Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
SEBAIK saja kembali menunaikan ibadah Haji awal tahun ini, ramai yang tertanya-tanya, apakah Datuk Sheila Majid akan tampil bertudung? Namun sewaktu membuat kemunculan pada majlis pelancaran produk penjagaan kulit, Jerneh, penampilan wanita kecil molek ini masih seperti biasa.
Rambutnya yang panjang mengurai itu terlindung di sebalik tudung litup berwarna putih. Begitu juga dengan pakaian yang membaluti tubuhnya. Malam itu, Sheila mengenakan jubah rekaan Hajaba yang juga dari warna yang sama. Apakah ini bermakna penyanyi yang cukup popular dengan lagu Sinaran ini sudah melangkah ke fasa baru dalam kehidupannya?
Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, jujur Sheila memberitahu dia masih belum bersedia untuk tampil dengan imej sedemikian. Dengan penuh hati-hati, Sheila berkata dia hanya akan mengenakan tudung apabila dia sudah benar-benar bersedia untuk melakukannya.
“Saya tidak mahu menjadi hipokrit dengan memakai tudung semata-mata untuk menjaga hati masyarakat. Pada saya, kalau kita hendak berbuat sesuatu itu, haruslah dibuat dengan hati yang ikhlas dan bukannya semata-mata kerana saya baru pulang dari menunaikan Haji atau hendak puaskan hati sesiapa.
“Macam hari ini, saya tampil dengan jubah dan tudung untuk memenuhi konsep rancangan 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan, sebuah program hiburan yang berteraskan lagu kerohanian.
“Bagaimanapun saya tak nafikan, saya selesa berpakaian begini. Difahamkan untuk pakaian saya hari ini, butik berkenaan terpaksa membuat khas kerana mereka sukar mendapatkan jubah yang sudah siap untuk saiz badan saya yang kecil molek ini.
“Namun sekiranya ditanya bilakah saya mahu mengenakan tudung, saya sendiri tidak dapat menetapkan bilakah masa yang sesuai. Saya serahkan semuanya kepada Allah SWT. Manalah tahu dalam waktu terdekat ini dibukakan hati oleh-Nya untuk saya mengenakan tudung, saya pasti akan melakukannya,” tutur Sheila penuh berdiplomasi.
Sambil mengucapkan syukur atas apa yang dilaluinya ketika ini, Sheila berkata dia gembira dengan kehidupannya sekarang. Hidup bahagia bersama suami tercinta, Acis dan dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak, Sheila menyifatkan kehidupannya kini lebih tenang apatah lagi selepas kembalinya dari Kota Makkah.
“Selain menguruskan kehidupan seperti biasa, saya kini lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca buku dan menonton program bercorak keagamaan. Ini bukanlah bermakna saya riak atau hendak menunjuk-nunjuk tetapi ia memang lahir dari hati saya. Mungkin faktor usia membuatkan saya lebih ingin mendekati program sebegitu,” ujarnya separa berseloroh.
Ditanya mengapakah dia menerima tawaran untuk muncul dalam program bercorak hiburan kerohanian ini, Sheila berkata tawaran itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang buatnya.
“Saya memang sudah lama ingin muncul dalam program hiburan yang agak berbeza dengan apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Konsepnya yang bercorak kerohanian tapi kontemporari membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya,” ujar Sheila yang melantunkan irama Ku Mohon dalam program terbitan itu.
Hargailah pemuzik tempatan
DIAKUI, Sheila adalah antara penyanyi tanah air yang agak lantang dalam menyuarakan pendapatnya. Jika ada sesuatu perkara itu tidak kena dengan pandangan matanya, Sheila tidak teragak-agak untuk menegurnya. Antara masalah yang sering mendapat perhatian Sheila serta artis lain adalah isu cetak rompak yang sehingga kini masih tiada jalan penyelesaiannya walaupun pelbagai cara sudah dilakukan.
Luah Sheila, sebab utama mengapa masalah cetak rompak terus berleluasa di negara ini adalah kerana peminat yang kononnya menggelarkan diri mereka pencinta muzik tempatan sebenarnya bersifat cakap tak serupa bikin.
“Masyarakat dan peminat sebenarnya masih belum memahami atau menghargai bakat pemuzik tempatan. Cuba kita lihat di negara Asia lain. Tak usah jauhlah, contohnya di Indonesia, mereka cukup patriotik dengan muzik mereka sendiri dan sentiasa menyokong kerjaya seni artis mereka iaitu dengan membeli produk mereka yang asli," ujar Sheila yang juga Duta Nespray 1+.
No comments:
Post a Comment