau musim pertama lalu, Nik dikesan mempunyai kuasa luar biasa dan tidak bertopeng tetapi untuk musim kedua ini, wataknya ditampilkan dengan kostum lengkap.
"Skop penceritaannya juga lebih luas. Jika musim terdahulu tertumpu pada permasalahan dalam kolej, sekarang Bio-Nik harus menyelesaikan kegiatan jahat yang berlaku di luar," katanya.
Akui Kamal, menjayakan watak 'superhero' menjadi keinginannya sekian lama, apatah lagi sejak kecil, dia mula terdedah dengan siri Superman termasuk menjadi peminat tegar filem Spiderman. Namun, Kamal sama sekali tidak menyangka peluang yang diperoleh sepantas ini.
Bayangkan, pembabitannya dalam bidang seni baru menjangkau 10 bulan dan tidak seperti kebanyakan aktor dan aktres yang perlu menunggu lama untuk meraih watak idaman, Kamal sudah pun diuji dengan pelbagai watak daripada pemuda budiman, jejaka 'playboy' sehinggalah peranan mencabar 'superhero' serta menjadi mawas.
Terbaru, khabarnya pemuda kelahiran Pekan, Pahang, yang sedang sibuk menjalani penggambaran musim kedua drama bersiri, Impian ditawarkan pula satu tugasan menarik iaitu membintangi teater muzikal Impak Maksima di Singapura.
Teater muzikal yang pernah dipentaskan di Istana Budaya, hujung tahun lalu bakal dipentaskan di Esplanade, pertengahan Oktober depan.
"Ia memang benar saya ada menerima tawaran itu tapi kalau boleh tidak mahu bercerita panjang mengenainya selagi latihan tidak dimulakan.
"Apapun, saya amat berbesar hati menjayakan pementasan ini kerana saya memang meminati konsep teater muzikal yang memerlukan pelakon, berlakon sambil menyanyi.
"Melaluinya, bukan saja kemampuan lakonan saya lebih teruji, malah boleh memanfaatkan minat menyanyi dalam pementasan ini. Tidaklah pandai sangat menyanyi, tapi bolehlah sikit-sikit.
"Saya menerima tawaran abang Idham ini selepas terbabit dalam penggambaran filem arahannya, Niang Rapik The Movie dan saya antara salah seorang pelakon memegang watak utama.
"Helmi, pemuda yang sifat luarannya nampak perkasa tetapi tidak pada dalaman kerana seorang yang sangat penakut. Ini juga satu lagi kelainan watak pernah saya lakonkan.
"Penggambaran filem ini cukup mencabar kerana selama 10 hari bermula 8 hingga 18 Julai, kami menjalani penggambaran di atas bot," katanya.
Seperti diketahui ramai, melalui drama bersiri Bio-Nik yang kini hangat bersiaran di TV3, Kamal bertemu cinta barunya selepas percintaan dengan personaliti TV3, Nur Syahirah Aiyob, 23, atau Shera, empat tahun lalu sewaktu masih menuntut di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Kuala Lumpur, terputus di tengah jalan.
Gadis bertuah yang berjaya merawat kedukaan hati Kamal itu siapa lagi kalau bukan heroin dalam Bio-Nik sendiri, Intan Ladyana, 27, yang pernah menjalin hubungan dengan pakar pemakanan, Kevin Zahri.
Bagaimanapun, timbul cerita kurang enak apabila Kamal dikatakan meninggalkan Sheera selepas bertemu Intan.
"Saya tidak nafikan, ketika mengenali Intan, perhubungan saya dengan Shera sedang berhadapan dengan masalah yang terlalu peribadi untuk diceritakan. Tetapi ingin saya tegaskan di sini, waktu itu Intan cumalah teman biasa saja.
"Usaha mempertahankan hubungan saya dengan Shera gagal kerana kami sudah tidak sehaluan lalu mengambil keputusan berpisah. Hanya selepas itu, hubungan saya dan Intan menjadi rapat," katanya.
>Profil
NAMA PENUH: Ahmad Kamal Ahmad Adli
TARIKH LAHIR: 16 April 1986
ASAL: Pekan, Pahang
KELUARGA: Anak ketiga daripada tujuh beradik
PENCAPAIAN: Hero Remaja 2007/2008
PENGACARAAN: Pandanganku Ceritaku (Astro Ria) dan Rentak Juara (TV1)
KOMERSIAL: Kentucky Fried Chicken (KFC), Maxis dan Celcom
DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2, Bio-Nik, Zati & Mawas dan Impian Sunsilk 2
FILEM: Niang Rapik The Movie
DUTA: Sony
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment