Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
ANTARA babak dalam Teater Muzikal Tun abdul Razak. |
Bajet kecil tidak jejas impak Teater Muzikal Tun Abdul Razak
DEMI menghayati watak sebagai Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak, pelakon Rashidi Ishak sanggup mengorbankan rambutnya khusus untuk Teater Muzikal Tun Abdul Razak yang akan melabuhkan tirainya malam ini.
Ditemui sebaik selesai raptai penuh khusus untuk media, Rashidi yang pertama kali beraksi di pentas teater melahirkan kelegaan kerana pementasan anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) selama hampir dua jam di bawah arahan Datuk Rahim Razali itu berjalan lancar.
Bagaimanapun dia melahirkan rasa kurang puas hati terhadap mutu vokalnya pada raptai penuh itu kerana percaya boleh melakukan dengan lebih baik lagi. Dia mengakui lebih berpuas hati dengan mutu vokalnya pada sesi latihan di sebelah petang berbanding raptai penuh. Namun, Rashidi memujuk hatinya bahawa dia mampu memperbaiki mutu vokalnya pada pementasan yang lain.
“Rasa hilang semua beban di bahu selepas persembahan hari ini. Bagaimanapun saya kurang berpuas hati dengan beberapa bahagian terutama vokal saya kerana terkucil di beberapa bahagian, mungkin didorong perasaan gemuruh. Lagipun saya tidak pernah mempunyai pengalaman menyanyi di samping orkestra, jadi ia mungkin salah satu faktor yang mengganggu tumpuan saya.
“Dari segi lakonan pula bagi saya setiap babak sukar untuk dibawakan kerana setiap babak mempunyai emosi dan konteks berlainan. Saya juga tidak meniru karakter Tun yang lembut kerana saya perlu melontarkan suara dalam sebuah persembahan pentas tetapi ada juga beberapa gayanya yang saya tiru seperti cara beliau berjalan dan saya juga sanggup korbankan rambut supaya kelihatan seperti beliau.
TEATER yang menampilkan Rashidi sebagai Razak dan Fauziah yang memegang watak Rahah akan berakhir malam ini. |
“Ia disarankan Datuk Rahim, malah saya sendiri lebih senang mengorbankan rambut daripada terpaksa memakai lateks pada kepala yang memerlukan dua jam untuk dipakaikan selain cukup merimaskan,” katanya.
Biarpun berbajet kecil, pementasan yang dijayakan 175 kru terdiri dari pelajar Aswara itu boleh disifatkan sebagai sebuah persembahan berjaya. Sekalipun tidak mampu menyediakan prop yang hebat, namun kecanggihan pentas IB itu digunakan dengan sebaiknya mengikut bajet termampu.
Selain itu, pementasan yang memuatkan rangkaian 22 buah lagu itu juga boleh menjadi platform khususnya anak muda yang tidak sempat hidup di bawah pemerintahan perdana menteri kedua itu untuk mengenali peribadi seorang pemimpin yang banyak menyumbang kepada dasar dan pelaksanaan pembangunan politik, ekonomi dan sosial rakyat Malaysia sehingga kini.
Rahim sendiri mengakui walaupun tidak mampu menyaingi pementasan bernilai jutaan ringgit, namun beliau berpuas hati kerana dapat menggunakan keupayaan pentas IB sebaiknya.
RASHIDI menghayati wataknya sebagai Perdana Menteri kedua. |
“Kalau tanya saya puas hati atau tidak dengan persembahan pada malam ini, memang saya tidak pernah puas. Kami sebenarnya memerlukan latihan yang lebih di atas pentas. Tempoh empat hari saja memang tidak mencukupi. Kami memerlukan masa yang lebih untuk melicinkan pertukaran set dari satu adegan ke satu adegan. Namun saya tetap berpuas hati kerana budak-budak ini mampu melakukannya pada jangka waktu yang singkat.
“Kalau nak ubah beberapa adegan dalam pementasan ini memang tidak sempat lagi. Kita hanya boleh memantapkan lakonan dan tarian pelakon itu saja yang boleh diperbaiki lagi pada waktu begini. Saya juga tertarik dengan persembahan Rashidi yang berjaya memberikan persembahan menarik. Dia sanggup melicinkan rambutnya untuk menjayakan watak Tun Abdul Razak. Bukan mudah untuk membawakan watak seorang tokoh yang pernah wujud dalam hidup kita. Saya percaya mesti ada yang mengkritik cara lakonan Rashidi tetapi sebenarnya sukar untuk memeran watak seorang tokoh negara,” katanya.
Rahim turut menjelaskan, mengarahkan sebuah muzikal mengenai seorang tokoh negara bukanlah satu tanggungjawab mudah. Apa lagi dia perlu mengolah skrip supaya bersesuaian dengan sebuah karya muzikal. Justeru katanya, perjuangan Tun terpaksa disampaikan secara simbolik bagi melicinkan persembahan.
“Sepatutnya sebuah muzikal seharusnya tidak ada dialog langsung tetapi memandangkan pementasan ini berkaitan seorang tokoh politik, kita perlu juga memasukkan sedikit skrip kerana terdapat ucapan politik,” katanya lagi.
Selain Rashidi, muzikal yang pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara dari 20 hingga 23 Oktober 2008 itu turut dijayakan penyanyi yang juga pelakon, Fauziah Latiff.
No comments:
Post a Comment