Friday, August 28, 2009

Cerai bukan raih populariti

Cerai bukan raih populariti




KETIKA berita pelakon utama filem Santau, Putri Mardiana Zainal Abidin dan suaminya, Shahnaz Norwawi, 32, disahkan bercerai secara taklik dengan talak satu diumumkan pada 25 Ogos lalu, ramai yang tertanya-tanya siapakah aktres itu?

Ramai yang tidak mengenalinya kerana filem lakonan pertamanya, Santau hanya akan ditayangkan pada Disember ini. Tetapi Putri Mardiana sebenarnya merupakan wakil tunggal negara dalam kategori lakonan Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat yang berlangsung pada 11 hingga 19 Julai lalu. Lebih manis dia memperoleh pingat emas pada acara itu.

Namun, ramai yang mempunyai tanggapan bahawa Putri Mardiana yang selesa dengan panggilan Nina itu sengaja 'memilih' masa ini untuk bercerai kerana mahukan populariti bagi membantu karier lakonannya yang sedang meningkat naik.

Nina bagaimanapun menafikan pandangan itu ketika ditemui pada sidang media drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd., Mama Murai yang turut dilakonkan olehnya bersama Kartina Aziz, Shiela Mambo dan Intan Ladyana.

"Siapa yang tahu sebenarnya, rumah tangga saya sudah bergoyang sebelum saya menjadi pelakon lagi? Dulu mungkin orang tidak mengenali saya jadi tidak ada berita.

"Tapi kini saya juga faham mengapa ramai orang mencari saya untuk mendapatkan pengesahan. Namun, saya ingin orang mengenali saya sebagai pelakon. Jadi jangan salah anggap kerana apa yang penting adalah bakat saya dan bukannya apa yang terjadi kepada kehidupan peribadi saya."

Menyifatkan mereka kurang serasi dan kurang komunikasi sehingga menjadi punca perpisahan, bekas suami Nina bekerja di Singapura sebagai konsultan jurutera.

Itu yang menyebabkan hubungan mereka tidak mesra. Disebabkan merajuk, Nina mengambil tindakan meninggalkan rumah sekitar Jun 2008 untuk menetap bersama ibunya di Setiawan, Perak.

"Enam bulan saya meninggalkan dia dan tiga orang anak saya kerana masalah saya dan dia. Tapi saya ada pulang setiap minggu untuk melawat anak-anak saya. Ketika itu, mereka dijaga oleh pembantu rumah kami," jelas Nina yang hanya mula berlakon sejak April lalu.


PUTRI Mardiana mengakui keretakan rumah tangganya berlaku sebelum dia bergelar pelakon lagi.


Selepas enam bulan meninggalkan rumah, Nina kembali untuk memperbaiki hubungannya dengan bekas suami. Berusaha selama enam bulan, Nina sedar hubungan mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

"Saya telah cuba sedaya upaya untuk baiki tetapi kalau saya seorang sahaja berusaha, hubungan kami tidak akan baik semula.

"Tapi saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu mengaibkan keluarga kami berdua kerana ini adalah cerita peribadi kami," keluh Nina yang sedang menjalankan penggambaran Legasi 43 Carot.

Shahnaz memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai taklik itu apabila mendakwa Nina melanggar syarat taklik pada 3 Julai lalu. Bekas suaminya telah melafazkan cerai menerusi telefon pada 1 Jun lalu untuk menghalang Nina daripada meninggalkan rumah sekali lagi.

Namun, Nina yang tidak tahan dengan sikap bekas suaminya bertindak meninggalkan rumah pada 3 Julai selepas satu pergaduhan besar.

"Saya tahu apa akibatnya keluar dari rumah tetapi saya sudah tidak boleh menerima dia. Lagipun saya tahu niat di sebaliknya mengapa dia lafaz taklik. Bayangkan kalau dua bulan kami hidup tanpa berhubungan. Lebih baik lepaskan saya," ujarnya lagi.

Berkahwin sejak tahun 2003, Nina, 28, dikurniakan tiga cahaya mata. Anak sulungnya, Aliawia Dani, 6, Amir Firman, 4 dan Airell Zuhair, 3, kini hidup bersama bekas suaminya.

Ini kerana Nina tidak mahu memisahkan anak-anaknya dengan bapa mereka tetapi turut meminta supaya dia diberi hak untuk melawat mereka.

"Kami akan berbincang secara damai nanti mengenai hak penjagaan anak. Kalau dia memberi kebenaran untuk saya berjumpa dengan anak-anak, saya okey.

"Tapi kalau tidak, saya akan membawanya ke mahkamah. Apa yang saya minta cuma peluang untuk berjumpa dengan anak. Janganlah sampai memisahkan anak-anak daripada saya," katanya yang turut terlibat dalam telefilem Duda dan Dara.

Bertanya sama ada penglibatan dalam dunia lakonan menjadi salah satu punca perpisahan, Nina dengan tegas memberitahu dia ada meminta izin bekas suaminya sebelum berlakon.

"Saya pernah berniaga jual nasi lemak untuk meringankan beban dia. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menjadi pelakon dan semuanya dilakukan dengan izin dia.

"Hanya selepas mendapat restu dia saya meneruskan impian saya. Malah, saya menerima tawaran penggambaran juga dengan niat mahu menambahkan rezeki untuk anak-anak kami," tambah Nina.

Sudah banyak bersabar sejak melahirkan anak pertama, 'kebebasan' yang dikecapi Nina sekarang adalah satu permulaan kepada kehidupannya yang baru. Mendapat sokongan daripada keluarganya, Nina kini mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kariernya.

"Berlakon menjadi perkara paling utama sekarang kerana saya sudah tawar hati dengan cinta. Kalau cerita mengenai penerimaan lelaki lain pada masa akan datang, saya tidak mahu fikir lagi.

"Hati saya sudah tertutup tetapi bukan sepenuhnya," katanya yang memulakan penggambaran drama Mama Murai hari ini.

No comments: