Sunday, August 16, 2009

Jarum Emas: Sindiran Rendra

Jarum Emas: Sindiran Rendra

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

KETIKA mendapat berita kematian penyajak tersohor Indonesia, WS Rendra, saya bersama beberapa artis dalam perjalanan ke masjid di UMS (Universiti Malaysia Sabah) untuk menunaikan solat Jumaat.

Rakan artis, Zulkifli Ismail, antara delegasi Festival Filem Malaysia Ke-22, menunjukkan SMS berita sedih itu kepada saya, lalu membawa saya menyorot nostalgia pengalaman menemuramah insan penuh kontroversi itu.

Sekalipun pertemuan dengan Rendra hanya sekali dan kini terakhir, ia tidak lekang di ingatan kerana terselit hikmah berguna yang saya peroleh melalui pertemuan singkat itu.

Sejujurnya, ketika itu saya memang tidak mengenali Rendra. Saya cuma tahu beliau penyajak dan sering dipenjara. Pengarang Hiburan Harian Metro ketika itu, Fadzil Abdullah, mahu saya menemuramah Rendra yang kebetulan ada di Kuala Lumpur. Saya dapat tahu dalam kunjungannya itu, satu sesi Rendra akan ada di Pasar Seni (Central Market-CM).

Dek kerana Rendra, hari itu juga saya buat ‘homework’ dengan beli satu buku sajak beliau, di mana di kulit belakang tertera serba sedikit profil beliau. Sebaik Rendra selesai mendeklamasi sajak di CM, saya menghampiri beliau lalu memperkenal diri serta tujuan sebenar.

Rendra yang ditemani isteri tidak keberatan untuk ditemuramah, tetapi minta saya bertemunya di bilik penginapannya (Holiday Inn City Centre) pada jam ditetapkan, iaitu 9 pagi. Kalut juga saya dibuatnya kerana memikirkan dengan jalan sesak setiap pagi di ibu kota, takut terlajak.

Ketika itu saya cuma menaiki teksi, tiba di lobi hotel tepat jam 9 pagi, tetapi proses ke bilik beliau memakan masa. Rendra dan isterinya, Ken Zuraida yang saya panggil Ida sedia menunggu.

Saya melangkah ke biliknya dengan lapang dada kononnya, tetapi tersentap dibuatnya bila Renda bertanya apakah saya ingat pesanannya malam tadi untuk tiba di biliknya tepat jam 9 pagi.

Bagi saya setakat terlewat lima atau 10 minit, apa ada hal, maklum saja ‘janji Melayu’, tetapi Rendra menyindir saya: “Kamu terlewat lima minit.” Saya tersipu-sipu sambil mohon maaf, tetapi Rendra menambah betapa lima minit itu cukup berharga dan usah dipersia-siakan, saya mengangguk.

Seingat saya, itulah kali pertama saya disindir kerana lewat lima minit, tetapi ia berguna untuk wartawan muda seperti saya yang belum mencecah usia 30 tahun ketika itu supaya lebih menghargai masa.

Sindiran tidak mematikan semangat saya menemuramah insan hebat seperti Rendra. Saya tumpukan mengapa dia sering dipenjarakan, Rendra mula rancak bercerita betapa jika pada zaman Presiden Sukarno dia dipenjarakan tiga kali, bermula 1962 ketika di Jogja, pada zaman Presiden Suharto pula, hingga tahun saya menemuramah beliau pada 1992, Rendra sudah enam kali meringkuk di penjara.

Pada 8 November 1990, dia dilarang pihak berkuasa di Jakarta membaca dua sajaknya di Taman Ismail Marzuki (TIM), biarpun mendapat permit. Sikap protes Rendra terhadap pemerintah melalui sajaknya sememangnya memberi ‘lampu hijau’ untuk pemerintah menyumbat beliau ke penjara.

Sajak Sebatang Lisong yang dideklamasikan di Bandung pada 17 Ogos 1977, yang disisipkan dalam satu adegan filem, Yang Muda Yang Bercinta karya Syumanjaya, diharamkan pengedarannya.

Sebagai seniman, Rendra mengaku jiwanya tidak tenang bila berdepan tekanan. Namun dia tidak mahu tekanan itu yang dianggapnya satu persoalan bodoh dibawa hingga ke tahap emosional.

“Saya harus menghadapi kebodohan semacam itu dengan fikiran jernih dan batin beriman. Perasaan tidak boleh ikut campur kerana apa yang dilakukan oleh pemerintah kepada saya umpama saya berdepan saudara sendiri,” kata Rendra berfalsafah.

Walau dipenjara beberapa kali, Rendra tidak pernah serik. Dia menganggap penjara adalah sekolah kepadanya. Lebih bermakna, dalam penjaralah Rendra khatam al-Quran empat kali.

Kenyataan Rendra itu saya tulis di Harian Metro pada 26 November 1992 dengan tajuk 4 Kali Khatam Dalam Penjara. Bagi kita, khatam sebanyak itu biasa, tetapi tidak bagi Rendra kerana beliau adalah saudara baru dari agama Katolik yang nama asalnya Willbrodus Surendra Rendra.

Sebaik memeluk Islam, Rendra mengekalkan pangkal WS tetapi lebih indah, Wahyu Sulaiman Rendra.

Rendra yang dilahirkan pada 7 November 1935 di Kampung Jayengan, Solo, meninggalkan kita pada 6 Ogos lalu. Allahyarham sempat membintangi filem Cintaku Jauh Di Pulau dan Al-Kautsar.

Jika ketokohan Rendra buat saya kagum, isterinya pula buat saya teruja. Apakan tidak, bila saya bertanya apakah dia tidak sunyi atau menangis bila suami dipenjara, dijawab Ida secara berseni:

“Menangis pasti ada, terutama di dalam hati. Biasanya menangis di dalam hati lebih parah daripada air mata yang menitis di luar. Syukur, semuanya sudah dirasai saya. Cuma ada ketika saya tidak mengerti mengapa dia ditahan. Untuk bertanya — bertanya kepada siapa?

“Bertanya kepada langit tidak akan ada jawapan. Apabila ditanya kepada Lembaga Bantuan Hukum, mereka juga tidak bisa menjawab. Yang nyata, hingga kini saya bertanya sendiri di dalam hati mengapa seniman harus ditahan kerana mereka tidak punya bala tentera,” kata Ida penuh sinis.

ADAM: Al-Fatihah untuk Allahyarham Asri Ibrahim.

No comments: