Monday, July 20, 2009

Artis tumpang simpati - Pengeboman bersiri di Jakarta

Artis tumpang simpati - Pengeboman bersiri di Jakarta


KAWALAN ketat. Pengunjung APM 2009 diperiksa rapi sebelum dibenarkan masuk ke Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Indonesia, lokasi APM kali ini.


SEHARI sebelum penganjuran APM 09, Jakarta sekali lagi dikejutkan dengan berita menggemparkan apabila dua buah hotel bertaraf lima bintang, JW Marriot dan Ritz-Carlton dibom sehingga mengorbankan seramai sembilan nyawa, manakala lebih 52 mengalami kecederaan.

Kebimbangan dan gundah-gulana sudah tentu menyelubungi seluruh rakyat Indonesia termasuk artis yang turut menjayakan APM 09, baik yang datang dari Malaysia mahupun Singapura.

Siti tidak terkecuali meluahkan perasaan sedih dengan insiden yang mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa itu.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi pengeboman itu dan berharap agar mereka pasrah dengan takdir yang dialami oleh ahli keluarga mereka.

"Kita sebagai manusia biasa bagaimanapun harus akur dengan ketentuan-Nya," jelas Siti ringkas tetapi dalam nada sedikit beremosi.


MESKIPUN bimbang dengan keselamatan mereka, Siti dan Datuk K tetap bertenang dan kelihatan sangat romantis bersama.


Walaupun bimbang dengan keselamatan dirinya, namun Siti tetap menggagahkan diri untuk hadir ke APM 09 demi bertemu dengan peminatnya.

"Saya hanya berserah kepada Allah dan berniat untuk hadir ke APM 9 bagi membuat persembahan yang menghiburkan.

"Lagipun saya cukup rindukan saat untuk menyanyi di sini dan berjumpa dengan peminat di Indonesia. Lantaran itu, saya sanggup tolak ke tepi tentang insiden merbahaya ini," akui Siti bersungguh-sungguh,

Dalam pada itu, Bunga Citra Lestari turut meluahkan pandangan tentang tragedi berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Yang pasti kejadian itu cukup dikesali. Saya percaya kita sedang berdepan dengan masalah kehilangan pelabur yang ingin melabur di negara ini.

"Pelancong dari negara luar takut untuk berkunjung ke Indonesia. Pada waktu sama, pihak pemerintah juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai bermacam-macam perkara.

"Saya dan rakyat Indonesia lain juga takut untuk keluar rumah dan menyukarkan kami untuk menjalankan urusan seharian dengan sempurna.

"Walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan tetapi kita juga harus berwaspada dalam soal keselamatan ini.

"Saya harap orang yang buat jahat itu akan sedar bahawa tindakannya itu menyebabkan masyarakat yang menderita dan hidup dalam keadaan yang tidak menentu.

"Cuma saya berharap agar pihak pemerintah dapat menjadikan tragedi malang itu sebagai pengajaran kepada mereka," luahnya yang sempat menitipkan nasihat agar setiap manusia harus ada sikap saling menjaga keselamatan di antara satu sama lain.


BUNGA CITRA LESTARI menyeru pemerintah Indonesia menjadikan tragedi pengeboman terbaru di Jakarta sebagai suatu pengajaran.


Afgan yang memenangi kategori Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi karya Confession No. 1 pula berkata, sebagai tuan rumah sudah pastinya dia was-was untuk membuat kemunculan di tempat terbuka dan dipenuhi orang ramai terutama dalam APM 09

"Saya ingat APM 09 dibatalkan gara-gara kejadian itu. Namun, ia tetap diteruskan seperti biasa. Justeru saya sekadar berhati-hati dan menyerahkan perkara itu kepada Allah.

"Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik ditambah pihak berkuasa terus meningkatkan keselamatan di sekitar Jakarta.

"Kini saya dapat lihat polis sudah berada di merata-rata tempat termasuk pusat beli-belah," jelas Afgan serius.




ARMAND turut prihatin dengan tragedi Jakarta dibom.


Vokalis kumpulan Gigi, Armand Maulana juga sempat meluahkan kesedihan terhadap insiden memilukan itu yang menyebabkan banyak kesulitan berlaku kepada masyarakat dan tanah tumpahnya sendiri.

"Saya dan ahli Gigi lain turut terkesan dengan kejadian ini. Hati siapa saja yang tidak sakit apabila mengetahui ada korban nyawa dan kecederaan kepada orang lain yang tidak bersalah.

"Harapan saya agar ahli keluarga mangsa diberikan sepenuh kekuatan dan kesabaran untuk berdepan dengan peristiwa hitam ini.

"Kita sebagai rakyat Indonesia juga kena saling mengingati sesama sendiri apabila tibanya soal keselamatan. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka seperti sedia kala selepas ini," beritahu Armand mewakili Gigi yang menerima Anugerah Khas Planet Muzik 2009 berikutan pencapaian mereka selama bergelar anak seni.

No comments: