Thursday, August 20, 2009

Ummi Nazeera : Gadis Remy?

Gadis Remy?

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my




Ummi Nazeera yang genap 19 tahun hari ini mengaku sekadar berkawan dengan aktor itu, jadi tidak timbul soal mahu kahwin atau sudah berpisah

HARI ini, usia pelakon Nur Kasih yang membawakan watak Siti Sarah ini menginjak 19 tahun. Lalu, kalau mahu mendasari hati anak bongsu dua beradik ini mengenai soal perasaan dan hati agaknya mungkin masih terlalu awal.

Tetapi bukan sesuatu yang pelik pun kalau gadis seusianya sudah mula rancak melalui fasa bercinta. Barangkali cinta monyet yang bertandang memberi sedikit keceriaan dalam hidup. Ummi Nazeera juga tidak ketinggalan apabila kisah peribadinya dengan Remy Ishak mula dibongkar.

Nur Kasih menjadi drama kedua yang menyatukan mereka selepas drama Awan Dania. Pertemuan di lokasi akhirnya dikatakan mengundang perasa cinta di antara mereka. Malah, sisipan B*Pop pernah mempertemukan mereka berdua sebagai penghias kulit muka depan.

Ada sumber memberitahu hubungan mereka sebenarnya sudah berputik cinta, namun khabarnya penamat kisahnya tidak berakhir dengan kebahagiaan. Soal sama ada mereka pernah menjalin cinta masih belum dapat dipastikan, apatah empunya badan juga menjawab secara berlapik kononnya hubungan itu tidak lebih daripada sekadar kawan.

Bertemu pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin ini dalam sesi fotografi dua persalinan busana glamor yang lebih menampakkan sisi kematangannya dan tampak berani, gadis manja ini mengakui cukup sulit untuk merungkaikan soal membabitkan hati dan perasaan.



“Apa yang dapat saya ungkapkan ini bukan sebagai jawapan selamat mengaburi perkara yang terus menjadi andaian orang. Hakikatnya kami hanya berkawan lalu tidak perlu rasanya untuk saya memberi kenyataan. Ini bukan kisah saya nak kahwin pun. Kalau kahwin lainlah ceritanya pula. Lagi pun saya masih muda.

“Saya sendiri hairan bagaimana boleh timbul kisah kononnya kami bergaduh dan berpisah sedangkan hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman baik. Saya masih single dan berkawan bukan hanya dengan dia (Remy), malah ramai lagi yang saya boleh senaraikan sebagai kawan.

“Apa yang boleh saya katakan kami hanya berkawan dan masing-masing pun masih baru untuk terus membina nama. Ada masa bercakap, saya bercakap dengannya. Kadang-kadang sibuk, langsung tak sempat bertegur sapa. Saya hanya mengikut rentak dalam berkawan. Ada potensi bercinta, adalah. Tak ada, maka tak adalah,” katanya yang sudah tiga tahun meredah persada seni.

Hikmah watak Siti Sarah

ENGGAN larut dengan persoalan yang belum pasti hujung pangkalnya, Hip ajukan bicara kepada drama Nur Kasih yang terus mengundang kebencian khalayak terhadap watak Siti Sarah yang dipegangnya.

Barangkali, berita itu bagaikan satu petanda positif kepadanya kerana apabila ada yang mula meluat dengan watak itu, bererti Ummi berjaya membawa peranan itu dengan baik. Secara dasarnya, Siti Sarah sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan hati kebudak-budakan yang dimilikinya.

“Siti Sarah seorang yang berangan setinggi langit dan bercita-cita besar serta sanggup melakukan apa saja termasuk perihal cintanya dengan Aidil (lakonan Fizz Fairuz). Malah paling teruk, dia sanggup melukakan hati kakaknya, Nuramina dan memporak-perandakan kebahagiaan orang lain untuk kepentingan sendiri.

“Yang dikejarnya mungkin dianggap cinta, tapi pada masa yang sama, dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dilakukan. Kalau mahu diterjemahkan ke alam realiti, saya sendiri juga seperti Siti Sarah yang sanggup melakukan apa saja untuk mengejar impian. Tapi saya tidaklah sekejamnya hingga sanggup memusnahkan sisi indah orang lain.

“Siti Sarah ini jahat dalam diam dan ia berbeza dengan karakter saya di dalam drama Awan Dania yakni sebagai Hana, gadis yang gedik. Sebagai pelakon saya tidak kisah diberikan watak apa saja, selagi mampu mempelbagaikan karakter supaya tidak terus klise atau stereotaip,” katanya yang banyak terbabit dengan babak bersama Fizz, Ayu Raudhah dan Nuramina.

Kata Ummi yang mula diperkenalkan sutradara Erma Fatima menerusi drama Pesona Bintang, Kabir Bhatia bijak mencorakkan apa yang dihajatinya hingga hampir dilihat begitu sempurna di monitor kamera. Begitu juga dengan pengarah, Faisal Ishak yang menyambung kerja pengarahan Kabir hingga selesai penggambaran episod akhir pada 10 Ogos lalu.

“Secara jujur saya harus akui sangat bangga menjadi sebahagian daripada drama ini. Harus diingat juga, jangan sesekali ketinggalan menonton setiap episod yang disiarkan kerana satu episod hingga penamat mempunyai kesinambungan yang tersendiri.

“Saya juga bangga dapat bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Liza Othman, Datuk Jalaludin Hassan, Tiz Zaqyah, Sheila Mambo dan ramai lagi. Pengarah (Kabir dan Faisal) juga acap kali memberi bimbingan tapi melepaskan kreativiti lakonan kami supaya tidak terus terkongkong.

“Pengarah juga tidak membazir gulungan filem merakamkan babak atau apa saja yang tidak berkenaan. Mereka tahu apa yang diingini dan memberitahu apa yang dikehendaki. Lalu, di sini, tugas kami lebih mudah untuk memenuhi kehendak mereka di samping memastikan kelancaran penggambaran drama ini,” katanya yang kini sedang berehat daripada sebarang aktiviti seni.

Selepas tiga tahun diberi kebebasan oleh keluarganya untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni, kini Ummi harus mengikuti kehendak keluarga pula untuk melanjutkan pelajaran.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan sambung belajar sekitar hujung tahun ini. Kalau jadi, mungkin saya akan ke London atau New York. Ikutkan permintaan keluarga, mereka mahu saya mengikuti jurusan perniagaan. Tapi saya lebih berminat untuk ambil bidang membabitkan lakonan. Saya sendiri belum dapat memberi kata putus,” katanya yang bercita-cita membuka rumah produksi.

INFO: Ummi Nazeera

  • Turut terbabit dalam penggambaran filem epik arahan Yusry Abdul Halim berjudul Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles). Dalam filem terbitan KRU Studios, Ummi memegang watak sebagai Embok isteri kepada Merong Mahawangsa lakonan Stephen Rahman Hudges.

  • Untuk filem berbajet besar itu Ummi terbabit untuk 12 babak.

  • Filem itu adalah filem keduanya selepas Lu Pikirlah Sendiri De Movie yang belum lagi ditayangkan di pawagam.

  • Pernah bekerja di bawah arahan Erma Fatima, Jinggo (Azman Yahaya), Bade Haji Azmi, Raja Ahmad Alauddin dan Azizi ‘Chunk’.

  • Pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, Osman Ali, U-Wei Haji Shaari dan pengarah Hollywood, Steven Spielberg.

  • Keluarganya memiliki dan menguruskan Restoran Sri Chiangrai, Danau Kota, Kuala Lumpur.

  • Berkongsi tarikh lahir yang sama dengan aktor Hans Isaac

  • Tidak terbabit dengan sambungan Awan Dania musim kedua yang sudah pun menjalani penggambaran sejak 11 Ogos lalu kerana menghormati permintaan keluarga untuk berehat seketika, apatah lagi selama ini, Ummi bekerja tanpa henti dari satu lokasi ke satu lokasi drama dan telefilem.


PROFIL: Ummi Nazeera
  • NAMA PENUH: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin
  • TARIKH LAHIR: 20 Ogos 1990
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik
  • PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon persendirian
  • FILEM: Lu Pikirlah Sendiri The Movie
  • DRAMA: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja, Kejar dan Nur Kasih

No comments: