Sunday, August 16, 2009

Fahrin buat hal?

Fahrin buat hal?

Bersama Raja Nurfatimah Mawar

Fahrin

NAK percaya susah, tak percaya pun susah. Raja dengar pelakon kacak, Fahrin Ahmad buat hal di lokasi penggambaran, baru-baru ini. Rasanya tak perlulah Raja sebut drama atau filem apa, mungkin orang luar dan peminatnya sudah dapat mengagak.

Raja tidaklah mengenali Fahrin secara rapat tetapi Raja senang dengan sikapnya selama ini. Fahrin baik orangnya, lembut tutur katanya dan tidak pernah menyusahkan sesiapa selama ini. Tak pernah lagi Raja dengar Fahrin buat hal itu, ini dengan sesiapa pun. Cuma kes dengan bekas 'teman tapi mesra', Linda Onn agak panas dulu.

Khabarnya kini Fahrin laris macam goreng pisang panas, sana sini produser panggil dia berlakon. Baguslah begitu. Tetapi hal yang ditimbulkan di lokasi penggambaran sebuah produksi membuatkan ada pihak beritahu kawan Raja yang mereka serik nak bekerja dengan Fahrin lagi. Kenapa jadi begitu? Biar betul ni...

Kawan setugas Raja beritahu lagi, dia mendengar rungutan krew produksi mengenai kerenah Fahrin, hai Fahrin sudah ada kerenah ke? Pelik rasanya. Khabarnya Fahrin menerima banyak tawaran hingga dikatakan jadi pengacara untuk majlis kahwin pun Fahrin terima. Tak kisahlah, asal rezeki halal. Tapi sempat ke buat dua, tiga kerja dalam satu masa, takkan tak terkejar-kejar? Kan penat kerja begitu. Selain menyusahkan diri, ia turut menyusahkan orang lain bila terlambat. Tak begitu?

Ada masanya Fahrin sampai lambat berjam-jam lamanya, jenuh pengarah dan krew produksi menunggu. Sudah habis shoot babak-babak membabitkan pelakon lain, batang hidung Fahrin pun masih tak nampak lagi, memang naik darahlah mereka dibuatnya.

Bagaimanapun, si pengarah cuma dapat sabar saja walaupun murahnya dah jadi merah padam. Krew produksi juga jadi kelam kabut. Sudahlah datang lambat, tetapi ada masanya Fahrin minta balik awal pula, penggambaran untuk babaknya tak sampai sejam tapi sudah nak bergerak ke lokasi lain. Yalah, Fahrin kena ingat ini bukannya penggambaran untuk suka-suka, sebaliknya produksi besar dan penerbit sudah banyak keluar duit, tak boleh kerja main-main dan hentam keromo saja.

Selain membabitkan kos produksi tinggi, babak-babak lain yang penggambarannya berkaitan aksi artis dan di lokasi lain tetap kena teruskan, jadi bila Fahrin menimbulkan masalah dan datang lewat, pihak produksi terpaksalah menunda penggambaran di lokasi lain. Khabarnya, babak membabitkan seorang pelakon senior terpaksa ditunda berkali-kali akibat kerenah Fahrin. Takkan sampai begitu, Fahrin? Nasiblah si pelakon senior tahan sabar, kalau terkena pada pelakon yang cepat naik hantu, rasanya Fahrin dah lama kena carut.

Kalau betullah apa yang Raja dengar, Raja harap Fahrin berubah. Bukan apa, Fahrin berbakat besar, paras rupa pula ada. Raja lihat masa depan Fahrin cerah dalam dunia lakonan, siapa tahu mungkin Fahrin dapat menggantikan tempat Rosyam Nor suatu masa nanti, tetapi kalau dua tiga pihak dalam produksi dah mula serik nak bekerja dengan Fahrin, bukankah rugi? Raja harap Fahrin tak tersinggung dengan teguran Raja ini. Jangan marah ye...

RAJA: Takziah kepada keluarga penyanyi utama kumpulan Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang kembali ke rahmatullah pada Khamis lalu. Al-Fatihah.

No comments: