Hargai legenda
Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
metahad@hmetro.com.my
NAMANYA tidak segagah Festival Filem Malaysia (FFM) yang menjangkau usia 22 tahun, namun kehadiran Festival Filem Klasik (FFK) mampu bersaing seiring dengan festival berprestij untuk menghargai insan seni.
Jika FFM mengiktiraf karyawan perfileman, FFK pula menghargai artis veteran.
Kehadiran Senator Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Kuswadinata, Aimi Jarr, R Ismail, Kassim Masdor, Imuda, Hail Amir serta Mariani Ismail, Salmah Ahmad, Sofia Ibrahim, Uji Rashid dan Rozita Rohaizad menyemarakkan lagi FFK.
Lebih menarik, idea itu tercetus daripada seorang lelaki warga Australia yang meminati karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika menonton televisyen di hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Idea kemudian diteruskan oleh Pengurus Hotel Paradise Sandy Beach Resort, Jeffery Allan De Zilva yang juga peminat filem klasik dan akhirnya menerusi pertemuan dengan Mustapha Maarof, terciptalah FFK yang kini berusia lima tahun dan ia diadakan pada Ogos setiap tahun.
Ironinya, lelaki bangsa asing meminati filem klasik membuktikan filem era 1950-an juga diterima oleh orang luar.
“Sebagai peminat filem, soal siapa saya tidak penting kerana FFK kelima ini mendapat sambutan memberangsangkan, termasuk sokongan artis veteran dan juga peminat filem tempatan.
“Saya terharu kerana lebih 300 tetamu hadir memberi sokongan dan tidak mustahil pada tahun depan ia lebih menarik apabila satu perjanjian persefahaman dengan Finas akan diadakan,” kata Jeffery.
Bagi Mustapha pula, FFK memberi pengertian mendalam kerana artis veteran yang kini digelar legenda negara disanjung dengan begitu tinggi biarpun masih keletihan selepas pulang daripada FFM22 di Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, itulah nadi kekuatan FFK yang sebenarnya apabila semua artis veteran berkampung selama tiga hari bermula 11 Ogos dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan, termasuk diskusi tiga filem — Pendekar Bujang Lapok, Sumpah Pontianak dan Pancha Delima.
“Saya bersyukur kerana dijemput dan dapat bertemu rakan lama serta peminat yang dulunya sering menonton filem di pawagam ketika awal usia remaja sehingga ke hari ini.
“Nadi utama kami semua adalah peminat yang terus menyokong dari dulu hingga ke hari ini,” katanya.
Majlis perasmian FFK ke-5 disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama Abdul Rahman Abbas. Hadir sama Toh Puan Datuk Seri Majimor Shariff dan Ketua Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim.
Sementara itu, Kuswadinata yang segak dengan sut serba putih berkata, kehadiran buat kali kelima FFK tak akan dilepaskan kerana sambutan diberi sebelum ini.
Katanya, sejak berkecimpung di bidang seni 51 tahun lalu, karya lakonannya diiktiraf dan segala pahit manis dikongsi bersama peminat.
“Sebagai anak seni, minat dalam bidang lakonan tidak hilang begitu saja kerana bakat yang ada masih diperlukan,” katanya yang akan muncul dalam filem Toyol dan Gentagas.
Kemeriahan FFK diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu Malam Kemuncak FFK bersama peminat yang diraikan dalam satu majlis makan malam yang istimewa, termasuk persembahan kebudayaan, nyanyian daripada artis veteran.
Selama tiga jam majlis diserikan dengan tarian kumpulan Indra Sutra dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), deklamasi sajak oleh Jins serta tayangan dokumentari kemerdekaan.
Terdahulu, barisan artis legenda negara sempat bergambar di permaidani merah dengan memperagakan pakaian yang rata-rata milik sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment