Tuesday, August 18, 2009

O-Two beri album percuma

O-Two beri album percuma


WALAUPUN belum dikenali secara komersial tetap mendapat banyak undangan persembahan.


MULA bergiat dalam industri hiburan pada tahun 2003, album pertama kumpulan O-Two, Radio Tanah Melayu pernah memenangi anugerah Album Hard Rock Terbaik pada majlis Anugerah Industri Muzik 13 (AIM13). Lagu daripada album itu, Anak Merdeka kini sudah disenaraikan sebagai khazanah negara.

Sungguhpun tidak begitu aktif sejak itu, kumpulan O-Two sebenarnya belum lagi berkubur. Baru sahaja menghasilkan album mini dan dipilih sebagai duta kepada permainan online, Jin Online, lagu terbaru mereka, Mr. Koma dijadikan sebagai lagu tema permainan itu.

Album mini itu yang mengambil masa dua tahun untuk dihasilkan merangkumi lima buah lagu dan hanya diberikan kepada peminat secara percuma. Malah, setakat ini sebanyak 10,000 unit album telah dicetak dan sudah habis diedarkan dan 10,000 unit sedang dicetak semula.

"Buat masa ini, kami memasukkan kelima-lima buah lagu itu dalam cakera video digital (DVD) bersama dengan permainan online itu yang sudah popular sejak setahun lalu. Selain daripada itu, DVD tersebut turut memuatkan profil ahli kumpulan.

"Bagi kami, ini bukan masa sesuai untuk menjual album. Jadi kami keluar dengan konsep album yang ditambah dengan permainan online sebagai satu langkah promosi. Lagipun kami telah mendiamkan diri selama tiga tahun. Album percuma ini boleh dijadikan sebagai kajian dan melihat respons ramai," kata salah seorang anggota kumpulan, Hanip ketika ditemui di studio Utusan.

Memaparkan konsep alternatif, rock dan eksperimental, album mini itu turut menampilkan kelainan dari segi bunyi, gubahan lagu serta perwatakannya. Disebabkan respons positif yang diterima setakat ini, kumpulan O-Two sudah bersedia untuk memuatkan kelima-lima lagu itu bersama lima lagu baru dalam sebuah album baru, Utusan Rasmi.

"Selalunya kami akan memberikan album percuma itu semasa kami membuat persembahan. Daripada respons yang diterima, ramai yang memberi reaksi positif. Jadi kami sedang merancang untuk mengeluarkan album penuh selepas raya ini," tambah Hanip, 29.

Turut dianggotai One dan Alan, mereka yang merupakan pemuzik sepenuh masa berasal dari Perlis. Walaupun pernah bertukar ahli kumpulan sebelum itu, anggota kumpulan yang ada sekarang sudah selasa bersama dan mereka ada membuat persembahan sehingga ke Sabah, Sarawak dan Singapura.

"Kami memiliki ramai peminat sebenarnya. Malah kami amat terkejut apabila ada peminat kami dari Rusia yang meminta kami untuk menghantarkan DVD percuma itu.

"Kepada mereka yang mahukan DVD kami tetapi tidak sempat bertemu dengan kami, anda boleh membuat permintaan dengan melayari laman web www.otwoband.com. Kami tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk penghantaran itu," ujar One, 20.

Menelan kos hampir RM50,000, kumpulan O-Two merupakan antara grup arus bebas yang tidak kisah jika album mereka tidak laris di pasaran. Bagi mereka, tugas utama sebagai penyanyi adalah untuk mengembangkan industri muzik.

"Sebagai pelapis baru industri muzik, kami perlu mencuba perkara baru untuk membantu industri. Kami tidak fikir soal keyakinan untuk menjual album atau tidak. Lagipun jika kami ada peminat, persembahan dan muat turun nada dering kami akan menjadi permintaan ramai. Apa yang utama adalah perjuangan kami dalam industri," jelas Alan, 25.

No comments: