Sunday, August 16, 2009

Kenangan indah di KK

Kenangan indah di KK

Oleh Suzan Ahmad

Sebahagian tetamu mengibarkan jalur gemilang pada persembahan FFM22 di Kota Kinabalu.

BELUM pun kaki meninggalkan Kota Kinabalu, Sabah, Isnin lalu ada beberapa orang kuat industri filem kita yang bertanyakan penulis: "Macam mana kali ini, rumah siap pahat masih lagi berbunyi ke?". Sekadar membalas soalan dengan senyuman jauh di sudut hati, untuk acara sebesar Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang pertama kali dibawa ke luar dari Semenanjung tanah air, penganjurannya boleh disifatkan agak luar biasa dan membanggakan.

Kurang di sana sini, dari segi logistik, komunikasi, pengangkutan, penginapan dan sebagainya, itu biasalah. Rasanya agak mustahil untuk Kerajaan Negeri Sabah yang dinaungi Ketua Menterinya, Datuk Musa Aman dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dapat memenuhi semua tuntutan ahli delegasi.

Malah, tentulah juga keputusan pertandingan FFM22 tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak terutama mereka yang bertanding. Meskipun ada ramalan yang tepat, ada harapan yang tidak tercapai dan ada hasrat yang terkubur, keputusan FFM22 secara umumnya harus dihormati.

Keindahan Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) sendiri sudah berjaya membuktikan keupayaan Kerajaan Negeri Sabah dalam mengendalikan upacara berprestij di peringkat kebangsaan untuk acara kemuncak seperti FFM. Ini membuatkan anak seni seperti Afdlin Shauki, Liyana Jasmay dan Salina Saibi lebih berasa cukup berbesar hati tatkala membawa pulang trofi FFM22 dengan kebanggaan penuh bergaya. Perjalanan program dipancarkan secara langsung menerusi TV2 selama dua jam juga tidak terasa sudah mencecah ke akhirnya. Mungkin ada cakap-cakap belakang yang mengatakan tahap visual di kaca TV kurang memuaskan tetapi percayalah program yang dikendalikan pasangan Vanidah Imran dan Fahrin Ahmad malam itu berlangsung cukup lancar dan paling penting tidak meleret dan menghiburkan meskipun gandingan mereka berdua tidaklah begitu serasi.



"Ini filem mengenai keluarga saya, pengalaman peribadi selama 10 tahun melayari kehidupan dan menyedari sebahagian besar kehidupan dan waktu berharga banyak dihabiskan untuk bekerja dan bukan untuk keluarga," demikian akur Afdlin sebaik dinobat sebagai penerima Pelakon Lelaki Terbaik sekali gus Filem Terbaik menerusi filem Papadom.

Liyana Jasmay yang pada mulanya sekadar berharap pada kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula mengakui karakter Miasara mungkin ringan tetapi jiwa dan emosi yang perlu ditiupkan untuk watak itu cukup berat.

"Saya tidak nafikan layanan seolah keluarga sendiri yang diberikan Afdlin sepanjang penggambaran banyak membantu saya untuk lebih menjadi satu dengan Papa Saadom," katanya.

Bagi Salina Saibi, trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang diraih menerusi tiket filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam adalah lambang kepercayaan penyokong industri perfileman tanah air terhadap keupayaan anak seni ini yang bermula dari bawah sejak lapan tahun lalu.

Zahiril Adzim, pemenang Pelakon Harapan Lelaki pula punya penjelasan tersendiri mengapa dia agak kaku sewaktu menerima anugerah berkenaan pada malam Perasmian FFM22 di Centre Atrium 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, 5 Ogos lalu.

"Sungguh, memang saya tidak sangka langsung dapat merangkul trofi ini, sebab itulah saya sampai tidak tahu nak cakap apa sewaktu diminta memberi ucapan di pentas, memang panik dan kelu seribu bahasa," kata pembawa watak antagonis dalam filem Kami The Movie itu.

Apapun, FFM22 di Kota Kinabalu selama lima hari mengundang nostalgia tersendiri, tentunya banyak kenangan indah dan menarik untuk berkongsi cerita, lebih dihargai peminat apabila masyarakat setempat tidak henti-henti menyokong kehadiran bintang filem. Apabila berkampung seperti itu juga ia dapat ruang untuk kawan lama bersua muka dan kemeriahannya lebih dirasai berbanding diadakan di Semenanjung dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Syabas Kota Kinabalu!

Corat-Coret FFM22

  • Seniwati Mariani terpaksa pulang awal ketika menghadiri malam penghargaan Anugerah Bintang Lagenda kerana kurang sihat.

  • Nancie Foo nyaris tersungkur di pentas ketika dijemput menyampaikan trofi, tapi jangan terkejut kalau ramai penonton di Dewan Canselor UMS tidak nampak apa yang berlaku dan memikirkan Deddy M Borhan dan Nancie hanya bergurau.

  • Rata-rata artis baru yang muda remaja susah betul hendak menyertai aktiviti yang disediakan penganjur terutama memerlukan mereka bangun pagi. Akibatnya, kerana seorang dua yang lambat, bas yang membawa delegasi lewat sampai ke destinasi.

  • Jangan terkejut jika ada di kalangan urus setia dan kakitangan di bahagian pengangkutan (orang tempatan sendiri) tidak berapa arif dengan jalan raya di Sabah.

  • Cetakan waktu aktiviti membabitkan acara simposium pada buku maklumat kepada delegasi tidak selaraskan menyebabkan berlaku kekeliruan sehingga ada yang terlepas mengikuti sesi berkenaan.

  • Akibat kekeliruan waktu juga menyebabkan ramai delegasi terlepas bas hingga pihak penganjur terpaksa mengatur kenderaan lain untuk membawa delegasi yang tertinggal ke destinasi tertentu.
  • No comments: