Sunday, August 16, 2009

CAK: Dakwaan tiada asas

CAK: Dakwaan tiada asas


MINGGU lalu, ruangan ini memaparkan kisah Yuna, kononnya buat hal lagi di dalam satu majlis. Bukan menuduh, tetapi tanda tanya itu bagaimanapun mendapat perhatian pihak pengurusan Yuna Room Records yang menaungi penyanyi Dan Sebenarnya itu.

Pengurusnya, Farhan Fadlishah (Pa’an) tampil memberi penjelasan mengenai ‘sebenarnya’ situasi berkaitan. Memang kontras daripada sumber akrab CAK itu. Namun CAK harus berlaku adil dan ini yang dinyatakan Pa’an.

“Saya menulis ini bagi pihak Yuna dalam usaha menyatakan kebenaran berkenaan isu di atas. Di dalam artikel yang diterbitkan pada 9 Ogos 2009 ada menyebut Yuna membatalkan janji yang dibuat olehnya dengan pihak Astro berkenaan sidang media Indahnya Ramadan yang dilangsungkan pada 4 Ogos lalu.

“Di sini ingin saya jelaskan bahawa tiada perjanjian diberi pihak Yuna mengenai persetujuannya untuk terbabit di dalam sidang itu. Malah, kami juga memberi maklum balas bahawa Yuna tidak dapat menghadirkan diri ke sidang media itu kepada penerbit drama Cinta Sempurna, Sahid sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh acara itu, di mana pada ketika itu Yuna menjayakan beberapa persembahan di kota London.

“Menyentuh mengenai petikan ini dari artikel itu: ‘Yang bikin orang marah, perkara itu dimaklumkan pada sebelah pagi hari dan majlis berlangsung pada petangnya. Kelam kabut dibuatnya, sedangkan sehari sebelum majlis Yuna berjanji akan menyanyi.’

“Kami dihubungi oleh pihak Astro dan juga pihak Cerna Media (penerbit drama Cinta Sempurna) sehari sebelum itu iaitu pada 3 Ogos, ketika kami menjayakan rakaman bagi program Channel V bersama artis Australia, Lenka, di sebuah studio di Seputeh.

“Ketika dihubungi, kami diminta mengesahkan kehadiran Yuna ke sidang media itu. Dengan perasaan terkejut, saya yang ketika itu menjawab panggilan daripada kedua-dua pihak memberitahu mereka, kami tidak pernah menyatakan persetujuan berkenaan sidang media itu, malah saya juga menambah bahawa kami menyatakan sebelum ini bahawa Yuna tidak dapat menyertainya.

“Jadi dakwaan ‘Yuna mungkir janji’ pada pagi 4 Ogos itu adalah tidak tepat sama sekali. Dakwaan asas yang Yuna sekali lagi ‘mungkir janji’ juga sememangnya hanya fitnah semata-mata.

“Yang membuatkan kami berasa terkilan adalah isu ini timbul tanpa asas kukuh. Mana mungkin kami membatalkan janji dengan satu atau dua pihak dengan tidak ada sebarang bentuk persetujuan atau perjanjian terlebih dulu?

“Dengan ini saya mohon jasa baik tuan supaya cerita sebenar di sebalik isu ini dapat diketahui umum. Perihal ini sangat tidak menyenangkan bagi kami, malah menyinggung perasaan mereka yang terbabit di pihak kami. Terima kasih. Assalamualaikum.”

No comments: