Saturday, July 18, 2009

Siapa Top 6 ... Dalam Botol?

Siapa Top 6 ... Dalam Botol?


ZIZAN NIN


FILEM terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman yang mempunyai judul kontroversi iaitu Anu Dalam Botol khabarnya belum lagi menemui calon yang benar-benar sesuai untuk memegang dua watak utama filem itu iaitu watak Ruby dan Ghaus.

Menurut Raja Azmi, hari ini berlangsung sidang media bagi mengumumkan nama pelakon yang disenarai pendek bagi dua watak utama filem itu iaitu watak Ruby dan Ghaus.

Khabarnya antara pelakon yang mempunyai potensi besar ialah Zizan Nin, Arja Lee, Kefli (AF3) dan Ryzal bagi watak Ruby, iaitu seorang lelaki yang bertukar perempuan. Sementara, Norman Hakim, Tony Eusoff, Fauzi Nawawi, Nazim Osman dan Wan Raja pula berpeluang memegang watak Ghaus sebagai pasangan kepada Ruby.

Itu senarai yang diperoleh daripada sesi uji bakat sebelum ini, namun daripada senarai tersebut, menurut Raja Azmi hanya enam orang sahaja yang akan terpilih.

Bagaimanapun nasib enam pelakon yang terpilih itu nanti masih di awang-awangan apabila nama mereka akan diundi oleh orang ramai bagi menentukan siapa yang bakal berlakon dalam filem tersebut.

Siapa yang paling banyak mendapat undian, secara automatik pelakon itu akan memperoleh dua watak utama tersebut. Tidak ubah seperti program realiti TV lakonan seperti Pentas Wayang dan Pilih Kasih pula.

Nampaknya susah benar untuk menemui pelakon yang benar-benar sesuai walaupun ketika sesi uji bakat dijalankan sebelum ini, kebanyakan pelakon yang hadir semua mempunyai nama yang cukup besar.

Itu baru cerita tentang pelakon, filem yang belum diketahui jadual penggambarannya itu juga dipaksa menukar judulnya oleh pihak yang berwajib.

Justeru, apa pula kata Raja Azmi apabila filem kontroversi miliknya itu terpaksa bertukar judul. Ikuti temu bual Kosmo! bersama penerbit sensasi itu baru-baru ini.


RAJA AZMI


Mengapa lama sangat hendak umumkan nama pelakon?

Lama sangat ke? Rasanya tidak, sebab saya suka semua pelakon yang datang uji bakat, jadi masa perlu diambil untuk menilai siapakah antara mereka yang benar-benar bagus. Masalahnya semua bagus, tidak ada yang tidak bagus.

Biasanya pihak produksi yang mengambil keputusan untuk memilih pelakon, kenapa menyerahkan kuasa memilih dua watak Ruby dan Ghaus kepada pengundi? Mungkinkah pihak produksi ingin bikin untung sebelum filem menjalani penggambaran?

Bukanlah nak buat untung, tak terniat pun. Semua adalah strategi promosi, selain ia satu cara baru untuk melibatkan penonton dalam produksi. Saya suka cara baru, jadi apa salahnya mencuba. Idea ini timbul kerana saya pun pening nak pilih siapa yang layak sebagai watak utama. Pihak produksi buat cara ini untuk melihat siapa yang bakal dipilih oleh orang ramai.

Bagaimana caranya untuk mereka mengundi?

Pihak produksi telah buat satu klip video yang akan ditayangkan di portal hiburan www.murai.com dan mereka boleh mengundi melalui SMS.

Ramai pelakon yang hadiri uji bakat, apa yang dicari pihak produksi sehingga hanya enam pelakon yang terpilih untuk diundi orang ramai?

Saya tidak terlibat langsung bab pilih pelakon, sebenarnya ada lima orang panel yang bertanggungjawab antaranya Adlin Aman Ramlie. Apa yang dicari pada pelakon adalah kesesuaian mereka dengan watak terutama daripada segi gaya dan visual. Kalau tentang lakonan semuanya bagus belaka. Cuma kesesuaian yang dicari. Pelakon yang lain sudah dipilih tetapi bukannya dengan cara SMS, dua watak (utama) cukuplah.

Dengar cerita judul filem sudah diubah, mengapa?

Memang judul filem sudah diubah daripada Anu Dalam Botol kepada ... Dalam Botol. Ia sudah diubah sejak tiga minggu yang lalu selepas saya berdepan dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pihak mereka yang menasihatkan saya agar diubah tajuk filem dan buang perkataan anu.


TONY
EUSOFF


Adakah Raja Azmi setuju dengan perubahan judul itu?

Saya tidak boleh kata tidak setuju kerana saya terpaksa akur setelah pihak berwajib meneliti baik dan buruk daripada judul itu. Kalau saya berdegil, nanti filem saya tidak keluar pula di panggung wayang, lagi susah. Ini hakikat dunia hiburan di Malaysia, judul menjadi isu yang sangat besar, jadi saya akur walaupun hati berat.

Setiap filem Raja Azmi pasti mempunyai promosi yang gah tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Boleh komen?

Saya memang suka promosi yang gah, filem sebelum ini promosi gah orang tak suka apa yang saya hidangkan, lepas itu keluar filem dan promosi lagi. Tetapi waktu itu selera orang berubah. Kiranya ikut nasib. Filem ... Dalam Botol pun saya tidak tahu sambutannya macam mana kelak. Misalnya gagal lagi, ia tidak akan membuatkan saya berhenti daripada menerbitkan filem kerana ia darah dan jiwa saya.

No comments: