Monday, August 10, 2009

Dulu harapan kini terbaik

Dulu harapan kini terbaik


AFDLIN menjadi figura tumpuan malam FFM22 apabila pulang dengan anugerah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.


BIASANYA penerima anugerah bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem Festival Malaysia terdiri daripada pelakon yang sudah gah dan berpengalaman dalam industri perfileman.

Sekadar menyebut beberapa nama primadona filem yang pernah memegang gelaran itu termasuklah Fauziah Datuk Ahmad Daud, Erma Fatima, Vanida Imran, Ida Nerina dan Nasha Aziz. Namun, Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang berakhir Sabtu lalu memberikan skrip cerita yang sangat menarik.

Berbeza daripada selalunya gadis comel Liyana Jasmay diangkat FFM22 sebagai pemenangnya menerusi filem Papadom.

Menariknya, Liyana mengecapi kejayaan itu hanya selepas tiga tahun dia pernah dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Harapan.

Pada tahun 2006, menerusi filem Castello, lakonan hebatnya berjaya meletakkan nama Liyana dalam calon Pelakon Wanita Harapan. Bagaimanapun dia tewas kepada Carmen Soo yang cemerlang dengan filem The 3rd Generation.

Kali ini menerusi Papadom Liyana memenangi gelaran paling diimpikan setiap pelakon dengan menewaskan Nabila Huda, Sharifah Amani, Heliza Helmi dan Nadia Mustafar.

Liyana yang ditemui sejurus majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah itu berakhir mengakui, dia terkejut dan tidak menyangka akan meraih anugerah dalam kategori yang dianggap antara yang terbesar dalam karier seorang pelakon. Apatah lagi, saingannya terdiri daripada mereka yang hebat.

"Semasa nama saya tercalon lima teratas, saya sudah cukup gembira dan bila nama saya disebut sebagai pemenang saya kaku sekejap kerana tidak sangka akan menang. Bagi saya saingan hebat saya ialah Nabila, tetapi yang lain pun bagus juga," katanya.


PEMENANG FFM22 (dari kiri) Afdlin, Datin Orked (mewakili Yasmin), Liyana, Salina Saibi, Syed Ahmad dan Gayatri Su-Lin.


Namun, apabila menggenggam anugerah yang menjadi idaman ramai pelakon wanita tiba-tiba sahaja terdapat satu beban berat yang terpaksa dipikul oleh Liyana, tambahan usianya baru saya menginjak ke angka 21 tahun.

"Sebenarnya bila menang anugerah ini, saya memikul beban dan tekanan yang berat. Ini disebabkan banyak pihak akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap lakonan saya selepas ini.

"Mesti ramai orang beranggapan lakonan saya selepas ini akan lebih bagus dan saya tidak boleh membuat kesalahan. Itu yang membuat saya takut tetapi saya cuba memberikan yang terbaik pada masa hadapan," ujarnya.

Tambah Liyana, kemenangannya berkemungkinan besar disebabkan keserasian antaranya dan Afdlin sebagai bapa dan anak dalam filem Papadom meskipun filem tersebut merupakan gandingan pertama kali Liyana bersama Afdlin.

"Papadom sangat istimewa buat saya kerana watak saya sebagai Mia Sarah sebenarnya merupakan watak sebenar kepada anak perempuan abang Afdlin.

"Wataknya ringan dan ceria, berbeza dengan filem lakonan saya sebelum ini yang lebih berat dan gelap. Ceritanya juga santai dan apabila melihat abang Afdlin bersungguh-sungguh di set penggambaran, secara semula jadi saya terus menjadi anaknya. Kasih sayang itu yang lahir di skrin,

"Bagi saya watak yang paling ringkas sebenarnya paling sukar untuk saya lakonan dan meskipun sebelum ini filem lakonan saya berat tetapi saya menang anugerah melalui filem yang ringan. Tidak semestinya hanya filem berat yang akan menang anugerah," tuturnya.

Promosi awal Papadom


KEMENANGAN besar Papadom bagaikan satu promosi terbaik sebelum memecah panggung 8 Oktober depan.


Bercakap mengenai filem Papadom yang menang besar menerusi kategori Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Cerita Asal Terbaik, Liyana mahupun Afdlin sama-sama terkejut kerana mereka menyangka filem Talentime akan menguasai pentas FFM22.

"Sebagai seorang pelakon dalam filem Papadom saya turut berbangga dan gembira dengan kejayaan yang diraih. Seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam filem ini pasti sangat seronok seperti saya juga.

"Saya percaya jika kita buat sesuatu kerja dengan ikhlas pasti dan bukannya mengejar populariti pasti ia akan membawa pulangan yang baik," jelasnya yang anggun bersama busana pereka terkenal Jovian Mandagie.

Bagi pengarahnya pula Afdlin yang turut menerima anugerah untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik menyifatkan kemenangan dalam FFM22 merupakan yang terbesar kerana sebelum ini dia tidak pernah memenangi kategori Filem Terbaik.

Kemenangan berganda yang diperolehnya membuatkan Afdlin sebak ketika menerima anugerah terakhir.

Afdlin menjelaskan filem Papadom begitu dekat dengan jiwanya kerana dibikin berlandaskan pengalaman sebenarnya sebagai seorang bapa.

"Terkenangkan arwah Yasmin, meskipun tidak rapat, kami pembikin filem sentiasa menghubungi antara satu sama lain. Saya sangka Yasmin akan menang. Tidak sangka Papadom yang sangat dekat dengan jiwa saya sendiri akan menang besar. Itu yang menyebabkan saya sebak," katanya.

Bagaikan mendapat promosi awal memandangkan filem Papadom akan memecah panggung pada 8 Oktober depan, kata Afdlin filem itu dibuat berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai seorang bapa yang sibuk dengan kerja dan kurang menghabiskan masa bersama keluarga.

"Hampir tiga tahun saya kurang masa dengan keluarga kerana terlalu fokus pada kerja. Suatu hari kami pergi bercuti dan sebagai seorang bapa yang ada anak perempuan, saya terfikir apa akan jadi jika isteri saya sudah tiada. Adakah saya akan berhenti menjadi pengarah dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak saya.

"Itu yang lahirnya idea untuk membikin Papadom kerana ia adalah cerita diri saya sendiri. Saya tidak rasa bersalah meninggalkan anak-anak untuk bekerja kerana saya bekerja pun untuk keluarga begitu juga dengan bapa-bapa yang lain. Tetapi saya bertuah kerana mempunyai isteri yang begitu faham dengan diri saya.

"Cuma sebagai seorang bapa termasuk saya, mereka tidak tahu bagaimana hendak menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak terutama anak perempuan. Sebab itu dalam filem ini bermacam-macam cara pelik yang dilakukan seorang bapa demi memastikan anak perempuannya selamat dan gembira walaupun cara itu salah," ujarnya.

Walaupun telah memenangi banyak anugerah dalam FFM22, pengarah, pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal itu masih mengidamkan kemenangan dalam kategori Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh arwah Yasmin Ahmad menerusi filem Talentime.

"Sebelum ini saya pernah menang bagi kategori Pengarah Harapan dan kali ini Filem Terbaik tetapi satu lagi anugerah yang belum menang dan saya nak sangat menang ialah Pengarah Terbaik," tuturnya penuh serius.

No comments: