Sunday, August 16, 2009

FILEM: Up

FILEM: Saling memerlukan

KARYA terbaru olahan pereka filem animasi popular, Finding Nemo dan Monsters Inc, ini sungguh menghiburkan dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat.

Keunikan filem terbitan Walt Disney dan Pixar’s Studio terletak pada olahan penceritaan dan pembangunan wataknya yang menarik serta mampu menarik kaki wayang, khususnya pengikut genre animasi, untuk terus melekat sehingga ke akhir cerita.

Watak yang diwujudkan comel dan tidak hanya hidup pada imaginasi pengolah, sebaliknya penonton dapat mengingat setiap daripadanya mengikut identiti yang diterap.

Up yang berdurasi 106 minit mengangkat tema adventure dan pengembaraan yang digarap sepenuhnya oleh calon Anugerah Emmy yang pernah mencipta filem animasi terkenal sebelum ini seperti Toy Story dan Wall.E, Pete Docter, yang dibantu oleh Bob Peterson.

Kronologinya berkisar pada impian sepasang kanak-kanak, Carl Fredricksen dan Ellie yang meminati bidang pengembaraan selain mengagumi pengembara terkenal, Charles Muntz. Setelah dewasa dan berkahwin, mereka memasang impian untuk mendirikan rumah di sebuah kawasan pergunungan air terjun, Paradise Falls. Ketika itu Carl sibuk bekerja sebagai penjual belon bagi mengumpul duit untuk merealisasikan impian itu.

Bagaimanapun, hayat Ellie tidak panjang dan Carl terpaksa hidup sendirian sehingga usianya mencecah 78 tahun. Pembangunan pesat memaksa Carl dipindahkan dari rumahnya, namun dia berkeras untuk mempertahankan.

Namun dengan impian yang belum terlaksana dan janjinya kepada Ellie, Carl mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan menerbangkan rumahnya menggunakan belon. Ketika itu Carl ditemukan dengan kanak-kanak berusia lapan tahun, Russell yang juga meminati dunia pengembaraan.

Sesuatu yang menarik, Up menonjolkan watak utama, terutama Carl, Russell dan Charles dengan baik sekali. Malah alih suara bagi ketiga-tiga watak yang didukung oleh Ed Asner, Christopher Plummer dan kanak-kanak berusia sembilan tahun, Jordan Nagai, digalas sempurna. Suara Ed Asner umpamanya mampu memberi impak, sekali gus membawa penonton untuk merasai segala emosi yang diterapkan menerusi watak Carl.

Malah, perjalanan ceritanya yang ringkas tidak berfokus kepada elemen fantasi semata-mata, sebaliknya mesej serta pengajaran turut diselit sekali supaya penonton tidak terus terbuai dengan imaginasi saja. Garapan ceritanya perlu mendapat pujian, selain aspek positif yang ditonjolkan mampu memberi kesan baik kepada penonton cilik.

DATA
FILEM: Up
PENGARAH: Pete Docter
PELAKON: Ed Asner, Christopher Plummer, John Ratzenberger, Delroy Lindo dan Jordan Nagai
GENRE: Animasi / Komedi
TAYANGAN: 20 Ogos 2009
ULASAN: Murshid Eunos

No comments: