Wednesday, August 19, 2009

MLTR mahu terus bertahan

MLTR mahu terus bertahan


KUMPULAN Michael Learns To Rock yang terdiri daripada (dari kiri) Mikkel Lentz, Jascha Richter dan Kare Wanscher akan beraksi dalam konsert mereka pada 5 September ini.


TIADA siapa yang mampu menafikan pengaruh muzik yang dibawakan oleh kumpulan Michael Learns To Rock (MLTR) yang berasal dari Denmark ini.

Muzik dan lagu mereka dengan begitu pantas diterima dengan cukup baik apabila muncul dengan album pertama mereka yang mengangkat nama kumpulan mereka sendiri pada tahun 1991.

Lagu The Actor yang merupakan single pertama dari album itu menyaksikan titik tolak populariti yang dikecapi oleh anggota kumpulan ini yang dianggotai oleh Jascha Richter selaku vokalis dan pemain keyboard, Kare Wanscher (drum) dan Mikkel Lentz (gitar).

Bermula detik itu, mereka bertiga tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menghasilkan lagu-lagu yang memperkasakan kedudukan mereka di persada muzik antarabangsa.

Rangkaian lagu-lagu seperti 25 Minutes, Sleeping Child, Out of the Blue, That's Why (You Go Away), Someday dan Paint My Love merupakan antara karya mereka yang terus diminati sehingga ke hari ini.

Ternyata, kecintaan mereka dalam dunia seni dan mahu terus melahirkan muzik yang berkualiti menjadi tunjang utama dan kekuatan mereka bertahan lama di dalam industri.

Biarpun ada suara-suara nakal yang mengatakan MLTR sudah tidak lagi relevan, namun bagi MLTR ia bukanlah satu halangan untuk mereka terus berkarya.

"Resipi utama kami untuk terus bertahan adalah minat kami yang mendalam terhadap muzik. Buktinya, lagu-lagu popular kami telah berjaya menyatukan kami dengan peminat.

"Menyaksikan peminat dan masyarakat menyanyikan lagu kami sehingga ke hari ini sudah cukup membuatkan kami gembira sekali gus menaikkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik buat mereka," kata Mikkel yang mewakili teman-teman MLTR sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Mikkel menjelaskan muzik adalah universal dan ia berjaya menyatukan peminat mereka tanpa mengira bangsa, latar belakang dan budaya.

Ujarnya, peminat merupakan kekuatan kepada kejayaan mereka untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

MLTR sedar bahawa muzik berubah seiring dengan peredaran masa namun, bagi Mikkel biarpun begitu mereka tidak mahu mengubah corak muzik mereka dengan begitu mendadak.

"Bagi MLTR, muzik itu

seperti fesyen yang berubah mengikut masa tetapi apa yang penting adalah sentuhan itu dikekalkan bagi menggambarkan identiti seorang pereka itu.

"Begitu juga dengan kami yang amat menitikberatkan kualiti muzik demi kepuasan peminat. Itulah apa yang kami lakukan untuk album terbaru kami yang sedang diusahakan kini," katanya panjang lebar.

Tutur Mikkel, album terbaru MLTR kelak akan menerapkan sedikit elemen baru selain mengekalkan identiti muzik yang diperjuangkan mereka selama ini.

Begitu juga dengan corak persembahan mereka menerusi konsert Michael Learns To Rock Eternity Tour 2009: Live in Malaysia yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 5 September ini.

Kali terakhir mereka mengadakan persembahan di negara ini adalah pada tahun 2007 selama dua malam berturut-turut di pentas yang sama.

Biarpun sudah berkali-kali hadir ke negara ini mengadakan persembahan, Mikkel memberitahu mereka tidak pernah bosan menghiburkan peminat di negara ini.

"Disebabkan itulah, kami sepakat untuk menampilkan sedikit kelainan kerana kami tidak mahu berasa bosan dan melihat persembahan kami sebagai klise. Kami mahu konsert ini menjadi lebih intim buat kami dengan peminat.

"Kami mengharapkan agar mereka akan datang menonton persembahan kami. Bukan sahaja peminat yang sedia ada tetapi juga peminat-peminat baru," katanya yang memberitahu MLTR akan tetap menyampaikan lagu-lagu popular mereka untuk konsert itu nanti.

Sebagai sebuah kumpulan yang melayari lautan seni selama dua dekad, MLTR memanjatkan rasa syukur mereka di atas penerimaan baik oleh peminat terhadap karya mereka.

Mikkel juga sempat ditanya tentang pandangannya terhadap industri muzik masa kini dan ini jawapan yang diberikannya.

"Lambakan pertandingan realiti TV yang ada pada hari ini sedikit sebanyak telah menjadikan industri hiburan sebagai hab untuk mencari keuntungan semata-mata dan bukannya bakat sebenar.

"Saya tidak nafikan ada yang berbakat namun ia boleh dibilang dengan jari. Mereka bertuah kerana sudah disediakan platform terbaik tetapi malangnya, mereka lebih selesa untuk mencari glamor daripada menonjolkan bakat.

"Artis-artis senior seperti kami perlu bermula dari bawah dan menyakinkan ramai pihak dengan karya kami sebelum layak menjadi artis," katanya dalam nada penuh berhemah.

No comments: