|
|
BIARPUN sekadar meraih tempat keenam dalam program realiti One In A Million 3 (OIAM3), lelaki ini tidak pernah berhenti berusaha.
Melangkah setapak lagi dalam kariernya, Simon Christopher Michaels sudah bersedia untuk serius bergelar anak seni.
Memang benar jika mahu diikutkan, bukan semua bintang realiti mampu diminati dan dipuja dalam industri muzik sebenar. Mungkin jika tuah menyebelahi dan mempunyai inisiatif sendiri, impian bergelar penyanyi pasti akan terlaksana.
Sebaik tersingkir, tanpa berlengah, Simon terus membuat perancangan mengenai hala tujunya dalam industri muzik.
Tidak ramai penyanyi berbangsa India yang berada dalam industri muzik tempatan memudahkan lagi perjalanan seninya.
"Muzik diibaratkan seperti nyawa saya. Kebetulan pula keluarga saya juga mempunyai latar belakang dalam bidang muzik.
"Berada dalam OIAM3 memberikan saya banyak pengalaman yang tidak ternilai, malah berkat restu keluarga walaupun tersingkir, saya cuba untuk meneroka peluang buat diri saya," tuturnya.
Enggan membuang masa, anak kelahiran Pulau Pinang ini terus mengeluarkan single terbarunya, Adakah Ini Cinta, hasil karya kumpulan Carbolic Smoke Balls.
Penyanyi yang meminati genre lagu rock ini menyifatkan single yang dihasilkannya ini merupakan hadiah buat peminat dan penyokongnya semasa di OIAM 3 dulu.
"Saya tahu perjalanan seni bukan satu perkara yang mudah, sekarang ini saya berada di titik permulaan, rasanya masih jauh lagi untuk saya kecapi apa yang saya impikan, apa yang saya boleh lakukan ialah terus berusaha," ujarnya lagi.
Dengan bantuan daripada Carbolic Smoke Balls juga, Simon berbangga kerana pembabitannya dalam OIAM3 tidak sia-sia, memandangkan lagunya kini sedang hangat dimainkan di corong-corong radio.
Tambahnya, proses untuk menghasilkan sesebuah lagu bukan murah, malah ia juga menuntut komitmen yang tinggi dan kerana itu, biarpun memulakan dengan hanya sebuah single, dia yakin suatu hari kelak, nama Simon pasti akan berkembang dan usahanya selama ini akan terbayar.
Bon Jovi Malaysia
Mendengarkan nyanyian jejaka berusia 26 tahun ini, suaranya persis penyanyi rock Hollywood, Jon Bon Jovi.
Malah, setiap kali mendengar lagu Adakah Ini Cinta di radio, ia ibarat seperti Jon Bon Jovi sedang menyanyikan lagu Melayu.
Bertanyakan mungkin akan timbul persoalan daripada peminat-peminat mengenai suaranya, jelas Simon, dia mengakui ramai yang berpendapat, dia meniru suara vokalis kumpulan rock popular itu.
"Saya akui muzik yang saya bawakan banyak pengaruh daripada Bon Jovi, Petra dan Ron Kenoly. Tetapi saya tidak meniru suara Jon.
"Saya juga tidak boleh menukar suara saya kerana inilah saya. Sebab itu dalam single terbaru saya ini, saya cuba untuk tidak mengikut cara nyanyian penyanyi-penyanyi idola saya.
"Jika kritikan diberi, saya terima dengan hati yang terbuka dan bersedia menerima pendapat semua orang kerana dengan cara ini, saya dapat perbaiki kelemahan saya," katanya yang juga sibuk dengan program rakaman raya.
Sementara itu, Simon bakal menghasilkan album dengan penerbit daripada Switzerland. Masih lagi dalam perancangan, Simon enggan bercerita panjang mengenai hal albumnya, sehinggalah albumnya itu siap sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment