CAK: Artis baru bodoh sombong
FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) melabuhkan tirai dengan jayanya. Tahniah kepada penganjur, terutama kerajaan Sabah, kerana bertungkus lumus menjayakan festival kali ini.
Kesungguhan mereka menghargai bintang legenda menyentuh hati CAK dan sepatutnya usaha murni ini diteruskan dalam penganjuran akan datang. Yelah, kalau kita tak menghargai bintang lama, siapa lagi? Bagi CAK, jasa mereka harus dikenang dan diberi pengiktirafan.
Kalau pun bukan dalam bentuk anugerah, trofi atau imbuhan wang, beri mereka layanan istimewa kerana sememangnya mereka berhak.
Berbalik kepada cerita penganjuran FFM22, ramai teman yang bekerja keras di Sabah mengadu kurang senang dengan perangai beberapa pelakon baru.
Bukan main menyombong lagi, jangankan nak menegur teman media, dengan sesama rakan artis pun mereka buat-buat tak kenal. Sampaikan satu tahap, seorang teman berseloroh, lain kali artis baru kena pakai tanda nama besar-besar di dada. Senang cerita, tak payah kenalkan diri lagi. Dari jauh orang dapat cam itu artis baru!
Rupa-rupanya ayat itu sampai ke pengetahuan seorang teman pelakon. Apa lagi, ketawa berdekah-dekah la jawabnya. Dia tidak menafikan ramai artis baru tidak pandai memperkenalkan diri. Masing-masing buat hal sendiri dan lebih suka orang menyapa mereka.
Namun yang kelakarnya, sikap diva itu sekejap saja. Bila sampai hari kemuncak, masing-masing menikus sebab ramai artis terkenal membanjiri kawasan hotel dan Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah yang menjadi lokasi majlis berprestij itu.
Ketika itu baru nampak rakan media dan tersengih-sengih macam kerang busuk. Padahal orang yang sama juga mereka jumpa beberapa hari sebelum itu. Ada yang sampai tawarkan diri untuk bergambar sama, sampai ada teman CAK nak termuntah dengan ‘kemesraan’ tiba-tiba pelakon itu.
Bukan media minta dihormati, tapi sekurang-kurangnya perkenalkan diri. Bukankah kita saling memerlukan, lebih-lebih lagi pendatang baru seperti mereka.
Kalau segan menjadi alasan, cara itu jelas salah. Tak rugi pun kalau berbalas senyuman atau bertegur sapa. Banyak faedahnya jika kita berbudi bahasa.
Sunday, August 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment