Monday, August 17, 2009

Siti Sarah Raisuddin : Bintang bersinar semula

Bintang bersinar semula

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


KETIKA nama berada di puncak, Siti Sarah Raisuddin, 25, dirundung kontroversi lalu bintang yang bersinar terang itu pudar dan langsung hilang dari penglihatan. Pun begitu mereka yang tidak pernah berputus asa, pasti Allah SWT membuka jalan kepadanya untuk membina semula hidup baru.

Keputusan Sarah untuk menyertai program realiti One In A Million (OIAM) langkah tepat kerana peminat memberi sokongan semula kepadanya. Meskipun gagal meraih wang RM1 juta, namun kemunculan semula Sarah itu membuat lembaran baru kepada kerjaya seninya.

Hati Sarah amat bangga apabila dalam banyak bakat yang ada, dia dan Bob AF (Hasrizal Yusof) terpilih untuk mewakili negara ke pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA ke-13) di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat, Julai lalu.

"Selesai saja OIAM, saya terus sibuk dengan aktiviti seni dan jadual bertambah padat sekembali dari Hollywood. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana penyertaan saya dalam kedua-dua pertandingan itu memberi sinar semula dalam kerjaya saya. Segala yang berlaku dijadikan iktibar dan panduan untuk menghadapi hari muka.

"Umur pun dah 25 tahun, membuatkan saya semakin matang dan banyak berfikir sebelum melakukan apa-apa perkara. Kedatangan Ramadan ini juga akan saya sambut dengan penuh kesyukuran dan berazam menghabiskan banyak masa bersama keluarga serta menambahkan amal ibadat.

"Jemputan berbuka puasa pun sudah banyak diterima dan mungkin tidak semua saya akan pergi kerana biasanya jika berbuka di luar, maka tipislah harapan untuk bersolat tarawih di masjid. Insya-Allah, saya sedang berusaha mengubah diri menjadi lebih baik," katanya.

Kesibukannya yang bertali arus juga membuatkan Sarah tidak sempat menempah baju raya.

"Ketika pergi ke Hollywood tempoh hari, ada juga membeli- belah tetapi baju biasa. Takkan hendak pakai gaun di pagi raya. Dengan tubuh yang kecil dan rendah, susah hendak beli baju kurung siap. Tengoklah macam mana nanti," katanya yang akan beraya bersama keluarga di Kuala Lumpur.

Dalam pemilihan teman hidup juga, Sarah semakin berhati-hati. Tanpa mengira calon suami bangsa apa, Sarah mahu lelaki yang beriman dan boleh membimbingnya ke jalan diredai Allah SWT.

"Pernah putus tunang tidak membuatkan saya fobia untuk bercinta lagi kerana ia perasaan paling indah. Bagaimanapun, kini saya lebih berhati-hati untuk mencari pasangan hidup.

"Emak pun tidak kisah siapa pilihan saya kerana yang penting saya bahagia. Selepas putus tunang, ada yang ingin berkawan rapat tetapi saya tak berkenan dan saya juga tidak mahu tergesa-gesa mencari pengganti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah sibuk di studio merakamkan lagu single ciptaan Aidit Alfian. Ada syarikat rakaman yang merisiknya bagi menghasilkan album penuh, namun semuanya masih dalam pertimbangan.

"Dengan keadaan pasaran album yang belum ada tanda hendak pulih, bimbang juga hendak menghasilkan album penuh tetapi apapun terpulang pada rezeki. Untuk sementara ini, biarlah saya keluarkan lagu single dulu untuk menguji pasaran dan selera peminat.

"Pendengar muzik sekarang juga lebih suka muat turun lagu daripada membeli CD. Mengikuti aliran baru itu, lagu single ini juga boleh dimuat turun," katanya.

Mengembangkan lagi kerjaya seninya, sempena Aidilfitri ini, Sarah berlakon dua drama komedi untuk siaran TV3 dan TV1.

"Watak yang diberikan tidak berat dan seronok berlakon dalam kedua-dua drama itu kerana ia berbentuk komedi," katanya.

No comments: