Monday, August 24, 2009

HIBURAN : ISNIN 24 OGOS 2009


Fasa hidup Eja kini berbeza
BARANGKALI berita kehamilan dramatis popular ini bukan lagi saturahsia. Begitu juga dengan cerita perkahwinannya yang pada satu ketikamerupakan berita yang cukup hangat diperdebatkan.


Dulu juruhebah, kini jurunikah
TATKALAmata penulis liar mencari personaliti yang ingin ditemui, tiba-tibapandangan terpaku kepada seorang lelaki yang sedang khusyuk menunaikansolat sunat masjid berhadapan mimbar di Masjid Tengku Kelana JayaPetra, Kelana Jaya, Selangor.


Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra
SEJAKberoperasi bermula 1 Jun lalu, saluran Citra (saluran 131, Astro) yangditawarkan dalam pakej Mustika semakin mendapat perhatian.







Mohon cahaya mata Ramadan
Tanggal 21 Ogos hadir lagi. Tarikh keramat dalam hidup seorang divanegara. Tiga tahun lalu, ia menjadi detik penamat segala spekulasipaling hangat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila DatukSiti Nurhaliza Tarudin sah memilih Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwasebagai lelaki yang bertakhta dalam hatinya.


AC? kenakan AC Mizal
"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan supaya ramai penonton dantetamu faham dengan program ini serta tidak takut lagi apabila kamipanggil untuk turut serta" – AZWIN


Renee mahu lelaki bijak
AKTRES Renee Zellweger hanya akan bercinta dengan lelaki bijak. Diayang baru-baru ini dikatakan menjalin hubungan romantis dengan BradleyCooper mengaku bahawa lelaki itu mempunyai senarai kualiti yangdiperlukan sebagai lelaki idamannya.


Penyanyi minta maaf kerana kokain
LONDON - Penyanyi yang pernah popular semasa menjadi anggota AtomicKitten, Kerry Katona meminta maaf dan malu dengan perbuatannya yangmenagih kokain, lapor sebuah akhbar semalam.


Stewart nyanyi lagu untuk anak
LOSANGELES - Penyanyi terkenal, Rod Stewart mungkin telah membatalkanpersembahannya dalam satu konsert kerana jatuh sakit baru-baru ini.











Sudah berpunya!
RAMADANbertandang lagi tahun ini memberi 1,001 pengertian tersendiri buat kitasemua. Begitu juga kisahnya dengan fasa kehidupan yang sedang dilaluiArtis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006,Farawahida Razali, 24, ketika ini.

Singgah Sabah bukan noktah
FESTIVALFilem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang - melabuhkan tirainya di DewanCanselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini seharusnyamenjadi penanda aras untuk membawa filem tempatan melangkah ke persadamembanggakan tanpa perlu dibelenggu isu kecil yang menghalang semuausaha itu.

Sempena keberkatan Ramadan
RUMAHagam yang terletak di Bukit Antarabangsa di Hulu Klang, pada Jumaatlalu agak meriah berbanding hari biasa. Malah dari jauh lagi sudahkedengaran bacaan ayat-ayat suci memuji kebesaran Ilahi menandakan adaacara sedang berlangsung malam itu.

Zul Eda bakal muncul dengan album baru
NAMANYApernah meniti bibir peminat pada lewat 80-an dan awal 90-an hasilkemasyhuran yang dicipta lagu Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Kelmarin.Lagu dan irama malar hijau itu menempatkan nama penyanyi Zur Eda antarapenyanyi paling dikenali di Malaysia.

Oasis semarakkan Ramadan
MEMASUKItahun kedua, Astro Oasis di saluran 106 kini gah dengan konsepkeagamaan dan kerohanian yang popular ketika ini. Program kerohaniannyayang pelbagai merangkumi bual bicara, drama, kuiz dan menepati citarasa pelbagai usia membuatkan Oasis unggul di kalangan penonton sebagaipilihan kepada apa yang sudah disajikan oleh kebanyakan stesentelevisyen ketika ini.

Dengarnya... Lembing Awang masuk panggung Oktober depan
BARU-BARUini Cik Normah dikejutkan dengan jemputan berbuka puasa daripada sebuahsyarikat filem yang menerbitkan Lembing Awang Pulang Ke Dayang.Terkejut sebab selama ini Cik Normah tidak pernah dihubungi ataudimaklumkan mengenai apa-apa berita berkaitan dengan filem itu.

Dengarnya... Juruhebah radio tak kreatif pada bulan puasa
SYUKURalhamdulillah, masuk hari ini sudah tiga hari kita berpuasa padaRamadan. Daripada cerita rakan setugas Cik Normah, kerja penerbitanuntuk program TV, drama dan filem, khabarnya tetap berjalan sepertibiasa. Cuma rentaknya mungkin diperlahankan. Semuanya terpulanglahkepada penerbit dan pengarah untuk menentukan rentak kerjamasing-masing.

Dengarnya... Apa maksud salam 1Malaysia?
SLOGAN1Malaysia adalah gagasan yang cukup bagus daripada Perdana Menterikita, Datuk Seri Najib Razak. Ringkas, padat, mudah disebut dandiingat, tetapi besar pengertiannya. Cik Normah perasan, iklan slogan1Malaysia boleh ditemui di mana-mana dengan mudah. Kanak-kanak keciljuga sudah hafal dan lancar menyebut 1Malaysia.

Panel TV: Jaafar Onn, Haiza ligat sambut puasa
SETIAPkali tiba Ramadan, hotel terkemuka di seluruh negara tidak melepaskanpeluang mempromosikan juadah berbuka istimewa sepanjang 30 hari penuhkeberkatan.







Doa Siti
KATA nista mahupun gosip liar, nyata Datuk Siti Nurhaliza Taruddin,30, bukanlah orang yang sesuai untuk diuji kerana dia sudah cukup kebaldengan kerenah dunia seni yang penuh ranjau dan duri.

'Sekarang mudah bergelar artis'
FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah sudah pun melabuhkan tirai dengan jayanya pada 9 Ogos lalu.

Prema mahu tempa nama
VOKAL yang lantang dan genre muzik pop rock pilihan, nyata taruhantepat bintang baru Prema Yin. Berusia 23 tahun, gadis jelita ini jugabukan sekadar berbakat dalam nyanyian tetapi waktu sama dia bolehmencipta lagu. Ia terbukti dalam mini albumnya, Eyo Eyo.

Saya bukan gadis liar
APABILA menyebut nama wanita ini, pasti peminat hiburan tanah air tertanya-tanya siapa gerangan di sebalik nama Ramona Zamzam.

THR riuhkan Dungun
KETIKA negeri jiran berdepan ancaman penularan wabak Influenza Aatau selesema babi (H1N1) sehingga menyebabkan penduduk 'takut' keluarrumah, situasi demikian tidak sedikitpun menghalang warga Dungun,Terengganu berkumpul beramai-ramai menyaksikan Konsert Gempak GegarBersama One Drop Perfumes, minggu lalu.

Ramai keliru antara Alif dan Aliff
BERKONGSI pangkal nama yang sama, usia mereka pun hampir sebaya.Malah, kedua-dua pemuda comel yang diperkenalkan menerusi programrealiti serta digilai ramai gadis ini menjadikan nyanyian sebagaikarier pilihan.

DEPAN MATA: Antara aura Siti dan Mawi
TANGGAL 21 Ogos lalu, genap tiga tahun Datuk Siti Nurhaliza, 30,bergelar isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau DatukK. Tentu ramai yang masih ingat detik bersejarah pernikahan Siti diMasjid Wilayah Persekutuan diikuti persandingannya di Pusat KonvensyenKuala Lumpur (KLCC).

Rubiah tidak lokek ilmu
LAKUKAN seikhlas hati, itulah pegangan pelakon veteran, RubiahSuparman, 62, ketika mengambil keputusan berkongsi pelbagai petuamakanan dalam buku resipinya.

SOSEH SOSEH: Sopanlah ketika berbuka puasa
RASA nyaman dan seronok sungguh apabila tiba Ramadan, bulan yangpaling ditunggu seluruh umat Islam di merata dunia. Ramadan, bukan sajabulan di mana kita diberi peluang untuk melipat-gandakan ibadah denganganjaran pahala, malah ia juga dinantikan anak-anak yatim kerana masainilah layanan banyak tertumpu kepada mereka.

SOSEH SOSEH: Lebih sudu dari kuah
BILA artis jelek perangainya, bolehlah kita tegur. Namun bagaimanapula yang berperangai jelek atau memakai pakaian menjolok mata ituadalah emak si artis?

Bercerita sambil mendidik
RAMADAN datang lagi, pelbagai aktiviti dan program disusun sepanjangmenyambut kedatangan bulan penuh keberkatan. Tidak terkecuali programtelevisyen yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan seperti HaiwanTeladan yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat di TV3 bermula hariini, jam 9 pagi (24 Ogos).

Fasa hidup Eja kini berbeza

Fasa hidup Eja kini berbeza


EJA tetap mempertahankan prinsipnya yang dipegang selama 12 tahun menjadi pelakon.


BARANGKALI berita kehamilan dramatis popular ini bukan lagi satu rahsia. Begitu juga dengan cerita perkahwinannya yang pada satu ketika merupakan berita yang cukup hangat diperdebatkan.

Masyarakat dengan cukup mudah melemparkan tuduhan negatif terhadapnya. Pelbagai label dilekatkan kepada dirinya.

Hipokrit dan penipu - itulah antara dua istilah yang diberikan kepadanya. Kata mereka lagi, apabila sudah mengandung, baru hendak beritahu satu dunia bahawa dirinya sudah menjadi seorang isteri.

Memang benar. Orang di luar sana boleh berkata apa sahaja sedangkan tuan empunya diri mempunyai 1001 alasan untuk mendiamkan diri daripada terus melatah mahupun melenting.

Bagi Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 37, sebagai manusia biasa, dia mempunyai hak untuk tidak menceritakan kepada umum dan masyarakat tentang status dirinya mahupun kehidupan peribadinya.

Tegasnya, itulah prinsip hidupnya sejak mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak 12 tahun lalu dan dia sendiri merupakan seorang yang cukup perahsia biarpun kepada ahli keluarganya sendiri.

"Saya bukan seorang yang mudah bercerita dan berkongsi rahsia dengan sesiapa. Malah, bukan mudah juga untuk saya mempercayai sesiapa.

"Selama ini pun, pihak media tahu bahawa saya sudah berkahwin namun atas permintaan saya sendiri, saya meminta dan tidak mahu kisah peribadi saya yang lebih ditonjolkan daripada kisah kerjaya.

"Bagi saya, kerjaya dan peribadi tidak harus dicampuradukkan. Selama ini pun, saya tidak pernah menafikan mahupun mengiyakan tentang status diri saya," demikian luahan Eja sewaktu menjalani sesi fotografi di Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur minggu lalu.

Selama ini pun jelasnya, peminat mahupun masyarakat sudah berkali-kali sedar akan kehadiran lelaki yang bernama Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49, yang sering kali menemaninya di majlis-majlis korporat.

Katanya, apabila ada yang menegurnya di luar dan bertanyakan tentang Silahuddin, Eja tanpa segan-silu memberitahu bahawa lelaki itu adalah suaminya.

Saya juga bertanyakan kepada Eja, seandainya dia tidak mengandung, adakah dia akan terus bersikap mendiamkan diri untuk tidak menghebahkan status dan kisah perkahwinannya.

Sambil tersenyum manis, jawapan yang diberikan adalah dengan menganggukkan kepalanya sahaja.

"Macam saya beritahu tadi. Ia adalah pegangan hidup saya sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke dunia seni. Saya berikrar saya mahu kisah kerjaya ditonjolkan berbanding peribadi.

"Pada masa yang sama, saya harus menjaga nama baik suami serta menghormati imejnya sebagai seorang ahli korporat. Dia juga tidak mahu menonjolkan dirinya kerana baginya, biarlah saya seorang sahaja yang dalam dunia seni.

"Kami mengamalkan sikap toleransi dan menghormati dunia serta karier masing-masing. Dia tidak pernah langsung menghalang karier saya. Disebabkan itu, saya tekad untuk tidak memperdagangkan kisah peribadi," ujarnya dalam nada penuh diplomasi.

Kata Eja lagi, keputusannya untuk tidak bercerita tentang dunia perkahwinannya juga bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu yang negatif.

Apatah lagi, dia mendirikan rumah tangga dengan Silahuddin selepas perkahwinan pertama suaminya itu bersama wanita berbangsa asing menemui titik noktah.

Menerusi perkahwinan pertama, Silahuddin dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Khatijah Jamaluddin, 17, dan Shane Jacob Jamaluddin, 13, yang kini menetap di Sydney, Australia.

"Maaf, saya bukan wanita seperti itu dan buangkan jauh-jauh pandangan skeptikal itu jika ada yang berfikiran demikian," tuturnya sambil memberitahu dia mempunyai hubungan yang sangat baik bersama dua anak tirinya itu.

Rona bahagia dan gembira jelas terpancar di wajah Eja dan sudah cukup membuktikan bahawa dia sedang melalui serta meniti satu fasa baru dalam hidupnya kini.

mangsa fitnah

Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia ini lagi, bukan dia mahu tampil menjernihkan keadaan tetapi dia tidak mahu anak perempuan yang dikandungnya itu menjadi mangsa fitnah di masa hadapan.

Ini kerana baginya, anak merupakan anugerah teragung yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap pasangan yang berkahwin.

Namun, Eja mengakui cabaran mengandungkan anak pertama menjelang usia 40 tahun sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup hebat buatnya.

Apatah lagi, dia sering kali jatuh sakit dan ditambah pula dengan penyakit lelah yang dihidapinya membuatkan pergerakan Eja terbatas.

Malah, untuk mengadakan sesi fotografi bersamanya juga perlu memakan masa yang agak lama memandangkan kesihatannya yang kurang baik sepanjang mengandung.

Dengan penuh jujur Eja mengakui, dia tidak pernah bersedia untuk memiliki anak kerana memikirkan tanggungjawab yang begitu besar yang harus dipikulnya.

"Dulu dan sekarang adalah berbeza. Untuk memiliki anak, bukan satu tugas yang mudah dan ia merupakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya.

"Saya akui pada usia muda, saya tidak bersedia dan takut apabila memikirkan tentang tugas menjadi seorang ibu.

"Tetapi, semakin usia meningkat dan perlahan-lahan barulah hati ini terbuka untuk bergelar seorang ibu. Saya juga mengalami satu kehidupan yang cukup berbeza. Barulah saya tahu bagaimana menjadi seorang ibu," katanya penuh perasaan.

Semuanya bermula apabila dia menjalani penggambaran drama bersiri, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima di Jeddah, Madinah dan Mekah sekitar bulan Oktober dan November tahun lalu.

Dalam masa yang sama, dia sempat menunaikan umrah sebanyak dua kali dan ketika di Tanah Suci, hatinya tiba-tiba menjadi sayu, sunyi dan terasa begitu kosong sekali.

Lantas, dia memohon dan berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan menjawab suara hatinya tentang kekosongan hati yang dialaminya.

Dengan kuasa Allah, hatinya terdetik dan terbuka untuk memiliki anak bagi mengisi kekosongan hatinya.

"Sebaik pulang, saya beritahu suami bahawa saya sudah bersedia untuk memiliki anak dan dia gembira serta menerimanya dengan positif.

"Kemudian kami pergi bercuti ke Amerika Syarikat. Entah mengapa, sejak pulang dari sana saya masih lagi mengidam dan mahu menikmati makanan Barat.

"Saya juga mengalami simptom-simptom ibu mengandung dan apabila membuat pemeriksaan, saya disahkan mengandung. Saya tergamam dan terkejut dan suami pula terus memeluk saya kegembiraan," ceritanya yang membuat keputusan untuk memotong rambutnya ke paras bahu selepas mendapat khabar gembira itu.

Ditanya tentang pemilihan nama anaknya, anak sulung dari lima adik-beradik ini memberitahu, dia dan suaminya sudah memikirkan beberapa nama.

"Percayalah, nama anak kami itu nanti tidak akan ada nama Siti di pangkalnya. Kami mahu kelainan. Cukuplah ibunya sahaja yang ada nama Siti," kata Eja sambil ketawa dan memberitahu berat badannya bertambah sebanyak 10 kilogram sejak mengandung.

Satu yang pasti, kata Eja, Ramadan dan Syawal kali ini memberi makna yang mendalam dan berbeza berbanding sebelumnya.

Untuk pertama kalinya juga, dia akan menyambut puasa dan Aidilfitri di rumah barunya yang terletak di pinggir ibu kota yang kini mengalami pengubahsuaian di peringkat akhir.

Bukan itu sahaja, dia juga cukup seronok sewaktu membeli-belah untuk keperluan anak sulungnya.

Kata Eja lagi, buat pertama kalinya juga apabila berkunjung ke luar negara, tiada satu pun barang yang dibeli untuk dirinya tetapi untuk keperluan anaknya.

"Saya juga bangga kerana sepanjang bulan Ramadan ini, Insya-Allah, saya akan menunaikan solat tarawih dengan penuh biarpun saya tidak mampu untuk berpuasa penuh atas faktor kesihatan.

"Saya juga mahu memiliki anak lagi selepas ini dan kalau dapat sepasang pun, sudah memadai. Namun, itu semua rezeki dan kerja Tuhan. Saya reda dengan apa sahaja ketentuan-Nya," kata pelakon drama bersiri Mya Zara itu yang akan melahirkan bayi sulungnya awal bulan Syawal.

Bagi peminat yang merindui menonton lakonannya di kaca televisyen, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan drama bersiri Wadi Unung yang kini sedang ditayangkan di saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 6 petang.

Dulu juruhebah, kini jurunikah

Dulu juruhebah, kini jurunikah


HELAN Abu (kanan) ketika menikahkan pengantin, Asri Dahalan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor minggu lalu.


TATKALA mata penulis liar mencari personaliti yang ingin ditemui, tiba-tiba pandangan terpaku kepada seorang lelaki yang sedang khusyuk menunaikan solat sunat masjid berhadapan mimbar di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor.

Selesai memberikan salam, dengan pakaian hitam sedondon - bersongkok, berbaju Melayu hitam dan songket hitam, lelaki berusia lebih setengah abad itu bangun dengan tenang mencapai briefcase hitamnya.

Satu demi satu, borang dan buku dikeluarkan daripada begnya dan diatur di atas rehal.

Kemudian dengan tenang dan berhati-hati memeriksa mikrofon, sambil menunggu pasangan pengantin yang akan dinikahkah petang itu.

Walaupun lelaki berusia itu kelihatan berbeza berbanding zaman mudanya dulu, tetapi bagi mereka yang pernah mengikuti rancangan Bakat TV 1971 pasti mengenalinya.

Jika dulu, dia popular sebagai juruhebah, pembaca berita, pengacara rancangan, pengarah drama dan hiburan, dan kelihatan gah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998, namun kewibawaannya masih terserlah.

Tepat pada pukul 3.30 petang, suara 'lelakinya' memecah sepi ruang masjid tatkala membacakan lafaz nikah untuk pasangan pengantin, Asri Dahalan, 28, dan Amirah Che Zakaria, 27.

Bagaimanapun, tatkala pengantin lelaki melafazkan penyerahan mas kahwin dan lafaz penerimaan mas kahwin oleh pengantin perempuan, tiba-tiba seorang tetamu yang hadir menyedari jurunikah berkenaan sambil bertanya kepada penulis.

"Jurunikah itu dulu orang RTM kan,?" tanya tetamu pengantin lelaki.

Setelah penulis mengiakan teka-teki itu, sambil ketawa kecil si tetamu wanita itu berkata:

"Patutlah lafaz penyerahan dan penerimaan mas kahwin macam skrip drama TV. Rupa-rupanya orang RTM. Cantik dan menarik sungguh bait-bait ayatnya," kata wanita berkenaan sebaik sahaja selesai majlis tersebut.

Jurunikah yang dimaksudkan itu ialah Mohd. Helan Abu, 66, atau lebih dikenali Helan Abu, iaitu satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang penyiaran terutama dalam menerbitkan rancangan hiburan dan drama di RTM sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Tetapi itu adalah cerita 38 tahun dahulu, ketika Helan Abu menjadi salah seorang kakitangan RTM dengan jawatan akhirnya Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998.

Bagaimanapun, sejak 2003, Helan yang juga suami kepada Khatijah Churaimi, 63, lebih selesa duduk di rumah selain menjadi Penolong Pendaftar Nikah setelah ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Ayah kepada Mohd. Helme, 39, Mohd. Herie, 35, Mohd. Hezle, 34, Mohd. Hefze, 27, Siti Herne, 21, dan datuk kepada tujuh orang cucu ini ketika ditanya mengenai tugas barunya itu, berkata:

"Walaupun sebelum ini saya pernah memegang pelbagai jawatan, tetapi tugas sebagai jurunikah ini begitu mulia. Sebabnya melalui tugas ini saya dapat menghalalkan yang haram."

Sepanjang lima tahun diamanahkan dengan tugas itu, Helan sehingga kini telah menikahkan lebih daripada 100 pasangan termasuklah dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada, Pakistan, Somalia dan India.

"Keseronokan menjalankan tugas ini berbeza daripada keseronokan ketika di RTM. Selalunya selepas menikahkan pasangan pengantin, saya dapat rasakan seolah-olah beban di kepala saya hilang tiba-tiba.

"Bayangkan, mereka yang kita nikahkah sebelum ini melalui pelbagai fasa sebelum mengambil keputusan bernikah.

"Selepas ijab kabul, tiada apa yang merunsingkan pasangan dan Alhamdulillah kebanyakan pasangan yang saya jumpa sudahpun beranak pinak," cerita Helan ketika ditemui selepas majlis pernikahan Asri Dahalan dan Amirah Che Zakaria baru-baru ini.

Sebelum dilantik sebagai Penolong Pendaftar Nikah, Helan yang merupakan seorang daripada lima calon terpaksa melalui peperiksaan untuk melayakkan diri.

Antaranya ujian bertulis di samping membaca ayat-ayat suci al-Quran yang dinilai bacaannya daripada segi tajwid, balaghah, harakat dan fasaha.

Kini walaupun sudah ditauliahkan, dan telah mengikuti lebih daripada 30 kursus agama yang dikendalikan JAIS, Helan masih mengikuti kursus yang diadakan dari semasa ke semasa.

Saat kegemilangannya

Bercakap mengenai saat kegemilangannya di RTM, Helan Abu yang pernah dianugerahkan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang DiPertuan Agong mengakui, banyak kenangan manis yang pernah diraihnya.

"Sepanjang menceburi bidang penyiaran, tahun 1977 mencatatkan kenangan manis dalam hidup saya kerana tiga buah drama arahan saya Pincang, Condong dan Hujan dicalonkan pada Anugerah Seri Angkasa '77 (ASA 77)," katanya mengimbas kenangan silam.

Pincang benar-benar meninggalkan kenangan manis kepada Helan apabila ia memenangi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Menara Condong pula memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sidek Hussin dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Nuri Angkasa.

Drama Hujan memenangi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Iskandar Dzulkarnain dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Noraini Hashim.

Selain itu, Helan juga bertindak sebagai penerbit drama PJ yang mana konsepnya seperti soap opera popular pada tahun 1980-an iaitu Dallas dan Dynasty.

"Drama 10 episod itu diarahkan oleh Yassin Salleh dan memang mendapat sambutan kerana ia memaparkan realiti kehidupan golongan korporat dan elit. Bagaimanapun, selepas 10 episod ia dihentikan," cerita Helan.

Bagaimanapun, ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, sesuatu yang tidak boleh dilupakan apabila RTM diheret ke mahkamah kerana sebuah soap opera yang ditayangkan di stesen itu.

"Drama itu memang sudah dibeli oleh RTM tetapi bayaran hanya akan dibuat setelah ditayangkan. Namun kerana arahan seseorang, pihak RTM tidak menayangkan siri tersebut.

"Namun, apabila mendapat tahu pihak pembekal akan mengambil tindakan undang-undang, RTM menayangkan siri itu.

Titik hitam

"Sayangnya baru episod ke-66 daripada 200 episod ditayangkan, kami mendapat perintah dihentikan kerana pembekal mengambil tindakan mahkamah. Akhirnya apabila tamat perbicaraan mereka menang dan mendapat ganti rugi," cerita Helan tatkala menyingkap titik hitam yang tidak boleh dilupakan.

Selain drama, Helan juga pernah menerbitkan Hiburan Minggu Ini (HMI), yang memang diminati kerana hiburan yang ditampilkan bukan setakat nyanyian sahaja.

Sebaliknya, Helan menampilkan sisi lain seseorang penyanyi itu - bukan setakat boleh menyanyi, malah berlakon, menari dan berlawak.

"Saya masih ingat, HMI yang saya terbitkan sekembalinya saya dari Sarawak setelah dua bulan ditugaskan di sana, ialah Sarena Hashim pada tahun 1976.

"Dalam program yang disiarkan setiap malam minggu itu, Sarena dengan suara manjanya bukan setakat menyanyi malah dia turut berlawak, berlakon dan juga menari.

"Enam minggu berturut-turut Sarena menjadi hos HMI itu dengan artis undangan istimewanya, allahyarham Biduan Negara, Puan Sri Saloma dan Seniwati Datin Saadiah.

"Memang HMI ketika itu menjadi satu rancangan yang dinantikan peminat hiburan. Lagipun ketika itu saluran TV tidak banyak begitu juga artis. Jadi kemunculan mereka memang sentiasa dinanti-nantikan," kata Helan yang bertindak sebagai penulis skrip, pengarah dan penerbit HMI berkenaan.

Menyingkap penglibatan awalnya di RTM, Helan memulakan kerjayanya sebagai juruhebah radio pada awal 1970an.

Selain itu beliau juga mengendalikan program era pop yeh yeh seperti Gelanggang, Irama Rancak, Muzik Muda Mudi dan Temasya Muda Mudi.

Selain tugas rutinnya, Helan juga ditugaskan membaca berita, penyampai rancangan dan berlakon drama.

Bakat dan kebolehannya dalam bidang penerbitan membuatkan beliau berpeluang mengikuti pelbagai kursus penyiaran antaranya kursus penerbitan TV di BBC, London, kursus penyiaran di Amerika Syarikat, kursus penyiar kanan di Kanada.

Selepas bersara kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang penyiaran, Helan dilantik menjadi jururunding kepada syarikat penerbitan Jutaria Sdn. Bhd., pada tahun 1999 yang menerbitkan rancangan-rancangan animasi seperti Sang Wira, Badang, Rimba dan Jurnal Perubatan.

Selepas empat tahun bersama Jutaria, Helan bekerja dengan Konsortium Telemal Sdn. Bhd., yang dianggotai oleh lapan buah syarikat penerbitan dengan mengeluarkan 300 jam program TV setahun sehingga 2007.

Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra

Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra


NOR Aliah Lee (kiri) dan Amy Mastura dalam satu babak filem Puteri Impian.


SEJAK beroperasi bermula 1 Jun lalu, saluran Citra (saluran 131, Astro) yang ditawarkan dalam pakej Mustika semakin mendapat perhatian.

Ternyata, pembaharuan serta perbezaan yang ditampilkan dari segi kandungan yang ditawarkan menerusi Astro Citra sememangnya menarik perhatian ramai untuk melanggannya.

Tidak mahu kandungannya sama seperti saluran Astro yang lain, Astro Citra cuba mengorak langkah dengan menayangkan drama-drama yang mempunyai pendekatan berbeza daripada apa yang ditawarkan di saluran lain.

Sebagai contoh, Astro Citra menerusi slot Suatu Ketika... misalnya cuba membawa penonton menyelami kisah yang berlaku di sebalik sejarah silam, mitos mahupun personaliti atau tokoh yang terlibat dalam kisah-kisah berkenaan.

Drama pertama yang ditayangkan menerusi slot tersebut iaitu Warkah Terakhir yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan tokoh sejarah bernama Rosli Dhobi telah mendapat respons yang cukup positif.

Rata-rata memuji kualiti dan pengisian drama tersebut sekali gus menjadikan Astro Citra sebagai pemangkin kepada karya yang penuh dengan informasi menerusi drama yang ditayangkan.

Setidak-tidaknya, kandungan drama di Astro Citra tidaklah hanya menampilkan kisah cinta dan konflik keluarga yang klise.

Malah, dengan slot Suatu Ketika... ini juga ia memberikan satu cabaran baru kepada pembikin dan pengkarya tempatan untuk menghasilkan karya yang di luar norma kehidupan biasa.

Untuk itu juga, sempena menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan yang ke-52 pada 31 Ogos ini, Astro Citra sekali lagi akan menayangkan Warkah Terakhir.

Mungkin ada yang akan bertanya mengapa perlu ditayangkan semula Warkah Terakhir dan tidak dengan drama baru yang menepati tema kemerdekaan.

Sewaktu bertemu dengan Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi di Wisma Penyayang, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini, beliau memberitahu, pengisian Warkah Terakhir dilihat bertepatan bagi meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

"Kami mengambil keputusan untuk menayangkan semula Warkah Terakhir kerana ia adalah tentang kisah perjuangan dan pengorbanan seorang pejuang bangsa untuk negaranya.

"Sekali gus, kami di saluran ini mahu memberi pendedahan kepada penonton yang selama ini mungkin tidak tahu atau lupa akan pengorbanan Rosli Dhobi.

"Ini adalah salah satu cara kami untuk sama-sama memeriahkan serta merancakkan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini," ujarnya yang sudah dua tahun berkhidmat bersama Astro.

Warkah Terakhir mengambil kisah daripada kandungan surat terakhir yang ditulis oleh pejuang kelahiran Sarawak itu kepada keluarganya sebelum dihukum gantung.

Diterbitkan sebanyak lapan episod, drama mini tersebut menampilkan Beto Kushairy sebagai Rosli Dhobi dalam drama yang diarahkan olehWan Hasliza Wan Zainuddin itu.

Ia turut dikuatkan lagi dengan barisan pelakon lain seperti Sazzy Falak, Nam Ron, Ramli Hassan, Melissa Maureen Rizal, Sherie Merlis dan Juliana Evans.

Untuk sambutan merdeka ini, Warkah Terakhir akan ditayangkan secara maraton pada 30 dan 31 Ogos ini secara berperingkat.

Pada 30 Ogos, sebanyak empat episod akan ditayangkan secara berturut-turut bermula pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

Lebihan empat episod lagi, akan ditayangkan pada hari keesokannya pada waktu yang sama.

Menyambung bicara, Sharlyza ternyata teruja dan gembira dengan sambutan yang diberikan terhadap slot berkenaan apabila ramai penerbit yang mahu menyumbang idea serta karya masing-masing.

Selepas Warkah Terakhir, dua drama yang mengisi slot berkenaan ialah Ibu Ampunkan Aku dan Darah Putih Darah Suci yang kisah Si Tanggang dan Mahsuri.

"Kami sebenarnya mengalu-alukan dan membuka peluang kepada semua penerbit untuk tampil dan bekerjasama dengan kami.

"Soal favouritisme langsung tidak wujud. Tetapi apa yang kami utamakan adalah kualiti baik dari segi skrip dan mutu penerbitan.

"Sudah pasti, sebagai penyiar ia merupakan perkara yang tidak boleh langsung dikompromi," ujarnya lagi.

Selain untuk sambutan hari merdeka, Astro Citra turut meraikan bulan Ramadan dengan memperkenalkan slot Cinema Sahur yang akan menayangkan filem-filem tempatan pada pukul 4.30 pagi.

Menariknya, sepanjang 30 hari di bulan Ramadan penonton saluran Astro Citra akan berpeluang menonton filem-filem tempatan yang berbeza setiap hari.

Selain filem terbaru, filem-filem terbitan awal dan pertengahan 90-an juga akan ditayangkan.

Antaranya ialah Selubung, Hati Bukan Kristal, Puteri Impian, Baginda, Penghujung Malam dan yang terbaru seperti Susuk, Antoo Fighter, Wayang, Anak Halal, Pensil, Tipu Kanan Tipu Kiri dan Cicak-Man 2: Planet Hitam.

Ditanya mengenai pandangan masyarakat yang mengkritik penayangan filem-filem yang sama setiap masa, Sharlyza memberikan jawapannya dengan penuh optimis.

Terangnya, buat masa ini apa sahaja filem yang ditayangkan di Astro Citra adalah berdasarkan koleksi yang ada dalam simpanan Astro.

Bukan itu sahaja, penerbitan 12 hingga 25 buah filem tempatan setahun juga sedikit sebanyak menjadi halangan untuk pihaknya mendapatkan hak penyiaran di televisyen.

"Masyarakat harus faham bahawa industri perfileman kita bukan seperti di Hollywood mahupun India yang menerbitkan beratus-ratus filem setahun.

"Disebabkan itu juga, untuk slot Cinema Sahur kami tidak mampu untuk menayangkan filem-filem bercorak kerohanian dan keagamaan kerana tidak banyak filem-filem berkenaan," katanya.

Siti Nurhaliza : Mohon cahaya mata Ramadan

Mohon cahaya mata Ramadan




Tanggal 21 Ogos hadir lagi. Tarikh keramat dalam hidup seorang diva negara. Tiga tahun lalu, ia menjadi detik penamat segala spekulasi paling hangat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sah memilih Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sebagai lelaki yang bertakhta dalam hatinya.

Begitu pantas masa berlalu, tiga hari lalu Siti, 30, bersama suaminya meraikan kembali detik bersejarah itu. Saat gemilang menyatukan dua jiwa.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tanggal 21 Ogos tahun ini ternyata lebih bermakna buat penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh itu.

Jika tahun pertama ulang tahun perkahwinan mereka diraikan dengan pelbagai persembahan di sebuah hotel, tahun kedua disambut dengan majlis doa selamat di rumah, malam Sabtu lalu ulang tahun ketiga menyaksikan pasangan itu mengambil keberkatan Ramadan dengan mengadakan majlis sembahyang Tarawih di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.

"Kebetulan kali ini tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada malam 1 Ramadan sebab itu kami adakan majlis doa selamat dan disekalikan dengan sembahyang Tarawih.

"Kali ini memang Siti rasa ulang tahun kami lebih istimewa kerana kami dapat meraikan dan mendapatkan keberkatan bulan Ramadan," ungkap Siti mengenai majlis malam itu yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.

Mengenakan persalinan baju kurung moden rona hitam putih, Siti memberitahu, beliau berharap keberkatan Ramadan akan menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangganya dengan suami tercinta.

"Sudah tentunya banyak perkara yang Siti harapkan daripada keberkatan Ramadan ini. Siti mendoakan agar kebahagiaan rumah tangga kami bertambah-tambah. Macam suami cakap biar sampai akhir hayat, biar sampai ke alam syurga.

"Kedua, Siti memohon agar rezeki yang lebih murah untuk keluarga kami dan ketiga sudah tentunya Siti mendoakan juga kehadiran cahaya mata sebagai penyeri kehidupan bersama suami," ujar Siti jujur.


SITI dan Khalid melihat jambangan bunga yang diterima sempena ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.


Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti menjelang Aidilfitri, Siti turut mengakui rahmat Ramadan juga tidak mahu dilepaskan dengan memperbanyakkan amalan kebajikan melalui Yayasan Nurjiwa.

Sibuk melayan lebih 200 tetamu yang hadir pada majlis doa selamat dan solat Tarawih di kediaman mereka, Khalid yang kemudian duduk di sebelah Siti menambah : "Tiga tahun berlalu dengan begitu cepat. Pejam celik, pejam celik sudah tiga tahun. Saya rasa seperti baru semalam kami berkahwin," gurau Khalid, 50.

Tambah leaki yang terkenal dengan panggilan Datuk K, beliau telah melalui hari-hari yang sangat membahagiakan sejak menyunting Siti sebagai suri dalam hidupnya.

"Kehidupan saya dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang.

"Syukur di atas kehidupan indah ini. Ia satu anugerah daripada Allah buat saya. Saya berdoa agar kehidupan kami akan terus dan bertambah bahagia.

"Tidak ketinggalan sudah tentu kami mengharapkan Siti akan dapat menimang seorang cahaya mata."


SITI bahagia di sisi suami tercinta biarpun dalam tempoh tiga tahun pelbagai ujian perlu ditempuhi mereka.


Mengenang kembali perjalanan mahligai cinti yang dibina selama tiga tahun itu sambil senyuman tidak pernah lekang di wajahnya, Siti mengakui dalam tempoh tersebut memang bukan sedikit ujian dan liku-liku dugaan yang cuba menggegarkan hubungan mereka suami isteri.

Sudah menjadi resam dunia glamor, gosip dan kontroversi memang tidak pernah lekang dalam kehidupan selebriti apatah lagi penyanyi nombor satu negara seperti Siti.

"Macam-macam khabar angin dan gosip yang disebarkan, entahlah Siti tunggu juga apa pula gosip selepas ini. Tetapi hakikat, gosip seperti itu jugalah yang merapatkan lagi hubungan kami," luah Siti.

Sepanjang tempoh tiga tahun ini, antara gosip yang pernah difitnah kepada pasangan itu termasuklah Siti pernah dipukul Khalid, selain ahli perniagaan itu dikatakan memadukan Siti apabila mendiri rumah tangga dengan seorang pramugari.

"Saya bersyukur Siti tidak melatah dan tidak stres dengan satu demi satu gosip yang difitnah ke atas kami. Sebaliknya, kadang-kadang saya yang jadi tertekan.

"Tetapi Siti pandai menuetralkan gosip. Ikutkan hati memang tidak mahu layan, tetapi bila orang bertanya kita terpaksa jawab. Harapnya tidak adalah lagi fitnah selepas ini," pinta Khalid yang selalu diusik sebagai lelaki bermisai tebal.


IBU Khalid, Siti Zainab Hanafi (dua dari kanan) dan ibu Siti, Siti Salmah Bachik turut hadir pada majlis ulang tahun ketiga Siti dan suaminya di Bukit Antarabangsa.


Ditanya tentang resipi kebahagiaan rumah tangga mereka yang mungkin boleh menjadi panduan masyarakat di luar, Siti tidak berahsia bahawa dalam alam perkahwinan perlu ada tolak ansur.

"Sebenarnya ada pasangan artis lain yang bertahan lebih lama dan boleh dijadikan rujukan.

"Tetapi kalau bagi Siti sendiri, yang penting dalam alam rumah tangga kita perlu terima setiap pasangan kita seadanya. Kita perlu terima baik buruk dia, barulah kita jadi seorang isteri yang bersyukur," kongsi penyanyi yang popular dengan lagu seperti Di Taman Teman dan Di Kayangan Kita.


SITI dan Khalid memotong pulut kuning sambil diperhatikan oleh ahli keluarga mereka.


Mencelah jawapan isterinya, Khalid memberitahu, beliau belajar untuk menyesuaikan diri dengan perasaan bahawa Siti adalah milik masyarakat.

"Lelaki biasanya ada perasan possesive (memiliki dan cemburu). Menjadi suami kepada Siti Nurhaliza, saya belajar untuk menerima hakikat Siti adalah penyanyi kesayangan masyarakat.

"Namun, yang penting membuatkan hubungan kami terus kekal bahagia, Siti tidak lupakan suaminya. Dia (Siti) hanya memikirkan saya difikirannya setiap masa," luah Khalid.

Dipuji begitu Siti mengakui dalam kesibukan kerjaya masing-masing, mereka tidak pernah lupa saling berhubung.


SITI (tiga dari kiri) berpelukan dengan jemaah wanita selepas sembahyang Isyak dan Tarawih di kediamannya di Bukit Antarabangsa.


Itu menjadi tanda mereka sentiasamengingati dan mengambil berat.

"Ada masanya belum Siti telefon suami, dia (Khalid) sudah telefon terlebih dahulu. Siti akan bagi tahu yang Siti baru hendak telefon dia.

"Mungkin sudah naluri suami isteri, masing-masing tidak pernah putus berhenti saling mengingati," ungkap Siti lagi.

Ramadan ini selain ke Melbourne, Australia menghantar anak ketiga Khalid, Mohd. Ashraf menyambung pengajian di sana, pasangan itu juga dijangka menunaikan umrah bersama di Tanah Suci.

AC? kenakan AC Mizal

AC? kenakan AC Mizal

"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan supaya ramai penonton dan tetamu faham dengan program ini serta tidak takut lagi apabila kami panggil untuk turut serta" – AZWIN


AC? menjadi program terbaru dihoskan AC Mizal selepas enam musim bersama program AC Di Sini.


KELAT, masin, terkilan ataupun sedih, semua perasaan berbaur itu sebenarnya sudah jauh daripada fikiran pelakon dan pengacara terkenal AC Mizal.

Demi menciptakan pembaharuan bimbang peminat bosan dengan program AC Di sini yang sudah mencecah enam musim, nama program yang mengangkat kemunculannya sebagai pengacara mulut laser terpaksa ditukar.

Program AC? kini menjadi bayi baru AC Mizal apabila tampil dengan lebih ceria dan kreatif.

Begitupun, AC tidak dapat mengelak perasan terkilan apabila satu karakter yang cukup digemarinya, Che Mat Poi atau CMP terpaksa dilupakannya.

"Sedih memanglah sedih. Watak CMP sangat sinonim dengan saya. Hanya CMP sahaja yang boleh buat gelagat orang tua yang minat hip hop, gila-gila dan punya dialek yang pelik. Saya sangat sayangkan karakter itu tapi demi kelainan, saya bersetuju.

"Lagipun, konsep baru yang dipersembahkan menerusi AC? sangat kena, dekat dan mengikut rentak saya. Ini gaya AC Mizal. Saya boleh katakan, inilah program saya. Segala kata putus diperolehi hasil perbincangan bersama dan saya sangat seronok dengan pasukan AC? Kami serasi dan membesar bersama sejak program AC Di Sini dimulakan," jelas AC Mizal panjang lebar tentang penjenamaan semula AC Di Sini yang ditukar judul menjadi AC?

Sejak memulakan musim baru pada Jumaat, 7 Ogos lalu, tiada lagi tagline 'AC di mana, AC di sini, sempoi!' Sebaliknya, AC Mizal hanya perlu menjerit 'AC!' manakala penonton membalasnya dengan ungkapan, 'sempoi!'.

"AC? Sempoi! Hanya itu yang menjadi tagline kemunculan AC selepas enam musim mengendalikan AC Di Sini. Kami fikir, untuk tujuan kelainan dan pembaharuan, nama program AC? sahaja sudah melengkapi keseluruhan intipati program," kata Penerbit AC?, Azwin Kamarul Zaman.

AC Mizal sendiri melabelkan program terbarunya itu lebih bersifat peribadi apabila team produksi program tersebut memberikan kebebasan kepadanya untuk melakukan apa sahaja mengikut idea dan daya kreativiti sendiri.

"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan dalam program AC? supaya ramai penonton dan tetamu faham dengan program ini. Yang penting mereka tidak takut lagi apabila kami panggil untuk turut serta di pentas.

"Sekarang, saya baru diberi peluang, saya bebas untuk melontarkan idea dan bakat yang terpendam," katanya ketika di temui semasa program AC? di Astro, Bukit Jalil.

Program yang sangat sesuai dengan karakter AC Mizal, Azwin memberitahu AC? bermaksud 'apa cerita' selain ia merupakan nama AC sendiri.

Untuk musim baru ini, AC? turut menyediakan Kaunter AC yang membolehkan sesiapa sahaja terdiri daripada penonton untuk bertanyakan apa sahaja soalan kepada tetamu jemputan.

"Segmen Kaunter AC memberikan sesuatu perkara baru yang orang tak pernah buat," ujar AC mengenai kelainan yang ditonjolkan dalam program barunya.

Garaj lelong barang artis

Selain itu, penonton juga akan dihidangkan dengan segmen Garaj AC yang diletakkan di akhir program.

Yang menariknya, segmen itu akan memberi peluang kepada para artis dan selebriti untuk melelong barang-barang mereka yang mempunyai nilai-nilai sentimental kepada tetamu di luar mahupun di luar studio.


DARI kiri: Tetamu jemputan AC? Kamal Adli, Fizo Omar dan Alyah dalam rakaman program itu di Bukit Jalil baru-baru ini.


"Kami tidak mahu guna galeri sebab tidak mahu ia nampak terlalu formal, jadi garaj lebih sesuai selari dengan tagline sempoi.

"Dalam rakaman yang telah dibuat, Faizal Tahir datang membawa gincu yang digunakan semasa dia menulis huruf 'S' di dadanya sehingga 'diband'. Adibah Noor pula menghadiahkan gigi palsu untuk disimpan dalam Garaj AC. Di hujung musim program, semua barangan itu akan dijual dan hasil kutipannya akan disumbangkan ke badan kebajikan," jelas Azwin lagi.

Ditanya kenapa program AC? kurang panas seperti AC Di Sini yang gemar memilih artis yang dibayangi kontroversi sebagai tetamu di studio, AC dan Azwin ada alasan tersendiri.

Kata Azwin, AC? tidak akan dicorakkan sebagai sebuah program gosip dan isu semasa sebaliknya bersifat matang dan terbuka serta tidak mati ditelan zaman.

"Sesuai dengan strategi di Astro sendiri yang banyak mengulang tayang program-programnya, kami tidak mahu AC? menjadi basi apabila ia diulang tayang pada kemudian hari.

"Walaupun begitu, artis dan isu yang dibawa ke studio juga relevan dengan isu semasa. Mereka bercakap tentang karier serta isu yang pernah dihadapi," tambah Azwin lagi.


BERBEZA dengan program AC Di Sini dahulu, program AC? menampilkan tetamu khas seperti kehadiran penjinak ular ini.


Bagi AC Mizal sendiri, pendekatan baru AC? itu lebih cenderung untuk menampilkan nilai artis yang dibawa ke studio.

"Saya bukan mahu jadi bintang atau apa sahaja dalam program saya. Bintang dalam program itu adalah artis yang datang ke studio.

"Pendekatan itu juga akan membuatkan artis selesa untuk bersedia diundang sebagai tetamu. Sebelum ini, ada artis yang menolak untuk menyertai AC Di Sini kerana tidak mahu menjawab soalan yang bakal diajukan.

"Ada juga artis datang sebagai tetamu tetapi tidak memberikan jawapan yang mahu didengar oleh penonton apabila berdepan soalan panas. Jawapan sekadar ala-ala sahaja, itu yang kami tidak mahu," tegas AC Mizal.

AC Mizal takut ular

Sedia untuk mengenakan tetamu jemputannya dengan soalan-soalan panas namun, menariknya program AC? apabila tetamu jemputan juga boleh mengenakan AC Mizal.


AC MIZAL sanggup mengorbankan judul program kesayangannya AC Di Sini kepada AC? demi menciptakan pembaharuan.


Pada rakaman baru-baru ini ternyata AC Mizal teruk diusik tetamunya yang terdiri daripada Kamal Adli dan Fizo Omar apabila krew terbitan telah menjemput Raja Ular bersama beberapa ekor ular seperti tedung selar dan ular sawa bagi mengisi segmen Wow!

"Saya memang takut ular, ini semua kerja penerbit dan team program ini yang mahu mengenakan saya pula sebab asyik saya sahaja yang mengusik tetamu di studio.

"Mereka ini (Kamal dan Fizo) bukan main lagi bila dapat peluang mengusik saya. Takpa, inilah AC? dalam program ini, tetamu saya bebas buat apa sahaja," kata AC Mizal sambil membuat aksi geli-geleman kerana masih teringatkan ular-ular yang melingkar di depan matanya.

Program AC? disiarkan pada setiap Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Renee Zellweger mahu lelaki bijak

Renee mahu lelaki bijak




AKTRES Renee Zellweger hanya akan bercinta dengan lelaki bijak. Dia yang baru-baru ini dikatakan menjalin hubungan romantis dengan Bradley Cooper mengaku bahawa lelaki itu mempunyai senarai kualiti yang diperlukan sebagai lelaki idamannya.

"Apa yang saya cari mengenai seorang lelaki adalah benda yang sama apabila saya memilih kawan. Saya mencari orang yang baik hati dan bijak. Saya suka mereka yang mengambil berat terhadap masa depan mereka. Elemen humor, cerdik dan jujur adalah penting. Jika ditambah dengan wajah yang cantik atau kacak, itu lebih baik," kata Renee.

Renee dan Bradley dilaporkan mula bercinta sejak bulan lalu selepas mereka berdua kelihatan mesra di dalam sebuah restoran mewah New York, Antonucci. Renee, 40, turut mendedahkan bahawa dia sedang menjalani kehidupan yang bahagia.

Menurut seorang saksi, "Bradley menarik kerusi Renee apabila dia hendak duduk dan mencium tangannya. Jika mereka hanya berkawan, kelakuan mereka pasti tidak semesra itu. Sepanjang makan malam, mereka berdua kelihatan intim.

"Renee asyik bermain dengan rambutnya dan sering menyentuh tangan Bradley. Pada suatu ketika, Bradley berbisik dengan Renee seperti ingin memberitahu rahsia. Dia bercakap dekat kepada telinga Renee dan mereka mula ketawa."

Penyanyi anggota Atomic Kitten, Kerry Katona minta maaf kerana kokain

Penyanyi minta maaf kerana kokain


GAMBAR rakaman video menunjukkan Katona menyedut kokain menerusi wang kertas.



KATONA


LONDON - Penyanyi yang pernah popular semasa menjadi anggota Atomic Kitten, Kerry Katona meminta maaf dan malu dengan perbuatannya yang menagih kokain, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, dia bimbang akan hilang hak penjagaan anaknya kecuali tabiat menagih kokain itu ditinggalkan.

Penyanyi berumur 28 tahun itu menyatakan dia berasa kehidupannya musnah selepas imej video yang menunjukkan dia menyedut serbuk putih dipercayai kokain di rumahnya disiarkan 12 hari lalu.

Katona mendedahkan dia merancang untuk menjalani rawatan sebagai usaha untuk menyelamatkan kerjaya nyanyian dan kehidupannya.

"Saya meminta maaf dan malu dengan tindakan saya. Saya mengetahui saya mengecewakan orang ramai seperti peminat, keluarga dan mereka yang bekerja dengan saya.

"Ia merupakan detik kelemahan dan kebodohan saya dan saya berasa amat kesal," kata Katona.

Katona mendedahkan ibunya memperkenalkan dadah kepadanya semasa dia berumur 14 tahun.

Dia mengambil kokain buat pertama kalinya pada majlis perkahwinanya semasa dia berumur 17 tahun.

Pengakuan itu dibuat beberapa jam selepas dia tiba di London selepas bercuti bagi mengelak diri daripada menjadi tumpuan berhubung isu kokain. - Agensi

Stewart nyanyi lagu untuk anak

Stewart nyanyi lagu untuk anak


STEWART dan anaknya, Kimberly.


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Rod Stewart mungkin telah membatalkan persembahannya dalam satu konsert kerana jatuh sakit baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi itu yang popular dengan lagu Da Ya Think I'm Sexy? masih mampu mengingati tarikh lahir anaknya apabila dia menyanyi lagu untuk anak perempuannya, Kimberly dalam satu rakaman video.

Stewart meminta ibu Kimberly, Alana membawa video rakaman dia menyanyikan lagu itu dari Amerika Syarikat (AS) untuk anaknya yang menganjurkan sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-30 di Pantai Blanket Babylon, Notting Hill, England.

Alana berkata: "Saya tiba pada waktu pagi dan Kimberly berasa amat terkejut kerana dia sebelum ini tidak pernah melihat saya bagi tempoh yang lama."

Dia turut menyatakan Stewart yang kini merupakan bekas suaminya cuma menghidap penyakit tekak. - Agensi