Friday, August 14, 2009

HIBURAN : JUMAAT 14 OGOS 2009

Vokalis utama Rabbani meninggal
KUALALUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, meninggaldunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakitjantung, pagi semalam.

Asri Rabbani meninggal dunia
KUALALUMPUR 13 Ogos - Penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd. AsriIbrahim, 40, meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 pagi selepas tidaksedarkan diri di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri hari ini.

Eja dibayar RM15,000 untuk penggambaran iklan sehari
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Seorang pengurus akaun memberitahu MahkamahSesyen di sini hari ini bahawa pelakon Eja pernah dibayar sebanyakRM15,000 untuk menghadiri penggambaran iklan televisyen dan cetak sertasiaran akhbar yang diadakan selama sehari.

Bicara kes nafkah anak AC Mizal 3 Dis.
KAJANG 13 Ogos - Perbicaraan permohonan bekas isteri pengacara AkademiFantasia , AC Mizal untuk mengubah perintah nafkah dua anak mereka akandiadakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 3 dan 7 Disember ini.






Afgan tidak mahu dilabel diva
IMPAK lagu Terima Kasih Cinta telah berjaya meletakkan nama pemuda inidi puncak tertinggi dan sekali gus dia meraih populariti yang pantasdalam sekelip mata.


Jamal rasa puas dan gembira
HITS: Pada ketika ini, apa perasaan Jamal selepas konsert Jamal...Kembara Seniman berjaya menarik perhatian lebih 8,000 penonton?


Seventeen enggan mengalah
KUMPULAN yang terdiri daripada lima orang anak muda dari Yogyakarta,Indonesia ini cukup terkenal dengan lagu popular mereka, SelaluMengalah.Senang dikenali sebagai kumpulan Seventeen, mereka menempanama dalam waktu yang sangat singkat.


Istimewa Ramadan TV3, TV9
SEMPENA kehadiran Ramadan tidak lama lagi, stesen televisyen TV3 danTV9 melancarkan tagline sendiri bagi menyinari penonton dengankepelbagaian program menarik masing-masing.


Amanda berjiwa besar
MELIHAT kepada pendatang baru ini, mungkin ada yang bertanya sejauhmana Amanda Imani ini boleh bertahan dalam industri hiburan tempatan.







Asri pergi tak kembali
"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS


Konsert duit sendiri
BIARPUN industri muzik tempatan semakin matang dengan kelahirankarya-karya muzik berkualiti, namun masih lagi ada genre muzik lainkurang diberi perhatian.


Beyonce, Gaga 'berlawan'
PENYANYI jelita, Beyonce Knowles dan Lady Gaga mengepalai senaraipencalonan Anugerah Muzik Video MTV tahun ini apabila masing-masingmendapat sembilan pencalonan.






Sudah sampai jodoh
BERATbadan anak kesayangan tukang masak selebriti popular, Chef Wan yangsemakin bertambah ini barangkali memberikan gambaran tepat betapahatinya kini cukup bahagia. Bukan tidak menjaga bentuk badan, malahsebelum ini Serina Redzuawan pernah langsing sebelum ini.

'Saya nak menantu bukan hantu'
CHEFWan menyifatkan bakal menantunya, Salahuddin Ghaffar sebagai lelakiyang sangat baik dan mengakui cinta mereka bukan diukur daripada wangringgit sebaliknya daripada hati yang tulus menyayangi dirimasing-masing.

Belasungkawa: Pergi tak kembali
DALAMkebanyakan majlis tertentu, vokalis yang juga pemimpin kumpulanRabbani, Muhammad Asri Ibrahim atau mesra dengan panggilan Ustaz Asrisering diundang untuk membacakan doa selamat atau kesyukuran.

Jejak Rasul kembali hiasi Ramadan
SETIAPkali tibanya Ramadan, penonton TV3 pasti tidak melupakan program yangmenjadi ikutan setia mereka sejak 14 tahun lalu, Jejak Rasul. Programyang mengajak orang ramai mengikuti jejak pesuruh Allah dalam usahamereka menyampaikan agama suci kepada seluruh umat manusia itu tidaksyak antara rancangan televisyen pilihan ramai sepanjang bulan nanmulia.

Tiada pilih kasih
TIADAdasar pilih kasih dalam menentukan 10 finalis yang layak ke peringkatakhir program realiti hasil cetusan idea aktor terkemuka Rosyam Nor,Pilih Kasih yang bakal melabuhkan tirai secara rasminya Ahad ini jam8.30 malam setelah lebih 10 minggu ke udara di TV2.

Peserta tak menang tangan
HANYAmereka yang kuat fizikal, mental dan jati diri saja mampu mengharungisegala cabaran sepanjang mengikuti program realiti Pilih Kasih yangbersiaran di TV1 setiap Sabtu mulai jam 8.30 malam.

M Daud mahu pertahan jawatan
PRESIDENPersatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk MDaud Wahid akan tetap mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat AgungPapita bagi sesi 2009/2011 di Pawagam Mini P Ramlee, PerbadananKemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, esok.

Peluang miliki barang lelong artis
DIANGGARKANlebih 30 selebriti bakal hadir memeriahkan acara lelongan baranganperibadi kepada peminat dalam Karya 1Malaysia Bazar Amal bagi tujuanmengisi tabung Yayasan Aids Malaysia.Bazar Amal yang dianjurkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan)dengan kerjasama Yayasan Aids Malaysia mengambil inisiatif ini selepasmenyedari tanggungjawab sosial yang perlu dilunaskan oleh semuaindividu.

Dengarnya...: Pendam rasa gara-gara Julia
SELEPASlebih tiga bulan berada di Amerika Syarikat membawa diri, pelakoncantik Julia Ziegler kini sudah kembali ke tanah air. Baru saja pulangke sini, ada cerita yang tak sedap singgah ke telinga Cik Normahmengenai pelakon yang pernah dikatakan ada hubungan dengan Pierre Andreini.

Dengarnya...: Pendam rasa gara-gara Julia
SELEPASlebih tiga bulan berada di Amerika Syarikat membawa diri, pelakoncantik Julia Ziegler kini sudah kembali ke tanah air. Baru saja pulangke sini, ada cerita yang tak sedap singgah ke telinga Cik Normahmengenai pelakon yang pernah dikatakan ada hubungan dengan Pierre Andreini.

Dengarnya...: Kagum dengan usaha Hot FM
HAImacam-macam strategi yang dilakukan stesen radio dekat Malaysia inisemata-mata nak memikat hati pendengar. Sejak akhir-akhir ini, CikNormah tengok stesen radio semuanya berlumba-lumba menawarkan wangtunai untuk pendengar mereka. Bukan sikit duit yang ditawarkan, tapihingga berpuluh-puluh ribu. Sanggup mereka berhabis duit janji dapatpikat pendengar.

Dengarnya...: Juma semakin selesa jadi suri rumah
LAMAbetul Cik Normah tak mendengar cerita mengenai personaliti cantik DatinNorjuma. Baru-baru ini teman Cik Normah berkesempatan bertemu denganpersonaliti cantik itu. Katanya Juma semakin cantik dan langsingwalaupun baru melahirkan bayi keduanya lapan bulan yang lalu.

Dengarnya... Tahniah pengacara, kru Majalah 3
KATAorang walau sekecil zarah pun sumbangan kita, kalau dilakukan denganikhlas, pasti akan membuahkan hasil. Maksud Cik Normah di sini,bukanlah bermakna kita mengharapkan balasan atas apa yang kita lakukan.Namun kalau niat kita suci, Tuhan pasti akan memberikan ganjarannya.





Zarina rindu Makkah
GOSIPNYA ditaja VIP hanya kerana memandu kereta mewah BMW pada usia 22 tahun mungkin sudah berlalu.

Minta al-Quran sebelum rebah
KESUNGGUHANNYA menyebarkan dakwah melalui lagu cukup kuat apabilamemperjuangkan irama nasyid selama 25 tahun bermula dengan kumpulanNada Murni yang diasaskan Al-Arqam selama 15 tahun kemudian menubuhkanRabbani pada 1 Mac 1997.

Hero selepas 16 tahun
PENANTIAN pelakon Esma Daniel selama 16 tahun untuk beraksi sebagaihero di layar perak menjadi kenyataan menerusi filem Santau terbitanMIG Production Sdn Bhd.

'Saya tak pernah khawin'
AKTOR tinggi lampai, Farid Kamil, 28, bukan saja sentiasa meraihperhatian pengarah drama ataupun filem untuk jayakan sesuatu watakmalah penampilannya di persada lakonan tempatan amat dinantikan olehseluruh peminat setianya. Berbekalkan wajah kacak persis pelakon Korea,bakat serta kredibilitinya sebagai pelakon sukar dipertikaikan lagi.

Kemuncak Pilih Kasih
USAHA mencari bakat lakonan yang berkaliber dan berdisiplin padaketika ini pastinya sukar. Ia memerlukan komitmen dan pencarian yangpasti menguji kesabaran individu bergelar pengarah.

Artis lelong barang
MENITI bulan kemerdekaan dan Ramadan, Persatuan Karyawan Malaysia(Karyawan) mengambil inisiatif dengan menganjurkan acara lelongan bagimembantu kanak-kanak yang menghidap HIV/Aids.

Hadiah raya daripada Ramlah, Jay Jay
KETIKA industri muzik tanah air masih lesu, mampu menghasilkan album baru sememangnya sesuatu yang membanggakan bagi penyanyi.

HOLLYWOOD: Idea sendiri dalam album
BERBANDING populariti aktres Hollywood lain, Ashley Tisdale kurangdiberi perhatian khalayak. Namun, daripada aspek pengalaman, diamemulakan karier lakonan sejak terbabit dengan drama animasi Jepuniaitu Whisper Of The Heart pada 1995.

SOSEH SOSEH: Pelakon kapur kawan sendiri
CAKAP tak serupa bikin, golongan sebegini memang bersepah dalamdunia ini tidak kira sama ada artis mahupun orang biasa. Cuma yangmembezakan antara dua kelompok ini, kalau artis kuat ‘gebang’ tapisebenarnya habuk pun tiada, kesannya seantero Malaya akan tahu perangaiburuk mereka.

SOSEH SOSEH: Ulang siar cerita sama
SUDAH banyak kali SS dengar mengenai rungutan pelanggan stesentelevisyen berbayar Astro yang kerap kali mengulang siar cerita yangsama. Apatah lagi, ia sudah lama diperdebatkan pelanggan Astro terhadapperasaan menyampah mereka berkaitan dengan isu ini.

Program Astro semarak merdeka
BAGI menyemarakkan bulan kemerdekaan, Astro menyiarkan lebih 150program pelbagai genre menampilkan identiti dan budaya masyarakatMalaysia.

Asri pergi tak kembali

Asri pergi tak kembali

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS




PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.

Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.


ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.


Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."




Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.


ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.


Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal

Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.

Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.


ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.


Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.


KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.


Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.


SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.


Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.

"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.


ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.


Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

Afgan tidak mahu dilabel diva

Afgan tidak mahu dilabel diva


SEWAKTU menjulang salah satu anugerah yang diterimanya pada Anugerah Planet Muzik 2009 yang lalu.


IMPAK lagu Terima Kasih Cinta telah berjaya meletakkan nama pemuda ini di puncak tertinggi dan sekali gus dia meraih populariti yang pantas dalam sekelip mata.

Album perdananya, Confession No. 1 yang turut memuatkan sebuah lagi lagu berhantu, Entah berjaya diterima dengan baik di negara kelahirannya, Indonesia dan juga Malaysia.

Afgan Syah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan yang baru menginjak usia 20 tahun tanggal 27 Mei lalu mengakui, tidak pernah bermimpi untuk mengecapi kejayaan yang diraih seperti hari ini.

Dia bertuah kerana selain daripada memiliki keampuhan vokal yang memukau peminat dan pendengar, dia juga hadir dengan paras rupa yang menawan dan bisa mencairkan hati peminatnya khususnya dari kaum Hawa.

Populariti dan kehebatan Afgan terus melonjak dan mendapat perhatian ramai apabila dia meraih dua anugerah utama pada Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

APM 2009 menyaksikan Afgan dicalonkan untuk enam kategori dan dia berjaya membawa pulang gelaran Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik di mana ia dipertaruhkan atas tiket album Confession No. 1.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak diduga, Afgan menegaskan, kejayaan itu bukanlah satu tiket untuknya duduk bersenang lenang dan menggoyangkan kakinya.

Berkongsi bakat

Sebaliknya, ia adalah sebagai pembakar semangat untuknya terus berusaha dan menghasilkan produk yang terbaik untuk pecinta muzik nusantara.

“Sehingga ke hari ini, saya masih tidak percaya yang saya memenangi anugerah itu kerana diri saya yang masih lagi mentah dan baru dalam bidang seni suara ini.

“Tidak sesekali mahu mendabik dada dan terus selesa dengan kejayaan itu, saya mahu terus berkarya dan menghiburkan masyarakat.

“Malah, kemenangan saya di APM itu juga telah memberi satu keyakinan buat saya untuk terus memantapkan karier seni saya,” ujarnya dalam satu temubual dengan Hits baru-baru ini.

Jujurnya, dia sendiri tidak pernah mengharap sebarang populariti mahupun kejayaan menerusi album pertamanya itu.

Baginya, objektif utama dalam bidang seni adalah untuk berkongsi bakatnya bersama masyarakat. Afgan menyerahkan kepada mereka untuk menilai bakat dan albumnya.

Dalam perkembangan lain, Afgan menjelaskan, dia kini sedang merangka dan merencana pembikinan album keduanya yang dijangka akan dipasarkan selewat-selewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Berbicara lanjut tentang album keduanya itu, anak kelahiran Jakarta ini menjelaskan, kali ini dia mahu bereksperimen dengan muzik yang sesuai dengan jiwa remajanya.

Bukan bermakna album pertamanya itu tidak menepati jiwanya, tetapi apa yang dimahukan Afgan kali ini adalah untuk meneroka muzik pop dengan lebih meluas.

“Album ini kelak akan menampilkan sisi berbeza saya. Saya bertuah kerana syarikat rakaman di Indonesia dan juga Malaysia memberi saya peluang untuk memberi buah fikiran.

“Apa yang saya boleh katakan album ini merupakan album yang lebih matang baik dari segi penyampaian vokal mahupun muziknya.

“Tiada apa yang saya harapkan selain daripada sokongan peminat dan mahu mereka menerima album ini sebaik album pertama saya,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Metadome ini penuh harapan.

Jelas Afgan, album keduanya itu juga akan memperlihatkan lebih banyak muzik rancak yang segar selain nuansa balada yang menjadi identitinya sejak bergelar artis.

Setakat ini, ujarnya, dua buah lagu bakal dimuatkan dalam album berkenaan iaitu Bukan Cinta Biasa yang kini semakin meraih perhatian meluas di corong radio tempatan selain lagu Wajahmu Mengalih Duniaku.

Jika tiada aral melintang dan semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, album keduanya itu juga akan memuatkan sebuah lagu ciptaan Glenn Fredly yang merupakan antara penyanyi lelaki yang amat dikaguminya.

Hampir dua tahun menjalani kehidupan sebagai seorang artis sudah cukup membuka mata Afgan tentang realiti kehidupan sebenar dalam dunia glamor itu.

Tidak menafikan ada kalanya dia sedikit tertekan dengan kisah-kisah negatif yang kebanyakannya dusta tetapi Afgan lekas bangkit dan enggan terlalu memikirkannya.

Mujurlah setakat ini gosip panas yang melanda dirinya tidaklah begitu hebat seperti mana artis-artis Indonesia yang lain.

“Cuma saya agak kesal apabila pihak media di sana mencanangkan saya diberhentikan dari Universiti walhal saya hanya meminta cuti berehat untuk satu semester.

“Ada kalanya saya akui dengan kesibukan saya mengejar masa sebagai seorang penyanyi, pelajaran saya sedikit terganggu. Apa pun saya tekad untuk menghabiskan pelajaran demi masa depan saya,” jelas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Monash, Indonesia ini.

Biarpun bergelar seorang penyanyi popular dan menjadi kegilaan ramai, Afgan masih tidak dapat mengikis perasaan malu yang sekian lama membelenggu dirinya itu.

Mengakui ia adalah tabiat buruk yang sukar dikikis dan dia enggan untuk merahsiakannya daripada pengetahuan khalayak.

Afgan yang juga pengagum penyanyi hebat, Ruth Sahanaya ini meluahkan hasratnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi lagu Kaulah Segalanya itu.

“Pernah juga beberapa kali saya menemui Ruth di acara muzik di Indonesia tetapi saya tidak berani untuk menyapa. Status diri saya yang masih mentah dan hijau dalam industri hiburan dan juga pemalu ini membantutkan saya berbuat demikian.

“Mustahil untuk saya hapuskan sifat pemalu ini kerana ia adalah diri saya. Bukan apa, bimbang nanti kalau sudah tiada perasaan itu, saya akan menjadi orang lain pula,” ujar anak kedua daripada empat beradik ini sambil ketawa kecil.

Perniagaan berteraskan fesyen

Biarpun sudah popular dan menjadi antara penyanyi terbaik generasinya kini, namun jauh di sudut hatinya dia juga bimbang kalau masyarakat ada tanggapan negatif terhadapnya.

Istilah diva, bongkak, sombong mahupun besar kepala sering kali dilemparkan kepada artis-artis popular biarpun ada segelintir tidak bersikap demikian.

Kata Afgan, dia sesekali tidak akan membuat sesuatu perkara yang boleh mendorong masyarakat untuk melabelnya sedemikian rupa.

“Semuanya bergantung kepada individu dan mereka mempunyai hak berbuat demikian. Secara peribadi, saya tiada alasan untuk bersikap diva kerana saya akan meneruskan perjalanan saya seperti mana hari pertama saya menjejakkan kaki dalam industri seni ini,” tuturnya penuh diplomasi.

Kesibukannya sebagai seorang penyanyi dan pelajar juga menghalangnya daripada melayari dunia cinta.

“Tidak mahu memikirkannya buat masa ini biarpun saya teringin sekali untuk mendampingi seorang wanita yang digelar kekasih,” katanya jujur.

Anak kepada pasangan Loyd Yahya dan Lola Purnama ini juga sudah memikirkan perancangan masa depannya seandainya satu hari kelak, dia tidak lagi bergelar seorang artis.

Mahu menjalankan perniagaan berteraskan fesyen jika diberi peluang, dia mahu menggunakan ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk mengembangkan lagi perniagaan itu kelak.

“Bukan itu sahaja, saya juga mahu kembangkan bakat saya dalam bidang lakonan serta membikin sebuah album penuh jazz. Itu juga impian saya,” katanya yang menggemari muzik jazz oleh Jamie Cullum, Ella Fitzgerald dan Diana Krall.

Sementara itu, Afgan juga menyatakan rasa bertuahnya apabila dapat beraksi dalam sebuah konsert yang diberi nama Illuminight pada malam esok (15 Ogos) bermula pukul 7 malam.

Afgan akan beraksi bersama-sama rakan seperjuangannya dari Indonesia iaitu Maliq & D’Essentials dan Yovie & Nuno serta penyanyi Malaysia, Atilia.

“Sebelum ini menerusi showcase saya di sini, saya hanya menyanyi sekitar lima lagu sahaja tetapi untuk Illuminight, saya akan menyanyi dalam 10 buah lagu.

“Pastinya, ini merupakan satu pengalaman baru buat saya apabila dapat membuat persembahan dalam sebuah konsert dan menghiburkan peminat di negara ini,” ujarnya dalam nada teruja.

Jamal rasa puas dan gembira

Jamal rasa puas dan gembira


JAMAL ABDILLAH


HITS: Pada ketika ini, apa perasaan Jamal selepas konsert Jamal... Kembara Seniman berjaya menarik perhatian lebih 8,000 penonton?

JAMAL: Paling utama saya bersyukur kepada Allah kerana kesihatan saya berada di tahap yang sangat baik, suara saya juga berada di kedudukan yang terbaik sepanjang enam malam persembahan termasuk malam raptai penuh.

Pada masa yang sama, saya rasa sangat puas dan gembira kerana mampu memikul tanggungjawab beraksi di pentas Istana Budaya (IB).

Sebelum pementasan, ada pihak yang berpendapat, saya sentiasa mengambil mudah usaha mementaskan konsert ini sedangkan tidak ramai yang tahu saya bekerja keras untuk menjadikannya sebagai kenyataan.

Mujur juga ada rakan-rakan rapat yang membantu. Begitu juga dengan pengurusan IB khususnya Ketua Pengarahnya, Abang Joe (Muhammad Juhari Shaarani) yang banyak membantu meringankan beban saya.

Tidak ketinggalan, rakan-rakan saya di Kumpulan Utusan yang muncul sebagai rakan media telah membantu mempromosikan konsert ini.

Begitu juga dengan RTM serta rakan-rakan media lain yang begitu komited membantu saya. Saya harus berterima kasih kepada mereka semua.

Oh ya... ketika ini saya juga mula merindui saat-saat manis beraksi di IB, rindu nak dengar suara sorakan peminat, rindu untuk bertemu wartawan serta melihat wajah rakan-rakan serta ahli keluarga yang datang memberi sokongan buat saya.

Selepas konsert berkenaan sukses, apakah Jamal pernah terfikir yang akhirnya Jamal berjaya menerbitkan sendiri pementasan itu?

SEBAIK berakhir konsert pada malam itu, lama saya termenung dan berfikir bagaimana saya mampu mementaskan konsert yang sudah lama menjadi keinginan dan cita-cita saya.

Mula-mula macam tidak percaya yang saya sudah pun berjaya mengadakan konsert lima malam berturut-turut.

Daripada pengalaman ini, apa yang dapat saya simpulkan ialah konsert ini memberi peluang kepada saya memerah tenaga yang sudah lama tersimpan dalam fikiran saya.

Apa yang menyeronokkan saya juga ialah, idea-idea yang saya curahkan dalam konsert ini tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Itu yang menjadi kebanggaan saya.

Pada masa sama, saya juga gembira kerana dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di IB. Ini saya anggap satu rekod baru buat kerjaya seni saya.

Ramai yang ingin tahu apa sebenar cabaran yang Jamal lalui sepanjang konsert itu berlangsung?

CABARAN paling besar yang saya harus harungi sepanjang konsert itu ialah memastikan fokus saya pada persembahan nyanyian dan lakonan tidak tersasar khususnya pada segmen pertama iaitu teater muzikal.

Semua orang tahu, itulah percubaan pertama saya menggabungkan lakonan dan nyanyian dalam satu masa dan ia benar-benar mencabar kewibawaan saya.

Dan pada malam ketiga persembahan pula, saya berhadapan dengan tekanan baru iaitu saya seperti 'kehilangan' suara. Saya dapat rasakan suara saya semakin parau.

Ketika itu, saya mula bimbang. Saya risau peminat akan hampa bila menyaksikan persembahan saya merosot.

Namun begitu, Alhamdulillah, kesemua kebimbangan saya hilang apabila melihat kehadiran audiens yang memberi sokongan luar biasa pada saya.

Mungkin Jamal juga mahu berkongsi dengan pembaca Hits dan peminat Jamal apa agaknya reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali selepas menonton konsert Jamal pada malam terakhir?

PERTAMA kali saya ingin merakamkan penghargaan kepada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah kerana sudi hadir memberi sokongan buat saya.

Dr. Mahathir ada bertanya saya bagaimana saya kekalkan stamina beraksi. Saya katakan pada beliau, yang saya begitu mengambil berat aspek pemakanan selain mengamalkan senaman setiap hari.

Dr. Siti Hasmah pula menyatakan rasa terima kasih kepada saya kerana menyampaikan dua buah lagu kegemaran beliau iaitu Kehebatan Cinta dan Tidurlah Permaisuri.

Saya sangat terharu menerima kehadiran mereka berdua. Begitu juga dengan keberangkatan Sultanah Kedah serta kehadiran beberapa menteri kabinet lain dan beberapa tetamu kenamaan.

Apa pula perancangan Jamal selepas ini?

DALAM fikiran saya sudah ada dua idea yang akan saya laksanakan tahun depan. Saya juga masih mahu bekerjasama dengan IB.

Kedua-dua idea itu ialah mengadakan konsert legenda. Konsert legenda yang saya maksudkan ialah menyampaikan lagu-lagu penyanyi legenda tanah air dalam versi saya.

Sementara, satu lagi idea yang mahu saya laksanakan ialah menerbitkan program TV yang dirakamkan di IB menggunakan dewan Lambang Sari.

Saya sudah ada konsepnya dan akan saya kemukakan kepada stesen TV serta pihak IB untuk dipertimbangkan oleh mereka.

Nampaknya Jamal begitu teruja untuk meneruskan kerjasama dengan IB?

SAYA sangat senang bekerjasama dengan pihak IB. Ketua Pengarahnya seorang yang meminati seni, para pegawai dan kakitangan IB juga mahir dengan kerja mereka.

Bahkan, apa yang menggembirakan saya juga ialah IB mendapat sokongan yang sangat luar biasa daripada pihak media. Itu membuatkan saya mahu meneruskan kerjasama pada masa depan.

Harap-harap pihak IB juga mahu bekerjasama dengan saya.

Mungkin dalam masa terdekat ini Jamal mahu mengambil kesempatan berehat seketika selepas penat bekerja?

KALAU mahu berehat pun saya hanya boleh bercuti di sini (Kuala Lumpur) sahaja sebab saya kena beri tumpuan pada kes peribadi saya di mahkamah pula.

Seventeen enggan mengalah

Seventeen enggan mengalah



Kumpulan seventeen terdiri daripada (dari kiri) Herman, Yudi, Ifan, Andi dan Bani.

KUMPULAN yang terdiri daripada lima orang anak muda dari Yogyakarta, Indonesia ini cukup terkenal dengan lagu popular mereka, Selalu Mengalah.Senang dikenali sebagai kumpulan Seventeen, mereka menempa nama dalam waktu yang sangat singkat.

Hakikatnya, kumpulan Seventeen sudah lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1999 dan selama itu juga mereka dikenali di negara asal.

Single hits mereka Selalu Mengalah dan Untuk Mencintaimu dari album Lelaki Hebat juga telah lama dipasarkan di Indonesia iaitu pada awal tahun 2008 dan baru popular di sini.

Enggan mengalah dengan rakan seangkatan mereka yang sudah lama menembusi pasaran Malaysia, Seventeen yang terdiri daripada Ifan (vokal), Yudi (gitaris), Herman (gitaris), Bani (pemain bass) dan Andi (pemain drum) hadir ke Malaysia mempromosikan album ketiga mereka, Lelaki Hebat.

Setelah lebih sedekad dan selepas menghasilkan tiga buah album, baru kini Seventeen berpeluang memasarkan album di Malaysia.

Persoalannya tidakkah mereka rasa terlalu lambat untuk mengembangkan sayap di negara ini?

Menurut Ifan atau nama sebenar Riefian Fajarsyah selaku vokalis, niat untuk menembusi pasaran Malaysia memang sudah lama ada cuma baru sahaja berkesempatan untuk terbang ke sini untuk mempromosikan album ketiga mereka.

“Kami tidak pernah rasa terlewat. Yang pentingnya kami diterima dan berharap rakyat Malaysia menyokong muzik yang kami bawa.

“Saya mewakili kumpulan Seventeen mengharapkan agar kami dapat diterima dengan hati terbuka oleh peminat di negara ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album dan MTV Karaoke Lelaki Hebat baru-baru ini.

Album Lelaki Hebat yang dipasarkan oleh Life Records turut dipasarkan dalam format MTV/ Karaoke yang memuatkan klip video anggota kumpulan itu sendiri.

Album Lelaki Hebat yang menampilkan lagu-lagu seperti Untuk Mencintaimu, Jalan Terbaik dan Cinta Tak Bertuan mula dipasarkan sejak 3 Mac lalu.

Revolusi Seventeen

Seventeen ditubuhkan pada 17 Januari 1999 dan mula dikenali dengan album pertama mereka, Bintang Terpilih.

Mereka kemudian lahir dengan album kedua mereka pada tahun 2005, Sweet Seventeen

Tahun lalu, Seventeen melakukan perubahan pada aspek muzik yang lebih segar dan matang. Seventeen juga menukar vokalisnya yang baru iaitu Ifan yang menggantikan Doni.

Menurut Yudi, vokal Ifan mempunyai lenggok melayu tetapi turut memiliki unsur rock menawarkan sesuatu yang lebih segar.

“Dari segi muzik, Seventeen tampil dengan lebih matang. Ini terbukti dari bunyi gitar, drum dan bass yang dilihat lebih tersusun berbanding sebelum mereka memasuki muzik arus perdana.

“Perubahan lainnya adalah sentuhan piano dan bunyian baru yang lebih berani di beberapa lagu yang membawa lagu Seventeen pada atmosfera yang baru,” ujar Yudi mewakili kumpulannya.

Istimewa Ramadan TV3, TV9

Istimewa Ramadan TV3, TV9


BUKHARI (dua dari kanan) bersama kumpulan Rabbani menjamu selera di majlis Renda Ramadan TV3 dan Ramadan@9.


SEMPENA kehadiran Ramadan tidak lama lagi, stesen televisyen TV3 dan TV9 melancarkan tagline sendiri bagi menyinari penonton dengan kepelbagaian program menarik masing-masing.

Bukan sekadar program bercorak ilmiah, TV3 menerusi tagline Renda Ramadan TV3 manakala TV9 dengan Ramadan@9 tidak lupa menyajikan rancangan lain termasuk drama bersiri, travelogue serta program khusus untuk kanak-kanak.

Renda Ramadan TV3 antara lain memaparkan program seperti Singgah Sahur, Kalamullah, Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya), Shamsul@Bazaar Ramadan dan Haiwan Teladan 2.

Cerekarama, drama serta filem sempena kehadiran Ramadan yang bercorak pengajaran serta tauladan juga ditampilkan seperti Anak-Anak Ramadan, Pertama Ramadan... Datang Lagi, Berakhirnya Sebuah Ramadan, Qana'ah, Tain, Bukan Bidadari, Senandung SI Dayang dan Ayat-Ayat Cinta.

Begitu juga di TV9 apabila menyajikan al-Risaalah, Jelajah Ramadan, Jom Berbuka, Adik Di 9 Ramadan, Resipi Istana, Tanyalah Ustaz dan Ustaz Zamri Bercerita.

Sungguhpun begitu, di sebalik himpunan program-program menarik berkenaan, program bercorak pengembaraan menyelami perjuangan para Nabi dan ketamadunan Islam pastinya menjadi pilihan penonton terutamanya Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya) dan al-Risaalah.

Menariknya, Jejak Rasul 15 kali ini bakal mengupas sejarah Nabi dan Rasul serta kisah-kisah penuh pengajaran yang disebut di dalam al-Quran serta Sunnah.

Mendapat khidmat Produser Kanan, Jasmi Shahir selaku penerbit, Jejak Rasul 15 yang mengekalkan Ahmad Noor Sulaiman selaku pengantara akan membawa penonton ke beberapa negara seperti Mesir, Syria, Jordan, Israel, Turki, Arab Saudi dan Yaman.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, istimewanya Jejak Rasul 15 ialah apabila ia akan mengimbas kembali lokasi pengambaran krew Jejak Rasul yang pernah dilawati di musim pertama, 14 tahun lalu.

"Ia akan memaparkan perkembangan dan perubahan yang berlaku ke atas lokasi pengambaran berkenaan.

"Apa yang penting, Jejak Rasul 15 akan memperlihatkan visual terbaru lokasi tersebut yang pernah dirakamkan sekitar 14 tahun lalu.

"Mungkin dahulu kawasan pengambaran yang terlibat tidak punyai jalan raya atau sebagainya dan perubahan tersebut akan dapat disaksikan di Jejak Rasul 15,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Renda Ramadan TV3 dan Ramadan@9 di Masjid al-Bukhary, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jejak Rasul 15 (Sirah Anbiya) yang menjalani pengambaran selama 95 hari akan disiarkan mulai 22 Ogos iaitu setiap Isnin hingga Ahad, pukul 6 petang.

Menurut Nurul Aini, selain Jejak Rasul 15, TV3 turut mempertaruhkan program khusus untuk kanak-kanak iaitu Anak-Anak Ramadan yang bersiaran mulai 28 Ogos ini, pada setiap Jumaat, pukul 6.30 petang.

Katanya, Anak-Anak Ramadan merupakan sebuah program baru yang mendalami kisah empat keluarga dan kanak-kanak di dalam keluarga berkenaan.

"Menerusi Anak-Anak Ramadan, kita akan dapat menyaksikan telatah kanak-kanak menjalani ibadah puasa.

"Ia juga menyelitkan unsur-unsur pengajaran kepada keluarga untuk membimbing kanak-kanak di bulan Ramadan yang mulia ini,'' jelasnya.

Program menarik Ramadan@9

Sementara itu, jika di pihak TV3 mengenengahkan Jejak Rasul 15, TV9 juga tidak ketinggalan memiliki sebuah program bercorak dokumentari mengenai kerasulan iaitu al-Risaalah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda berkata, al-Risaalah untuk musim ketiga lebih memfokus kepada Nabi Isa dan juga kisah para Nabi yang tidak termaktub dalam al-Quran antaranya Amof, Mika serta Yusha bin Nun.

"Menerusi al-Risaalah, beberapa persoalan akan dilontar dan dijawab membabitkan Nabi Isa seperti yang dinyatakan al-Quran,'' ujarnya.

Jelas Bukhari, TV9 juga menyajikan program bercorak pengembaraan iaitu Jelajah Ramadan yang akan memperlihatkan bagaimana kehidupan masyarakat Islam di kawasan terpencil menyambut Ramadan.

Antara lokasi yang dilawat adalah di Longbusang, Sarawak dan Pulau Omadal di Sabah.

"Di Longbusang, krew penerbitan telah merakamkan pengertian Ramadan kira-kira 200 penduduk Islam suku kaum Kenyah dan 300 orang Islam suku kaum Bajau Laut di Pulau Omadal.

"Jelajah Ramadan akan membawa kita semua merasai bagaimana masyarakat yang tinggal jauh dari bandar menyambut Ramadan serta gaya hidup mereka,'' katanya.

Selain itu, Bukhari menjelaskan, TV9 turut menyiarkan sebuah program menarik iaitu Resipi Istana yang memaparkan resipi dan masakan hidangan berbuka puasa kegemaran kalangan sultan, permaisuri serta kerabat raja.

Antara tetamu diraja yang menghiasi Resipi Istana ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail.

Amanda berjiwa besar

Amanda berjiwa besar


AMANDA IMANI


MELIHAT kepada pendatang baru ini, mungkin ada yang bertanya sejauh mana Amanda Imani ini boleh bertahan dalam industri hiburan tempatan.

Mungkinkah dia akan menerima nasib seperti kebanyakan artis baru yang malap walaupun baru sahaja hadir dengan dua tiga buah lagu?

Jangan sesekali anda memandang sebelah mata kepada si cantik ini kerana semangatnya lain daripada yang lain.

Sejak kecil, Amanda Imani sentiasa berusaha yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukannya. Tiada istilah berputus asa jauh sekali kerja separuh jalan dalam kamus hidupnya.

Bakat Amanda besar, sebesar semangat kentalnya. Selain boleh menyanyi dengan baik, Amanda juga menulis lirik dan menghasilkan sendiri kebanyakan lagu dalam albumnya, Amanda Imani, yang bakal dipasarkan oleh Universal Music Malaysia pada hari Raya Aidilfitri nanti.

Dia boleh menyanyi dengan baik, mencipta lagu dan menulis lirik, mahir bermain piano dan gitar, menguasai tarian ballet, tarian moden dan tarian tap. Dia juga memiliki tali pinggang hitam dalam taekwando dan beberapa aktiviti lasak di peringkat antarabangsa.

Amanda yang berusia 18 tahun juga memiliki syarikat produksinya sendiri, Amanda Imani Productions!

Mendengar kepada dua singlenya, Selamilah Cinta dan I'm Free, ternyata gadis serba boleh dari Kuala Lumpur ini boleh pergi jauh.

Dengan suaranya yang lunak dan konsep muziknya yang menggabungkan unsur pop, jazz dan soul mirip konsep muzik di Barat , Amanda lain daripada artis lain.

Yang menariknya, meskipun baru saja diputarkan stesen radio, Selamilah Cinta mula tersenarai dalam carta popular beberapa stesen radio.

Berani untuk menjadi lain, Amanda bukannya kosong ketika dalam proses merakamkan albumnya.

Dia mempunyai ideanya sendiri, dibantu oleh mentornya, Ajai, dalam penghasilan album sulungnya itu.

"Saya mempunyai idea yang berbeza. Untuk album ini, saya menggabungkan konsep muzik Christina Aguilera, Joss Stone dan Alicia Keys.

"Saya juga menggemari muzik country seperti yang dibawa oleh Taylor Swift. Tak ramai artis kita yang membawa konsep begini," ujar penyanyi muda ini dalam satu pertemuan dengannya baru-baru ini.

Tambahnya, album yang mengambil namanya sendiri sebagai judul menampilkan 12 lagu. Apa yang menariknya, enam lirik dalam album ini ditulisnya sendiri.

Album ini katanya, menampilkan enam buah lagu dalam bahasa Inggeris manakala enam buah lagi dalam bahasa Melayu.

Selain itu, dia juga menulis lirik untuk enam buah lagu bahasa Inggeris dan Melayu. Selain cuba mengetengahkan bakat dalam nyanyian, saya juga mahu mencuba bidang penulisan lirik.

"Bagi saya, tidak salah jika kita mencuba mencari pengalaman. Saya harap, percubaan pertama dapat diterima pendengar.

"Klip video I'm Free dan Selamilah Cinta telah dihasilkan. Malah, Ajai turut muncul dalam klip video I'm Free manakala menerusi lagu Selamilah Cinta, Samuel Rizal menjadi pelakonnya," katanya.

Walaupun album pertamanya masih belum dipasarkan, Amanda kini sibuk dalam menghasilkan lagu untuk album keduanya pula yang sepenuhnya berbahasa Inggeris pula.

"Saya tahu pasaran album bahasa Inggeris agak susah untuk dipasarkan di sini, tetapi saya ingin fokus kepada penggemar muzik yang urban, pasaran luar negara seperti Singapura dan juga muat turun secara digital," tambahnya.

Pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi dari Kolej SEGi ini juga mempunyai aspirasi yang besar dalam muzik yang dibawanya.

Amanda tidak mahu sekadar menjadi artis yang sekadar menyanyi dan mengutamakan kewangan sahaja, dia mahu dikenali sebagai artis yang mengambil berat tentang alam sekitar, keamanan dunia dan kebajikan masyarakat.

Dia kini dalam perancangan untuk mengadakan konsert amal untuk mencari dana untuk diserahkan kepada rumah kebajikan.

"Buat masa ini semuanya masih dalam perancangan dan saya sedang mencari pihak penaja dan rumah kebajikan yang sesuai," tambah gadis tinggi lampai ini lagi.

Atilia: Konsert duit sendiri

Konsert duit sendiri


ATILIA HARON


BIARPUN industri muzik tempatan semakin matang dengan kelahiran karya-karya muzik berkualiti, namun masih lagi ada genre muzik lain kurang diberi perhatian.

Jazz mungkin antara genre muzik yang menjadi mangsa situasi. Ia dikatakan hanya digemari oleh segolongan kecil peminat sahaja terutamanya pendengar dewasa. Walhal hakikatnya, muzik itu tidak pernah meletakkan sebarang had umur atau kelompok golongan.

Jika mendengar kembali muzik yang semakin digemari ramai hari ini, iaitu jenis easy listening, seperti penyanyi Yuna, Zee Avi dan Jason Mraz sebenarnya ia diinspirasikan daripada jazz sendiri.

Bagaimanapun, jazz masih agak sukar untuk mendapat sokongan sepenuhnya daripada pelbagai pihak lebih-lebih lagi daripada stesen radio tempatan.

Ini membuatkan, penyanyi-penyanyi genre ini terkapai-kapai mencari haluan untuk 'menyertai' kerancakan industri muzik kita.

Namun, dalam usaha penyanyi-penyanyi jazz cuba mendapat tempat dalam industri, Noryn Aziz dan Atilia Haron mungkin boleh dikira bertuah kerana nama mereka masih lagi kuat di persada seni.

Cuma, lagu-lagu mereka kurang dikomersialkan di stesen radio mahupun televisyen.


NORYN memberi persembahan sepenuh jiwa.


Kerana itu, dua penyanyi jelita ini bergabung tenaga untuk memulakan misi mendekati peminat muzik tempatan.

"Bila melihatkan perkembangan muzik sekarang seperti tidak seimbang, kami mencari alternatif lain untuk merealisasikan impian kami.

"Jadi, pentas Lambang Sari, Istana Budaya menjadi titik permulaan untuk saya dan Atilia memulakan siri pertama konsert Malam Nada Biru.

"Dalam konsert ini juga kami telah membawakan lagu sendiri kerana inilah masanya untuk kami mempromosikan lagu-lagu yang ada dalam album memandangkan lagu-lagu kami tidak diputarkan di radio," tutur Noryn.

Tambahnya, sungguhpun pentas Lambang Sari tidaklah sebesar Panggung Sari, mereka berpuas hati kerana masih lagi ada tempat untuk penyanyi jazz seperti mereka menunjukkan bakat.

Bayangkan, sungguhpun mempunyai nama yang besar, mereka masih lagi mempunyai masalah tiada tajaan biarpun sekadar mahu menghasilkan sebuah konsert mini.

Lantas Konsert Malam Nada Biru dianjurkan hasil daripada wang persembahan pentas yang dikumpulkan bersama.

Beritahu Atilia, pada awalnya, dia agak terkilan apabila beberapa pihak yang ditemui enggan menaja konsert itu.

"Walaupun tiada penaja, kami tetap kuat untuk menggerakkan konsert ini. Jadi kami mengeluarkan sebanyak RM40,000.

"Alhamdulillah, pelaburan kami tidak sia-sia. Banyak maklum balas yang kami terima serta jumlah penonton yang hadir juga amat memberangsangkan.

"Tahun depan Malam Nada Biru akan mengumpulkan lebih ramai penyanyi berbakat beraksi di pentas ini," katanya.


KONSERT Malam Nada Biru turut dijayakan oleh pemuzik-pemuzik Mujik Majik.


Menyifatkan konsert Malam Nada Biru sebagai projek kawan-kawan, mereka bersyukur kerana konsert tersebut turut dijayakan oleh pemuzik-pemuzik profesional di bawah Mujik Majik yang menampilkan Eric Lee sebagai pengarah muzik yang turut bermain keyboard. Mujik Majik turut terdiri daripada Sze Wan dan Tok Khon (keyboard), Jamie Wilson (gitar), Lewis Pragasam (dram), Steve Thornton (perkusi), Zailan Razak (bass) serta penyanyi latar, Kumpulan Reetz.

Beritahu Atilia, Malam Nada Biru ternyata berbeza dengan persembahannya di kelab kerana konsert ini memberikan perhatian yang lebih daripada penonton.

"Apa yang saya suka mengenai konsert ini, jika di kelab, penonton akan menyaksikan persembahan kami sambil menjamu selera.

"Tetapi di sini, mereka menghayati lagu yang kami bawakan 100 peratus tanpa gangguan lain,"ujar Atilia.

Selain itu, tambah Noryn pula, mereka lebih bebas beraksi tanpa perlu memikirkan apa yang perlu atau tidak perlu dilakukan.

"Dalam persembahan ini, secara tidak langsung, kami dapat mempamerkan dinamik nyanyian secara tersendiri dan suasana persembahan seperti ini membuatkan kami lebih rapat dengan peminat.

"Sebab itu kami berani membawakan 100 peratus lagu kami sahaja tanpa membabitkan lagu-lagu penyanyi lain. Bahkan, luahan ekspresi muzik juga ternyata berbeza berbanding persembahan-persembahan kami yang lain sebelum ini," katanya yang turut memberitahu konsert itu akan diterbitkan dalam bentuk cakera padat digital (DVD) dan album.


TIARA JACQUELINA turut hadir menyaksikan konsert dua penyanyi jelita ini.


Pada malam konsert tersebut, Atilia tampil pada set pertama dengan membawakan lagu terbarunya seperti Leka, Indah, serta rakaman semula lagu popular ibunya, Salamiah Hassan, Gelombang.

Pada set kedua pula, Noryn membawakan lagu-lagu seperti Cerita Cinta, Alam Maya, Make It On My Own, Kembalikan, Lara, I'm Alright dan Bila-Bila Saja.

Pengacara jelita, Sazzy Falak turut terlibat dalam konsert tersebut sebagai pengacara majlis konsert itu.

Beyonce, Gaga 'berlawan'

Beyonce, Gaga 'berlawan'


LADY GAGA dan Beyonce menjadi tumpuan pada Anugerah MTV.


PENYANYI jelita, Beyonce Knowles dan Lady Gaga mengepalai senarai pencalonan Anugerah Muzik Video MTV tahun ini apabila masing-masing mendapat sembilan pencalonan.

Malah, menariknya kedua-duanya akan berlawan sesama sendiri dalam lapan kategori termasuk Video Wanita Terbaik dan Video Tahunan.

Bintang kontroversi, Britney Spears pula tidak mengecewakan apabila kemunculannya selepas sekian lama sepi tanpa album berjaya mendapat tujuh pencalonan.

Anugerah itu akan dilangsungkan pada 13 September depan di Dewan Muzik Radio Bandar raya New York dengan dihoskan pelawak Britain, Russell Brand.

Green Day dan Pink antara artis yang sudah mengesahkan akan membuat persembahan pada anugerah itu.

Video muzik Beyonce, Single Ladies yang menampilkan tarian yang ringkas namun sarat dengan elemen erotik dan seksi mendapat nominasi bagi tiga kategori utama.