Sunday, August 16, 2009

Irama Melayu Asli tetap segar

Irama Melayu Asli tetap segar

Oleh Suzan Ahmad



JUDULNYA saja sudah menggambarkan betapa istimewanya kompilasi khusus keluaran terkini, Warner Music Malaysia - Irama Melayu Asli. Bukan sedikit jumlah lagu dimuatkan, sebaliknya album dengan rangkaian dua CD mewah ini membariskan 30 senarai lagu dendangan gandingan lama dan baru.

Sebut saja nama penyanyi irama asli terbaik negara mana yang anda gemari, semuanya ada. Baik yang masih bergiat aktif dalam dunia seni tanah air mahupun yang sudah pergi menyahut seruan Ilahi. Daripada nama besar seperti Datuk Sharifah Aini, Herman Tino, Zaleha Hamid, Datuk Sudirman Arshad, Tan Sri SM Salim, Uji Rashid, S Fauziah hinggalah kepada Datuk Khadijah Ibrahim, Puan Sri Saloma, Kamariah Noor, Jay Jay dan J Mizan.

Bermula dengan lagu Fatwa Pujangga lagu asal nyanyian S Effendi yang dinyanyikan semula ramai penyanyi terkenal termasuklah Datuk Sharifah Aini membuka tirai Irama Melayu Asli. Makan Sireh nyanyian Herman Tino turut dimuatkan disamping Anak Dagang (Sudirman); Pasir Roboh (SM Salim); Nak Dara Rindu (P.Ramlee); Sri Mersing (Sharifah Aini); Musalmah Manis (Zaleha Hamid); Patah Hati (Sudirman); Selasihku Sayang (SM Salim & Yusni Hamid); Aku dan Dia (Uji Rashid); Anak Raja Turun Beradu (S Fauziah) dan Laksamana Mati Di Bunuh (Zaleha Hamid).

Harus diakui muzik berentak irama Melayu Asli memang kaya dengan nilai estetika seni apatah lagi bila ia dialunkan oleh kelunakan suara penuh mengasyikkan. Kenyataannya, tidak ramai penyanyi di kalangan generasi pelapis yang cuba dicungkil bakatnya untuk mengkhusus dalam teknik penyampaian lagu begini termasuklah asli, deli, ghazal, inang, langgam dan bermacam lagi.

Jadi, tidak hairanlah jika album Irama Melayu Asli bukan saja sinonim kepada pencinta lagu tradisional tetapi juga cukup relevan kepada generasi baru yang cuba berjinak mengenali irama malar segar ini. Sewajarnya juga penyanyi muda terutama mereka yang lahir daripada pertandingan realiti untuk tampil berani mendendangkan irama tradisional dengan pengubahsuaian secara kreatif tetapi mengekalkan melodi tulen rentak lama. Ini lebih mampu menjadikan seseorang itu akan mendapat perhatian dengan lagu segar berbanding ramai yang asyik bertumpu kepada irama pop moden, R&B, rock dan genre lain. Contoh terbaik, lihat saja kemunculan Noraniza Idris dulu yang tampil menerusi lagu berentak tradisional berjaya melonjakkan semula nama beliau sesudah dia agak lama menyepi.

Pendek kata, pendengar dan pencinta muzik tanah air tidak akan rugi memiliki koleksi Irama Melayu Asli yang padat memuatkan 30 lagu asli pelbagai variasi. Sementara itu CD 2 turut memuatkan lagu Jalak Lenteng (Sharifah Aini); Titisan Kasih (Khatijah Ibrahim); Kuala Sedili (Saloma); Ayah dan Ibu (Sudirman); Timang Banjar (Kamariah Noor); Seri Banang (Herman Tino); Burung Putih (Sharifah Aini); Mengapa Di Rindu (Saloma); Tudung Periuk (P Ramlee & Saloma); Seri Tambak (Sudirman); Pemergian (Jay Jay); Seri Andalas (Sharifah Aini); Kuala Deli (Yusni Hamid); Senandung Malam (J Mizan) dan Seri Mahligai (Zaleha Hamid).

No comments: