Tuesday, August 18, 2009

Muhammad Iqbal Mazlan : Kaca jadi permata

Kaca jadi permata

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


GELARAN juara Pilih Kasih membuka peluang untuk Iqbal mencipta nama dalam bidang lakonan.

Muhammad Iqbal Mazlan dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih musim pertama

PERASAAN bimbang dan ragu yang selama ini bersarang di hatinya kini lenyap sama sekali. Sebaliknya perasaan negatif itu diganti dengan rasa puas dan bangga yang tidak terkira apabila protege yang dikesan bakatnya menerusi program realiti Pilih Kasih menyinar bagaikan permata.

Biarpun pada asalnya kesemua mereka ini boleh diibaratkan seperti kaca yang tidak berharga, namun hasil usaha serta penat lelah sekumpulan profesional yang cukup hebat dalam bidang lakonan, ternyata semuanya menjadi.

Selama sebelas minggu tenaga pengajar seperti Erma Fatima, Rosmina Tahir, Rohani Yusoff, Along Kamaluddin dan Amie Maziah bertungkus lumus mencurah keringat serta ilmu, akhirnya bintang yang dicari-cari sudah ditemui. Dengan menerima undian sebanyak 39.36 peratus, peserta dari Kuala Lumpur, Muhammad Iqbal Mazlan dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih untuk musim pertama.

Biarpun menduduki senarai terkebawah apabila hanya mampu mengutip undian SMS sebanyak 0.36 peratus namun selepas dicampur dengan markah yang diberikan Rosyam, Iqbal akhirnya berjaya menggenggam gelaran juara sekali gus membawa pulang hadiah seperti wang tunai RM10,000, kereta Naza Suria sumbangan Oriva, trofi, pakej percutian ke Perth bernilai RM5,000 serta biasiswa pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pun begitu, penilaian manusia berbeza-beza. Dalam hal ini, berdasarkan jumlah undian yang diterimanya jelas menunjukkan dia bukanlah calon kegemaran ramai untuk menjulang gelaran juara. Namun, nasib menyebelahinya apabila Rosyam memberikan markah sebanyak 36 peratus, markah yang tertinggi berbanding lima peserta lain.

Rosyam Nor

“Untuk memilih peserta yang layak untuk dinobatkan sebagai juara, bakat bukan saja memainkan peranan penting tetapi juga penampilan dan disiplin. Dalam hal ini, saya lihat Iqbal mempunyai disiplin yang bagus sejak dia menyertai program ini awal dulu. Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna peserta lain tidak mempunyai disiplin tetapi dia lebih menyerlah.

“Dari segi lakonan pula, boleh saya katakan dia umpama hero malam ini. Berbanding peserta lain, lakonan yang ditunjukkan ada peningkatan dan jujur saya nyatakan, dia paling menyerlah malam ini dan gelaran juara itu sememangnya layak untuknya,” jelas Rosyam pada sidang media sejurus pertandingan itu berakhir.

Sambil menegaskan keputusan yang dibuatnya itu telus, Rosyam berkata semua peratusan yang dibuat dinilai dan dipantau oleh juruaudit bertauliah.

“Saya memang tidak dibenarkan melihat jumlah SMS yang diterima finalis kerana itu bertentangan dengan undang-undang. Jadi tidak timbul soal saya cuba menyelamatkan peserta dengan memberi markah lebih kepada mereka sekiranya peratusan undian SMS yang diterima mereka sangat rendah,” katanya.

Dijolok pertanyaan mengapakah dia tidak memilih Zulin Aziz sebagai pemenang memandangkan sebelum ini sudah beberapa kali dia menyelamatkan peserta itu dari tersingkir, Rosyam mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

“Terus terang, sejak kebelakangan ini, saya lihat lakonan Zulin agak monotonous. Dia tidak dapat memperkembangkan lakonannya. Dia bernasib baik kerana beberapa minggu sebelum final, dia tidak berada di tempat tercorot. Saya pernah katakan padanya, jika dia yang berada di kedudukan itu, sudah pasti saya akan singkirkannya dari program ini,” tegas pelakon yang terkenal dengan watak Castello ini.

Mengulas perkembangan setiap anak didiknya, Rosyam nyata amat berpuas hati dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan. Walaupun kebanyakan mereka datang kepadanya dengan dada yang kosong, namun sebaik saja program ini berakhir, dia kini boleh tersenyum bangga menuai hasil yang diusahakannya selama sebelas minggu tanpa pernah mengenal erti jemu.

“Saya percaya dengan didikan tenaga pengajar serta kesungguhan mereka sendiri dalam menimba ilmu menjadikan mereka seperti apa yang anda lihat sekarang. Tapi saya tak kata mereka bagus kerana perjalanan mereka masih panjang. Laluan sudah tersedia untuk mereka dan terserahlah pada mereka sendiri bagaimana mahu mencorak kerjaya mereka.

“Namun, nasihat saya pada mereka adalah jangan gelojoh. Selagi ada peluang belajar, belajar. Selepas ini kesemua mereka akan berada di bawah jagaan saya. Tapi bukanlah bermakna saya mengikat mereka terus seperti syarikat pengurusan bakat sedia ada. Mereka diberi kelonggaran untuk berlakon di bawah arahan mana-mana pengarah tapi dengan syarat, produksi itu hanyalah untuk siaran RTM saja.

“Sebenarnya saya lebih suka membiarkan mereka berdikari. Cuma saya akan memberi bantuan dari segi nasihat bagaimana mengendalikan urusan membabitkan tawaran berlakon dan sebagainya. Selain itu, buat masa ini, saya ingin memberi tumpuan kepada membentuk populariti mereka terlebih dulu. Walaupun setiap minggu ada peminat mereka yang datang menyokong, namun saya akui populariti mereka masih kurang.

“Pernah saya lepaskan mereka untuk pergi membeli belah tapi saya lihat, tak ada seorang pun yang kenal mereka. Jadi tumpuan akan diberi dari segi membentuk populariti mereka terlebih dulu,” ujar Rosyam panjang lebar.

Mengenai masa depan kesemua pelajar berkenaan, Rosyam berkata mereka akan diberikan peluang berlakon sekiranya mempunyai watak yang sesuai.

“Selepas ini mereka mempunyai beberapa projek yang menanti seperti drama raya, yang akan menjalani penggambaran dua tiga hari lagi, drama bersiri arahan Erma Fatima berjudul Tasbih Cinta dan juga drama bersiri 26 episod berjudul Inspirasi Variasi yang berkonsepkan High School Musical,” ceritanya.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohammad, Senawang, Seremban itu, Iqbal mendapat saingan hebat peserta yang berasal dari Taiping, Perak Reza Hasbi yang memperoleh markah SMS tertinggi iaitu 24.27. Bagaimanapun, selepas keputusan diumumkan pengacara malam itu, Raja Azura atau Kak Engku dan Reza Mohamed, Reza hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan naib juara.

Tempat ketiga menjadi milik peserta dari Pulau Pinang, Indera Hafiz manakala tempat keempat dan kelima dimenangi oleh peserta perempuan iaitu Nabila Dally dan Wanina Zaki. Kejayaan berganda juga diterima Wanina apabila lakonan hebatnya berjaya menambat hati tenaga pengajar apabila dipilih sebagai pelakon Wanita Terbaik. Peserta dari Kuching, Sarawak Sofian Bujang pula dinobatkan sebagai pelakon Lelaki Terbaik.

Pengalaman bukan kelebihan

ANTARA sepuluh finalis yang bertanding, dia cukup bertuah kerana mempunyai pengalaman dalam lakonan. Walaupun sekadar watak sampingan namun itu sudah cukup membuatkan Iqbal sedikit bertuah berbanding peserta lain. Dan andai itu diambil kira, tidak hairanlah jika Iqbal dinobatkan sebagai juara. Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Rosyam sekeras-kerasnya.

“Masa di mula-mula berlakon, saya lihat lakonan dia macam kayu dan saya sendiri tidak kenal siapa dia. Namun, seperti yang saya katakan tadi, Iqbal banyak belajar dan berkat usaha gigihnya berserta disiplin yang cemerlang, saya angkat dia sebagai juara. Saya tak mahu juara yang saya pilih nanti menjadi bahan cercaan ramai jika dia tidak mempunyai disiplin yang bagus kerana untuk berjaya dalam bidang ini, disiplin adalah keutamaan,” tegasnya.

Mengulas kemenangannya malam itu, jujur Iqbal akui, dia tidak meletakkan sebarang harapan apatah lagi selepas melihat namanya berada di tangga terkebawah selepas menerima undian SMS paling rendah.

“Apa yang ada dalam kepala saya pada masa itu adalah ingin segera menghabiskan lakonan. Justeru, apabila pengacara mengumumkan nama saya sebagai pemenang, saya terkejut dan tidak percaya. Walaupun saya menang namun saya masih anggap diri saya ini sebagai pelajar dan masih ada banyak perkara lagi perkara dalam bidang lakonan yang ingin saya terokai selepas ini,” katanya yang dilahirkan di Bagio, Filipina.

Kemuncak Pentas Akhir Pilih Kasih menampilkan pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr Dr Abu Hassan Hasbullah dan pengarah terkenal, Mamat Khalid sebagai pengkritik serta diserikan dengan persembahan selingan daripada Amy Search, Azlan & The Typewriter serta Farhan yang menyampaikan lagu tema program realiti itu.

No comments: