Saturday, July 18, 2009

Selamat tinggal Neverland

Selamat tinggal Neverland


GAMBAR fail pintu masuk utama ke Neverland ketika zaman kemegahannya, suatu ketika dahulu.


MESKIPUN upacara penghormatan terakhir Raja Pop, Michael Jackson di Staples Center, Los Angeles pada 8 Julai lalu berlangsung penuh gemilang, pemergian ikon muzik dunia itu masih meninggalkan misteri kepada seluruh masyarakat dunia.

Siapa sangka hayat penghibur yang dinobatkan sebagai paling berjaya sepanjang zaman dan cukup gigih menyampaikan mesej keamanan melalui lagu-lagunya mengakhiri riwayatnya dengan seribu 'kekusutan'.

Bukan sahaja punca kematian yang diragui, malah lokasi sebenar persemadian penyanyi yang pernah memenangi 13 anugerah Grammy itu juga masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.

Keadaan itu bertambah 'sulit' berikutan pengurusan jenazah secara tertutup oleh pihak keluarga, ditambah dengan keengganan jurucakap keluarga mengulas laporan media yang mendakwa jenazah dibawa ke satu lokasi rahsia.

Yang jelas pada pandangan umum, penghormatan kepada Jacko telah dilakukan secara besar-besaran dengan persembahan artis yang merupakan teman-teman rapatnya seperti Stevie Wonder, Mariah Carey dan Lionel Richie.

Tidak kurang juga yang membuat kesimpulan bahawa kesulitan hidup yang dialami Jacko mempunyai kaitan dengan segala dakwaan, realiti dan spekulasi yang dilemparkan kepada beliau sebelum ini.

Selepas tragedi 25 Jun lalu, satu-satunya saksi yang menyaksikan penderitaan hidup Jacko mungkin adalah kediaman fantasinya yang terletak di Santa Barbara County.


PANDANGAN bahagian depan rumah utama di ladang ternak Neverland yang pernah menjadi kediaman Michael Jackson.


Lebih dikenali sebagai Neverland Ranch, tanah yang terbentang seluas 1,000 hektar di California, Amerika Syarikat itu juga adalah lokasi yang sepatutnya menjadi tempat 'rehat' Jackson selepas beliau menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, disebabkan peraturan dan undang-undang pemilikan aset yang bertukar milik, tidak mungkin Neverland kekal menjadi tempat simpanan jasad Jacko.

Namun, semua mengetahui bahawa bekas ladang ternak itu menyimpan seribu satu nostalgia Jacko. Ia juga adalah titik permulaan kepada sejarah hitam yang mengaitkannya dengan jenayah seksual kanak-kanak.

Cuma tidak ramai yang mengetahui isi kandungan di dalam rumah agam milik anak ketujuh keluarga Jackson itu kecuali bagi rakan-rakan terdekat dan kumpulan kanak-kanak yang pernah dijemput berhibur di taman permainan Neverland.

Neverland yang dinamakan sempena nama sebuah pulau fantasi di dalam kisah dongeng Peter Pan dihias dengan gaya tudor, lengkap dengan taman permainan serta sebuah zoo yang dihuni haiwan seperti gajah, harimau dan zirafah.

Taman permainan Neverland menempatkan roda ferris, roller coaster, laluan kereta api dan dua gerabak antik, medan kereta langgar dan juga arca kanak-kanak, naga laut dan labah-labah yang diperbuat daripada gangsa.

Keindahan landskap dipenuhi tumbuhan dan pancutan air dari permukaan kolam yang menjadikan kawasan seakan-akan alam fantasi. Sebuah jam flora gergasi yang berfungsi secara mekanikal dan berlantaikan pokok-pokok bunga pelbagai warna antara yang menjadi ikon di Neverland.


TAB mandi tembaga yang terdapat di dalam rumah utama di Neverland.


Benar atau tidak, binaan yang diilhamkan penyanyi itu memakan diri sendiri apabila beliau didakwa menggunakan kekayaan itu sebagai tarikan untuk menganjurkan pesta dan menjemput kanak-kanak meluangkan masa dan bermalam di kediamannya.

Perlakuan itu yang dikatakan menarik Jacko ke kancah pencabulan seks terhadap golongan tersebut.

meninggalkan Neverland

Selepas lebih 17 tahun menghuni dan membeli kawasan itu daripada seorang usahawan padang golf pada 1988, Neverland ditinggalkan sepi dan terabai pada pertengahan 2005.

Semuanya gara-gara sikap sepasukan polis ketika melakukan siasatan yang didakwa Jacko seolah-olah 'mencabul' kehormatan Neverland. Beliau kemudiannya membawa diri ke Bahrain.

Beberapa tahun kemudian, selepas bertungkus-lumus mendapatkan pinjaman untuk mempertahankan asetnya itu, Jackson akhirnya disahkan 'bercerai' dengan harta kesayangannya itu seperti juga perceraiannya dengan isteri, Lisa Marie Presley dan Deborah Jeanne Rowe.

Neverland baru-baru ini dilelong pada harga $20 juta paun (RM114 juta) dan kini dimiliki sepenuhnya oleh Colony Capital.

Kediaman penuh nostalgia itu bagaimanapun terus menjadi ketaksuban peminatnya. Walaupun sudah jatuh ke tangan pemilik baru, ramai yang mahu melihat Neverland diurus mengikut model pengurusan seperti rumah agam, Graceland, peninggalan Raja Rock and Roll, Elvis Presley.


HIASAN di dalam ruang tamu menggunakan kayu berkualiti tinggi.


Bagaimanapun, pemilik hartanah itu sehingga kini masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung masa depan Neverland.

Terbaru pula, taikun fesyen Perancis, Christian Audigier menyuarakan hasrat untuk membeli bekas kediaman legenda itu.

Pereka fesyen yang dikenali melalui koleksi Von Dutch dan Ed Hardy itu baru-baru ini bercadang untuk merealisasikan hasrat peminat menjadikan rumah Jacko itu kompleks seperti juga Graceland.

"Saya telah membuat keputusan untuk membeli rumah Jackson," ujar Audigier.

Jika impian itu menjadi realiti, Neverland akan dikunjungi oleh jutaan pengunjung melalui kemudahan lawatan maya seperti yang dirancang Audigier.

Selain itu, sekumpulan pelabur China turut mengumumkan hasrat membina kompleks replika Neverland di Shanghai melibatkan kos AS$14.6 juta (RM51 juta) seperti dilaporkan China Daily.

"Neverland akan dibina pada skala satu pertujuh daripada saiz asalnya bercirikan kebudayaan China," ujar Qiu Xuefan, salah seorang daripada 10 pelabur yang akan terbabit dalam projek berkenaan.

Menurut Pengarah Kamar Perniagaan Shanghai itu, replika Neverland diharap akan menjadi persinggahan peminat-peminat Jacko di China yang juga dibina sebagai tanda penghargaan dari peminat negara itu.

Sarung tangan Jacko RM292,250

Sarung tangan Jacko RM292,250




LONDON - Sarung tangan putih (gambar) yang dipakai Raja Pop, Micheal Jackson ketika konsert jelajah Victory pada 1994 akan dijual dengan harga £50,000 (RM292,250), lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, sarung tangan yang mempunyai 50 lampu kecil itu dijangka akan meraih harga lebih tinggi setelah Micheal meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada 25 Jun lalu.

Lampu yang dihidupkan dengan bateri sembilan volt itu diturut dipasang sejumlah batu kristal.

Pereka sarung tangan tersebut, Ted Shell berkata; dia menyertai 55 konsert Micheal pada 1994 untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Katanya, selepas tamat konsert itu Micheal yang terkenal dengan lagu Beat It menyimpan sarung tangan pertama manakala unit kedua berada dalam simpanannya.

Sarung tangan itu akan dilelong di Calabasas, Los Angeles pada Oktober ini. - Agensi

Faizal bayar PTPTN

Faizal bayar PTPTN


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Penyanyi Faizal Tahir yang gagal menaiki pesawat untuk menghadiri Anugerah Planet Muzik (APM) di Jakarta, Indonesia kelmarin akhirnya akur dengan membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Menurut sumber, penyanyi yang merupakan Naib Juara program One In A Million itu menghantar pengurusnya, Haryadi Rusli bagi mewakili dirinya untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut.

Wakil penyanyi itu hadir seorang diri dan menemui Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abd. Ghani dan berunding mengenainya kira-kira 15 minit.

Terdahulu, difahamkan beliau bersama-sama penyanyi itu hadir ke One Stop Centre PTPTN di KL Sentral di sini untuk menyemak dan menjelaskan baki pinjamannya.

Kosmo! difahamkan, Faizal sudah membayar tunggakan pinjaman pelajaran itu yang bernilai puluhan ribu sebelum berlepas ke Jakarta, malam tadi.

Impak pengaruh band indie

Impak pengaruh band indie


KUMPULAN A.C.A.B tampil berbeza pada KL Tower Indie Fest 2009.


SETELAH penganjuran kali pertamanya pada Julai tahun lalu berjaya mencapai sasaran, KL Tower Indie Fest kembali menggegarkan Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menghimpunkan 21 buah band indie tempatan, ia bukan hanya sebagai pentas untuk menaikkan populariti band ternama tetapi memberi peluang kepada bakat-bakat baru memperdengarkan muzik mereka kepada khalayak ramai.

Mungkin ramai yang sudah maklum dengan populariti Bunkface, Gerhana Ska Cinta atau The Times tetapi bagi yang kurang dikenali seperti Laila atau Redemptions, inilah masanya untuk mereka memasarkan nama masing-masing.

Daripada hanya dikenali oleh sekelompok kecil peminat, KL Tower Indie Fest diakui merupakan antara pentas terbaik dalam usaha mengembangkan pengaruh mereka.

Dengan dibanjiri lebih 6,000 pengunjung, KL Tower Indie Fest untuk tahun ini membuka tirai persembahannya seawal pukul 2 petang dan membawa hingga ke pukul 11 malam.

Band-band indie yang terlibat adalah Skudap Skudip, The Rhaman, Pinheads, Sinopsis, Redemptions, Restraint, Laila, Subculture, Statik, Koffin Kanser, Orang dan Couple.

Menginjak ke segmen malam, kelompok indie lain yang ditampilkan adalah The Splatters, Komplot, Bunkface, Love Me Butch, A.C.A.B, Republic Of Brickfield, The Times, Gerhana Ska Cinta serta Bittersweet.

Menarik mengenai KL Tower Indie Fest 2009 ialah sebilangan besar pengunjung yang hadir pada konsert tersebut merupakan fanatik indie.

Ini kerana, hampir keseluruhan lagu-lagu yang didendangkan band-band berkenaan mampu dinyanyikan secara bersama oleh mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan menyaksikan persembahan band-band indie itu, ada sebilangan penonton yang dilihat bertindak membaling botol air mineral ke arah pentas.

Perkara itu terjadi sewaktu Bunkface yang dianggotai Sam selaku vokalis dan pemain gitar kedua, Paan (gitar utama) dan Youk (pemain bass dan penyanyi latar) sedang membuat persembahan.

Mujur, tidak ada apa-apa insiden tidak elok berlaku terhadap ketiga-tiga mereka.

Pada konsert itu, Bunkface yang ditubuhkan pada 2005 memulakan persembahan dengan lagu Bunk Anthem diikuti Situasi dan Revolusi.

Mengulas mengenai KL Tower Indie Fest 2009, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, penganjurannya pada tahun lalu telah berjaya mencapai sasaran dengan dikunjungi oleh 4,000 orang.

"Justeru, program ini telah dimasukkan ke dalam diari tahunan Menara Kuala Lumpur. Saya percaya, KL Tower Indie Fest akan mampu membawa muzik indie ke peringkat antarabangsa apabila ia mulai terkenal dan diminati ramai,'' katanya penuh yakin.

Zulkifli yang turut hadir menyaksikan KL Tower Indie Fest 2009 bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebelum ini pernah menyatakan perancangannya untuk mengadakan festival muzik indie yang lebih besar termasuklah mengadakannya di menara-menara di luar negara.

Bagaimanapun, jelas beliau, semuanya bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh para peminat genre muzik berkenaan.

Katanya, Menara KL yang merupakan ahli persatuan menara-menara terkemuka di dunia juga akan berusaha bagi mendapatkan kerjasama daripada menara-menara lain untuk tujuan itu.

Jika perkara ini menjadi kenyataan, pastinya kita bakal melihat hasil karya indie anak tempatan menembusi pasaran antarabangsa satu hari nanti.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kebanyakan mereka juga mampu menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris yang dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

JACKMAN jadi jurujual kosmetik

JACKMAN jadi jurujual kosmetik


HUGH JACKMAN


PELAKON kelahiran Australia, Hugh Jackman sememangnya dikenali sebagai seorang aktor yang cukup versatil.

Tidak hanya terhad berlakon dalam filem bercorak aksi, sebaliknya, Jackman memperluaskan empayar lakonannya dengan membintangi filem-filem genre lain.

Menjadi seorang yang bernama Hugh Jackman sememangnya cukup beruntung kerana dikurniakan dengan wajah serta sosok tubuh yang tegap dan mampu melariskan filem yang dibintanginya.

Menyedari kelebihan yang ada pada Jackman itu, 20th Century Fox mengumumkan pihaknya telah pun memilih Jackman untuk membintangi sebuah filem komedi berjudul Avon Man.

Bukan sekadar menerajui filem berkenaan tetapi Jackman juga akan bertindak sebagai salah seorang penerbit bersama rakan kongsinya John Palermo menerusi syarikat mereka, Seed Productions.

Avon Man menyaksikan Kevin Bisch sebagai penulis lakon layar yang sebelum ini menghasilkan lakon layar dan skrip filem Hitch lakonan Will Smith.

Filem berkenaan mengisahkan bagaimana seorang bekas jurujual kereta (lakonan Jackman) yang kehilangan kerja dan kemudiannya beralih arah menjadi seorang jurujual produk kecantikan dan kosmetik, Avon.

Ketampanan dan pengalaman yang diperolehinya sepanjang menjadi jurujual menjadikannya begitu popular dan menjadi sebutan ramai.

Bukan itu sahaja, untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi serta membantu keluarganya, dia dan rakan-rakannya telah menyertai satu pertandingan solekan yang menawarkan hadiah kewangan berupa sebuah perniagaan kecantikan.

Avon Man bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi untuk tayangan menjelang pertengahan tahun hadapan.

Sepasang sayap untuk Cyrus

Sepasang sayap untuk Cyrus

PENANGAN daripada pelakon dan penyanyi remaja berbakat besar, Miley Cyrus sememangnya cukup hebat.

Filem terbarunya, Hannah Montana: The Movie yang ditayangkan pada bulan Mei lalu mencatatkan kutipan memberangsangkan iaitu AS$79 juta (RM276 juta) di Amerika Syarikat sahaja.

Dalam pada sibuk di lokasi penggambaran filem terbarunya The Last Song, dikhabarkan juga dia sudah bersetuju untuk membintangi sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel.

Filem berjudul Wings itu merupakan karya Aprilynne Pike, seorang penulis novel remaja terkenal di Amerika Syarikat.

Selaku penerbit filem berkenaan, Walt Disney Pictures sudah pun mendapatkan hak untuk menzahirkan novel berkenaan ke layar perak.

Wings mengisahkan seorang remaja berusia 15 tahun bernama Laurel (lakonan Cyrus) yang membesar di sebuah pekan kecil dan mendapat pendidikan di rumah sahaja.

Namun begitu, dia gusar dan bimbang apabila perlu berhijrah ke bandar dan memasuki sekolah menengah yang belum pernah dialaminya sebelum ini.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah pada satu hari, dia dikurniakan sepasang sayap dan barulah dia mengetahui bahawa dirinya adalah seorang pari-pari.

Sehingga kini, tiada tarikh rasmi penggambaran filem berkenaan.

Siapa Top 6 ... Dalam Botol?

Siapa Top 6 ... Dalam Botol?


ZIZAN NIN


FILEM terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman yang mempunyai judul kontroversi iaitu Anu Dalam Botol khabarnya belum lagi menemui calon yang benar-benar sesuai untuk memegang dua watak utama filem itu iaitu watak Ruby dan Ghaus.

Menurut Raja Azmi, hari ini berlangsung sidang media bagi mengumumkan nama pelakon yang disenarai pendek bagi dua watak utama filem itu iaitu watak Ruby dan Ghaus.

Khabarnya antara pelakon yang mempunyai potensi besar ialah Zizan Nin, Arja Lee, Kefli (AF3) dan Ryzal bagi watak Ruby, iaitu seorang lelaki yang bertukar perempuan. Sementara, Norman Hakim, Tony Eusoff, Fauzi Nawawi, Nazim Osman dan Wan Raja pula berpeluang memegang watak Ghaus sebagai pasangan kepada Ruby.

Itu senarai yang diperoleh daripada sesi uji bakat sebelum ini, namun daripada senarai tersebut, menurut Raja Azmi hanya enam orang sahaja yang akan terpilih.

Bagaimanapun nasib enam pelakon yang terpilih itu nanti masih di awang-awangan apabila nama mereka akan diundi oleh orang ramai bagi menentukan siapa yang bakal berlakon dalam filem tersebut.

Siapa yang paling banyak mendapat undian, secara automatik pelakon itu akan memperoleh dua watak utama tersebut. Tidak ubah seperti program realiti TV lakonan seperti Pentas Wayang dan Pilih Kasih pula.

Nampaknya susah benar untuk menemui pelakon yang benar-benar sesuai walaupun ketika sesi uji bakat dijalankan sebelum ini, kebanyakan pelakon yang hadir semua mempunyai nama yang cukup besar.

Itu baru cerita tentang pelakon, filem yang belum diketahui jadual penggambarannya itu juga dipaksa menukar judulnya oleh pihak yang berwajib.

Justeru, apa pula kata Raja Azmi apabila filem kontroversi miliknya itu terpaksa bertukar judul. Ikuti temu bual Kosmo! bersama penerbit sensasi itu baru-baru ini.


RAJA AZMI


Mengapa lama sangat hendak umumkan nama pelakon?

Lama sangat ke? Rasanya tidak, sebab saya suka semua pelakon yang datang uji bakat, jadi masa perlu diambil untuk menilai siapakah antara mereka yang benar-benar bagus. Masalahnya semua bagus, tidak ada yang tidak bagus.

Biasanya pihak produksi yang mengambil keputusan untuk memilih pelakon, kenapa menyerahkan kuasa memilih dua watak Ruby dan Ghaus kepada pengundi? Mungkinkah pihak produksi ingin bikin untung sebelum filem menjalani penggambaran?

Bukanlah nak buat untung, tak terniat pun. Semua adalah strategi promosi, selain ia satu cara baru untuk melibatkan penonton dalam produksi. Saya suka cara baru, jadi apa salahnya mencuba. Idea ini timbul kerana saya pun pening nak pilih siapa yang layak sebagai watak utama. Pihak produksi buat cara ini untuk melihat siapa yang bakal dipilih oleh orang ramai.

Bagaimana caranya untuk mereka mengundi?

Pihak produksi telah buat satu klip video yang akan ditayangkan di portal hiburan www.murai.com dan mereka boleh mengundi melalui SMS.

Ramai pelakon yang hadiri uji bakat, apa yang dicari pihak produksi sehingga hanya enam pelakon yang terpilih untuk diundi orang ramai?

Saya tidak terlibat langsung bab pilih pelakon, sebenarnya ada lima orang panel yang bertanggungjawab antaranya Adlin Aman Ramlie. Apa yang dicari pada pelakon adalah kesesuaian mereka dengan watak terutama daripada segi gaya dan visual. Kalau tentang lakonan semuanya bagus belaka. Cuma kesesuaian yang dicari. Pelakon yang lain sudah dipilih tetapi bukannya dengan cara SMS, dua watak (utama) cukuplah.

Dengar cerita judul filem sudah diubah, mengapa?

Memang judul filem sudah diubah daripada Anu Dalam Botol kepada ... Dalam Botol. Ia sudah diubah sejak tiga minggu yang lalu selepas saya berdepan dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pihak mereka yang menasihatkan saya agar diubah tajuk filem dan buang perkataan anu.


TONY
EUSOFF


Adakah Raja Azmi setuju dengan perubahan judul itu?

Saya tidak boleh kata tidak setuju kerana saya terpaksa akur setelah pihak berwajib meneliti baik dan buruk daripada judul itu. Kalau saya berdegil, nanti filem saya tidak keluar pula di panggung wayang, lagi susah. Ini hakikat dunia hiburan di Malaysia, judul menjadi isu yang sangat besar, jadi saya akur walaupun hati berat.

Setiap filem Raja Azmi pasti mempunyai promosi yang gah tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Boleh komen?

Saya memang suka promosi yang gah, filem sebelum ini promosi gah orang tak suka apa yang saya hidangkan, lepas itu keluar filem dan promosi lagi. Tetapi waktu itu selera orang berubah. Kiranya ikut nasib. Filem ... Dalam Botol pun saya tidak tahu sambutannya macam mana kelak. Misalnya gagal lagi, ia tidak akan membuatkan saya berhenti daripada menerbitkan filem kerana ia darah dan jiwa saya.

Daniel Radcliffe : Penggemar muzik indie

Penggemar muzik indie




MINATNYA terhadap lakonan sudah berputik pada usia lima tahun lagi, namun Daniel Radcliffe amat bertuah kerana mampu merealisasikan impiannya seawal usia 11 tahun lagi.

Dipilih sendiri oleh penulis Harry Potter, J.K. Rowling untuk memegang watak Harry Potter, karakter itu telah mengubah hidup Daniel sama sekali.

Kini pada usia 19 tahun, pemilik nama Daniel Jacob Radcliffe atau lebih dikenali oleh dunia sebagai Harry Potter masih belum mahu meninggalkan watak itu.

Meneruskan magis dalam siri keenam Harry Potter iaitu, Harry Potter and the Half-Blood Prince, Daniel bakal dilihat dalam dua siri terakhir filem itu, Harry Potter and the Deathly Hallows bahagian I dan II masing-masing pada 2010 dan 2011.

Populariti Daniel telah menjadikan dirinya individu termuda yang bukan dari keluarga diraja untuk memiliki potret di galeri National Portrait Britian. Dia hanya berusia 14 tahun semasa potret dia dilukis oleh Stuart Pearson Wright yang mula dipamerkan pada 13 April 2006.


DANIEL merupakan antara pemuda terkaya di Britain.


Turut terlibat dalam produksi lain selain daripada Harry Potter, Daniel pernah berlakon dalam filem December Boys dan pementasan Equus yang telah mendedahkan dirinya diterjah pelbagai kritikan positif.

Kejayaan siri filem Harry Potter menjadikan Daniel antara pemuda terkaya di Britian dengan kekayaan mencecah £14 juta (RM99 juta). Namun, Daniel memberitahu dia tidak mempunyai gaya hidup yang 'mahal' walaupun memiliki kekayaan. Menghabiskan banyak duit untuk membeli buku, Daniel juga seorang yang pemurah.

Menyokong pelbagai badan amal termasuk Demelza House Children Hospice di Sittingbourne, Kent, dia juga meminta peminatnya memberikan derma sebagai hadiah hari jadinya. Ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh 20th Century Fox mengenai perkembangan terkini Daniel Radcliffe.

Anda terkenal dengan watak Harry Potter tetapi juga pernah serius dalam menjayakan watak di atas pentas seperti Equus. Adakah anda seronok untuk terlibat dalam projek lain?

DANIEL: Memang diakui Harry Potter adalah watak yang menarik dan saya berasa seronok melakonkan watak itu. Namun, saya juga mahu menguatkan lagi sisi lakonan dalam diri saya dengan watak lain selain daripada Harry Potter.

Watak dalam pementasan Equus menampakkan perubahan dalam diri saya walaupun ada orang yang beranggapan bahawa saya mungkin akan gagal. Maka, apabila saya berjaya dalam memegang watak itu, ia amat menyeronokkan.


MENGGEMARI muzik tetapi mengakui tidak mempunyai bakat untuk menyanyi.


Harry Potter and the Half-Blood Prince merupakan edisi keenam Harry Potter. Apakah perasaan anda selepas menghabiskan penggambaran untuk dua filem seterusnya, yang merupakan siri terakhir Harry Potter?

Ia akan menjadi sesuatu yang ganjil untuk tidak kembali kepada set penggambaran Harry Potter. Mungkin saya gembira kerana berpeluang untuk 'keluar' dan melakukan benda-benda lain tetapi untuk mengetahui bahawa ia sudah sampai ke penghujung merupakan satu perasaan yang amat menyedihkan. Saya bukan sahaja terpaksa meninggalkan watak itu tetapi juga tidak akan berjumpa dengan kawan-kawan saya seperti dulu.

Siri filem Harry Potter telah menyuntik sebahagian besar elemen ke dalam kehidupan peribadi anda. Pernahkah anda menyaksikan semula filem-filem sebelumnya dan melihat bagaimana anda telah berkembang terutama dari segi lakonan?

Tidak. Ini kerana saya rasa lakonan saya tidak begitu bagus. Jadi saya tidak akan melihat lakonan saya sebelumnya. Saya mungkin sepatutnya menyaksikan filem-filem itu untuk mengambil benda-benda positif terutama dari segi lakonan yang semakin berkembang. Tapi saya agak malu untuk melihat diri sendiri pada usia itu.


WAJAH yang tidak akan mudah dilupakan peminat filem.





Pengalaman dan perasaan bekerja dengan Emma Watson dan Rupert Grint untuk sekian lama?

Saya dan Emma amat serasi kerana kami banyak menghabiskan masa bersama. Satu-satunya sebab mengapa saya dan Rupert tidak pernah bergaduh adalah kerana dia seorang yang rendah diri dan rileks. Cakap apa sahaja kepada dia tetapi dia tidak kisah. Kami amat bertuah kerana mampu bertahan dan kekal mesra untuk sekian lama.

Rupert memberitahu kami bahawa kemahiran anda bermain ping pong telah bertambah baik. Namun, dia turut memberitahu bahawa Emma telah mengalahkan semua orang?

Ya, dan ia amat menjengkelkan untuk mengetahui Emma dapat bermain ping pong dengan baik sekali. Rupert dan saya telah bermain untuk lapan bulan dan sentiasa berlatih. Kemudian Emma menyertai permainan kami dan dia amat cemerlang. Kami berdua tidak dapat mengalahkan dia. Memang teknik permainan saya telah bertambah baik tetapi saya tidak mahu bermain dengan Emma lagi (ketawa).

Anda merupakan peminat muzik indie. Ada meminati mana-mana pemuzik baru tahun ini?

Satu kumpulan bernama Vampire Weekend serta dua penyanyi wanita bernama Laura Marley dan Adel. Album kegemaran saya tahun lalu adalah The Wombats - Love, Lost And Desperation. Satu lagi kumpulan yang mungkin tidak dikenali orang adalah Beirut. Mereka mempunyai dua buah album dan kedua-duanya amat menarik. Saya juga suka Mars Volta dan album terakhir My Chemical Romance walaupun tidak pernah menyukai muzik mereka sebelum ini.

Anda pernah terfikir untuk menjadi penyanyi? Khabarnya, anda selalu pergi menyanyi karaoke.

Tidak, saya tidak mempunyai bakat secukupnya. Namun, saya amat cemerlang menyanyi karaoke. Lagu Rock and Roll Suicide oleh Bowie adalah kepakaran saya.

Adakah Harry Potter and the Half-Blood Prince akan menunjukkan sisi lain Harry Potter?

Terdapat lebih banyak perselisihan antara Ron dan Hermione berbanding dengan Harry. Namun, Harry tidak gembira dalam filem itu kerana ramai orang sentiasa cuba untuk membunuhnya. Ditambah dengan kehidupan cintanya yang teruk, hidup dia memang kelam. Itu adalah kepakaran penulis, JK Rowling dalam menggabungkan masalah yang dihadapi setiap hari walaupun di dalam dunia magis.


KETIGA-TIGA Daniel, Emma dan Rupert menjalinkan persahabatan di dalam dan di luar set penggambaran Harry Potter.


Siapa pelakon kegemaran anda yang memberikan inspirasi kepada lakonan anda?

Gary Oldman ialah pelakon paling hebat. Imelda Staunton dan David Yates juga bagus. Mereka semua memberikan inspirasi kepada saya tetapi saya lebih menyukai Gary kerana minat dan keterujaan dia dalam lakonan menarik perhatian saya. Rasanya dia dan Daniel Day-Lewis merupakan pelakon paling hebat untuk generasi mereka