Tuesday, August 18, 2009

Santau papar sifat kejam, keji manusia

Santau papar sifat kejam, keji manusia


PELAKON utama Santau, Putri Mardiana, Farisya dan Esma Daniel.


BERLEGAR soal cemburu terhadap kebahagiaan dan kejayaan orang lain, filem Santau yang bakal ditayangkan tahun ini hadir tepat pada masanya.

Masih dalam proses penggambaran, filem arahan. Azhari Mohd. Zain ini secara umum memaparkan betapa keji dan kejamnya hati sesetengah daripada kita yang sanggup 'menjahanamkan' orang lain menerusi ilmu hitam itu.

Malah, bertambah sedih dan mendukacitakan, ada kalanya sasaran santau yang 'dihantar' terpesong ke arah insan-insan yang tidak bersalah.

Justeru, atas dasar ingin mengingatkan semua, Metrowealth International Group (MIG) mengambil peluang menerbitkan Santau dengan harapan agar kita semua menghindari ilmu atau ajaran syaitan itu.

Menurut Azhari, filem yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu merupakan sebuah filem kritikan sosial terhadap penyakit dalam budaya masyarakat kita.

Jelasnya, kelebihan filem tersebut adalah pada jalan ceritanya yang berdasarkan kisah benar dan disulami dengan unsur-unsur suspen serta kekeluargaan.

"Ia turut menggabungkan dua elemen utama iaitu gerun dan menjijikkan. Kita gabungkan elemen itu untuk mencabar ketakutan penonton.

"Apa yang penting, pengakhiran Santau akan memberi pengajaran besar kepada masyarakat,'' katanya ketika ditemui Hits di lokasi penggambaran filem itu di Jalan Travers, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Santau membariskan pelakon-pelakon seperti Putri Mardiana, Esma Daniel, Zul Handy Black, Riezman Khuzaimi, Bob Lokman, seniwati Mariani dan lebih istimewa, ia menampilkan pelakon cilik berusia lapan tahun, Farisya Fatin Faisal.

Membabitkan 38 krew penggambaran, proses pembikinan filem ini mendapat khidmat pengarah fotografi, Indra Che Muda.

Ujar Azhari, selain membentangkan kisah benar, penghasilan Santau bukannya atas dasar imaginasi semata tetapi turut melibatkan penyelidikan terhadap mereka yang terlibat dengan santau termasuk mangsa santau.

"Penyelidikan secara ilmiah juga dilakukan. Setiap sudut santau itu dikaji dan hasilnya, santau diketahui mempunyai tiga jenis iaitu menerusi racun, sihir dan jin.

"Untuk filem ini, kita menggabungkan ketiga-tiga jenis santau berkenaan," katanya.

Mengakui seorang penakut, Azhari berkata, perasaan takut yang ada dalam dirinya itu menjadi salah satu elemen yang membantunya mengarahkan filem ini.

Farisya takut-takut berani

Sementara itu, menceritakan tentang penglibatan Farisya di dalam Santau, Azhari menjelaskan bahawa pelakon kanak-kanak itu pada mulanya agak takut menjalani penggambaran bersama hantu-hantu yang direka dalam set.

Namun lama-kelamaan. Farisya sudah berani membiasakan diri.

"Aksi penakutnya juga sedikit sebanyak menampakkan realiti rasa takut Farisya membawakan wataknya,'' ujarnya.

Bagi Farisya pula, meskipun pada mulanya asyik menangis kerana ketakutan, dia akhirnya dapat mengawal perasaan itu atas bantuan ibu bapa dan pujukan Azhari.

"Ibu dan ayah menyokong saya berlakon dalam filem ini. Santau adalah filem lakonan saya yang pertama. Sebelum ini saya ada berlakon dalam beberapa buah drama,'' katanya yang agak pemalu.

Rezeki WCOPA - Putri Mardiana

Dalam pada itu, Putri Mardiana yang merupakan pelakon baru di bawah naungan MIG tidak menyangka akan diberikan watak utama dalam Santau.

Jelasnya, bakat lakonannya dihidu oleh David Teo ketika penerbit filem terkenal itu melihatnya beraksi dalam Worldstars Road To Hollywood di Istana Budaya.

"Dalam Worldstars Road To Hollywood, saya telah berjaya menempatkan diri untuk menyertai World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, di bawah kategori lakonan.

"Saya kemudiannya dihubungi beliau (David) supaya hadir ke pejabatnya dan ditawarkan berlakon.

"Saya memang minat berlakon. Dulu saya tidak ada peluang,'' kata Putri Mardiana.

Watak utama dalam filem

Telah hampir 20 tahun hidup sebagai anak seni, Esma Daniel pula menganggap penglibatannya selaku pelakon utama dalam filem Santau bagaikan satu mimpi.

Sejak mula berlakon pada 1991, ini merupakan kali pertama dia diberi watak utama dalam filem.

"Sangat mencabar kerana sebelum ini saya banyak berlakon drama. Untuk filem ini, saya kena memberikan imaginasi yang lebih.

"Bagaikan bermimpi pula apabila Azhari menghubungi dan menawarkan saya sebagai teraju utama,'' jelas Esma.

Katanya, dalam usia penglibatannya yang sudah pun berstatus senior, dia tidak kisah diberikan apa jua watak.

No comments: