Sunday, August 16, 2009

173 jam siaran sempena rai Ramadan

173 jam siaran sempena rai Ramadan

Oleh Hardi Effendi Yaacob


Farah Anuar

SEMPENA Ramadan yang menjelang tiba seminggu lagi, Astro memperuntukkan 173 jam di tiga saluran utamanya - Ria, Prima dan Oasis - bagi menyiarkan 16 program baru, khusus untuk tontonan pelanggan setianya bermula 17 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah memberitahu B*Pop, sejak awal tahun ini, pihaknya merancang strategi lebih teliti bagi memastikan penonton disajikan bukan saja dengan program berkualiti, malah mempunyai nilai kerohanian sepanjang bulan puasa.

"Bagi musim kali ini, tumpuan lebih diberikan kepada Oasis, sesuai dengan konsep saluran itu yang lebih ke arah keagamaan dan kerohanian. Buat masa ini, mereka banyak menyiarkan program dokumentari dan kami merasakan sudah tiba masanya untuk dilakukan sedikit pembaharuan.

"Justeru, sempena bulan puasa ini, kami cuba mengetengahkan cerita fiksyen untuk tatapan penonton dan harap ia menjadi tabiat baru penonton menyaksikan drama bersiri menerusi saluran itu yang sebelum ini drama bersiri banyak disiarkan di Ria dan Prima," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Kempen Raikan Ramadan Di Astro 2009 yang berlangsung di ibu pejabat syarikat berkenaan di Wisma Penyayang, Seri Kembangan baru-baru ini.

Katanya, untuk kempen kali ini, Oasis menyenaraikan program yang terdiri daripada pelbagai genre rancangan seperti siri animasi, telefilem, tazkirah dan siaran langsung solat Tarawih dari Masjid Nabawi,

Madinah.

Malah, bacaan ayat suci al-Quran juga akan turut diperdengarkan setiap hari, khusus untuk penonton yng berjaga malam untuk beribadah oleh ikon Oasis.

"Kami menjangkakan drama bersiri, Cinta Sempurna lakonan mantap Ashraf Muslim, Tunku Tiara Yasmin dan Yuna bakal mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan penonton. Selebihnya, dokumentari istimewa, Madrasah Salasiah Rasulullah mengenai susur-galur madrasah di empat benua," katanya.

Beliau berkata, kemeriahan bulan puasa kali ini juga tidak terhad untuk penonton Oasis semata-mata apabila dua lagi saluran, Ria dan Prima turut menawarkan rancangan yang tidak kurang hebatnya

seperti telefilem dan drama bersiri.

"Di Astro, setiap saluran mempunyai penonton masing-masing, dengan kehendak mereka perlu juga dipenuhi sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal dirayakan. Justeru, pengisian programnya haruslah menepati konsep setiap saluran.

"Kami mendapat banyak cadangan dan skrip yang bagus, tetapi kebanyakan pengarah sukar menterjemahkannya ke bentuk visual seperti apa yang tertulis dalam skrip," katanya sambil memberitahu setiap rancangan disusun mengikut kesesuaian waktu bagi menghormati bulan puasa.

Ia sekali gus memperlihatkan perubahan waktu perdana, yang biasanya ditetapkan dari jam 8 malam ditukarkan kepada 3 petang dan 10 malam sepanjang Ramadan.

"Ini disebabkan pada bulan puasa, jam 3 petang adalah masa suri rumah berehat sebelum ke dapur menyediakan juadah berbuka. Manakala, jam 10 malam adalah waktu Muslimin dan Muslimat sudah selesai mengerjakan solat Tarawih.

"Ia memastikan mereka tidak terlepas menonton program kegemaran masing-masing. Sepanjang Ramadan juga, kami menyiarkan konsep azan yang baru menyampaikan mesej solat lima waktu jangan dilupakan walau dalam apa juga keadaan," katanya.

Bagi memantapkan lagi persembahan di Oasis, Zainir berkata, pihaknya memperkenalkan ramai ikon baru Oasis dan kapsul baru yang disiarkan selama 15 minit, mengandungi pesanan dan panduan kepada penonton.

"Program menarik lain setiap malam disiarkan tadarus di mana empat jemputan mengaji berturut-turut sehingga habis satu juzuk untuk satu malam selama 30 hari. Semua program itu bermula seminggu sebelum Ramadan dan berakhir seminggu sebelum menjelangnya Aidilfitri.

"Kami juga dalam perancangan untuk menyiarkan drama Arab bersiri dari Beirut. Pemilihan drama itu lebih selektif yang mengisahkan perjuangan Rasulullah s.a.w, tokoh Islam dan peperangan yang berlaku pada zaman itu," katanya.

Rancangan lain bakal menemui penonton kali ini ialah Rasa Halal Orient menampilkan hos, Farah Anuar yang juga bekas finalis Akademi Fantasia (AF), selain Kasih Ramadan, Antara Dua Jalan, Qalesya, Wadi Unung, Kemboja, Sebuah Keranda Kayu, Ulat-Ulat Cinta dan Paku Di Dinding Hati.

"Ia merangkumi program dokumentari, drama bersiri dan telefilem. Hampir semua program disiarkan kali ini terbitan baru dan belum pernah disiarkan sebelum ini. Kami berharap penyediaan semua program ini mampu memenuhi cita rasa penonton," katanya.

No comments: