Wednesday, August 19, 2009

Siti pilih pemenang RM10,000

Siti pilih pemenang RM10,000


SITI NURHALIZA


BUAT pertama kalinya, Datuk Siti Nurhaliza akan berada di konti Suria FM bagi menutup kempen Lagu Berduit Suria FM hari ini (Rabu). Siti Nurhaliza akan berada di konti Suria FM dari pukul 7.30 pagi hingga 10 pagi untuk menyanyikan lagu Biarlah Rahsia secara langsung.

Menariknya, isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini juga akan memilih sendiri seorang pemenang bertuah untuk Lagu Berduit Ekstra yang bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 daripada SMS yang dihantar oleh pendengar.

Menerusi slot Breakfast@Suria itu juga, Siti akan ditemu ramah oleh pengacara Suria FM iaitu Tuah dan Zizi. Pendengar boleh mengemukakan soalan kepada Siti menerusi panggilan telefon ataupun SMS.

Kempen Lagu Berduit Suria FM yang bermula sejak 20 Julai lalu berjaya mendapat perhatian dan sambutan paling hebat jika dibandingkan dengan kempen yang pernah dianjurkan Suria FM sebelum ini.

Kempen yang ditaja oleh One Drop Perfumes ini menghadiahkan wang tunai RM100,000 kepada 66 orang pendengar Suria FM yang bertuah.

Daripada jumlah itu, 30 orang berjaya memenangi RM500, 35 orang pula membawa pulang RM1,000 sementara Ida Sharihanim Shaari dari Kota Bharu, Kelantan merupakan pendengar bertuah yang memenangi hadiah RM50,000.

Pemilihan Ida dibuat secara rambang daripada lebih 20,000 SMS yang diterima pagi Jumaat lalu (14 Ogos) menerusi segmen Breakfast@Suria.


IDA Sharihanim Shaari (empat dari kanan) bersama replika cek RM50,000 yang disampaikan oleh Engku Emran Engku Zainal Abidin (tiga dari kanan).


Sebaik saja diumumkan sebagai pemenang, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin bersama krew Breakfast@Suria, Tuah dan Zizi serta Kak V, membuat kejutan menuju ke rumah Ida untuk menyerahkan replika cek bernilai RM50,000.

Menurut Ida, kemenangan ini umpama keajaiban dan pasti akan mengubah hidupnya selepas ini.

"Jutaan terima kasih kepada Suria FM. Duit ini akan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan pendidikan dua orang anak lelaki saya yang berumur 13 dan 7 tahun.

"Saya akan terus mendengar Suria FM dan juga akan pastikan semua teman dan keluarga saya turut mendengar stesen yang dikenali dengan Muzik Terbaik Tanpa Henti ini," ujar ibu tunggal berusia 33 tahun ini.

Menurut Engku Emran, dia berasa usaha mereka ini berbaloi kerana wang tunai RM50,000 yang mereka berikan ini dimenangi oleh insan yang sememangnya amat memerlukan untuk menampung kehidupannya.

"Saya juga amat gembira apabila diberitahu Datuk Siti Nurhaliza juga turut mendengar Suria FM.

"Tambahan pula kesudian beliau datang ke studio Suria FM untuk Lagu Berduit Ekstra yang bernilai RM10,000," ujarnya,"kata Emran.

Selain itu, satu majlis penyerahan cek telahpun diadakan di Pejabat Suria FM yang menyaksikan 12 orang pemenang Lagu Berduit dari sekitar Lembah Kelang menerima cek masing-masing yang bernilai RM500.

Manakala bagi pemenang luar dari Lembah Kelang, cek akan dikirimkan menerusi khidmat kurier dan yang pasti mereka akan menerimanya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

No comments: