Thursday, August 20, 2009

Kehilangan Ustaz Asri

Kehilangan Ustaz Asri

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

PEMERGIAN Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, ke rahmatullah pada 13 Ogos lalu, jelas meninggalkan kesan cukup mendalam yang tidak terbatas kepada kaum keluarga dan saudara-mara saja malah, sahabat handai mahupun peminat Rabbani.

Bahkan, kehilangannya itu turut dirasai setiap insan di dalam industri seni sama ada yang mengenali arwah secara dekat mahupun jauh.

Sememangnya, vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani yang mesra disapa Ustaz Asri dikenali sebagai insan berbudi pekerti, ramah, merendah diri serta murah dengan senyuman dan kerana itulah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini antara orang yang turut terkesan dengan pemergian beliau.

"Saya terkejut mendengar berita beliau meninggal. Seharian saya tiada 'mood' hendak buat apa-apa. Disebabkan ada rakaman program raya, saya gagahkan juga.

"Usai rakaman itu, saya terus ke rumah ustaz kira-kira jam 9 malam dan saya dapati tidak ramai orang berada di rumah kerana difahamkan hampir 100 kereta mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan.

"Keadaan ini membuktikan betapa arwah seorang yang sangat baik dan disayangi ramai. Saya sempat melihat wajah arwah melalui telefon bimbit seorang teman dan dapati mukanya berseri dan tersenyum seolah-olah masih hidup.

"Sebagai teman saya doakan ustaz ditempatkan di kalangan orang yang soleh," katanya.

Sebagai orang yang mengenali arwah sejak 17 tahun lalu, Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah menyifatkan arwah seorang yang manja.

"Dia memanggil saya dengan panggilan 'kakak'. Asri yang saya kenali seorang yang tidak berkira.

" Pernah seorang sahabat saya mengundang membuat persembahan, namun bajet yang diperuntukkan sedikit cuma RM1,000 namun, arwah tetap menerimanya walaupun terpaksa berkongsi dengan ramai anggota Rabbani," katanya.

Akui Sharifah Aini, pemergian Asri turut mengejutkan anaknya, Alif Omar, yang cukup rapat dengan arwah bahkan memiliki hampir semua koleksi lagu Rabbani.

Katanya, setiap kali arwah menunaikan umrah dia tidak pernah lupa mencari dan menjenguk Alif di Madinah.

"Kalau arwah menunaikan umrah, dia tidak pernah lupa melawat Alif dan belanja anak saya itu makan. Malah, jika Alif di pulang ke Malaysia pun, dia sering mengajak anak teruna saya itu makan di Hotel Singgahsana.

"Sebagai seorang sahabat dan individu yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, saya menyarankan kepada stesen televisyen mengadakan program penghargaan khusus buat ustaz di atas sumbangannya terhadap industri.

"Usaha arwah berdakwah melalui lagu nasyid patut dipandang tinggi dan dihargai. Kalau stesen TV boleh mengadakan program penghargaan kepada penggiat seni yang lain misalnya Allahyarham Yasmin Ahmad, mengapa tidak Asri," katanya.

Beralih kepada kerjaya seninya, selepas kejayaan persembahan An Evening With Datuk Sharifah Aini yang diadakan di Dewan Perdana Felda pada 17 Julai lalu, Kak Pah sekali lagi akan terbabit dengan sebuah penganjuran konsert hebat.

Bagaimanapun, kali ini ia dianjurkan anjuran Jamiyah Singapore. Justeru, sebuah sidang media diadakan kelmarin bertempat di Hotel Concorde bagi menguar-uarkan konsert dinamakan Malam Lagenda Seri Dewi Bersama Datuk Sharifah Aini.

Bakal berlangsung pada 8 November depan di Stadium Tertutup Singapura, konsert amal selama tiga jam itu menampilkan barisan pemuzik handalan termasuk enam penyanyi latar, artis jemputan juga penyanyi popular Singapura.

"Tiga jam persembahan bermakna saya perlu memastikan diri sentiasa berstamina dan kesihatan dalam keadaan baik. Saya berharap dijauhkan daripada sakit tekak.

"Pada persembahan itu nanti saya akan menggunakan enam penyanyi dan tempoh persembahan yang panjang bererti mereka ini mesti bekerja keras.

"Apa yang dapat saya katakan, persembahan itu berbeza daripada apa yang dipersembahkan sewaktu konsert di Dewan Perdana Felda. Barisan pemuzik kali ini juga mengalami perubahan.

"Memandangkan saya mempunyai lebih 1,000 lagu proses pemilihan lagu adalah sangat sukar untuk dilakukan.

"Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan saya begitu teruja menjayakan konsert ini kerana sudah lama merindui peminat di negara itu," katanya kali terakhir menjayakan konsert besar di Singapura, 10 tahun lalu.

No comments: