Sunday, August 30, 2009

Nilai patriotik anak seni

Nilai patriotik anak seni




MENGGABUNGKAN tiga figura terkenal industri seni tanah air, seniman Datuk Aziz Sattar, primadona Vanidah Imran dan supermodel Malaysia, Tengku Azura Tengku Awang dalam sebuah fotografi sempena Hari Kemerdekaan membuahkan persepsi yang selari terutama tentang memartabatkan bangsa Melayu di mata dunia.

Aziz Sattar atau lebih senang disapa sebagai Pak Ajis sempat berkongsi cerita tentang kehidupan zaman sebelum merdeka sehingga negara berjaya meraih kemerdekaan sejak 52 tahun lalu.

Tengku Azura, yang sudah kerap membawa nama Malaysia ke serata dunia pula tetap teguh dengan jati diri sebagai anak Melayu biarpun dirinya dihambat kemodenan.

Sementara Vanidah atau Vee ramah bercerita perihal 1Malaysia yang telah lama subur dalam budaya keluarganya. Ceritera mereka kami gabungkan dalam sebuah artikel sempena menyambut ulang tahun ke-52 negara Malaysia yang dicintai ini.

Jadi pencuri untuk hidup

Ada genangan air jernih pada kelopak mata seniman yang menginjak usia 83 tahun pada 8 Ogos lalu.


TENGKU AZURA


Ironi, Pak Ajis sendiri lahir pada bulan merdeka dan sudah melalui tempoh pahit manis menjadi bangsa merdeka. Maka, tidak hairan jika roh merdeka bagai mengalir deras dalam setiap aliran darahnya.

Kami duduk di satu sudut dan Pak Ajis mula menghamburkan perasaannya. Beliau mula memutar memori lama. Luah Pak Ajis, sebagai anak yang lahir pada tahun 1925, dia berasa keperitan hidup di Tanah Melayu sewaktu dijajah Jepun dahulu.

Selama tiga tahun lapan bulan Tanah Melayu dijajah Jepun dan komunis mencuri nikmat negara, tiga tahun enam bulan Pak Ajis menjadi pencuri.

"Saya curi beras dan gula daripada simpanan orang Jepun di gudang tempat saya bekerja supaya kami semua boleh hidup," akuinya yang mengikat makanan yang dicuri di pinggang untuk diseludup keluar dari gudang.

Namun, kehidupan yang sengsara mula berubah apabila Tanah Melayu mendapat kepimpinan yang begitu baik di bawah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga negara mendapat kemerdekaan.

Paling beliau banggakan tentang para pejuang negara dahulu adalah kebijaksanaan mereka mengemudi negara tanpa pertumpahan darah.

Katanya: "Saya amat bangga dengan para pemimpin kita dahulu yang berjuang tanpa senjata. Hanya berbekalkan pen dan kertas, kita mencapai kemerdekaan.

"Betapa besar jasa pemimpin lama berbanding yang ada sekarang kerana banyak yang berjuang sebab nak jadi hero, tapi bukan memperjuangkan bangsa."


VANIDAH IMRAN


Malah hari ini, Pak Ajis menjadi salah seorang warga Malaysia yang menikmati kemewahan dan kemakmuran negara. Jati dirinya pada negara ditonjolkan dengan semangat membeli produk buatan Malaysia termasuk memandu kereta keluaran negara.

Tambah Pak Ajis, paling penting dalam memelihara khazanah negara adalah memelihara bahasa Melayu. Beliau beranggapan, bahasa rasmi kita semakin pupus kerana banyak orang terutama bangsa Melayu sendiri gemar bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Kita sepatutnya memelihara bahasa kita agar tidak pupus," tegasnya yang sudah tiga tahun memberi ceramah tentang kemerdekaan di sekolah-sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur sebagai satu sumbangan patriotiknya kepada Malaysia.

Menganggap 1Malaysia mengandungi mesej yang paling mendalam untuk bangsa Malaysia, Pak Ajis menyatakan, jika dilihat dari aspek seni, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sudah lama meninggalkan mesej-mesej perpaduan yang tidak akan memporak-perandakan Malaysia.

Beliau menjelaskan, filem Semerah Padi adalah contoh filem yang mengandungi mesej terbaik tentang perpaduan dan perjuangan yang luhur.

Filem Enam Jahaman pula diklasifikasikan Pak Ajis sebagai filem yang menggambarkan tentang petualang yang akan memusnahkan kemakmuran negara.

"Jika ditanya tentang sumbangan saya atau betapa patriotik saya terhadap Malaysia, mungkin ia tidak sebesar mana.

"Tapi saya nak ikut jejak P. Ramlee, saya jadi anak seni bukan untuk duit, tetapi untuk masyarakat," ucap Pak Ajis penuh makna.

Azura moden tapi tetap Timur

Wajah yang pernah mewakili Malaysia untuk jenama Christian Dior dan masih memiliki sikap merendah diri biar sudah terbang ke serata dunia ini cukup teruja digandingkan dengan Pak Ajis dan Vee.

"Pak Ajis adalah lambang kebanggaan Malaysia," ujarnya yang tidak berasa kolot kerana masih menonton dan menyokong filem Melayu mahupun mendengar lagu-lagu Melayu.


AZIZ SATTAR


Mencecah usia 34 tahun, ibu tunggal kepada dua putera, Adam Mustaqim, 14, dan Ilias Amar, 7 tahun ini berkongsi persepsi tentang merdeka dari sudut dunia fesyen.

Beritahu Azura, aliran fesyen yang digelombangkan oleh pereka muda tempatan tidak pernah meminggirkan ciri Malaysia seperti menampilkan songket dan batik dalam karya mereka.

Fesyen bukan satu masalah, tetapi masalah timbul apabila terjadi lambakan peragawati luar yang mengetepikan peragawati tempatan.

Seharusnya kata Azura, hak peragawati tempatan perlu diperjuangkan.

"Memang tidak salah apabila kita mengambil orang luar untuk memperagakan rekaan kebangsaan kita.

"Tetapi saya rasa lebih patriotik apabila ia digayakan oleh bangsa kita sendiri sebagai lambang apresiasi terhadap negara," tegasnya.

Terbang ke serata dunia demi kerjaya modelling, Malaysia tetap di hatinya.

Namun, seminggu sahaja dia mampu bertahan di negara orang sebelum rindu mengetuk tangkai hatinya terhadap Malaysia yang disifatkan begitu harmoni dengan kepelbagaian kaum dan nikmat makanan yang pelbagai rasa.

"Memang saya tak boleh lama di negara orang. Mungkin itu nilai patriotik saya kepada negara selain menjaga batasan sebagai orang Timur.

"Saya juga pesan pada diri sendiri, sejauh mana pun saya melangkah dan semoden mana pun saya, budaya dan adab orang Timur tetap saya junjung," ujarnya yang turut menerapkan budaya Timur kepada anak-anaknya di sebalik kemodenan yang semakin mendominasi dunia.

Tertawa saat mengenang kali pertama menyambut ulang tahun kemerdekaan di Dataran Merdeka bersama teman-teman usai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Azura dia kini masih meneruskan tradisi tersebut.

Saban tahun, jika punya kesempatan, dia akan membawa ibu dan dua puteranya melihat bunga api pada malam kemerdekaan.

Malah sempat Azura berasa teruja dengan idea sambutan ulang tahun di bangunan Parlimen yang diadakan julung-julung kalinya pada tahun ini.

"Menarik juga ya sambut di Parlimen. Tengok keadaan, mungkin saya ke sana," ujarnya yang mengagumi ketokohan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak membawa perubahan kemodenan kepada negara.

Belum merdeka sepenuhnya

Bagi pelakon berwajah klasik, Vanidah Imran, dia sudah dibesarkan dengan konsep 1Malaysia yang sekarang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Famili Vanidah sememangnya berdarah majmuk. Ayah Vanidah berdarah India Pulau Pinang dan rata-rata sanak saudaranya berdarah campur.

Menurut Vanidah, persekitaran 1Malaysia sudah sebati benar dengan jiwanya dan dia melihat suasana tersebut membawa kepada perpaduan kaum.

"Kalau kita lihat, sejak dari dahulu lagi kita sebenarnya sudah diterapkan dengan semangat 1Malaysia dan kini semakin disemarakkan untuk lebih mengukuhkan perpaduan negara kita," ujar Vanidah memiliki darah kacukan India-Jawa ini.

Isteri kepada pelakon Rashidi Ishak ini sudah mula menebarkan budaya 1Malaysia kepada anak-anaknya, Mikail Imran dan Maryam Rashika apabila mereka telah dihantar belajar di sekolah aliran Cina.

"Mikail sudah boleh berbahasa Cina dan adiknya pula baru berjinak-jinak. Saya pun minta anak ajarkan bahasa Cina untuk pengetahuan saya," ungkap Vanidah

Di sebalik perpaduan yang semakin diciptakan di bumi Malaysia, Vanidah meluahkan satu rasa.

Sebenarnya ada kesedihan apabila melihat ragam segelintir generasi muda yang tidak menghargai erti kemerdekaan yang telah diserahkan kepada mereka.

"Saya melihat masalah sosial yang semakin berleluasa termasuk penyalahgunaan dadah, seks bebas malah pemakaian anak muda sekarang yang semakin kebaratan. Ini menyedihkan."

Dengan melihat penyakit sosial ini, Vanidah menyimpulkan bahawa masyarakat kita belum merdeka sepenuhnya.

"Kita masih hidup dalam ketakutan. Bukan kerana jajahan tetapi kerana masalah sosial.

"Sekarang bila-bila masa sahaja beg tangan boleh diragut sedangkan kita berada di dalam kereta sewaktu kesesakan trafik. Negara belum aman seratus peratus."

Beritahu Vanidah lagi, walaupun tidak dilahirkan pada tahun sebelum merdeka, semangat kemerdekaan itu dapat diserap dengan baik setiap kali dia diberikan watak yang menuntut dirinya mendalami jiwa orang lama.

"Saya bersyukur sering mendapat peluang berlakon watak-watak lama.

"Sedikit sebanyak saya boleh merasai pengorbanan dan perasaan orang dulu-dulu yang dilahirkan sebelum merdeka," ujarnya sambil mengenang kembali kali pertama dibawa ayahnya ke Dataran Merdeka seawal pagi untuk sama-sama menyertai perarakan Hari Kemerdekaan.

Sebelum usai bicara tentang merdeka, sempat Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 ini meluahkan isi hati tentang dunia filem yang belum merdeka.


TIGA figura yang berkongsi hati dan perasaan tentang kemerdekaan negara.


"Kita masih tersekat dalam aspek bajet dan kreativiti. Malah pelakon dan tenaga kerja filem tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso untuk masa depan mereka.

"Saya sangat mengharapkan agar kebajikan pelakon dan krew dijaga.

"Bayangkan jika pelakon lama kita dibayar royalti melalui filem mereka, pasti hari ini mereka tidak perlu menerima cek sumbangan orang ramai," ujarnya bersungguh-sungguh.

Hidup mati Shake

Hidup mati Shake


SHAKE menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa pertuturan dengan keluarganya di Paris.


FIGURA ini menyambut saya dengan ramah. Orangnya begitu merendah diri sehingga dalam bicara kami, tidak terlihat ego seorang Datuk Shake hanya kerana dia telah berkelana dan menetap di negara orang selama 36 tahun.

Dia tidak juga mengagungkan budaya atau negara luar. Pada persepsi Shake yang senang berbahasa Melayu, setiap negara mempunyai kekurangan dan kelebihan sendiri.

Diangkat dengan jenama Singing Ambassador, seluruh pelosok Eropah mengenali Shake - anak Malaysia yang mempunyai empayar sendiri di negara tersebut.

Single dalam bahasa Perancis berjudul Tu sais je t'aime (You know I love you) adalah lagu yang telah membenam tanda aras Shake di negara tersebut lebih 20 tahun lalu.

Sejak itu, Shake terus menebarkan virus magisnya ke seluruh Eropah sehingga menjadi salah seorang penghibur yang masih membuah kerinduan dan mampu menghipnosis khalayak.

Perjumpaan kami petang itu berlangsung santai. Shake memberitahu beliau masih menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat bersama isterinya, Datin Melina dan anak kembar mereka, Amiir dan Amaro. Dalam masa yang sama, beliau juga berulang-alik ke Paris kerana anak perempuan mereka, Natacha dan Mina serta cucunya menetap di sana.

Bicara kami mengembara lebih daripada sekadar tentang album Perancis terbaru dan projek terkininya. Sebaliknya kami turut berbual tentang kemungkinan dia pulang menetap di Malaysia, patriotisme Shake, Ramadan dan kematian.

Apa yang membawa anda pulang ke Malaysia kali ini?

Saya sedang menyusun beberapa projek. Antaranya memasarkan album perdana bahasa Perancis saya, D'hier & D'aujourd' hui (Yesterday & Today) di Malaysia. Setakat ini sebuah syarikat rakaman gergasi dunia sudah bersetuju untuk menjadi pengedar dan kami masih dalam perbincangan. Saya juga masih berbincang untuk mengadakan konsert di Istana Budaya sekitar tahun hadapan. Tapi sebelum konsert, Januari nanti saya akan muncul dengan album Melayu penuh dan menyusul adalah sebuah biografi saya.

Apa signifikan judul D'hier & D'aujourd' hui (Yesterday & Today) sebenarnya?

Ia adalah tentang revolusi muzik saya sejak dahulu hingga sekarang. Ada beberapa lagu lama dirakamkan semula dengan rasa baru dan lebih segar. Sebab itu ia dinamakan sebegitu.

Berapa lama anda akan berada di Malaysia?

Jika ikut agenda asal, sepatutnya hanya dua minggu. Namun kerana album Perancis saya dijadualkan dilancarkan selepas Aidilfitri, jadi saya akan berada di Malaysia sehingga selesai semuanya. Saya rindu isteri saya. Dia akan datang dalam masa terdekat dan kami akan menyambut Aidilfitri tahun ini di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Ada atau tidak kemungkinan anda kembali dan menetap di Malaysia nanti?

Susah nak cakap. Saya bukan tak mahu kembali, tapi keluarga saya semua di sana. Anak-anak dan cucu-cucu saya semua di sana. Kalau saya dan isteri menetap di Malaysia, susah untuk kami melawat anak-anak dan cucu.

Mereka adalah perkara yang kekal bersama saya, jadi saya mahu sentiasa dekat dengan mereka. Esok, kalau saya meninggal dunia, saya pun tidak tahu di mana saya mahu dikebumikan. Saya serahkan kepada keluarga saya sama ada mahu kebumikan saya di Malaysia, Paris atau Los Angeles.


AKAN muncul dengan biografi yang bakal mendedahkan kisah hidupnya.


Namun pada saya, di mana pun saya dikebumikan, yang lebih penting adalah doa dan al-Fatihah yang akan selalu mengiringi saya. Itu lebih penting berbanding lokasi pengkebumian saya.

Bagaimana anda menjaga imej. Masih segak dan seperti dulu?

Saya banyak bersenam dan menjaga makan. Satu lagi, aura yang saya peroleh juga kerana doa para peminat saya. Sentiasa jaga tingkah laku dan magis seorang artis akan selalu bersama anda. Saya juga mengelak berpakaian seperti orang tua.

Apa yang anda gariskan buat anak-anak anda dalam membina keluarga?

Paling penting menantu saya mesti seorang Islam. Saya tidak kisah apa bangsa atau warna kulit mereka, tetapi pokoknya mesti Islam. Duduk di luar negara bukan lesen untuk kita berlaku bebas. Berpeganglah pada asas agama kita.

Bercakap dari perspektif patriotisme. Ada segelintir pihak berasa seseorang itu tidak patriotisme apabila sanggup menetap di negara orang putih sedangkan Inggeris pernah menjajah kita dahulu?

Kita tidak boleh samakan zaman penjajahan dahulu dengan sekarang. Pada saya, tak salah anak Malaysia berhijrah dan menetap di negara orang. Apa yang penting adalah asas budaya Timur yang tidak dipinggirkan.

Jujur, sepanjang saya duduk di Amerika atau Paris, saya tak berangan jadi orang putih. Saya jadi diri saya yang banggakan budaya Timur dan mempraktikkan cara hidup Timur.

Saya juga selalu menjaja nama Malaysia di sana dan berbangga dengan negara asal-usul saya. Apabila kita tidak terhakis dengan budaya luar, orang akan lebih menghormati kita. Itu yang saya peroleh (hormat) daripada teman-teman di sana.

Bagaimana dengan pengalaman pertama kali merantau ke negara orang dulu?

Beberapa tahun pertama menetap di negara orang, saya tergelincir dan hanyut. Maklum, tinggal sendirian di negara orang, kita tidak mampu mengawal diri sendiri. Namun, pertemuan saya dengan seorang lelaki Melayu telah mengubah semula haluan hidup saya.

Lelaki itu bertanya kepada saya, awak sembahyang? Saya jawab, sometimes sedang hakikatnya saya tak pernah sembahyang. Jawab lelaki itu, inikah balasan anda terhadap apa yang telah Tuhan berikan selama ini?

Saya pulang, saya menangis dan sejak dari hari itu saya mula kembali kepada asas agama yang pernah saya peroleh sewaktu kecil.

Satu-satunya perkara yang saya lakukan kini adalah merokok. Tapi saya merokok ikut mood. Isteri saya tidak suka, tapi saya katakan, merokok ini makruh dan tinggal ini sahaja keseronokan dunia saya.

Tidak didiskriminasi di negara orang? Kita selalu disogok dengan orang-orang Muslim yang menetap di luar selalu didiskriminasi.

Jangan cakap soal diskriminasi jika kita mempunyai sikap menghormati antara satu sama lain. Setiap bangsa mempunyai sikap pengganas dalam diri mereka sendiri.

Kulit atau fahaman bukan masalah untuk kita bergaul. Saya berkawan dengan semua orang dan masing-masing mempunyai fahaman agama sendiri.

Namun, satu hal yang saya elakkan adalah bercakap tentang agama kerana setiap individu mempunyai pandangan sendiri tentang agama mereka. Tapi saya menjaga susila saya dengan tidak terikut-ikut budaya mereka. Dari situ teman-teman lebih menghormati saya.

Sebenarnya, berbanding 20 tahun lalu, sekarang lebih banyak masjid dibina dan semua orang bebas mempraktikkan agama mereka. Komuniti di kawasan kediaman saya sendiri, kami orang Malaysia akan bergabung dengan orang Indonesia, Singapura dan Brunei untuk bersolat dan sebagainya.

Pandangan anda tentang pencapaian Malaysia hasil kemerdekaan negara 52 tahun lalu?

Merdeka adalah apa yang kita kecapi sekarang. Inilah hasil perjuangan datuk nenek kita untuk memakmurkan Malaysia. Seharusnya kita tidak terlupa menghormati apa yang telah orang lama lakukan untuk kita generasi sekarang.

Merdeka juga tentang semangat dan kini Malaysia yang merdeka tidak ubah seperti sebuah metropolitan yang berjaya. Saya juga menyokong mesej 1Malaysia dan ingin menyebarkan mesej ini apabila saya kembali ke sana kelak.

Saya mahu mempromosi tentang 1Malaysia kepada orang luar dan memberitahu bahawa Malaysia itu lebih daripada sekadar laut yang selalu kita pamerkan dalam iklan. Malaysia adalah perpaduan.

Rezeki Ramadan

Rezeki Ramadan




ANAK bongsu daripada lima beradik dengan nama penuhnya Nor Fauziah Mohd. Ghous ini semakin tegar dalam industri. Sejak pertama kali melangkah kaki dalam industri seni dua tahun lalu, mudah sahaja Fouziah menangkap perhatian khalayak. Semudah itu juga dirinya dihimpit kontroversi.

Kata banyak orang, si cantik manis ini punya hubungan sulit dengan VIP. Dia juga didakwa bercinta dengan teman seperjuangan, Iqram Dinzly. Tohmahan nakal juga menyatakan Fouziah, 26, mewah kerana tajaan.

Tapi gadis ini kental. Setiap tohmahan ditangani dengan matang. Dia percaya satu hari, nista tersebut akan berlalu jika tidak dilayan. Bagi Fouziah, lebih baik memberi fokus pada kerjaya daripada memikirkan gosip murahan.

Kerana itu khalayak kini dapat menyaksikan peningkatan mutu lakonannya. Satu persatu hasil lakonannya seperti dalam drama Enigma, Cinta Medik, Impak Maksima, Sutera Maya dan Sanga Saadah begitu memberangsangkan.

Selain itu, bekas pramugari ini turut diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablaska dan juga Sifu dan Tongga. Dan semua tanggungjawab tersebut dilunaskan dengan baik.

Kredibilitinya yang semakin terserlah membuka pintu rezeki buatnya sehingga bulan Ramadan dipenuhi dengan penggambaran drama. Sedang sibuk di lokasi Cinta Batu Karang untuk terbitan RTM, dia juga baru menyudahkan penggambaran Hati Kristal.

“Saya memang sibuk pada Ramadan ini. Malah seminggu selepas raya saya sudah kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran filem Rasuk. Alhamdulillah, rezeki datang dan saya berani mengambil kerja kerana tahu mampu melakukannya,” ujar Fouziah yang juga rancak menjadi gadis kotak program Roda Impian.

Kesibukannya di lokasi membataskan Fouziah untuk terlibat sebagai hos program raya seperti tahun sebelumnya. Sebaliknya kata gadis ini, dia hanya sempat terlibat dalam sebuah drama raya iaitu Dedebab Raya untuk tayangan Astro pada Aidilfitri nanti.

Sementara itu variasi lakonan Fouziah boleh disaksikan menerusi drama Qanaah di TV3 dan bakal mewarnai Astro Prima melalui Kasih Tercipta bermula 1 September pada pukul 10 malam.

Bertarung untuk lagu 1Malaysia

Bertarung untuk lagu 1Malaysia


NURFATIMAH dan Shila.


SHILA dan Nurfatimah hadir di San Fransisco Coffee di Kuala Lumpur dengan semangat bercerita tentang kemerdekaan dan lagu berciri 1Malaysia yang mereka sampaikan.

Walaupun lepak-lepak di kedai kopi francais antarabangsa tetapi mereka berdua tetap dengan jati diri sebagai anak Malaysia. Mendapati francais tersebut menjual produk koleksi berasaskan Malaysia membuatkan mereka berdua kagum dan turut mahu memilikinya.

Noh yang dijadualkan bersama mereka tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kereta dipecahkan dan kehilangan pasport, justeru kami cuma berinteraksi menerusi telefon. Dalam keterujaan bercerita tentang kemerdekaan negara ini, masih ada lagi perkara ironi malang menimpa nasib artis kita.

Sekadar berkongsi cerita dan semangat, mereka bertiga berkongsi persamaaan.

Noh dan Shila menyanyikan lagu berjudul Kami Anak Malaysia hasil ciptaan Ashroff Shariff dan tulisan Eka Shariff. Nur Fatimah pula ialah penulis lirik untuk lagu Malaysia Satu nyanyian Faizal Tahir dan hasil ciptaan Audi Mok.

Sebanyak 10 buah lagu bertarung untuk menjadi lagu 1Malaysia. Juara pencipta lagu Lagu 1Malaysia Kita akan dipilih melalui undian umum dan lagu yang menjuarai pertandingan itu akan diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

“Saya inginkan ini menjadi satu lagu yang benar-benar menjelma daripada hati rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan dipilih sendiri oleh rakyat,” ujar Najib.

Bagi lagu bertemakan 1Malaysia, apa yang anda bayangkan ketika menyanyi atau menulis lirik untuk lagu tersebut?

NURFATIMAH (N): Untuk sebuah lagu patriotik, saya menulis dengan perkataan-perkataan yang senang difahami seperti lagu Negaraku. Jadi saya membayangkan tugas saya sebagai rakyat Malaysia dan perjalanan jatuh bangun kita yang perlu dijadikan motivasi.

Kebanyakannya saya membayangkan rakyat Malaysia dan kekuatan kita serta janji-janji kita sebagai rakyat.

SHILA (S): Saya menyanyi dengan semangat remaja Malaysia dan membayangkan apa sepatutnya remaja seperti saya lakukan sebagai peneraju masa hadapan. Saya mahu berikan sesuatu untuk negara dan bangsa.

Apa yang ada dalam fikiran saya sewaktu menyanyi adalah bagaimana saya akan mengajar diri sendiri dan dalam masa yang sama memberi pelajaran kepada rakyat Malaysia.

NOH (NOH): Sejujurnya saya agak hilang arah sewaktu mahu menyanyikan lagu ini sebab komposer yang terbabit ada unsur urban. Saya bukan penyanyi pop, arus perdana mahupun patriotik.

Jadi pengalaman ini sedikit menakutkan tetapi mencabar dan seronok. Waktu menyanyi saya membayangkan Malaysia dan suasana Kuala Lumpur serta KLCC.

Dalam aspek mana semangat patriotik anda lebih tebal?

N: Sumbangan saya terhadap industri dan negara, dengan cara membuat lirik. Saya rasa dengan cara ini dapat memberi pelajaran.

S: Saya yakin melalui sumbangan saya, saya pamerkan semangat patriotisme saya. Biasanya apabila kita dengar, ia lebih berkesan daripada membaca. Lagu akan membuatkan indvidu terasa sangat dekat dengan negara atau sesuatu.

NOH: Dalam jiwa, saya memang seorang yang sangat sayangkan Malaysia. Bukan daripada fizikal atau pemakaian tetapi saya memegang perasaan cintakan Malaysia dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Saya percaya rakyat kita lebih kacak daripada rakyat negara lain.

Lagu apakah yang akan menaikkan semangat patriotisme anda?

S: Bahtera Merdeka. Penyampaian Aishah dalam lagu ini sangat bagus dan dengan penuh perasaan.

N: Warisan nyanyian Sudirman. Saya sukakan melodi dan mesej perjuangannya. Penyanyi juga menjadi elemen yang penting dalam lagu sebab suara yang merdu dengan melodi yang menarik akan membuatkan lagu itu ‘berhantu’.

NOH: Lagu Sejahtera Malaysia. Saya sukakan lagu itu sebab dalam menyerapkan unsur patriotik, komposer turut menyelitkan elemen melodi yang ‘boleh layan’. Melodi yang pop dan catchy.


NOH HUJAN


Pada waktu bilakah anda berasa sangat bertuah menjadi anak Malaysia?

S: Bukan mahu menjatuhkan sesiapa tetapi waktu saya ke negara luar, saya rasa bersyukur menjadi anak Malaysia. Di negara kita tidak ada kasta yang membezakan antara penduduk.

Juga sewaktu saya melihat KLCC, saya rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia. Melihatkan ragam pelancong yang hampir semuanya mahu bergambar di depan KLCC.

N: Sewaktu saya ke luar negara, saya melihat aktiviti malam mereka yang bebas terutama di kelab-kelab. Saya melihat kita masih ada kawalan yang bagus dan tidak hilang identiti.

Sesetengah orang ada yang terkena kejutan budaya hingga hilang identiti dan elemen bangsa mereka.

NOH: Sewaktu pelancong datang ke Kuala Lumpur. Perasaan bangga itu terus datang. Satu lagi sebagai pemuzik, sewaktu saya ke luar negara membawakan nama grup Hujan dari Malaysia dan sedikit sebanyak mereka sudah mula kenal. Sebut ‘dari Malaysia’ apabila ditanya pun saya sudah rasa sangat bangga.

Apa pula yang membuatkan anda sedih tentang rakyat Malaysia?

S: Ramai anak muda yang mahu jadi wannabe. Bercakap bahasa Melayu tetapi slanga ada bunga-bunga bahasa Inggeris. Itu belum lagi kita sentuh pasal pemakaian dan adab mereka.

N: Ramai yang sudah kehilangan identiti.

NOH: Apabila negara kita ada rusuhan dan saya lihat gambar serta berita tentang itu. Juga tentang masih ada rakyat Malaysia yang hidup berpuak-puak.

Definisi 1Malaysia dari kaca mata anda?

S: Saya melihat konsep 1Malaysia sebagai satu semangat perpaduan tidak kira bangsa, agama dan bahasa. Dengan semangat ini kita dapat mengekalkan kemerdekaan dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita.

N: Satu konsep perpaduan gabungan semua aspek seperti teknologi dan inovasi ciptaan rakyat Malaysia. Dengan teknologi itu, Malaysia semakin maju dan tidak lagi bergantung kepada negara luar.

NOH: Bersatu tak kira bangsa dan kita harus lupakan perkara-perkara yang lepas. Rakyat negara ini sudah melalui banyak perkara dan itu membuatkan kita bersatu. Saya sokong konsep 1Malaysia ini.

Di mana anda lihat konsep 1Malaysia ini terjadi dengan semula jadinya?

N: Sekolah.

S: Di restoran mamak.

NOH: Dekat bazar Ramadan Jalan Andalas. Semua bangsa ada tak kira orang Sabah, orang Sarawak, Melayu, India dan Cina. Dekat kawasan perumahan pun kita dapat lihat perpaduan kaum.

Kasabian pejuang sosialis

Kasabian pejuang sosialis


KASABIAN gemar berkolaborasi dengan tenaga kreatif yang lain bagi menghasilkan album yang mantap.


KASABIAN, sebuah grup yang bertapak di Leicester, United Kingdom dan digawangi oleh empat jejaka bukan hanya hadir kerana mahu menyebarkan muzik kecintaan mereka. Tom Meighan, Sergio Pizzorno, Iian Mathews dan Chris Edwards memberikan mesej berunsurkan sosialis dalam setiap lagu mereka.

Lihat sahaja nama grup itu yang merujuk kepada seorang wanita muda hamil yang kemudian mati dalam satu kemalangan. Wanita itu bernama Linda Kasabian.

Saat grup yang menampilkan alternatif rock itu datang ke Malaysia, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual sang gitaris, Sergio Pizzorno yang kelihatan letih selepas di kuarantin di Sydney akibat kawalan penyakit selesema H1N1.

Teruja dengan penerimaan peminat Malaysia yang hadir di MTV World Stage di Sunway Lagoon baru-baru ini, Sergio menceritakan bahawa mereka akan berlepas ke Austria untuk sebuah gig di sana.

Kasabian dijadualkan muncul dengan sebuah album baru menjelang tahun hadapan selepas kemunculan album ketiga, West Ryder Pauper Lunatic Asylum awal 2008 lalu.

"Kami masih dalam perancangan untuk album seterusnya tahun depan," ujar Sergio yang teringin berkolaborasi dengan grup Zuess, setelah mengundang aktres, Rosario Dawson muncul dalam album ketiga mereka .

"Rosario ialah seorang yang sangat menarik dan kami rasa seronok dapat berduet dengan seorang yang fantastik sepertinya," tutur Sergio yang mesra dipanggil Serge.

Berlainan ideologi namun disatukan dalam sebuah album, menerusi album ketiga mereka ini, Kasabian berkolaborasi dengan Dan The Automator, produser hip hop yang pernah terlibat dengan album Gorillaz.

Ditanya tentang kerjasama dengan seorang produser hip hop untuk sebuah grup altenatif rock, Serge menjelaskan terdapat persamaan dalam dunia mereka.

"Saya melihat terdapat hubungan antara hip hop dan rock. Kelainan dalam dunia masing-masing boleh menghasilkan satu kesesuaian yang menarik," ucapnya.

Mengagumi Tony Benn sebagai hero sosialis mereka, Sergio menjelaskan dia dan ahli grupnya sudah tidak membaca sebarang rebiu oleh pihak luar tentang album atau muzik mereka.

"Hanya pada album pertama tetapi selepas itu saya tidak mahu memikirkan sangat tentang apa yang mereka mahu kritik atau puji. Tidak bagus untuk kami. Kami tidak mahu memikirkan apa yang mereka mahu katakan."

Gitaris berusia 29 tahun ini kemudian menjelaskan bahawa judul album ketiga mereka diambil daripada sebuah rumah sakit jiwa namun mereka belum pernah melawat tempat tersebut.

Cinta Shu Qi terhalang

Cinta Shu Qi terhalang


SHU QI


SELEPAS heboh gosip cinta antara pelakon cantik Taiwan, Shu Qi dengan anak pelakon Zhang Guozhu, Chang Chen, pelakon senior tersebut tampil memberikan ulasan.

Ternyata Zhang menentang keras hubungan cinta Shu Qi dengan anak bujangnya itu.

"Apabila tiba soal perkahwinan, saya berhak memilih calon yang sesuai buat anak saya. Menantu saya harus mampu menjaga anak saya dan menyokong kerjayanya.

"Sebenarnya saya tak kisah calon menantu saya daripada kalangan artis.

"Tetapi yang penting adalah karakter mereka. Shu Qi boleh tahan, tapi dia tidak sesuai menjadi isteri anak saya!" tegasnya tanpa selindung.


CHANG CHEN

Maiza kini model iklan

Maiza kini model iklan




SEBELUM ini, Maizawati, bekas isteri Akhil Hayy pernah beritahu dia tak ada niat nak masuk industri seni. Walaupun ada tawaran yang mahukan dia jadi hos dan model, semuanya ditolak Maiza.

Tapi itu cerita beberapa bulan lalu. Diva fikir, pendirian Maiza kini sudah berubah.

Maiza sekarang sudah jadi model iklan komersial. Minggu lalu, Maiza baru selesai menjalani penggambaran iklan biskut di Kajang, Selangor.

Dalam masa yang sama, Maiza sibuk rakam album. Menurut penerbit albumnya yang dikenali sebagai Zarul, single pertama Maiza akan keluar selepas Aidilfitri nanti. Bertuah jadi orang cantik dan baik macam Maiza. Rezeki datang melimpah-ruah. Tahniah buat Maiza.

Cuma Diva nak pesan, jangan mudah dieksploitasi orang. Diva tak nak nanti Maiza jadi Ina Naim yang kisah peribadinya dijaja di sana-sini kemudian sempat jadi penyanyi tapi akhirnya menyepi.

Bila kita tengah popular, semua orang suka dan berlumba-lumba nak gunakan khidmat kita untuk melariskan produk mereka. Jadi Diva harap Maiza tak terpengaruh sangat dengan godaan duniawi.


Diva: Kadang-kadang terpengaruh juga.

Pura-pura sederhana

Pura-pura sederhana

DIVA memang suka dengan seorang personaliti wanita ini. Walaupun dia popular, Diva lihat dia seorang yang sederhana dan tidak kisah dalam banyak hal. Dalam bahasa pasarnya, tak banyak songeh.

Tapi rupa-rupanya itu hanya lakonan di depan media. Sikap sebenar personaliti ini ialah demanding dan semakin lupa diri kerana popular. Itulah kata orang yang duduk sepejabat dengannya.

Kalau di pejabat, dia akan memandang semua orang lebih rendah daripada dia. Dia juga tak bercampur dengan mereka kononnya tak ada kelas.

Sementara di kalangan personaliti sendiri, dia mahu mendapat layanan yang lebih baik daripada personaliti lain. Lagi satu, kalau dia marah, maka habislah semua orang akan jadi mangsa.

Diva: Anak wayang memang kuat main wayang.

Nak fotografi untuk cover ke?

Nak fotografi untuk cover ke?

"DIVA, kau tahu, aku dah dua tiga kali terkena dengan perangai artis-artis kita yang tak mahu fotografi beramai-ramai. Macam-macam alasan mereka bagi. Tapi bila aku cakap kalau solo boleh tak, tiba-tiba saja boleh. Geram betul aku!" luah seorang teman tanpa sempadan Diva.

Kisahnya, teman Diva ini sibuk atur fotografi untuk keluaran Hari Raya Aidilfitri nanti. Biasalah, kalau raya, memang inilah musim gandingkan sesama artis dan berkongsi cerita Hari Raya.

Ini tidak, rungut teman Diva, ada artis yang perasan popular enggan bergambar beramai-ramai.

"Paling teruk ada yang tanya aku nak fotografi untuk muka depan (cover) ke muka dalam? Kalau cover okey. Boleh tak Va? Dia ingat dia siapa? Datuk Siti Nurhaliza? Eh, Siti pun tak pernah tanya muka dalam ke cover atau tolak digandingkan dengan artis lain tau," rungutnya lagi.

Diva pun tertanya-tanya juga, kenapa sebelum popular dulu kalau gandingkan dengan 20 orang lain pun tak apa. Malah suruh pose dalam longkang pun okey. Tapi bila dah popular, semua berubah.

Diva: Tak mahu jadi kera sumbang.

Wajah Pan-Asia rebut watak Nina

Wajah Pan-Asia rebut watak Nina

MEMANG panas! Selepas pengarah tersohor U-Wei Shaari mengumumkan mencari aktres terbaik untuk membawa karakter Nina dalam filem terbarunya, Hanyut, Diva dengar ramai betul aktres kita yang berebut-rebut nak jadi Nina. Padahal filem ini hanya akan menjalani penggambaran tahun hadapan. Tapi kerusi Nina sudah panas.

Kalau U-Wei buka uji bakat pada orang biasa, Diva pun tak nak lepas peluang jadi Nina. Tapi bila Diva dapat tahu nama-nama gah industri yang mahu bersaing untuk dapatkan karakter ini, Diva undur diri.

Kemudian Diva dengar ada ramai aktres muda kita yang buat persediaan nak rebut watak Nina. Tapi kata U-Wei, watak Nina mesti seorang wanita berwajah Pan-Asia yang memiliki wajah jelita, tinggi lampai dan mempesona dan berusia awal 20-an.

Emm, ramai juga calon pelakon muda Pan-Asia macam Diana Danielle, Intan Ladyana atau Juliana Evans yang ada peluang cerah kalau mereka pergi uji bakat.

Iyalah, siapa yang tak nak bekerja di bawah pengarah berwibawa seperti U-Wei. Semua filem arahannya dijulang sebagai yang terbaik. Barisan pelakon yang pernah bekerja dengannya juga diiktiraf.

Lagi pula, naskhah adaptasi daripada novel tulisan Joseph Conrad iaitu Almayer's Folly itu pasti hebat dan tidak mengecewakan. Jadi kalau tak rebut watak Nina, memang rugi.

Diva: Tiba-tiba rasa nak jadi pelakon.

Gayah Gebu: Jaja kisah peribadi di alam siber

Gayah Gebu: Jaja kisah peribadi di alam siber


ALHAMDULILLAH... sudah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Alhamdulillah juga, belum ada artis kita yang masuk surat khabar gara-gara tak berpuasa, ditangkap khalwat, ditahan kerana air kencing positif dadah atau dikejar penguatkuasa agama ketika membeli nombor ekor.

Gayah harap sepanjang Ramadan ini tiada kisah keburukan artis kita terpampang di muka depan akhbar. Kalau dah rasa perangai memang tak boleh ubah, cubalah bertahan sepanjang Ramadan ini.

Manalah tahu, dapat hidayah. Daripada perangai buruk dapat ubah jadi artis yang baik. Bertambahlah lagi artis yang ‘baik-baik’ selepas Ramadan ini.

Maaflah kalau Gayah memulakan bicara dengan ayat biasa. Tiada carutan dan tiada herdikan. Faham-fahamlah sendiri. Gayah juga seorang manusia yang mahu keberkatan dan rahmat daripada yang Esa sepanjang Ramadan ini.

Apapun, atas rasa tanggung jawab, apabila ada yang tidak kena, Gayah kena tegur juga. Cuma, kali ini kena tegur elok-elok.

Bukannya Gayah tak pernah tegur artis ini. Sudah beberapa kali Gayah menulis mengenai sikap artis ini. Siap kena carut lagi. Opsss!

Baru-baru ini dia buat hal lagi. Habis semua kisah peribadi kamu ceritakan di alam siber. Dik... takkan tak tahu, mendedahkan kisah peribadi di alam siber ini tinggi risikonya.

Gayah tak kisah kalau kisah peribadi itu hanya membabitkan diri sendiri. Ini cik adik tulis kisah yang ada kaitan dengan orang lain. Tak fikir ke perasaan orang yang dikaitkan dengan kisah peribadi awak itu?

Dulu, apabila wartawan tanya, kunci mulut dan kadangkala pandai pula main wayang. Tapi, entah bagaimana secara rela hati kau kongsi kisah peribadi itu di alam siber. Motif?

Cukuplah dik... jangan buat benda yang boleh memalukan diri sendiri. Sampai bila awak nak dibenci, dikritik dan dijadikan bahan umpatan di forum tertentu di Internet.

Walaupun Gayah kadangkala menyampah dengan kamu, tidak bermakna Gayah menyampah untuk selama-lamanya. Gayah sedar Gayah ini bukan maksum.

Gayah tegur untuk kebaikan. Masih jauh lagi perjalanan kamu. Apalah gunanya kalau dikurniakan dengan wajah yang cantik dan bakat jika akhirnya sia-sia gara-gara sikap sendiri.

CAK: Dedah gambar

CAK: Dedah gambar

PENYEBARAN gambar tidak bermoral membabitkan selebriti tempatan menerusi Internet bukan perkara baru. Teknologi memudahkan cara bagi mereka yang tidak bertanggungjawab untuk membuka pekung manusia yang pernah ‘terlanjur’.

Macam yang terbaru, kita tengok gambar pelakon baru, Tiz Zaqyah dan peserta Gadis Melayu yang disifatkan keterlaluan untuk seorang gadis beragama Islam. Tiz tampil menjelaskan kekecohan itu manakala peserta program realiti itu masih dikunci mulutnya.

Pun begitu CAK bukan nak mengulang kisah mereka di sini, sebaliknya CAK dengar seorang lagi artis terkenal Malaysia bakal menjadi mangsa di Internet oleh seseorang.

CAK difahamkan, seseorang itu mempunyai gambar artis wanita ini bercium mulut dengan kekasihnya yang zahirnya dilahirkan sebagai wanita. Seseorang itu hanya menunggu masa untuk menjadikan artis terbabit sebagai mangsanya.

Namun CAK kurang pasti apa kesalahan artis itu terhadap seseorang tadi sehingga dia membuat perancangan begitu sekali. Kalau tiada mengguris perasaan pun, CAK yakin ramai nak tahu siapa dan nak tengok gambar yang dimaksudkan.

Harap-harap perancangan yang CAK dengar ini tidak diteruskan keranamengaibkan artis itu. Bagaimanapun kalau tujuannya untuk memberi teladan kepada artis lain dan masyarakat keseluruhan, CAK tak nak komen panjang-panjang sebab ia bergantung kepada nawaitu seseorang itu.

CAK: Isteri Asri tutup TV

CAK: Isteri Asri tutup TV

JIKA ramai kawan begitu terasa kehilangan Mohd Asri Ibrahim (Rabbani), apatah lagi isterinya, Nur Jannah Shahadan yang berkongsi hidup dengannya hampir 16 tahun. Siapa tidak sedih kehilangan insan paling dicintai.

Perginya sudah pasti tidak kembali lagi dan membawa rindu yang tidak bertepi. Hanya kenangan yang terus tersemat di sudut hati.

Ketika rakan CAK bertemu Jannah pada satu majlis tahlil untuk arwah baru-baru ini, katanya sehingga sekarang dia tidak menonton televisyen dan mendengar radio kerana belum bersedia melihat kelibat serta mendengar suara arwah menyanyi.

Keadaannya juga tidak berapa sihat dan anak bongsunya, Hamdi Rabbani, 5, juga demam kerana rindukan Abinya.

Namun di depan umum, CAK perhatikan jarang sekali air mata Jannah tertumpah. Ternyata dia wanita yang kuat dan tabah memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada enam cahaya mata yang masih kecil serta dahagakan belaian seorang bapa.

Pun begitu wajahnya yang muram membayangkan betapa hatinya sarat menanggung rindu terhadap arwah. Pemergian arwah yang terlalu ‘cepat’ selepas rebah di RTM sangat mengejutkan, apatah lagi ketika itu seminggu sebelum Ramadan menjelma.

CAK yakin berkat sokongan ahli kumpulan Rabbani yang lain dan isteri mereka serta kawan arwah, insya-Allah Jannah dapat melalui segala kesedihan itu. Masa akan mengubati kesedihan dan menjadi penawar buat Jannah.

CAK juga difahamkan, setiap hari ada saja kawan dan kenalan arwah ingin mengadakan majlis tahlil untuknya sehingga Rabbani terpaksa menyusun jadual supaya tiada yang berkecil hati.

Semoga kita yang masih dapat bernafas di bumi Allah ini dapat terus sedekahkan al-Fatihah buat arwah dan juga mereka yang terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi. Untuk diri kita pula, tambahkan amal kebaikan kerana entah bila, kita pula akan dipanggil menyusuli mereka semua.

CAK: Pengakuan jujur

CAK: Pengakuan jujur


JUJUR Datuk Shah Rukh Khan mengakui dia tidak berpuasa penuh atas alasan sibuk dengan kerja sepanjang Ramadan ini. ‘Bangga bercampur kagum’ kerana dalam pada itu dia tetap berazam untuk berpuasa sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari dalam bulan mulia ini.

CAK tidak perlu komen lebih-lebih walaupun CAK sedar Islam tidak suka memaksa tetapi sebagai umatnya, kita seharusnya lebih maklum mana yang putih dan mana yang hitam.

Selain kisah Kartika Seri Dewi Shukarnor yang boleh kita jadikan panduan hidup, ‘kejujuran’ pelakon Mohabbatein dan Phir Bhi Dil Hai Hindustani itu juga boleh kita jadikan teladan.

Al-maklumlah, bukan CAK nak skeptikal tetapi artis kita tetap berkejar ke lokasi walaupun pada Ramadan, malah ada yang bersahur di set penggambaran lagi. Harapnya lebih ramai artis kita tahu menghormati bulan puasa, tidak seperti beberapa tahun sebelumnya di mana pernah berlaku insiden makan di siang hari di lokasi.

CAK: Kasihan model kita

CAK: Kasihan model kita

SATU ketika dulu, kalau tak silap CAK sekitar awal 1990-an, pernah timbul isu wajah Pan-Asia yang banyak ‘mengerumuni’ iklan tempatan yang kononnya tidak menggambarkan warga Malaysia sebenar. Isu itu mendapat perhatian pihak kerajaan untuk menanganinya.

Itu dulu, tetapi sekarang sudah lain. CAK (bersama beberapa rakan media) sudah lama memerhatikan iklan kita yang banyak menggunakan wajah bukan Pan Asia saja malah bukan Asia langsung.

Kalau setakat dari Indonesia, Thailand atau Hong Kong, kita masih boleh anggap ia ‘Malaysia’ sebab wajah kita lebih kurang sedondon. Bagaimanapun kini wajah Eropah makin berleluasa, baik di pawagam mahu pun TV dan akhbar.

Hal ini sebenarnya bukan CAK saja yang perasan, malah turut diluahkan kawan CAK yang menjadi model Melayu sejati. Bukan mengadu, tetapi ada benar juga kata-kata mereka mengenai wajah orang putih semakin mendapat tempat di pasaran peragaan di negara kita. Model Melayu nak makan apa?

Harapnya perkembangan yang tidak memberangsangkan ini boleh merangsangkan mana-mana pihak berwajib untuk melihat-lihat apa yang patut dilakukan. Bukan lihat-lihat biskut raya dan langsir baru saja!

CAK: Poster dah naik, nama dirahsia?

CAK: Poster dah naik, nama dirahsia?

TIBA-TIBA nama pelakon pementasan teater Natrah ‘disembunyikan’. CAK hairan, kononnya nama teraju utama naskhah yang berdasarkan kisah benar mengenai wanita bernama Maria Bertha Hertogh ini belum boleh diputuskan lagi, jauh sekali untuk dihebahkan media.

Bukan apa, hairannya sebab ketika CAK ke Istana Budaya menyaksikan konsert Lelaki Ini Anuar Zain pada 2 Julai lalu, terpampang ‘bunting’ yang disandarkan pada tiang di istana kesenian itu dengan gambar wajah Diana Danielle sebagai Natrah.

Tidak cukup itu, nama Umie juga disebut-sebut pihak istana sebagai ibu angkat Natrah, Che Aminah.

CAK difahamkan, keputusan siapa pelakonnya belum boleh diumumkan sebab kontrak belum ditandatangani.

Dalam pada itu, dari istana itu juga CAK mendapat perkhabaran mengenai Gamat yang akan bertambah gamat apabila CAK dengar-dengar yang Adibah Noor dan Amy Mastura memberi persetujuan untuk berlakon dalam teater kanak-kanak arahan Zafri Husin itu.

Adibah akan jadi ikan pari manakala Amy sebagai ibu Gamat!

CAK: Jadikan Kartika teladan

CAK: Jadikan Kartika teladan


KISAH Kartika Seri Dewi Shukarnor yang didenda RM5,000 dan hukuman enam sebatan masih menjadi isu hangat di negara kita. Model sambilan itu dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2009.

Cerita ibu tabah kepada dua anak ini seharusnya menjadi contoh buat kita semua. Bukan saja keberaniannya mengaku kesilapan dan menerima hukuman, malah kes ini mampu memberi kita keinsafan.

Bukan kita tak tahu dalam dunia hiburan juga tak terlepas daripada cerita artis Melayu meneguk air haram. Malah selalu kita dengar kisah begini dan gambar yang tersebar menerusi Internet.

Masih ingat lagi gosip mengenai seorang artis wanita yang mabuk sampai balik kena papah. Bila mabuk, biasanya hilang pertimbangan diri tetapi nasib baik tak kena lapah. Tak perlu CAK senaraikan dengan terperinci tetapi dalam bulan yang mulia ini CAK harap yang makan cili tu akan terasa pedasnya.

Shazroul Fazlie Zahari : Terus cuba

Terus cuba

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

SEPI daripada publisiti tidak menjadi penghalang jejaka ini menguji pasaran muzik tempatan. Malah, suasana ekonomi yang suram tidak langsung mematahkan semangat pemilik nama Shazroul Fazlie Zahari untuk hadir mengisi rak penerbitan album tempatan dengan sebuah album penuh.

Mungkin ramai yang tidak mengenalinya. Sedikit latar, Shazroul pernah mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim keempat (AF4). Walaupun sekadar berjaya ke peringkat Prelude program realiti itu, anak muda berusia 24 tahun ini masih setia mencuba nasib bergelar penyanyi.

Buktinya, selepas enam bulan mengikuti kelas vokal bersama Hazami selain menerima pelbagai undangan mengadakan persembahan, akhirnya Shazroul berani hadir dengan album berjudul Cuma Satu.

Katanya, album yang diterbitkan 2ps Production itu menjadi langkah pertama untuknya meneroka bidang seni ini.

“Saya sedar nama sebagai penyanyi masih belum dikenali ramai. Namun, AF4 menjadi pemangkin buat saya. Sekurang-kurangnya, ada segelintir penonton setia program realiti itu mengenali saya sebagai penyanyi.

“Pernah dulu saya bagaikan berputus asa apabila tidak berjaya meneruskan perjuangan dalam AF4. Malah, waktu itu juga saya sudah memikirkan untuk berhenti daripada bidang seni ini dan meneruskan kerjaya yang sudah saya tinggalkan dulu.

“Namun, semangat dan dorongan diberikan rakan-rakan dan keluarga membuatkan saya kembali meneruskan kerjaya seni ini. Malah, selepas berfikir, apa salahnya jika saya terus mencuba,” katanya.

Bercerita mengenai album dan konsep lagu yang diketengahkan, Shazroul berkata, album yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan itu menampilkan konsep pop dan disulami elemen klasik.

“Walaupun masih baru dalam industri ini, tidak salah jika saya tampil dengan konsep yang berbeza daripada yang sedia ada.

“Malah, jika kita lihat kebanyakan penyanyi muda yang berani mencuba konsep baru dan boleh berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, mengapa tidak saya?” katanya.

Melihat pengisian dalam album perdananya itu, Shazroul sepatutnya berbangga apabila mendapat sentuhan dan kepercayaan komposer popular seperti Hazami dan Ryan Kyoto dari Indonesia.

Malah, dia juga mungkin menjadi segelintir bakat baru yang berpeluang bekerja dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun itu bukan jaminan untuk dia segera meraih perhatian kerana masih banyak kelemahan serta kekurangan dalam album ini yang perlu dititikberatkan. Vokal yang seharusnya menjadi taruhan utama tetapi ternyata apa yang diberikan Shazroul belum memadai untuk memacu namanya pada tahap selesa.

“Saya sedar, masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Lagipun, tidak ada jalan pintas untuk orang baru seperti saya berjaya dalam bidang seni ini. Insya-Allah, saya akan cuba memperbaiki segala kekurangan,” katanya.

Menyentuh mengenai pengedaran album, Cuma Satu hanya dijual menerusi online dan tidak secara terbuka. Jelas Shazroul, dia masih belum mempunyai pengedar untuk mengedar album pertamanya itu.

“Mungkin tidak ramai yang mahu mengambil risiko mengedarkan album pertama saya ini. Malah, saya faham mereka sukar untuk bekerjasama dengan orang baru seperti saya.

“Sebab itu, saya hanya menjual album berkenaan menerusi www.2ps.com.my dan secara langsung ketika mengadakan persembahan,” katanya.

Raihan gabung Hujan

Raihan gabung Hujan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

BARANGKALI bukan mudah untuk muzik nasyid bertahan masa ini. Kebangkitan pelbagai jalur muzik baru turut menenggelamkan elemen seni yang banyak membantu menaikkan taraf muzik tanah air satu masa dulu.

Raihan sedar perkembangan itu sehingga ruang mengadakan persembahan di bumi sendiri kian berkurang. Pun begitu, rezeki Raihan tetap besar dengan tawaran dari negara luar. Pendek kata, negara luar lebih menghargai karya nasyid ini.

Jelas Che Amran Idris selaku anggota kumpulan ini, rata-rata karyawan tanah air memandang muzik nasyid sebagai satu cabang dakwah dan tidak melihatnya sebagai satu seni di pentas seni suara.

“Jika di negara luar, mereka tidak memandang muzik nasyid ini sebagai satu dakwah tetapi menganggapnya sebagai seni yang perlu dipelihara. Jika mereka beranggapan sebegitu, mengapa tidak kita sendiri?

“Hakikatnya saya dan anggota serta penggiat muzik nasyid lain amat menyayangi dunia nasyid ini. Namun jika tiada sokongan, bagaimana muzik yang kami perjuangkan mahu bertahan?

“Muzik nasyid hari ini seakan-akan diketepikan. Mengapa elemen nasyid dan ketuhanan ini dianaktirikan di negara sendiri walhal negara luar begitu mengagunginya?“ katanya yang kecewa terhadap kesukaran mendapatkan penaja untuk mengadakan persembahan nasyid kebelakangan ini.

Tambah Che Amran, Raihan yang kini berusia 13 tahun sering kali menerima jemputan mengadakan persembahan di luar negara kerana di sana penganjur lebih menghargai muzik nasyid.

“Tidak dinafikan kami ada menerima jemputan dalam negara, tetapi dalam soal penajaan, terutama untuk memenuhi jemputan luar, agak sukar umpama lagu nasyid ini dipandang sebelah mata.

“Mungkin mereka (penaja) menganggap lagu nasyid hanya berkaitan agama seperti solat dan zikir tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, lagu nasyid meliputi motivasi serta teguran, apatah lagi berkaitan gejala sosial remaja sekarang,” katanya.

Lebih mengecewakan, stesen radio tempatan juga gemar memainkan lagu berkonsepkan komersial berbanding nasyid. Malah, lagu nasyid hanya diputar pada waktu tertentu saja.

“Lagu nasyid mungkin hanya dimainkan pada waktu tertentu seperti Ramadan dan Aidilfitri. Namun ingin saya katakan di sini, kami bukan berceramah, sebaliknya menyampaikan dakwah menerusi lagu serta muzik yang turut menjadi hiburan kepada pendengarnya.

“Lagu nasyid mempunyai peminat tersendiri, malah ada lagu yang malar segar dan sokongan mereka tidak pernah putus walaupun suasana sekarang menyukarkan kami untuk mendapat peluang memperkembangkan industri nasyid,” katanya.

Dek kerana suasana ekonomi dan peralihan minat remaja masa ini, Raihan cuba menampilkan sesuatu yang baru supaya muzik nasyid masih dipandang setaraf dengan elemen komersial.

Menurut Che Amran, untuk mengembalikan kelainan dalam muzik Raihan, mereka kini dalam proses merakam single Aidilfitri bersama kumpulan indie tempatan, Hujan.

“Selain lagu Doa Niat Puasa sempena yang dirakam sempena Ramadan, Raihan bakal mengeluarkan single untuk Aidilfitri nanti berjudul Aidilfitri Ayah Bonda yang turut mendapat sentuhan Hujan. Insya-Allah, dengan gabungan dua kumpulan ini ia dapat menarik perhatian pendengar.

“Lagipun, Hujan dan Raihan masing-masing mempunyai kelompok pengikut berbeza. Selain itu muzik Hujan juga lebih tertumpu kepada golongan muda dan ia menjadi faktor untuk kami berkolaborasi dengan mereka.

“Sekurang-kurangnya Raihan dapat meluas dan memperdengarkan jalur muzik kepada golongan muda ini. Dalam masa sama kami juga boleh menyampaikan pelbagai mesej positif kepada mereka.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan mendengarkan single terbaru Raihan, ia boleh didapati menerusi laman web www.metamobile.com.my,” katanya sambil menerangkan, lagu duet berkenaan ciptaan dan lirik daripada Abu Bakar Mat Yatim manakala Noh dan Hujan bertanggungjawab menyusun muzik.

Tambah Che Amran, meskipun tirai Ramadan baru saja menyingkap tabir, keberkatan bulan mulia ini mula terasa, lebih-lebih lagi mereka berpeluang menyerikan malam pengunjung yang menjamu selera di Restoran Kelana Central, Kelana Jaya.

“Setiap kali waktu berbuka, kami ada di sana untuk menyambutnya bersama. Selepas itu kami akan menyerikan majlis dengan iringan muzik nasyid dan ia turut diselang dengan persembahan kumpulan nasyid lain.

“Jadi, bagi yang tidak mahu melepaskan detik istimewa berbuka puasa itu, sila hadir ke restoran berkenaan untuk menjamu selera,” katanya.

FILEM: Lelaki psiko

FILEM: Lelaki psiko

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

KISAH pembunuh yang dipaparkan menerusi pandangan seorang pembunuh yang mempunyai masalah psikologi ini dijelmakan dengan baik oleh sutradaranya, Roy Chow Hin-Yeung.

Membariskan barisan pelakon handalan seperti Aaron Kwok sebagai lelaki psiko yang mudah tersinggung cukup baik. Watak yang digalasnya dalam Murderer bagai serasi dengannya. Meskipun umur aktor ini mencecah 43 tahun, lakonannya masih bertenaga dan bersahaja.

Bagi penulis, watak pembunuh dipaparkan Aaron pasti membuatkan penonton membencinya dalam filem ini. Namun, sesetengah penonton pula bersimpati dengan karakternya.

Bayangkan saja, dalam satu filem pelbagai tanggapan diberi. Mahu apa lagi? Yang pasti, filem ini tidak akan mengecewakan penontonnya, lebih-lebih lagi lakonan Aaron. Malah, pelbagai watak dibawa oleh pelakon dalam filem ini turut dijelmakan dengan baik.

Roy berjaya mencipta fenomena baru menerusi filemnya. Setidak-tidaknya penonton akan percaya pembunuh itu membunuh mangsanya kerana mahu meneruskan kehidupan. Bagaimanapun dalam apa jua kes, pembunuhan itu tetap perkara salah.

Yang penting, Murderer turut menceritakan kisah hitam wataknya. Memaparkan apa yang tersembunyi dalam fikiran pembunuhnya serta menceritakan mengapa dia bertindak kejam menguatkan lagi jalan cerita filem ini. Tambah menarik, penonton pasti teruja apabila setiap adegan pembunuhan dijelmakan dengan baik, seakan-akan benar terjadi.

Bagaimanapun, sesetengah penonton pasti tidak akan selesa menonton filem ini kerana adegan seperti itu. Begitupun, dalam sebuah cerita mengenai pembunuhan, elemen realistik harus ada supaya peminatnya tidak hampa dan bosan menontonnya.



DATA

FILEM: Murderer

PENGARAH: Roy Chow Hin-Yeung

PELAKON: Aaron Kwok, Chin Ka-Lok, Josie Ho, Koon Tai Chan, Ning Chang, Siu Fai Cheung dan Wong You-Name

GENRE: Aksi / Thriller

TAYANGAN: 27 Ogos 2009

FILEM: ( Kungfu Cyborg ) Robot hasil kajian saintis

FILEM: Robot hasil kajian saintis


FILEM seni bela diri dan sains fiksyen yang menelan belanja hampir AS$10 juta (RM35 juta) ini dikatakan ‘jelmaan’ Transfomers versi Hong Kong oleh sesetengah pengkritik.

Namun ketika berpeluang menontonnya baru-baru ini penulis menganggap ia hanya seakan-akan sama seperti filem Pixar’s Studio, Wall-E.

Bagi penulis, watak robot diberi nama K-1 atau DeMing yang dilakonkan oleh Alex Fong Lik Sun tidak langsung boleh dipadankan dengan Transformers.

Lagipun, robot hasil kajian saintis yang dicipta menerusi sejenis organisma sibernatik ini tidak berubah daripada kenderaan kepada robot, sebaliknya ia lebih kepada manusia berbadan besi.

Bagaimanapun, filem ini tetap mempunyai keistimewaannya sendiri. Begitupun, penulis hanya tidak setuju dengan pendapat yang menyamakannya dengan Transformers.

Kungfu Cyborg arahan Jeff Lau Chun Wai mengisahkan mengenai K-1 dan ia turut diprogramkan dengan naluri untuk bersosial seakan-akan manusia. Dalam masa sama K-1 adalah bahan uji kaji rahsia yang dicipta kerajaan China sebagai senjata sulit mereka.

Bagi menguji tahap sofistikated identitinya, DeMing dihantar ke sebuah kawasan terpencil di mana ia mampu membuat penyamaran dan menguji identiti serta kemampuannya.

Tanpa memberitahu dia sebenarnya robot, penduduk kampung di kawasan berkenaan menjadi rapat dan menjaganya. Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila satu lagi cyborg, K-88 muncul dan menjadikan keadaan huru-hara. Tanpa diketahui umum, K-1 sememangnya menantikan ketibaan cyborg berkenaan.

Selain aksi, filem ini menampilkan beberapa adegan yang tidak dijangka oleh penonton. Namun, tidak perlu penulis menceritakan secara terperinci. Rasanya, ia lebih baik dinikmati oleh penonton.

DATA

FILEM: Kungfu Cyborg

PENGARAH: Jeff Lau Chun Wai

PELAKON: Alex Fong Lik Sun, Eric Tsang, Ronald Cheng dan Wu Jing

GENRE: Aksi / Sains Fiksyen

TAYANGAN: 27 Ogos 2009

Jarum Emas: Iktibar isu Kartika

Jarum Emas: Iktibar isu Kartika

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

KATA Manohara, dia alami penderaan seksual. Kata pengantin diberi nafas baru, Akhil Hayy: “Ana akan saman!” Kata Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, pula: “Saya tidak akan saman mana-mana pihak!”

Ketiga-tiga mereka mutakhir ini tidak semena-mena jadi tumpuan media. Bukan mudah mencuri publisiti, sebabnya ada artis sampai beruban dan nak bongkok sabut, tetapi publisiti diterima bukan setakat suam-suam kuku, bahkan tiada langsung.

Di sebalik kontroversi perkahwinan Akhil dan Waheeda serta isu Manohara, siapa sangka ibu dua anak yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel di Kuantan memintas populariti bukan setakat ustaz rock dan model sensasi itu tetapi semua artis di nusantara.

Ikutkan, Kartika bukan penyanyi atau pelakon, apatah lagi model hebat seperti Nasha Aziz atau Amber Chia, sebaliknya cuma model sambilan. Saya tidak perasan bila dia ‘menyambil’ dalam bidang diceburi, namun dek kerana dia dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Kartika menjadi buruan media.

Yang mahalnya, wartawan yang mengejar Kartika bukan saja di tanah airnya, bahkan wartawan CNN sanggup ke kampungnya di Sungai Siput, Perak, untuk bertemu dengannya.

Beritanya pula bertali arus di AFP dan Reuters, disiarkan pula di beberapa akhbar di Britain seperti The Sun dan Daily Mail, bahkan teruja dibuatnya bila pengantara CNN yang cantik manis, Betty Nguyen di Amerika Syarikat berinteraksi dengan wakil mereka, Anna Coren menemuramah Kartika.

Lebih 20 tahun di bidang kewartawanan, seingat saya belum pernah CNN nak menemuramah secara eksklusif artis atau selebriti kita. Namun kita faham Barat sememangnya ada niat serong pada kita dan Kartika menjadi ‘kambing hitam’ bagi mereka menggambarkan keadaan negatif negara kita.

Sama ada Kartika mahu menagih simpati atau mencari populariti, bagi saya mesej yang boleh kita sampaikan pada Barat jelas betapa arak itu haram, haramlah. Sama seperti babi, haram, haramlah juga.

Gara-gara perintah Allah tidak dihiraukan oleh masyarakat akhir zaman ini, baru kelam kabut kita apabila masing-masing menggelabah kerana semakin ramai manusia ‘kojol’ gara-gara penyakit selesema babi atau ‘swine flu’. Di negara kita saja sudah mencatat 71 kematian.

Saya tertarik dengan kesanggupan Kartika disebat sebagai pengajaran kepada kita kerana minum arak. Ada pro dan kontra, namun harus diingat apa yang menimpa Kartika sebenarnya memberi kesedaran pada artis dan selebriti lain supaya jangan main-main dengan satu daripada dosa besar itu.

Bukan nak kata, saya terkenang satu syarikat produksi yang aktif menerbitkan drama dulu, setiap kali selesai penggambaran, produser dan rakan kongsi menjamu kru dengan karaoke dan arak.

Penyudahnya, syarikat tunggang langgang dan akhirnya gulung tikar kerana tidak tahu bersyukur. Kartika dikira tidak bernasib baik sebab ditahan ketika melayan arak jenis Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, pada jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.

Bukan mahu membuka aib, tetapi sukar menidakkan dalam anugerah tertentu melalui majlis dinamakan ‘post party’ pelbagai jenis arak disajikan. Di sebalik samar cahaya, kita boleh lihat seorang demi seorang artis atau selebriti kita yang dipuja di TV dan filem selamba memegang gelas arak.

Barangkali mereka memikirkan tiada apa mahu dirisaukan, namun tidak mustahil akan terjadi apabila berlaku serbuan dalam ‘post party’ begitu. Ia sama seperti artis dan pelakon di lokasi atau studio menghisap rokok sambil berjudi dengan bermain terup.

Mereka anggap ia biasa bagi mengisi masa tetapi jika ada pertaruhan dan ada serbuan, sudah pasti artis atau pelakon ini akan dicekup. Ini bukan main-main buat artis dan selebriti yang ‘tahi arak’. Sebabnya kisah artis ditangkap bermain judi pernah saya paparkan di muka depan Harian Metro pada 15 Ogos 1991 dengan tajuk Artis Filem Ditahan Berjudi.

Ringkasan beritanya: “Seorang pengarah, dua pelakon dan sembilan kru filem ditangkap kerana berjudi di Studio Panca Delima, Hulu Klang, petang semalam. Mereka tangkap selepas menjalankan kerja penyuntingan sebuah filem dokumentari dan pengadunan suara sebuah drama dalam studio, pada jam 5.45 petang. Semua 12 orang berkenaan kemudian dibawa ke balai polis Ampang untuk disoal siasat dan memberi kenyataan.

Mereka hanya dibebaskan kira-kira jam 1 pagi setelah dijamin oleh enam penjamin. Setiap seorang dikenakan ikat jamin RM1,000. Ketika ditangkap hanya beberapa orang memegang daun terup manakala yang lain menjadi penonton.

Difahamkan, sebuah meja, kerusi dan daun terup dibawa ke balai polis sebagai barang bukti. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Kajang.”

Pelanduk memang mudah lupakan jerat, tetapi jerat tak lupakan pelanduk. Natijahnya, tidak mustahil dalam ‘post party’ kelak ada artis ditangkap kerana arak. Buat Kartika pula, alang-alang menjadi buruan media, tak mustahil selepas ini ada produser atau pengarah memburunya pula.

Cuma nasihat saya pada Kartika andai terlaksana hukuman sebat itu kelak, usah ‘main politik’ keluar penjara terus memakai tongkat atau berkerusi roda, kelak ditempelak orang belum jadi pelakon sudah pandai berlakon.

ADAM: Salam 1Malaysia, Selamat Hari Kebangsaan.

Hargai jasa

Hargai jasa

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

SECARA jujur mereka mengakui tidak begitu arif dalam dunia politik. Namun bila bercakap soal kemerdekaan, masing-masing bersemangat bercerita.

Meskipun tidak banyak pengalaman mengenai perkara dulu, cerita orang tua dan apa yang tertulis dalam sejarah membuatkan Mawi, Jaclyn Victor, Suki, Faizal Tahir dan pendatang baru dalam dunia seni, Prema Yin sebak dan bangga mengenangkan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Justeru, mereka berharap sempena kehadiran ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52 esok, masyarakat Malaysia dapat disatukan semula supaya sama-sama dapat menikmati kemerdekaan dengan aman dan penuh rasa tanggungjawab.

Bagi Mawi, setiap kali tiba ulang tahun kemerdekaan negara, dia tidak akan lupa terhadap jasa ditaburkan pejuang negara yang berusaha mencapai kemerdekaan untuk dinikmati rakyat Malaysia.

“Terus terang saya katakan, apabila tiba hari kemerdekaan, usaha dan pengorbanan pejuang lalu perlu dikenang. Tanpa mereka, tidak mungkin kita dapat mengecapi kebebasan pada hari ini.

“Hari Kemerdekaan Malaysia juga bukan perayaan yang perlu disambut dengan pelbagai aktiviti tidak sihat. Malah, ia juga bukan sekadar nama mengisi kalendar tahunan. Sebenarnya ia adalah hari di mana kita perlu berbangga dan menyambutnya dengan penuh makna.

“Walaupun tahun ini Hari Kemerdekaan jatuh pada bulan puasa dan sambutannya tidak diadakan semeriah tahun-tahun lalu, sebagai rakyat negara ini kita perlu ada keinsafan dalam diri dan semaikan semangat cintakan negara di dalam jiwa dan raga,” katanya.

Berbeza Mawi, Jaclyn pula menganggap kemerdekaan negara yang kini mencecah 52 tahun adalah perjalanan jauh. Namun sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, perpaduan dan nilai muafakat itu penting untuk dijaga.

“Mengenang kembali sejarah lalu, bukan mudah negara kita mahu mencapai kemerdekaan malah kini, lebih sukar untuk kita mengekalkannya. Malaysia pula memiliki rakyat berbilang kaum dan agama, jadi mahu atau tidak pasti akan berlaku perbalahan.

“Bagaimanapun, kita sebagai anak Malaysia harus ketepikan sikap perkauman dan pergaduhan. Kita hidup dalam satu negara dan jika bukan kita yang mengekalkan keamanan negara sendiri, siapa lagi?





“Paling penting sikap bertolak ansur, bersatu padu dan tolong menolong harus diterapkan dalam diri masing-masing. Setidak-tidaknya, kita dapat mengekalkan keamanan itu dengan cara lebih baik tanpa pertumpahan darah,” katanya.

Tambah Jaclyn, Malaysia punya pemimpin bermotivasi dan berpendirian tinggi. Tanpa mereka, Malaysia yang dikenali sebagai Tanah Melayu satu masa dulu pasti dibelenggu penjajah.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah pemimpin yang berdedikasi dan memandang jauh ke depan. Tanpa usahanya, mungkin kini kita masih dijajah. Sebagai rakyat yang hidup dalam negara ini, kita perlu berbangga apabila mempunyai seorang pemimpin sepertinya,” katanya.

Menurut Suki pula, Hari Kemerdekaan negara adalah hari di mana rakyat Malaysia akan meraikannya. Bagaimanapun, katanya, ia bukan satu perayaan untuk diraikan tanpa makna.

“Tanggal 31 Ogos setiap tahun adalah hari di mana kita perlu mengingati peninggalan pejuang tanah air. Mereka berusaha membebaskan negara yang dijajah British dulu. Jadi, apa salahnya jika kita luangkan sedikit masa untuk meraikannya.

“Tanpa mereka tidak mungkin kita dapat merasai kehidupan bebas seperti sekarang, di mana rakyat boleh bergerak bebas tanpa kongkongan, tidak perlu takut keluar rumah dan sebagainya. Malah, orang tua saya juga pernah menceritakan keadaan pada zaman penjajahan dulu. Jika difikirkan kembali, kita bertuah dapat merasai kesenangan pada hari ini,” katanya.

Prema Yin juga berpendapat sama. Malah, menurut pendatang baru pentas seni suara ini, kehidupan pada zaman penjajahan Jepun dan komunis sangat menyeksakan.

“Walaupun saya tidak ada pada zaman itu, pengalaman yang diceritakan kepada saya oleh datuk dan nenek satu masa dulu sangat mengerikan. Bayangkan saja, untuk keluar rumah membeli barangan dapur sudah membahayakan.

“Bukan itu saja. Pelbagai perkara yang tidak mungkin kita bayangkan kini turut berlaku terhadap mereka. Sekurang-kurangnya kini kita bebas dalam apa jua perkara. Jadi, pengorbanan pejuang kemerdekaan perlu kita hargai dan sebagai anak Malaysia, saya berbangga menjadi sebahagian daripada negara ini,” katanya.

Akhir sekali, Faizal Tahir pula menyarankan anak muda masa ini jangan terlalu taksub dan alpa dengan kemewahan dan kesenangan yang diperoleh dengan mudah.

“Selaku generasi masa ini, saya harap anak muda di luar sana tidak melupakan sejarah yang memberi kita kesenangan. Kenang kembali pengorbanan mereka dan insafi apa yang kita lakukan,” katanya.

Akhirnya ke pawagam

Akhirnya ke pawagam

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

FILEM Lembing Awang Pulang Ke Dayang yang diilhamkan daripada novel tulisan sasterawan Shaharom Husain menceritakan legenda dari Johor pada abad ke-18 mengenai tragedi cinta berdarah, di mana Awang sanggup mengembara selama tiga tahun bagi menyempurnakan adat untuk mengahwini kekasih hatinya, Dayang.

Sayangnya pengorbanannya sia-sia apabila Dayang akan dikahwinkan dengan Bachok, anak penghulu Parit Bakar berketurunan Bugis.

Sekian lama filem terbitan Dayang Digital Sdn Bhd ini diperkatakan hingga hampir dilupakan, muncul perkhabaran gembira buat pengarah dan barisan pelakonnya apabila ia akan muncul di pawagam pada 22 Oktober depan.

Filem yang menyingkap percintaan Awang dan Dayang pada 1776 ini dibintangi Farid Kamil sebagai Awang, Siti Elizad (Dayang), Zul Huzaimy (Bachok), Hattan (Panglima Merah), Mei-Lin Ludi (Claudia), Aziz M Osman (Dekar Agas), Khir Rahman (Nakhoda) dan ramai lagi.

Perkhabaran gembira ini disambut penuh syukur oleh pengarahnya, Majed Salleh, yang tidak pernah putus-putus berharap filem pertamanya ditayangkan pada khalayak.

Ketika mengambil alih pembikinan filem ini pada Disember 2008, Majed mulanya berat hati namun bersetuju apabila penerbit membenarkannya merombak skrip, menukar pelakon dan mengubah judulnya daripada Dayang kepada Lembing Awang Pulang Ke Dayang.

“Memandangkan pembikinan filem ini sudah lama terhenti, saya meletakkan syarat kepada penerbit tidak mahu terikat dengan cara kerja produksi lama.

“Banyak yang saya rombak, termasuk skrip dan pelakon. Mulanya watak Dayang dilakonkan oleh Natasha Hudson tapi saya rasa tak sesuai kerana dia berwajah kacukan, sedangkan Dayang gadis Melayu. Jadi saya menggantikan dengan Siti Elizad. Saya turut menyenaraikan Mei-Lin, Rosnani Jamil dan Datuk Mustapha Maarof sebagai pelakon.

“Saya hanya menggunakan empat babak yang disiapkan oleh pengarah asal filem ini, itupun tak penuh dan lebih 90 peratus penggambaran saya buat balik.

“Bila menyambung penggambaran, saya melihat daripada kaca mata saya. Semuanya bermula dari awal malah bajet pun baru, begitu juga dengan kostum dan set,” kata Majed.

Penggambaran filem yang menelan belanja RM1.5 juta tidak termasuk kos promosi ini dilakukan di sekitar Pulau

Indah, Bukit Cerakah dan FRIM, Kepong.

Jelas Majed, dia berjaya menyiapkan filem itu dalam masa sebulan lebih manakala proses memasukkan CGI, muzik, suara serta suntingan memakan masa kira-kira tiga bulan.

“Saya sangat teliti ketika menghasilkan filem ini, maklumlah ia buah tangan pertama saya menelan belanja besar,” katanya.

Bagi memastikan jalan ceritanya lebih menarik, ada sedikit penambahan fiksyen dan diwujudkan watak baru untuk selitkan sedikit elemen komedi, namun ia tidak lari daripada cerita asal.

“Ada beberapa babak dan nama watak ditukar kerana terlampau keras, misalnya Panglima Hitam kepada Panglima Merah.

“Bagi babak bertarung, saya gunakan khidmat teman saya, Khairi, jaguh silat dunia pada 1999 di Belanda sebagai jurulatih. Sudah lama saya bekerjasama dengannya, termasuk ketika mengarah siri Gerak Khas,” katanya.

Antara cabaran dihadapi ketika menjayakan filem legenda ini adalah gangguan misteri di lokasi. Kata Majed, babak istana sukar dilakukan, malah ramai pelakon ternampak lembaga menakutkan.

“Dek kerana gangguan di lokasi, pelakon dan kru ketakutan. Sudahnya babak yang sepatutnya dilalukan tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Ketika itu saya menasihatkan semua orang supaya jangan layan perasaan takut atau risau itu. Teruskan penggambaran seperti biasa dan banyakkan berdoa semoga kerja berjalan lancar.

“Ada juga babak di mana Siti Elizad tidak dapat melafazkan dialog. Banyak kali dia mencuba tetapi tetap tidak boleh, seolah-olah ada sesuatu menghalangnya. Bagi mengelak dia tertekan, saya minta dia berehat. Syukur berkat kesabaran ramai, penggambaran dapat juga diteruskan,” katanya yang baru menubuhkan rumah produksi, Box Office Productions.

Majed berharap garapan layar perak pertamanya mampu memenuhi selera penggemar filem Melayu selain memeriahkan lagi industri perfileman negara.

“Sebelum ini saya banyak mengarah drama dan Lembing Awang Pulang ke Dayang menjadi permulaan kepada saya untuk aktif sebagai pembikin filem pula.

“Biarpun banyak onak dan duri terpaksa saya tempuh untuk bergelar pengarah filem, ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Apa cerita...: Di balik runtuhan kota Rom

Apa cerita...: Di balik runtuhan kota Rom

Oleh NOOR FARINA MOHD ASHRUDIN

AL-RISAALAH musim ketiga menerusi episod sembilan jam 6.30 petang ini menceritakan mengenai sebuah kerajaan pentadbiran di Parsi di bawah pemerintahan Cyrus The Great. Baginda terkenal sebagai seorang raja yang adil dan berjaya memerintah sebahagian daripada negara-negara Mesopotamia tanpa pertumpahan darah.

Episod ini turut ke lokasi persemadian raja-raja Parsi yang terletak di Pasargade, Esfahan di Iran. Uniknya pada makam ini ialah ukiran-ukiran ini melambangkan kekuatan dan keangkuhan raja yang digambarkan di dinding-dinding makam.

Antaranya ukiran rakyat sujud kepada Cyrus The Great, pertaruhan antara hamba dan hamba (gladiator) serta pertarungan manusia dan binatang buas.

Kemudian menerusi episod keesokan harinya pula, kru Al-Risaalah berkesempatan singgah melihat kesan runtuhan kota purba Rom di Selatan Turki. Bandar Tarsus, dulunya sebuah kota perdagangan dan persinggahan pedagang rempah dari Asia ke Eropah sekitar 400 tahun sebelum Masihi. Bandar Tarsus ini pernah dijajah oleh banyak kerajaan agung, antaranya Parsi Byzantin, Saljuk dan Empayar Uthmaniyyah.

Al-Risaalah ke Bandar Tarsus untuk menjejaki seorang lagi Nabi berketurunan Bani Israel yang pernah menjadi penasihat agama kepada Raja Babylon ketika itu iaitu Nebuchadnezar.

Ketika itu, Raja Babylon ini terkenal dengan sifat adil, saksama dan tegas dalam pentadbirannya. Orang kepercayaan baginda ketika itu adalah Nabi Daniel a.s.

Kru Al-Risaalah bertuah kerana berjaya menjejaki sebuah masjid yang asalnya adalah gereja. Di sinilah bersemadinya makam Nabi Daniel A.S. yang terletak 10 meter dari aras lantai masjid. Uniknya makam ini dijumpai ketika kerja menyedut selut.

Pihak perbandaran Tarsus berjaya mengesan lokasi ini selepas berlakunya peristiwa bandar Tarsus dibanjiri selut yang melimpahi kawasan Masjid Uluchami. Apabila kerja menggali dan menyedut selut dilakukan, berlaku peristiwa aneh di mana seorang pekerja yang menjalankan tugas menggerudi dan dapati batu yang digerudi itu mengeluarkan abu yang harum.

Ini disahkan sendiri oleh Imam Masjid Uluchami, Imam Camil. Imam ini juga mengesahkan bahawa di sinilah terletaknya makam Nabi Daniel a.s.

Antara bukti kukuh ia makam baginda adalah dengan adanya tanda-tanda Nububuwah iaitu kenabian pada dinding makam iaitu simbol bintang Nabi Daud a.s.

Kru Al-Risaalah dimaklumkan sejak peristiwa banjir itu, masjid ini telah ditutup dari segala aktiviti keagamaan kerana arah kiblat Masjid Uluchami tidak menghala ke Kaabah di Makkah.

Uniknya penemuan makan Nabi Daniel a.s. ini, ia terletak di bawah binaan Kota Rom seluas 20 hektar di bandar Tarsus. Kesan-kesan runtuhan dapat dilihat menerusi tiang-tiang bangunan, lantai mozart, saluran air dan lain-lain.

Jaluran binaan kota Rom ini bukan saja terletak di Tarsus, malah krew Al-Risaalah menjejakinya di bandar Efersus, Cannakale, Konya dan sekitar Turki. Juga ditemui Roman Theatre, gelanggang gladiator, pusat pentadbiran dan kehakiman serta rumah-rumah ibadat.

Kru turut berkesempatan singgah ke Sejirle (bandar mati) untuk melihat kesan runtuhan kerajaan Roman 2000 tahun sebelum Masihi. Turut ditemui ukiran-ukiran batu unik yang menempatkan mayat-mayat pemerintah ketika itu. Batu-batu itu adalah sebuah bungkah batu besar yang diambil dari puncak gunung.

Pastikan anda menonton dokumentari pendidikan Al-Risaalah ini setiap hari sepanjang Ramadan pada jam 6.30 petang kerana banyak lagi kisah-kisah menarik yang akan dipaparkan kepada anda.