Pelakon halau ibu?
Bersama Raja Nurfatimah Mawar
BAGAI dihiris-hiris perasaan Raja apabila mendengar kisah seorang pelakon wanita popular yang sanggup menghalau ibunya keluar dari rumah. Kalau ikutkan hati mahu saja Raja renyuk-renyuk mukanya yang tak berapa cantik dan berseri itu jika bertemu.
Tergamak si pelakon menghalau ibunya macam binatang belaan? Tak tahulah Raja, apa jenis manusia pelakon seorang ini. Hatinya sudah hitam agaknya sebab itulah tidak tahu menghargai pengorbanan ibu yang melahir dan membesarkannya. Raja dapat rasakan susah payah si ibu bersengkang mata menjaga, memberi makan, asuhan dan pendidikan hingga belajar tinggi, tetapi hasilnya cukup mengecewakan.
Dulu Raja memang kagum dengan si pelakon ni. Raja suka menonton drama dan filem lakonannya, begitu berbekas di hati. Berilah apa saja watak, kalau watak baik, memang baik sangat-sangat peri lakunya, kalau watak liar, memang nampak jahat sangat, itulah kelebihan yang diberikan padanya.
Bagaimanapun, sejak dengar kisahnya suka memaki dan memarahi suaminya tidak lama dulu, Raja hilang kepercayaan padanya, malah makin meluat pula dengan gelagatnya sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi ternampak pula kelibat si pelakon melakonkan watak dalam sebuah program `busuk'. Si pelakon seolah-olah membodohkan diri berlakon dalam program yang tidak berkualiti seperti itu.
Berbalik cerita mengenai ibunya, khabarnya si pelakon bukan hanya menghalau ibunya seperti binatang, malah lebih teruk lagi mencampakkan baju-baju ibunya keluar rumah. Memang melampau sikap pelakon ini. Macam nak menangis Raja dengar apabila ibunya terpaksa kutip baju-baju yang dihumbankan dan berjalan kaki seorang diri dengan menitiskan air mata. Sampai hati si pelakon!
Khabarnya hanya kerana si ibu menegur sikapnya yang suka membuli dan menyiksa suami, si pelakon naik hantu. Si pelakon tidak suka ibunya masuk campur hal rumah tangganya. Ibu mana yang tergamak tengok menantu yang baik dan lurus diperlakukan seperti patung tak bernyawa, boleh dimaki, dihamun dan dipukul sesuka hati.
Apapun, Raja percaya, perbuatan baik akan dibalas baik, begitu juga sebaliknya. Raja tengok si pelakon ni pun sudah jarang muncul di kaca TV, apatah lagi layar perak. Ingatlah pembalasan Tuhan...
RAJA: Pernah halau anjing kurap yang masuk laman rumah...
Sunday, August 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment