Sunday, August 16, 2009

Suria Hati Taufik Batisah

Suria Hati Taufik

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my


DI Kota Singa, namanya gah sebagai penyanyi. Sebut saja Taufik Batisah, pasti ramai memuji vokal pemenang program realiti Singapore Idol 2004 ini.

Bagaimanapun, kehadirannya ke Malaysia bagai menimbulkan tanda tanya kepada mereka yang tidak mengenali jejaka berusia 29 tahun ini. Malah, percubaannya meneroka ruang seni tempatan menerusi album pertamanya di negara ini (album ketiganya di Singapura) berjudul Teman Istimewa juga kurang memberangsangkan.

Masakan tidak, soal promosi album waktu itu tidak dijalankan dengan baik. Meskipun pelbagai masalah timbul beberapa tahun dulu, dia tidak mahu bercerita panjang memburukkan sesiapa.

Baginya, itu semua asam garam kehidupan anak seni. Kini, enggan mengungkit kisah silam itu, Taufik mempertaruhkan album kedua, Suria Hatiku yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya mengikat kontrak dengan sebuah syarikat di Malaysia yang bertindak menguruskan promosi dan pengedaran album.

“Namun, harapan untuk melihat album berkenaan mendapat sambutan tidak berapa menjadi. Sebab itu, mungkin ramai tidak mengenali saya, malah saya juga tidak mengenali ramai orang penting dalam industri ini.

“Untuk album Suria Hatiku, Suria Records (SRC) bertanggungjawab mempromosi album berkenaan dan mengedarnya. Sekian lama saya ingin bekerjasama dengan SRC dan baru kini hajat itu tercapai.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dan seronok bekerja dengan SRC. Terus terang saya katakan, sebelum ini saya tidak berapa mengenali media di sini, tetapi di bawah SRC semua itu menjadi mudah, lebih-lebih lagi mereka mengaturkan jadual padat khas untuk bertemu mereka,” katanya.

Tambah Taufik, memandangkan album Teman Istimewanya kurang mendapat sambutan di negara ini, album terbarunya dipadatkan dengan pelbagai elemen baru yang lebih menarik.

Selain itu, album terbarunya memuatkan 10 lagu berbahasa Melayu dan dua daripadanya adalah ciptaan M Nasir.

“Sekian lama saya mahu bekerjasama dengan M Nasir. Alhamdulillah, ia akhirnya tercapai. Menerusi album ini, M Nasir menyumbang lagu berjudul Hey dan Citra Suria.

“Sedikit sebanyak, album ini turut dipengaruhi muzik M Nasir yang sungguh mengasyikkan. Malah, lagunya ciptaannya turut mewujudkan kelainan dalam muzik yang saya bawa selama ini. Peluang bekerjasama dengannya sangat mengujakan,” katanya.

Sebelum ini, Taufik lebih dikenali dengan lagu berkonsepkan pop R&B menerusi dua album terdahulunya iaitu Blessings dan All Because Of You. Kini, penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Artis Paling Popular di Singapura memilih elemen balada dalam album terbarunya.

“Sebelum ini saya memilih pop R&B sebagai jalur muzik. Bukan tidak suka genre lain, tetapi permintaan dan peminat di Singapura lebih meminati lagu berkenaan.

“Kini sampai masanya saya membawa lagu Melayu dengan sepenuhnya. Sebagai orang Melayu, saya ingin kembali kepada genre yang sesuai dengan telinga pendengar yang juga orang Melayu.

“Malah, saya ingin cuba kembali kepada asas dengan menghasilkan karya yang dekat dengan jiwa. Lagipun, mendendangkan lagu balada memang menyeronokkan. Penghayatannya mudah dirasai. Harap pendengar dan peminat akan menyukai buah tangan terbaru daripada saya,” katanya.

No comments: