FILEM: Jenaka keterlaluan
PENGGEMAR filem bergenre komedi slapstik pasti terhibur dengan segala kandungan dan penceritaan filem Dance Flick arahan pengarah terkenal yang juga pelakon komedi, Damien Wayans. Pengolahan ceritanya secara keseluruhan sarat dengan elemen komedi berbentuk sindiran, sinis dan keterlaluan.
Bagaimanapun, genre seumpama ini seakan-akan mendapat lesen untuk mempamerkan unsur jenaka melampau begini memandangkan konsep asalnya bertujuan bagi memberi komedi 100 peratus tanpa memikirkan aspek pengajaran dan logik.
Pengikut filem bercorak ‘spoof’ seperti American Pie dan Scary Movies pasti pecah perut dalam panggung ketika mengikut perjalanan ceritanya. Sentimen menyindir dijadikan aset utama dalam mewarnai jalan ceritanya bagi memastikan persembahan jenaka secara maksimum.
Sinopsisnya ringkas, iaitu perihal seorang gadis mewah dari pinggir bandar yang bercita-cita menjadi penari profesional. Impiannya mendesak gadis ini berpindah ke kawasan yang terkenal dengan aktiviti menari di bandar.
Bermula pelbagai kejadian lucu dan jenaka melampau sepanjang proses pembelajarannya, yang mana gadis ini berdepan pelbagai jenis kumpulan remaja yang hebat dalam bidang tarian.
Bagaimanapun, keseluruhan jalan ceritanya tidak hanya memfokus kepada perjalanan gadis itu, sebaliknya plot lain turut membantu memantapkan plot penceritaan seperti elemen percintaan, pergaduhan dan persahabatan. Namun, elemen jenaka keterlaluan tetap diterapkan.
Secara keseluruhannya, plot penceritaan menarik dengan aksi tarian yang menaikkan semangat penonton untuk bergerak sama, namun rantaian babak diaplikasi agak longgar malah beberapa unsur komedi membosankan.
Pujian ringkas boleh diberi kepada pemilihan muzik yang ditonjolkan dalam setiap babak tarian.
DATA
FILEM: Dance Flick
PENGARAH: Damien Wayans
PELAKON: Brennan Hillard, Chelsea Makela dan Marlon Wayans
GENRE: Komedi
TAYANGAN: 20 Ogos 2009
Ulasan: Murshid Eunos
Sunday, August 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment