Epilog: Songkok ajak hayati semangat 1Malaysia
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my
KELMARIN saya berpeluang mengikuti pratonton satu drama tempatan dalam bentuk telefilem berjudul Songkok. Drama itu dijangka disiarkan menerusi TV2 pada malam esok. Menerusi arahan Jurey Rosli, Songkok memberi satu pernyataan semangat muhibah rakyat negara ini yang pelbagai kaum tetapi saling memahami dan menghormati hak masing-masing. Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan ia bukan saja muhibah tetapi membuka dimensi untuk rakyat negara ini supaya menghayati erti semangat persaudaraan antara kaum di negara ini.
Berdasarkan skrip Martias Ali dengan dua watak utama yang mewakili kaum Melayu dan Cina, drama seperti itu cukup relevan dengan situasi semasa untuk mengajak rakyat negara ini daripada kaum berbeza supaya kembali ke pangkal jalan untuk sama-sama memandang jauh supaya toleransi selama ini sejak malaysia merdeka harus dipelihara atas nama kesedaran dan tidak terlalu taksub pada semangat mempertahankan imej bangsa sendiri. Dalam erti kata lain, dua bangsa ini harus saling mewujudkan semangat muhibah dengan keikhlasan tinggi, bukan sekadar propaganda semata-mata dalam mengejar sesuatu matlamat jangka pendek. Selain menghormati apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan insiden yang sudah terpahat dalam sejarah negara ini yang dulunya bernama Tanah Melayu, semangat bersatu dan bersama dalam erti erti kata memperjuangkan kemerdekaan itu harus dijadikan rujukan.
Kalau mengikut konotasinya songkok yang diletakkan di atas kepala tentu saja dirujuk kepada orang Islam di negara ini tetapi sebenarnya songkok adalah budaya tradisi yang kini bukan lagi semata-mata simbol orang Melayu Islam kerana ia membawa perlambangan perpaduan rakyat Malaysia secara menyeluruh dan menjadi sebahagian simbol imej pakaian apabila mewakili negara. Itulah yang kita lihat sejak dulu apabila songkok dipakai oleh pelbagai kaum pada majlis rasmi, menghadap raja, majlis pembukaan rasmi sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau dipakai atlit negara ketika perbarisan mewakili negara di kejohanan sukan antarabangsa di luar negara. Songkok menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat Malaysia, bukan disempitkan dengan pemahamam ia hanya untuk orang Islam untuk dipakai ketika solat dan majlis kenduri. Malah di negara luar terutama Indonesia, songkok amat ketara turut dipakai oleh penganut Hindu dan Buddha sebagai penutup kepala.
Berbalik pada telefilem Songkok, apa yang dipaparkan adalah kisah si pembuat songkok yang menjalankan perniagaan songkok di sebuah pekan kecil di Kuala Kangsar sejak 50 tahun yang lalu. Kerana sokong jugalah yang menjadi saksi dua pemuda berbeza ideologi, kaum, agama dan latar belakang menjadi sahabat yang cukup baik dan setia sehingga mereka tua. Semuanya kerana mahu menikmati erti kemerdekaan negara dan kelangsungan kesejahteraan hidup di bumi tercinta. Bukan itu saja, hubungan baik anak mereka yang diwakili si gadis Melayu dan pemuda Cina nyata lebih tulen dari segi realistik kehidupan kerana ia tidak mengundang sensitiviti kaum, agama dan budaya seperti mana karya lain. Ini lebih mudah disenangi dan diterima majoriti rakyat Malaysia kerana tidak ada sikap memperlekeh atau mencemar budaya dan agama dilakukan bagi menggambarkan persahabatan atau percintaan antara kaum.
Seterusnya cerita dalam drama ini mengisahkan bagaimana pemuda Cina (Lim) yang selama ini terjebak dengan ideologi komunisme untuk menuntut kemerdekaan tanah Melayu kononnya terpaksa akur dengan kehendak rakyat yang mahu bersatu sesama kaum. Ketika dikejar oleh rakan dalam pasukan komunis, pemuda Cinta cuba mendapat pertolongan daripada pemuda Melayu (Tapa). Di sinilah pertembungan menarik apabila babak seterusnya memperlihatkan Tapa dan Lim boleh bersatu meskipun beberapa minit saja bersua muka kerana ada keikhlasan dan saling menghormati sesama kaum. Ini bertolak pada kesedaran. Kesedaran itulah yang dibawa dan dipegang oleh Tapa dan Lim sehingga mereka tua meskipun pada penghujung usia diperlihatkan Tapa cuma membuka kedai kecil menjual songkok manakala Lim dipaparkan lebih berjaya sebagai ahli perniagaan dengan memiliki kenderaan mewah dan membuka kedai mekanik kereta.
Lapisan sebenar drama ini memperjelaskan bahawa semangat muhibah tak harus diganggu dengan elemen lain dengan sengaja memuatkan unsur sensitiviti perkauman semata-mata untuk melebihkan atau memperlekeh pihak yang mereka sasarkan. Konsep dalam gagasan 1Malaysia memang sudah lama wujud di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ia diperingatkan semula oleh Perdana Menteri kita sekarang atas nama slogan baru ini supaya generasi sekarang lebih sedar 1Malaysia bukan bererti semua kita sama dalam apa saja aspek tetapi meskipun kita berbeza kepentingan atau berlainan agama, kaum, latar belakang dan taraf hidup, tetapi perjuangan mengekalkan kesejahteraan bersama itu harus diutamakan. Sikap chauvinistik dan ekstrem dalam mana-mana kaum terhadap kaum lain tidak akan berkesudahan selagi kita terus cabar mencabar. kalau Cina mempertikai perihal kontrak sosial, Melayu juga boleh mempertikai monopoli ekonomi oleh kaum Cina dan India turut boleh mempersoal kelebihan yang ada pada kaum Melayu dan Cina. Jadi, ia tidak akan membawa kepada penyelesaian selagi kita tidak saling menghormati dan reda akan hak, kelebihan serta kekurangan masing-masing.
Dialog watak utama pelakon Cina cukup mendalam maknanya apabila berkata: "Dia bukan Melayu, saya bukan Cina tetapi kita bangsa Malaysia, dulu sama-sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air ini."
Barangkali corak pembikinan drama ini biasa, ringkas dan sederhana saja tetapi olahan cerita dan pernyataan muhibah dan erti setia kawan dan persahabatan antara dua kaum itu yang harus direnung dan dihayati semula untuk sama-sama mengecapi udara kemerdekaan ini dengan makmur dan aman sentosa sampai bila-bila. Maknanya, kalau ada satu kaum mahu mempertikai hak kaum lain, akan berlaku perbalahan yang tak akan berkesudahan sebaliknya perlu saling hormati-menghormati tanpa rasa prejudis kerana yang penting ialah kesejahteraan hidup berterusan. Jika ada satu pihak bersikap melampau dengan mempersoal hak orang lain, tidak mustahil pihak satu lain juga akan bangkit untuk mempersoal hak orang itu semula. Inilah lapisan yang cuba disampaikan dalam songkok kerana nenek moyang kita sejak sebelum merdeka sudah berikrar untuk hidup sejahtera bersama sampai bila-bila di bumi tercinta ini sekalipun berbeza kaum, agama dan budaya.
Moral ceritanya, dalam telefilem Songkok meskipun ia bukan pernyataan politik secara langsung tetapi harus dilihat ada kena mengena dengan situasi politik semasa yang mula diperdebatkan apabila ada pihak bersikap perkauman melampau dan cuba mempersoal hak orang lain termasuk sengaja memperlekeh kontrak sosial, ketuanan Raja Melayu dan hak keistimewaan Bumiputera. Menerusi telefilem songkok, pujian harus diberikan kepada Jurey sebagai pengarah yang bijak mencari cerita yang ada makna dan nilai moral yang tinggi menerusi hasil kerja Martias yang peka dengan isu persaudaraan antara kaum.
Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment