FFM22 teratur
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my
BERBEZA dengan penganjuran sebelumnya, kemuncak Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang mengangkat tema ‘Filem Malaysia ke Persada Dunia’ lebih kemas dan teratur.
Segala-galanya berlangsung dalam kadar sederhana, sesuai dengan suasana industri yang masih dirundung hiba dengan pemergian sutradara kreatif, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Itu daripada kaca mata penulis yang ada di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pun begitu, lain pula pandangan segelintir teman yang menyaksikan anugerah berprestij itu di skrin TV, yang menyifatkan perjalanan FFM22 kurang seri dan membosankan.
Itu pandangan masing-masing. Bagi penulis yang membuat liputan, apa yang disajikan malam itu sedang elok. Tiada aksi serta selingan hiburan yang panjang dan meleret-leret.
Majlis yang julung kalinya diadakan di Negeri Di Bawah Bayu itu diserikan dengan kehadiran lebih 600 delegasi membabitkan selebriti dan karyawan seni.
Lebih membanggakan, kerajaan negeri menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menghargai jasa artis veteran yang berusaha keras memartabatkan industri perfileman dengan menganjurkan Makan Malam Bintang Legenda.
FFM22 yang menggandingkan Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran sebagai hos menyaksikan kemenangan besar buat Afdlin Shauki apabila nukilan peribadinya, Papadom diangkat sebagai Filem Terbaik, selain turut menobatkannya Aktor Terbaik.
Filem mengisahkan kebimbangan seorang ayah apabila melihat anaknya membesar menjadi gadis dewasa ini turut merangkul kategori Aktres Terbaik yang menjadi milik Liyana Jasmay, Skor Muzik Asal Terbaik (Syed Ahmad Faizal atau Pacai) dan Cerita Asal Terbaik (Afdlin).
Kemenangan besar ini sekali gus melayakkan Papadom meraih wang tunai RM145,000 selain memperoleh kemudahan perfileman yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bernilai RM100,000 apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Saingan terdekat Papadom, Talentime mencatat sejarah tersendiri apabila karya terakhir Yasmin itu menerima Anugerah Khas Juri kerana ia dilihat membawa filem ke satu dimensi baru yang segar dan berkekalan.
Lebih bermakna apabila pengkarya tersohor ini dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, sekali gus menebus kembali kegagalannya meraih anugerah sama empat tahun lalu menerusi Sepet yang dijulang sebagai Filem Terbaik FFM18.
Penganjuran acara gilang-gemilang ini turut diserikan persembahan ramai artis, termasuk kebudayaan etnik Sabah. Pacai bersama Afdlin dan Rashidi Ishak menghiburkan penonton dengan lagu tema filem Setem iaitu Gagah, diikuti lagu Hidup Satu Perjuangan (kumpulan Cap Ayamz), Damai (Ito Blues Gang bersama maskot Upin dan Ipin ) serta persembahan lagu filem Estet bersama Farid Kamil dan Awie.
Suasana meriah bertukar hiba apabila FFM22 memberi penghormatan kepada Yasmin dengan menayangkan klip video khas memaparkan petikan filem serta iklan arahan Allahyarham yang menggunakan suara latar Adibah Noor. Sesungguhnya segmen istimewa ini menjadi kenangan abadi dalam lipatan sejarah penganjuran FFM22.
Kesedihan itu lebih terasa apabila adiknya, Orked yang mewakili keluarga, ada di atas pentas memberi ucapan.
“Kakak mesti rasa sangat bersyukur dan gembira menerima anugerah ini, satu anugerah yang beliau impikan. Kakak saya membuat filem bukan untuk meraih pujian atau anugerah, sebaliknya untuk menggembirakan hati ibu bapa kami serta menggambarkan suasana pahit manis kehidupan sebenar.
“Kami sekeluarga berharap semua orang dapat memaafkan kesalahan kakak serta mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya pilu.
Kesempatan itu turut digunakan Orked untuk berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan luar yang ada di sisi keluarga mereka ketika diselubungi kesedihan apabila kehilangan insan tersayang.
FFM22 turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.
PEMENANG FFM22
FILEM: Papadom
PENGARAH: Yasmin Ahmad — Talentime
AKTOR: Afdlin Shauki — Papadom
AKTRES: Liyana Jasmay — Papadom
LAKON LAYAR: Yasmin Ahmad — Talentime
CERITA ASAL: Afdlin Shauki — Papadom
SINEMATOGRAFI: Mohd Nor Kasim — Setem
PENYUNTING: Faizul Mohd Noh — Setem
SKOR MUZIK ASAL: Syed Ahmad Faizal — Papadom
FILEM KOMEDI: Los dan Faun — Vision Works
AKTOR PEMBANTU: Mohd Shafie Naswip — Talentime
AKTRES PEMBANTU: Salina Saibi — Bohsia
PENATAAN SENI: Nazrul Asraff Mahzan — Setem
PENATAAN BUNYI: Mohd Mohsin Othman — Cicakman 2
PENGARAH HARAPAN: James Lee — Histeria
PEREKA KOSTUM/BUSANA: Shen Imagineering — Cicakman 2
ANUGERAH KHAS JURI:
# Talentime
# Kami The Movie
# Histeria
# Geng: Pengembaraan Bermula
ANUGERAH PENGGIAT BELAKANG TABIR: Omar Man
ARTIS VETERAN LELAKI: S Shamsudin
ARTIS VETERAN WANITA: Mariani Ismail
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment