Thursday, August 20, 2009

Samsudin Lamin : Lagu asli ada harga

Lagu asli ada harga

Oleh Saidah Sabtu
shedasweet@yahoo.com

DALAM usia 69 tahun, penyanyi veteran Samsudin Lamin masih gagah meneruskan usaha memperjuangkan irama asli. Katanya, kesihatannya baik walaupun bukan seperti orang muda kerana masih mampu untuk melakukan persembahan serta merakamkan album baru.

Malah dalam keadaan ekonomi agak gawat kini, Samsudin masih laris menjayakan persembahan apabila dua kali dalam sebulan, menjayakan persembahan di Pusat Kraf Malaysia.

Katanya, bayaran diterima memang berbaloi dan bangga kerana ada pihak yang memberi perhatian kepada penyanyi irama asli sepertinya.

"Siapa kata irama asli tidak mampu buat duit? Permintaan untuk lagu asli ada dan ia masih mendapat perhatian. Malah untuk Ramadan ini, saya ada mendapat lapan jemputan tetapi saya hanya dapat menerima satu saja di Shah Alam City Centre Convec, Shah Alam, sepanjang Ramadan ini," katanya.

Kata Samsudin, kehadiran album baru amat penting untuk promosi, sekali gus memaklumkan kepada masyarakat mengenai perkembangan terbarunya.

Katanya, walaupun sibuk dengan persembahan dan mengajar di kelas muzik di studionya, Samsudin sempat juga mencuri masa untuk menghasilkan album baru yang dijangka dipasarkan selepas raya nanti.

"Lagu dalam album ini berkonsep tradisional asli seperti joget, inang, dan zapin. Saya memilih lagu lama yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini seperti Pasir Roboh, Joget Serampang Laut dan Joget Serampang Dua.

"Saya sudah mengumpul hampir 10 hingga 12 lagu yang saya cipta sendiri untuk dimuatkan dalam album terbaru ini nanti.

"Semua lagu itu akan dirakam di studio milik rakan saya, Pak Wan di Sungai Buloh. Studio ini beroperasi secara digital dan mempunyai peralatan lengkap untuk menghasilkan lagu berkualiti," katanya.

Walaupun mampu memainkan hampir semua instrumen seperti gitar, gitar bass, biola, akordian dan gong, Samsudin tetap mengambil pemuzik lain yang juga rakannya untuk rakaman albumnya itu.

Dalam usahanya memartabatkan lagu asli, Samsudin berkata, dia juga pernah memohon dana sebanyak RM16,000 daripada Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) yang kini disatukan dengan kementerian lain dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya, untuk meneruskan perjuangan memartabatkan irama asli perlu dana bagi menghasilkan koleksi lagu asli.

"Kini saya sudah mengumpul lagu seperti Seri Banang, Ketawalah Lagi, Joget Buah Hati Kasih Orang, Suami yang Malang dan Seri Tambak untuk dihantar kepada kementerian berkenaan.

"Saya sangat berharap mendapat dana ini kerana tujuan saya untuk mengekalkan irama asli di persada seni Malaysia. Saya juga positif dengan penghasilan album ini, malah akan berjumpa dengan mereka untuk perbincangan lanjut secepat mungkin," katanya.

Samsudin yang mempunyai dua cicit, menasihati penyanyi muda supaya mengubah sikap mereka jika mahu terus berjaya.

"Pertama sekali, kita perlu mencipta nama dengan menjaga disiplin untuk terus kekal berjaya. Disiplin amat penting. Contohnya, artis muda sekarang selalu datang lambat. Ini tidak bagus untuk reputasi dan nama anda sendiri.

"Selain itu, pengalaman amat penting. Sebagai orang baru, penyanyi muda harus mengambil kira nasihat dan teguran orang lama seperti saya," katanya.

No comments: