Sunday, August 16, 2009

Search mahu tebus kepincangan

Search mahu tebus kepincangan





AMY mengakui penuh telus dan tulus.


DUA minggu Search 'dibantai' impak daripada persembahan yang dikatakan paling tidak berbaloi pada Konsert Awan Biru mereka yang berlangsung di Bukit Kiara Equastrian Park pada 1 Ogos lalu. Tohmahannya - itulah konsert terburuk dalam sejarah perjalanan Search sepanjang lebih 25 tahun!

Lebih 30,000 peminat tegar mereka kecewa dengan sistem bunyi, pencahayaan dan pentas serta Search sendiri kerana gagal mencapai piawaian sebuah konsert grup legenda.

Selaku vokalis, Amy mengambil tanggungjawab terhadap 'kerosakan' yang telah berlaku.

Amy sempat menafikan individu yang bertanggungjawab menguruskan ArtistAtWork membawa lari wang mereka, sebaliknya memberitahu kegagalan menguruskan wang dengan baik menjadi punca perjalanan konsert mereka huru-hara.

Apa yang Search boleh katakan tentang kegagalan konsert mega itu?

Sebenarnya semua berpunca daripada bajet kami yang sudah melebihi had. Untuk Konsert Awan Biru, pihak Celcom memberikan pihak Search yang diwakili ArtistAtWork sebanyak RM490,000 untuk acara di semua lokasi.

Ini bermaksud untuk setiap lokasi, kami seharusnya menggunakan hanya sekitar RM120,000 hingga RM150,000 saja. Malangnya, individu yang bertanggungjawab telah menggunakan bajet melebihi tahap yang seharusnya.

Banyak duit digunakan untuk perkara remeh seperti mencetak sebanyak 400 helai baju pengawal, membuat beg cenderahati pada harga yang tidak relevan, logistik dan sebagainya.

Pada konsert pertama di Pulau Pinang, sebanyak RM300,000 dibelanjakan sebelum konsert di Johor Bahru diadakan dengan bajet RM300,000 juga yang secara dasarnya sudah melebihi had dana kami.

Jadi apa kena mengena dengan sistem bunyi dan kepincangan konsert di Kuala Lumpur?

Sebab sudah membelanjakan dana berlebihan, kita tidak mampu membayar sewa sistem bunyi sebelum ini. Saya akui, kami berhutang ratusan ribu dengan pemilik sistem bunyi tersebut.

Apabila kita ingin mengadakan konsert di KL, mereka tidak mengizinkan sistem bunyi mereka dipakai sehingga kami membayar hutang mereka.

Tetapi kita tidak mempunyai wang dan selepas berunding, kami ingin membayar sedikit, namun pada saat akhir mereka tidak bersetuju. Jadi untuk itu, kami gunakan khidmat sistem bunyi daripada Dino dengan menggunakan krew teknikal kami yang asal.

Apa yang dipersembahkan pada konsert itu adalah yang terbaik usaha daripada krew kami. Malangnya berlaku masalah teknikal dan sistem bunyi blow, membuatkan konsert terhenti selepas lagu kedua.

Kami kecewa dan bila naik ke pentas, kami berharap semuanya kembali baik, tetapi tidak. Search tidak boleh menghentikan konsert kerana masalah itu.

Tapi kerana masalah dalaman ini, reputasi Search tercalar teruk. Semua kecewa. Amy menyanyi sumbang dan permainan setiap anggota Search juga mengecewakan.

Kami akui, kami kecewa kerana gagal memberi persembahan terbaik. Tetapi masalah yang melanda membuat keadaan menjadi buruk. Hanya sebagai profesional, kami tidak akan membatalkan konsert tersebut, sebaliknya berusaha sehabis baik untuk menghiburkan peminat yang datang.

Kalau kami tidak profesional, kami boleh saja batalkan konsert kami sehari sebelumnya kerana sudah tahu masalah sistem bunyi yang kurang baik. Tetapi kami tampil dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Ramai yang merungut Search juga tidak memainkan lagu-lagu hit yang selalu dinyanyikan dalam konsert-konsert sebelum ini. Kenapa?

Sebenarnya ada, tapi (kena) potong sebab masalah teknikal yang kami hadapi. Kami berusaha untuk tidak mengeruhkan suasana, jadi kami bermain mengikut kapasiti teknikal pada malam itu.

Apabila terjadinya perkara macam ini, ia membuatkan syarikat besar bimbang menaja konsert artis tempatan. Mereka akan gunakan alasan ini sebagai jalan untuk menaja artis luar. Apa persepsi anda?

Jujurnya, Celcom tak rugi apa-apa dalam hal ini, sebaliknya kami yang rugi besar. Mereka telah mendapat pulangan daripada apa yang mereka keluarkan dan kami juga menjalankan urus niaga seperti yang diharapkan.

Jadi maksudnya sekarang pihak ArtistAtWork rugi dan konsert ini tidak membawa keuntungan. Tapi dengan kehadiran lebih 30,000 penonton, kutipan kasar harga tiket barangkali mencecah RM1 juta. Jadi tidaklah rugi sangat, kan?

Ya, kami rugi dan semua kutipan tiket yang kami dapat adalah untuk membayar segala hutang kami dengan pihak sistem bunyi dan menjelaskan bayaran krew yang tertangguh.

Dalam masa yang sama, sedikit dana harus digunakan untuk konsert di Sabah dan Sarawak kelak. Selebihnya baru dikira keuntungan kami. Sekarang, yang penting bukan soal keuntungan, tetapi kepuasan peminat kami.

Ada ganti rugi untuk peminat?

Insya-Allah, kalau tiada aral, Celcom sudah bersetuju untuk mengadakan sekali lagi konsert di Kuala Lumpur, Disember depan. Kami berharap ia mampu menebus kekecewaan Search dan peminat.

No comments: