Sunday, August 16, 2009

Ustaz Asri : Damailah di sana

Damailah di sana

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com.my


MASIH basah di ingatan, ketika kali pertama menjejak kaki di Makkah bersama kumpulan Rabbani penghujung Mei 2008, saya mengajak Asri menjadi mutawif mengerjakan umrah bersama suami, Ahmad Fuad Sungip. Guraunya, jika berkehendakkan dia menjadi mutawif, upahnya mahal iaitu seekor ayam golek.

Balas saya, bukan seekor tetapi saya sanggup upah dengan tiga ekor ayam golek kerana bukan senang dapat mengerjakan umrah bersama penyanyi nasyid paling popular negara.

Selesai umrah lebih kurang jam 9 pagi, kami bertiga makan nasi beriani bersama ayam golek dan kari kambing di restoran berhampiran Masjidil Haram.

Seronok sekali kami pagi itu bercerita. Sambil menikmati juadah yang saya rasakan sangat enak itu, Asri membuka kisah cintanya bersama isteri kesayangan, Nur Jannah Shahadan yang dikahwininya 15 tahun lalu.

“Kak, inilah kali pertama saya menceritakan perkenalan dan percintaan saya dengan Jannah pada orang. Sebenarnya malam tadi saya rasa tak sedap hati kerana Jannah kirim SMS minta maaf jika berlaku apa-apa padanya. Saya hubungi dia balik dan bertanya kenapa cakap macam itu.

“Kalau Makkah dengan Kuala Lumpur dekat, saya dah balik. Tak pernah Jannah cakap yang bukan-bukan. Tambah risau kerana sebelum bertolak ke Makkah, Jannah tak berapa sihat,” katanya.

Pujuk saya, jangan bimbang kerana mungkin Jannah bergurau untuk menguji Asri yang jauh di mata. Ceria sikit wajahnya dan mula membuka lembaran cintanya dengan isteri tercinta.

Sambil ketawa, katanya, ketika bersama jemaah al-Arqam dulu, dia bergerak cergas sebagai vokalis utama kumpulan Nada Murni. Dek kerana popularitinya ketika itu, dia menjadi rebutan remaja Muslimah dalam jemaah.

Usik saya, hai gadis al-Arqam pun pandai menggoda ke?

“Namun mereka bukan menunjukkan minat seperti gadis di luar jemaah. Adalah caranya yang orang lelaki dalam jemaah boleh faham. Waktu itu juga perkahwinan kami diaturkan pemimpin jemaah, termasuk saya. Ketika itu saya tak tahu Jannah antara peminat fanatik saya.

“Agaknya jodoh saya dengan Jannah kuat, walaupun sebelum itu ada calon lain untuk saya. Selepas berkahwin, baru Jannah beritahu yang dia berdoa siang malam supaya kami dapat hidup bersama.

“Kami tidak pernah keluar berdua macam orang sekarang. Pernah naik kapal terbang sama ke luar negara dan tanpa disangka kami duduk bersebelahan tetapi sepanjang berjam-jam dalam perjalanan, kami tidak berbual langsung.

“Alhamdulillah, Jannah isteri yang baik dan sangat memahami perjuangan saya dengan Rabbani. Dah enam anak pun,” katanya.

Sewaktu di sana juga, saya dan suami berbual bersama Asri dalam bilik penginapannya bersama Azadan (Azadan Abdul Aziz) sehingga jam 3 pagi.

Anggota Rabbani yang lain turut serta. Suasana itu pasti tidak dapat dilalui di tanah air kerana kesibukan masing-masing.

Mengenai peribadi Asri yang saya kenal hampir lapan tahun lalu, Allahyarham tidak suka mengumpat sehingga saya pernah mengusiknya: “Tak bestlah bersembang dengan Asri kerana tak suka bergosip.”

Sejak itu juga saya sangat memahami sifatnya, selagi sesuatu perkara itu tidak memudaratkannya, dia hanya menjawab setiap ‘perbualan yang panas itu’ dengan senyuman.

Jika dia dah mula komen itu dan ini, maknanya perkara itu sangat menyentuh hatinya. Itulah Asri yang tidak suka memperkatakan keburukan orang lain.

Sekali lagi saya mengerjakan umrah bersamanya, awal Jun lalu. Bagaimanapun, perjalanan kami berpecah dua apabila Asri dan Jannah menziarahi Istanbul sebelum ke Madinah dan Makkah. Manakala saya dan suami serta Azadan ke Mesir sebelum mengerjakan umrah.

Kami bertemu di Makkah. Sekali lagi teringat janji saya hendak belanja Asri dan Azadan makan ayam golek. Bagaikan menjadi tradisi setiap kali ke sana bersama mereka, saya berniat hendak belanja mereka makan ayam golek di restoran sama kerana ia juga restoran kegemaran saya, biarpun terpaksa beratur untuk menantikan kerusi kosong.

Anggota Rabbani seperti adik-beradik dengan saya dan jika mereka minta belanja, saya selalu memberi alasan: “Sorry, akak hanya ‘open table’ di Makkah.”

Kali ini lebih menggembirakan, Jannah ada sama. Makan tengah hari kami berempat turut ditemani Azadan dan rakan baiknya, Zali serta Fildan. Depan Jannah, saya beritahunya, tahun lepas kami bertiga makan di restoran ini dan Asri membongkar percintaan mereka yang bersemi dalam diam itu.

Jelas terbayang kasih sayang yang terpancar pada wajah suami isteri itu yang masing-masing membahasakan diri mereka Abi dan Ummi.

Bagaimanapun, pemergian ke Tanah Suci pada kali ini, saya tidak dapat mengerjakan umrah bersama Asri kerana katanya dia kurang sihat kerana gastrik dan Jannah pula sakit kaki.

Pemergian ke Tanah Suci bersama Jannah juga Asri ibaratkan sebagai berbulan madu dan hadiah perkahwinan selepas 16 tahun mereka hidup bersama. Hadiah paling suci mengikat kasih dua hati yang juga menjadi hadiah terakhir buat isteri tercinta.

Ketiadaannya sangat saya rasai. Khidmat terakhir saya sebagai wartawan untuk Asri ialah membantunya mempromosi Konsert Antara Dunia 2009 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, 1 Ogos lalu.

Pertemuan terakhir dengannya ketika sidang media sejurus tamatnya konsert itu. Pada 3 Ogos lalu, Rabbani dan Hijjaz serta rakan taulannya mengadakan majlis hari jadi untuknya yang ke-40, namun saya tidak dapat ikut serta meraikannya.

Hendak dikatakan terkilan pun ada juga kerana belum pernah Asri diraikan dengan majlis hari jadi semeriah itu. Pun begitu, ajal maut ketentuan Allah SWT.

Pagi Khamis lalu, jam 10.30 pagi, Azadan menghubungi saya yang dalam perjalanan ke pejabat, memberitahu Asri rebah di RTM. Tiba-tiba terdetik di hati rasa yang kurang enak kerana mengikut pengalaman, akibat jatuh pasti kematian menyusul.

Sambil memandu dengan air mata mula berjurai, terus berdoa: “Ya Allah, janganlah Engkau ‘ambil’ Asri.” Dalam asyik berdoa itu, panggilan kedua Azadan memberitahu dalam ayat ringkas tetapi cukup menusuk kalbu: “Kak, Asri dah tak ada.”

Menatap tubuhnya yang kaku dengan wajah sungguh tenang menghadap Ilahi mengingatkan kembali saya kenangan bersamanya. Kedua-dua suami isteri itu sangat baik orangnya.

Apakan daya, setiap yang hidup pasti mati dan Asri dipanggil terlebih dulu ke hadrat Ilahi, meninggalkan perjuangannya menegakkan syiar Islam menerusi nasyidnya.

Meninggalkan seluruh kaum kerabat, anak isteri dan kawan yang sangat merasai kehilangannya. Menghayati setiap bait lagu Pergi Tak Kembali membuatkan hati semakin merindui insan bernama Mohd Asri Ibrahim.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Tabahkan hati anak dan isterinya untuk menempuh hidup tanpa ‘Abi’ yang sangat mereka cintai dan sayangi.

No comments: