Sunday, August 16, 2009

Andartu Terlampau dedah rahsia cinta Haliza

Andartu Terlampau dedah rahsia cinta Haliza

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


Haliza dan Erra bersama pengarah dan krew produksi.

Filem komedi romantik tampilkan kemunculan istimewa Ari Wibowo dan nama besar pelakon tempatan

BERCINTA indah, putus cinta pula menyakitkan. Hakikatnya, hidup ini tidak akan sempurna tanpa cinta. Sebagai manusia, perasaan ingin bercinta dan dicintai tidak akan terlepas daripada naluri seseorang yang normal. Bagaimanapun, cinta tak selalunya indah, cinta juga tidak semestinya boleh memiliki si dia, dan cinta itu juga bak memakan sambal belacan - makin pedas dan berair air mata namun makin rancak dijamah. Ada kalanya juga cinta itu ibarat racun dalam hidup.

Pengalaman terlalu acap kali bercinta dan putus cinta memberi inspirasi kepada pelakon dan penerbit, Haliza Misbun untuk berkongsi rahsia suka dukanya mengenali beberapa lelaki yang pernah bergelar kekasih. Dan kisah cintanya yang lucu diabadikan dalam filem pertama terbitannya, Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami arahan Din CJ yang kini sedang dalam pembikinan.

Istimewanya, filem terbitan syarikat perfileman Haliza, Big Productions Sdn Bhd itu turut menampilkan nama besar seperti Fahrin Ahmad, Erra Fazira, Fara Fauzana, Fizo Omar, Kumpulan Sepah, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Khatijah Tan dan Abon. Selain itu, Haliza turut mengundang `teman tapi mesra', pelakon kacak Indonesia, Ari Wibowo. Haliza pula memegang watak utama sebagai Nik Melati Sukma atau Nikki. Menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang sejak awal bulan lalu, filem berkenaan menelan belanja RM1.1 juta.

Watak Dr Ryan Diprojo melucukan.

Ketika menjenguk lokasi penggambaran filem bergenre komedi romantik di Damansara Damai, Kuala Lumpur, Selasa lalu, Ari baru saja tiba daripada Jakarta, Indonesia. Biarpun sekadar penampilan istimewa, Ari sanggup meluangkan masa selama dua hari untuk menyiapkan lima babak membabitkan dirinya sebagai Dr Rayan Diprojo, doktor psikiatri yang merawat Nikki dan akhirnya menjadi seorang calon suami yang dicari.

Dengan suara perlahan, Ari akui: "Saya senang bekerja dengan Haliza. Sejak mengenalinya ketika terbabit dalam penggambaran drama untuk VCD Rohaya Roy, lima tahun lalu, Haliza antara teman rapat saya. Saya melihat Haliza sebagai seorang yang kuat bekerja, bersemangat tinggi dan lasak. Dia juga seorang yang profesional. Sebagai teman, saya ingin melihat Haliza berjaya merealisasikan impiannya menghasilkan filem yang diinginkan. Sekadar pemberi semangat, saya terima pelawaannya untuk terbabit dalam filem ini, biarpun hanyalah sebagai penampilan istimewa.

"Kalau ada yang mahu gosip saya dengan Haliza, itu sudah perkara biasa. Sejak pertama kali mengenali, saya tak fikir Haliza menyimpan perasaan pada saya, malah hubungan kami tidak lebih sebagai teman baik. Saya juga sudah lali dengan gosip, kalau setakat gosip berhubungan baik dengan Haliza, rasanya masih boleh diterima lagi.

"Sebelum ini, apa yang tak pernah dikaitkan dengan diri saya, malah lebih keterlaluan saya dikatakan mempunyai hubungan sesama jenis, menjalinkan cinta dengan wanita berusia dan macam-macam lagi. Itu lebih parah dan menyakitkan hati jika nak dibandingkan gosip saya dengan Haliza. Saya tidak kisah, Haliza pun masih cantik (bergurau)."

Ari Wibowo mahu bersara

Ari juga berkata, kali terakhir pembabitannya dalam filem adalah tahun lalu menerusi filem berjudul Sepuluh. Bagaimanapun, dia sudah dua setengah tahun berhenti terbabit dalam lakonan drama memandangkan komitmen terhadap isteri dan dua cahaya mata harus lebih diutamakan.

Erra memegang watak ala-Beyonce

"Saya tidak lagi betah bekerja seperti dulu, siang dan malam berada di lokasi penggambaran hinggakan waktu tidur dan rehat terabai. Cukuplah 20 tahun saya mengabadikan diri dalam dunia seni, sudah masanya saya berundur setapak ke belakang melakukan kerja yang tidak menuntut komitmen tinggi.

"Dulu saya tidak berkeluarga, tiada isteri dan anak, jadi saya tidak pernah fikir mengenai perkara lain. Bukan tiada tawaran, tapi saya tidak mahu lagi bekerja seperti dulu. Duit memang penting, tetapi ia bukanlah segala-galanya, duit tidak boleh membeli kebahagiaan saya dengan keluarga.

"Saya tidak kisah tidak muncul di kaca TV, tidak sepopular dulu lagi. Apa yang saya lakukan demi keluarga saya, lebih lagi saya baru saja menimang cahaya mata kedua, Marco berusia dua bulan. Anak pertama saya, Kenzo kini berusia setahun, enam bulan dan gelagat mereka membuatkan saya lupa pada dunia luar. Apa lagi yang saya inginkan, saya sudah punya isteri yang cukup baik dan dua anak yang mencuit hati, itu sudah cukup membahagiakan saya," katanya yang kini mengusahakan perniagaan imej konsultan.

Menyentuh watak Dr Rayan Diprojo, Ari berkata, dia melakonkan watak seorang doktor psikiatri yang merawat Nikki (Haliza) apabila kerap menimbulkan masalah dengan lelaki yang dikenali.

"Memang lucu karakter saya kali ini, penampilan saya memang akan membuatkan penonton ketawa. Saya tak kisah muncul dengan penampilan sebagai lelaki lurus dan berseluar singkat, saya sudah biasa membawakan watak komedi," katanya.

Erra jual rempeyek, Fara sengau

Sementara itu, Erra Fazira berkata, dia teruja membawakan watak Markonah, wanita penjual rempeyek yang menjadi pembancuh kopi Nikki. Sungguhpun begitu, wanita berusia 40-an itu mempunyai cita rasa yang tinggi terhadap lelaki.

"Saya tertarik dengan gambaran watak yang diberikan. Saya tak pernah melakonkan watak lucu begini. Markonah digambarkan sebagai wanita berusia yang perasan dirinya secantik Beyonce. Dan dirinya hanya layak untuk lelaki sekacak Brad Pitt. Oleh kerana terlalu memilih, Markonah tidak berkahwin sehingga usia mencecah 40-an.

"Inilah penampilan pertama saya dalam filem selepas berehat dari bersalin. Saya tak kisah muncul penampilan buruk dalam filem bagi mewarnai filem lakonan saya. Mungkin ramai yang ingat saya tak sanggup terima watak seperti ini, tetapi jauh di sudut hati, saya inginkan kelainan dalam lakonan," katanya yang kelihatan semakin anggun dan ramping.

Bagi Fara Fauzana, Haliza adalah teman lamanya, malah mereka lebih 10 tahun mengenali selepas terbabit dalam dua drama yang menggandingkannya bersama.

"Saya lihat Haliza banyak berubah, lebih cool. Sebenarnya saya banyak belajar selok belok dalam lakonan dengan Haliza, apatah pada awal kemunculan saya dalam drama bersama Haliza. Dulu bila diberitahu berlakon dengan Haliza, saya sentiasa bersedia, saya tahu Haliza tidak suka kerja main-main.

"Dulu, saya akan hafal skrip awal-awal dan buat sebaik mungkin. Haliza awal-awal lagi menegaskan dia tidak suka dengan pelakon yang kerja main-main di lokasi. Sejak itu, bila saja menerima tawaran berlakon, saya terikut-ikut dengan cara Haliza bekerja sehinggalah hari ini. Sebetulnya saya hampir tidak jadi berlakon dalam filem ini kerana jadual, tetapi Haliza tetap mahukan saya memegang watak setiausaha Ari yang bersuara sengau.

"Idea muncul dengan suara sengau datang secara spontan di lokasi. Saya ingin muncul dengan kelainan dalam filem ini walaupun peranan saya kecil saja. Biarlah peminat ingat gelagat saya nanti," katanya sambil ketawa kecil.

Din CJ yakin genre komedi romantik

PENGARAH filem, Din CJ berkata, idea dan cerita asal untuk produksi Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami adalah ilham produsernya, Haliza Misbun, namun skripnya ditulis Sofia J Rhyland. Ia memaparkan titik tolak kehidupan Haliza ketika mengenali beberapa lelaki yang mungkin pernah singgah di hatinya.

"Cerita komedi mudah diterima dan tidak bermusim. Saya melihat genre komedi romantik sesuatu yang cukup menghiburkan. Bagaimanapun, garapan untuk filem komedi memerlukan daya imaginasi berbeza, dialog dan adegan perlu seiring. Bukan mudah membuat penonton ketawa. Saya sebenarnya tidak suka dengan genre komedi romantik, saya bukannya seorang pelawak, apatah lagi lelaki romantik. Saya tertarik dengan jalan cerita dan melihat barisan pelakon yang bukan komedi. Cabaran saya menjadikan mereka mampu melakonkan watak komedi.

"Filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami adalah filem kedua arahan saya selepas Mr Cinderella 2. Bukan tiada tawaran pengarahan, tetapi jalan ceritanya tidak menarik hati saya. Saya lebih suka terbabit dalam drama bersiri dan telemovie, jalan cerita yang ditampilkan lebih memberi cabaran.

"Saya tertarik mengarahkan filem ini kerana jalan ceritanya berbeza, kisah seorang andartu yang terpaksa mencari jodoh dalam tempoh 21 hari, jika tidak keluarga akan menjodohkannya dengan lelaki pilihan mereka. Dan dalam pencariannya, Haliza selaku Nikki bertemu dengan pelbagai ragam lelaki. Ada lelaki tua yang miang, jejaka kacak perasan, doktor yang lurus bendul dan macam-macam lagi.

"Saya tidak berdepan masalah bekerja dengan Haliza, dia seorang yang profesional. Mungkin bagi mereka yang tidak mengenali Haliza, mereka anggap Haliza garang, bermulut celupar dan cepat naik angin tetapi Haliza tidak akan bertindak sedemikian jika kerja berjalan lancar. Siapapun akan marah jika datang ke lokasi penggambaran tidak bersedia, skrip baru nak hafal, sedangkan ada pelakon lain boleh tidak tidur malam menghafal dialog.

"Saya puji usaha Haliza dalam menerbitkan filem ini, dia sanggup mengumpul duit selama 13 tahun lamanya untuk merealisasikan impian bergelar produser filem. Satu penghargaan juga buat saya apabila Haliza memilih saya untuk mengarahkan filem terbitannya," kata Din atau nama sebenarnya, Nordin Wahab yang berasal dari Changkat Jering, Perak.

No comments: