Tuesday, August 18, 2009

Hargai petugas veteran RTM

Hargai petugas veteran RTM


Helan Abu (duduk, tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa penggal 2009-2011 PVRTM.


PERSATUAN Veteran RTM (PVRTM) akan menemui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam masa terdekat bagi menghantar memorandum menghidupkan semula slot Masihkah Kau Ingat di Klasik Nasional, yang mengundang veteran RTM.

Slot selama satu jam itu dikhaskan untuk ahli-ahli PVRTM dalam menyumbang kepakaran mereka sebagai juruhebah bertujuan sebagai panduan kepada deejay di RTM.

Program Masihkah Kau Ingat yang mengundang veteran RTM sebelum ini pernah diwujudkan sempena 50 tahun kemerdekaan negara pada 2007.

Bagaimanapun, setelah setahun bersiaran bermula 5 Februari hingga 24 Disember 2007, program tersebut dihentikan tanpa sebarang penjelasan.

Masihkah Kau Ingat menyenaraikan 24 bekas juruhebah ketika itu yang dijayakan ahli PVRTM selama satu jam setiap Isnin pada pukul 3 petang di radio Klasik Nasional.

Kini Masihkah Kau Ingat yang ke udara setiap hari selama dua jam mulai 2 petang hanya memutarkan lagu-lagu lama permintaan para pendengar.

Pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Ke-7 Persatuan Vateran RTM, yang dihadiri seramai 53 orang daripada 220 ahlinya yang berlangsung di Hotel Singgahsana baru-baru ini, persoalan tersebut telah dibangkitkan.

Antaranya, mereka mencadangkan supaya diadakan slot khas untuk juruhebah veteran RTM agar ia menjadi rujukan kepada para penyampai dan deejay stesen berkenaan.

"Banyak bezanya juruhebah dahulu dengan deejay sekarang. Dahulu, sambil putar lagu, ada informasi yang disampaikan sebagai rujukan untuk para pendengar mereka.

"Ini berbeza dengan corak penyampaian deejay hari ini. Bukan tiada langsung yang memberi informasi tetapi jumlahnya tidak ramai.

"Begitu juga dengan pemilihan sesebuah lagu. Kemudahan digital hari ini membezakan juruhebah dahulu dan sekarang. Tetapi bagi saya itu bukan satu masalah.

"Dari segi pengetahuan asas juga banyak bezanya, malah gaya bahasa kebanyakan deejay sekarang lebih kepada bahasa rojak," katanya.

Dilantik sebagai Presiden PVRTM untuk penggal yang ketiga, kata Helan:

"Kita kalau boleh mahu gunakan pengalaman yang ada pada ahli-ahli PVRTM untuk membantu industri penyiaran.

"Bagaimanapun, kalau tiada peluang diberikan usaha itu tidak mendatangkan apa-apa hasil."

Tambah Helan, cadangan mewujudkan kembali sebuah slot selama satu jam dengan mengundang bekas juruhebah RTM dilihat sebagai sesuatu yang positif kepada industri penyiaran negara.

Kata orang, bakat yang lama kaya dengan pengalaman. Manakan tidak, berpuluh-puluh tahun mengumpul pengalaman sehingga hasilnya kini boleh dilihat dan dinikmati generasi pelapis hari ini.

Hakikatnya, kalau tiada mereka terdahulu yang berusaha keras menjalankan tugas masing-masing, sudah tentu kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi gagal mencambahkan pelbagai perubahan.

Petugas-petugas yang suatu masa dahulu pernah menyumbang khidmat di RTM sebagai juruhebah, penyampai radio dan pembaca berita sudah tentu bukan kecil bilangannya.

Malah, di kalangan mereka inilah pernah menjadi 'tunjang' penyampai pelbagai informasi berkualiti kepada pendengar dan penonton setia gergasi penyiaran negara itu.

Tiga tahun lalu, PVRTM juga pernah menghantar 15 orang juruhebnya menyertai program Jejak Penyiar sempena 60 tahun RTM yang berlangsung selama dua minggu bermula 17 Mac hingga 31 Mac 2006.

Ahli-ahli PVRTM yang terlibat ketika itu termasuklah Helan Abu, Noorazah Aziz, Zainaldin Zainal, Rukiah Ramlan, Baharin Tahir, Halijah Buang, Tan Sri Datuk S.M. Salim, Habsah Hassan dan Wan Chik.

Sementara itu pada majlis yang sama, pelantikan ahli-ahli jawatankuasa bagi sesi 2009-2011 turut diadakan.

Selain Helan sebagai Presiden, pemegang jawatan lain ialah Latiffah Sidek (timbalan presiden), Datuk Aziz Singah (naib presiden 1), Abdul Aziz Abas (naib presiden 2), Tengku Mohd. Ali Bustaman (setiausaha agung) dan Hasiah Ariffin (bendahari).

Ahli-ahli jawatankuasa PVRTM pula terdiri daripada Mustaza Maah, V. Arumugam, Norela Samad, Chin Then Shoong, Razally Hussain dan Hamzah Abdul Rahman.

No comments: