Thursday, August 20, 2009

Ya, kami akan menikah

Ya, kami akan menikah

"Tidak dinafikan, saya ada juga impian untuk mengenakan tudung suatu hari nanti. Siapa saja yang tidak ada keinginan untuk melakukan perubahan terhadap diri. Paling pasti, kedua-dua ibu bapa saya bakal terkejut dengan perubahan mendadak ini nanti" – SOFIA




BENARLAH, tidak semua yang beredar di laluan maya itu palsu belaka. Masih ada yang logik dan boleh dipercayai, terutamanya apabila ia membabitkan artis popular dan ternama.

Wanita bernama lengkap Sharifah Sofia Syed Hussein atau Sofia, juga tidak terkecuali menjadi mainan di laluan maya dengan pelbagai spekulasi peribadinya yang dijadikan bahan dedahan pelbagai pihak.

Termasuklah yang terbaru, gambar-gambar mesra pelakon wanita yang berusia 24 tahun dengan seorang lelaki kacak.

Gambar-gambar mesra itu juga telah menghadirkan khabar bahawa wanita yang dilahirkan di Liverpool, England itu bakal menamatkan zaman solonya tidak lama lagi.

Awalnya, Kosmo! memikirkan barangkali ia hanyalah mainan di alam maya oleh pihak-pihak yang tidak pernah 'serik' untuk mengenakan artis jelita seperti Sofia.

Bagaimanapun penulis sedikit terkejut saat dilontarkan pertanyaan mengenai sejauh mana kebenaran kisah perkahwinannya itu, Sofia dengan sikap penuh profesional mengiyakan.

Kata Sofia, "Ya, saya akan berkahwin dengan lelaki itu. Lelaki yang gambar kami pernah tersiar di Internet sehingga menjadi kontroversi," demikian tutur Sofia dalam bahasa cukup berhati-hati.

Teruja untuk menjadi isteri

Mengulas lanjut kata Sofia, mereka memilih untuk bernikah pada pertenghan Oktober dan diikuti dengan majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 23 Oktober tahun ini.

Menurut pelakon berkulit putih gebu ini, mereka memikirkan sudah sampai masanya untuk mengakhiri hubungan berkenaaan dengan satu ikatan yang sah setelah sekian lama bercinta.

Ingin mengorek dengan lebih mendalam tentang lelaki yang bertakhta di hatinya itu, Sofia bagaimanapun awal-awal lagi sudah memberi isyarat enggan bercerita panjang-lebar tentang bakal suaminya.

"Saya tidak boleh beritahu nama penuh dia. Apa yang saya boleh katakan, dia merupakan lelaki kacukan Melayu, Jordan dan Arab, berusia 31 tahun dan seorang usahawan," katanya yang mengenali bakal suami sejak di alam persekolahan.

"Sebenarnya saya kenal dia sejak dari sekolah lagi. Suatu hari dia menyambung pelajaran ke Australia dan kami tidak bertemu lagi sejak saat itu.

"Dengan kuasa Tuhan, tahun 2007 kami terserempak di Kuala Lumpur selepas dia tamat belajar. Dari situlah kami mula menjalin percintaan. Ia lebih mudah kerana masing-masing sudah ada perasaan cinta dalam hati."

Meneruskan cerita manisnya, Sofia memberitahu pada penghujung tahun 2008, dia sendiri pergi ke Amerika Syarikat untuk bercuti selama beberapa bulan sambil mengintai peluang belajar dan bekerja sementara di sana.


WAJAH lelaki kacak yang bakal menjadi suami Sharifah Sofia.


Berada di negara Uncle Sam itu, timbul perasaan untuk terus bermastautin di sana dan tidak mahu pulang ke Malaysia pada waktu itu.

"Bagaimanapun pada awal tahun 2009, si dia suruh balik ke tanah air sambil melamar saya untuk menjadi pasangan hidupnya.

"Saya terus menerima lamaran itu tanpa berfikir panjang. Keluarga pihak lelaki datang merisik pada Mac lalu dan seterusnya kami merancang bernikah terus tujuh bulan kemudian.

"Kini saya sedang menanti hari untuk bergelar isteri orang. Teruja dan gembira rasanya dengan perubahan diri yang bakal berlaku kira-kira dua bulan lagi. Memang tidak sabar untuk bergelar isteri kepada orang yang kita sayangi dan kemudian menjadi ibu," luah Sofia dalam nada kegirangan.

Bagaimanapun menurut Sofia, dia memilih untuk tidak heboh-heboh cerita perkahwinan ini atas alasan tersendiri.

"Saya tidak mahu berlebih-lebih bercakap tentang upacara pernikahan dan majlis resepsi ini bagi mengelakkan ia mendapat liputan besar-besaran.

"Lagipun saya mahukan suasana santai dan tenang, dihadiri saudara-mara dan kenalan terdekat saja.

"Untuk media, jangan risau. Saya tetap akan mengedarkan gambar-gambar hari bahagia kami kemudian," janjinya.

Mengenai hasratnya untuk tidak mengundang pihak media ke majlis pernikahannya, graduan Diploma Seni Persembahan dan Media Kolej Sunway itu menjelaskan, dia tidak berniat untuk melarikan diri daripada mana-mana pihak.

"Selama ini pun saya jarang dapat publisiti media dan saya tak kisah itu semua sebab saya sendiri tidak suka cerita remeh-temeh, hal-hal peribadi keluar. Syukurlah, tawaran lakonan tetap tidak pernah putus walaupun jarang wajah saya dipaparkan.

"Sebab itu saya mahukan majlis saya juga tidak mendapat liputan meluas daripada wartawan. Pada pendapat saya, hari bersejarah ini cukup peribadi dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikongsi dengan orang luar yang tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan saya.

"Oleh itu, saya berharap mereka dapat memahami situasi saya. Bukan sengaja tidak menjemput mereka tetapi inilah keputusan saya dan tidak mampu diubah lagi," ungkap Sofia mohon dimengertikan daripada orang sekelilingnya.

Apa juga keputusan Sofia, kami di Kosmo! tetap menghormatinya. Itu pendirian peribadi dan kita wajar menghormati empunya diri. Tetapi bagaimanakah pula nanti andai ada pihak media yang dapat menghidu tempat majlis pernikahannya diadakan nanti? Bukankah menjadi tugas media untuk mencari berita terbaru yang perlu dikongsikan dengan pembaca sekali gus peminat Sofia sendiri walaupun mereka tidak dijemput secara rasmi?

Berbicara lebih lanjut, Sofia bagaimanapun pasrah dengan soal tersebut lebih-lebih lagi mengetahui dirinya sebagai seorang selebriti dan dikenali umum.

"Saya sedar sudah tentu ada yang mencuba untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang majlis pernikahan dan resepsi persandingan saya daripada sumber-sumber tertentu. Itu sudah pasti.

"Saya tetap mengalu-alukan para wartawan yang datang menunaikan kerja mereka. Saya tidaklah kejam sangat, kalau media sudah datang, pastinya saya akan menganggap mereka sama seperti tetamu lain," tuturnya yang pernah ditawarkan sejumlah wang oleh sebuah syarikat penerbitan untuk mengabadikan majlis perkahwinannya secara eksklusif namun ditolak secara baik kerana tidak mahu terlalu menonjolkan cerita hari bahagianya.

Impian bertudung

Dalam drama terbaru lakonannya berjudul Sekudus Doa Arisya yang akan disiarkan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti di saluran TV1, Sofia memegang watak wanita bertudung yang bernama Arisya.


SI JELITA ini bakal bergelar isteri orang penghujung Oktober 2009.


Bergandingan bersama aktor popular, Esma Daniel, Sofia memberitahu, dia memegang peranan sebagai wanita mualaf yang berdepan dengan ujian apabila ibu kepada teman lelakinya tidak dapat menerima dirinya yang mengalami penyakit berjangkit.

"Lelaki itu kasihan dengan saya yang baru memeluk Islam dan terpaksa menempuhi pelbagai pengalaman menyakitkan dalam kehidupan.

"Dia mengajak saya untuk berkahwin. tetapi ditentang ibunya sebab saya mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh memberikan zuriat.

"Ibu kepada lelaki ini beria-ria menghalang hubungan kami sebab dia mahukan waris dalam perkahwinan anak lelakinya.

"Cerita ini memang menarik disebabkan ia berciri keislaman dan sesuai pula untuk ditayangkan sempena Hari Raya nanti," jawab anak kacukan Scotland dan Melayu itu ringkas.


JARANG mendapat publisiti media, Sofia tidak menganggap itu satu kekurangan.


Sofia juga tidak terkecuali berkongsi cerita dan pengalaman berharganya tatkala mengenakan tudung di kepala sepanjang berlakon dalam Kudus Doa Arisya.

"Saya okey saja pakai tudung sewaktu melakonkan watak ini. Bahkan saya tidak berdepan dengan sebarang masalah langsung walaupun secara realitinya saya tidak bertudung.

"Tetapi sekarang saya rasa Tuhan macam sudah berikan isyarat setelah saya terlibat dalam dua buah drama dengan memegang watak wanita bertudung.

"Tidak bohong, saya ada impian untuk bertudung suatu hari nanti. Semua orang ada keinginan untuk buat perubahan terhadap diri sendiri. Namun saya tetap bertahan dengan pendirian hanya akan bertudung apabila saya sudah benar-benar bersedia untuk itu.

"Secara jujurnya dalam keadaan sekarang, saya masih belum bersedia untuk pakai tudung memandangkan usia masih terlalu muda," jelas Sofia dalam nada berterus-terang.

No comments: