Thursday, August 20, 2009

Anjurkan hanya di luar KL

Anjurkan hanya di luar KL

"Kami di TV3 mengadakan konsert Jom Heboh secara percuma kepada masyarakat semata-mata ingin menjalankan tanggungjawab sosial kepada mereka" – FADZLINIZA




PENGANJURAN konsert secara percuma bagaimanapun dilihat daripada sudut yang berbeza oleh Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studios, Fadzliniza Zakaria yang turut mengepalai konsert Jom Heboh sejak beberapa tahun lalu.

Kepada beliau, kebiasaannya konsert percuma diadakan atas beberapa tujuan yang bukan berlandaskan komersial.

"Sebenarnya stesen televisyen TV3 mengadakan konsert Jom Heboh sebagai salah satu pengisian memperlihatkan penghargaan kepada peminat.

"Kita tidak boleh sesekali membandingkan konsert Jom Heboh macam pesta percuma ataupun berbayar yang dianjurkan oleh pihak lain. Konsert yang kami lakukan merupakan rakaman terima kasih kepada audiens. Perlu diingat, walaupun konsert ini percuma namun kami tetap membayar artis yang terlibat.

"Cuma jumlah bayaran ini tidaklah semahal penyanyi yang buat konsert tertutup.

"Maknanya, kami tidak mengambil kesempatan dengan orang ramai dalam soal ini," terangnya kepada Kosmo!




Fadzliniza juga sempat menjelaskan relevannya pesta percuma terus mewarnai persada seni tanah air. Di sebalik keluh kesah itu, sebenarnya terdapat kesan positif lebih-lebih lagi kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur.

"Saya berpendapat konsert percuma masih diperlukan, bukan di Kuala Lumpur tetapi di luar.

"Konsert berbayar berjumlah kurang RM20 sekarang sudah tidak wujud. Justeru, apabila kami buat konsert di luar ibu negara, mungkin ia menjadi salah satu cara untuk orang di daerah luar berhibur.

"Saya tahu pertelingkahan pendapat penggiat seni tentang pesta percuma wujud menyebabkan tidak ada penonton yang mahu datang menyaksikan konsert berbayar.

"Pada saya kalau seseorang artis ini betul-betul kukuh dan ada reputasi tersendiri maka dia tidak menghadapi masalah untuk melakukan konsert peribadi dan berbayar.

"Letaklah beberapa ratus ringgit sekalipun, peminat tetap akan datang. melihat konsert Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Search, dan Rossa misalnya," jelas Fadzliniza.


MOKHTAZA


Oleh itu menurut beliau, tiada apa yang perlu digentarkan oleh karyawan seni lain tentang konsert percuma apatah lagi ramai artis di negara ini yang berbakat besar.

Bahkan sebenarnya secara tidak langsung mampu mempromosikan karya terbaru mereka secara percuma kerana ia disiarkan secara langsung di stesen TV penganjur.

Dalam pada itu, Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad berkata, konsert percuma biasanya dianjurkan oleh konglomerat terutama dalam industri penyiaran dengan tujuan ingin dekat di hati peminat.


FADZLINIZA


"Tetapi daripada sudut artis, saya percaya golongan ini bakal berdepan dengan kesulitan apabila kurang mendapat tempat tatkala mahu mengadakan konsert berbayar.

"Dalam dunia serba moden ini, tiada sesiapa yang berani menyangkal kenyataan ini. Saya berpandangan bahawa situasi ini ada baik dan buruknya. Pro dan kontranya.

"Hendak kata hentikan konsert percuma memang tidak tepat kerana objektif setiap stesen televisyen atau stesen radio berbeza di antara satu sama lain.

"Tetapi tiada salahnya kalau stesen TV mahupun stesen radio mengamalkan sikap berkompromi dengan mengadakan pesta percuma dalam skala besar tetapi hanya satu atau dua kali dalam masa setahun, bukannya melambak seperti sekarang," jelasnya.

Bagaimanapun setelah melihat pro dan kontranya penganjuran sesebuah konsert percuma, Kosmo! berpendapat sudah sampai masanya untuk segalanya dinoktahkan.

Selagi pihak penganjur rakus mengadakan pesta percuma nampaknya perkara itu tidak mati. Kena ada situasi menang-menang dalam soal tersebut tanpa ada satu pihak yang memikirkan tentang keuntungan sahaja.

Natijahnya, kalau sudah terlalu banyak konsert bersifat percuma itu diadakan lalu cabang seni di Malaysia tidak mampu bersemarak sekali gus melumpuhkan perjalanannya untuk mencapai pada tangga teratas.

Selain itu penyanyi juga perlu ada prinsip yang jelas walau dalam apa juga keadaan, mereka perlu mengurangkan kemunculan dalam pesta tidak berbayar demi mengekalkan nilai eksklusif masing-masing. Barulah masyarakat kita akan lebih menghargai kemunculan 'sesekali' mereka.

Jangan sampai ditujah, cakap tak serupa bikin, 'dipaksa' oleh syarikat TV terkemuka, berdedai memberi persetujuan walaupun di hati enggan bersetuju dengan nilai tawaran.

Dan kepada peminat, ada 'harga' yang mereka perlu bayar untuk melihat hiburan yang bermutu.

Jangan salahkan penganjur, jika menyediakan sistem bunyi yang di tahap boleh 'memecahkan' gegendang telinga kalau wang di poket sendiri lokek untuk dikeluarkan.

No comments: