Monday, July 20, 2009

Rahsia pemilik nama Hamidah Urif

Rahsia pemilik nama Hamidah Urif


WAJAH terbaru Hamidah Urif.


SEKITAR tahun 1970-an, setiap kali mendengar lagu Sayang Bukan Selasih Padi ke udara dendangan Hamidah Urif dan A.Talib, mengingatkan penulis kepada seorang lagi penyanyi bernama Sabariah Urif.

Ketika itu bukan sahaja penulis, malah ramai peminat lagu-lagu asli dan joget, menyangkakan Hamidah Urif dan Sabariah Urif merupakan pasangan adik-beradik.

Ini kerana, tempoh penglibatan mereka dalam gelanggang seni tidak jauh beza, justeru mencetuskan salah sangka di kalangan banyak pihak.

Tahun demi tahun dan sehingga hari ini, begitulah andaian peminat lagu-lagu 70-an dan asli terhadap kedua-dua penyanyi ini.

Bagaimanapun, pada satu pertemuan dengan penyanyi yang juga pesara kerajaan itu baru-baru ini, penyanyi itu membongkar satu rahsia yang selama ini tidak diketahui ramai.

"Sebenarnya antara saya dengan Sabariah Urif, kami tidak ada pertalian saudara. Kami bukan adik-beradik, cuma secara kebetulan nama bapa kami sama dan genre muzik yang kami nyanyikan juga tidak jauh bezanya," itu pendedahan yang dibuat oleh Hamidah.

Mengimbas kenangan silam, Hamidah berkongsi cerita, sejak dari awal penglibatannya sebagai penyanyi, tiada siapa khususnya pihak media yang bertanyakan hal itu padanya.

Biarpun pada hakikatnya, beliau dan Sabariah bukan saudara, namun, Hamidah hairan kerana tidak ada yang bertanyakan mengenai status hubungan mereka.

"Saya berasal dari Singapura dan Sabariah pula dari Hulu Langat, Selangor. Tetapi kalau mahu tahu, Sabariah pernah menjadi penyanyi pancaragam ayah saya," cerita Hamidah panjang lebar mengenai persoalan yang tidak pernah ditanyakan padanya itu.

Biarpun ada yang menganggap mereka adik-beradik tetapi menurut Hamidah, tidak pernah pula peminat ataupun mereka yang bertemunya bertanya mengenai mereka berdua.

Namun begitu, menurut Hamidah, biar apa sekalipun tanggapan orang ramai terhadap persamaan nama ayah mereka, apa yang penting kehadiran mereka dalam dunia seni dengan bakat semula jadi.

Sama ada Hamidah Urif atau Sabariah Urif, kedua-duanya mahir menguasai lagu-lagu melayu asli, ghazal, keroncong dan langgam dengan baik.

Hamidah yang dilahirkan di Geylang Serai, Singapura tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur, mula berjinak-jinak dalam bidang seni setelah tamat sekolah dan memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bintang Radio bahagian lagu-lagu asli (1965 dan 1966).

Selang beberapa tahun, Hamidah sekali lagi memenangi tempat kedua Bintang Radio Bahagian lagu-lagu Asli seluruh Malaysia.

Bertolak dari kejayaan itulah, Hamidah yang pernah menjadi penyanyi utama band Irama Perwira yang dipimpin oleh Allahyarham ayahnya, Urif Siraj diberi peluang merakamkan 4 EP (piring hitam bersaiz kecil) dan 1 LP (piring hitam bersaiz besar) dengan album pertamanya Berkasih Dalam Ingatan.

Album kedua yang menampilkan lagu duet beliau dengan A.Talib menerusi lagu Sayang Bukan Selasih Padi merupakan puncak kejayaan Hamidah dalam bidang seni.

Sejak album edaran MMI, Hamidah sering mendapat undangan menyanyi kerana gandingan suara mereka yang dianggap menyegarkan jiwa apabila mendengarnya.

Sayangnya, walaupun undangan menyanyi yang dipenuhi setiap hujung minggu bagaikan tidak menang tangan tetapi bayaran yang diterima tidaklah tinggi kerana kebanyakan penyanyi ketika itu lebih utamakan cinta pada seni mengatasi segala-galanya.

"Sebenarnya zaman saya, penyanyi-penyanyi bukan sahaja tidak demand, malah ketika rakaman album kami tidak dibayar berdasarkan unit album yang terjual.

"Sebaliknya syarikat rakaman hanya membayar secara pukal. Biarpun begitu saya tidak pernah menyesal apalagi ketika itu saya juga masih bekerja," kata Hamidah, isteri kepada Sarif Talib yang juga pesara kerajaan.

Hamidah dan Sarif mendirikan rumah tangga pada Oktober 1970. Hasil daripada perkahwinan bahagia itu, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Saiful Haimi, Sharida Hanim, Shahrul Hairi dan Shafizul Haziq dan lapan orang cucu.

Selepas bersara, Hamidah bekas Pembantu Khas di Jabatan Perdana Menteri, mula menumpukan perhatian pada bidang seni.

"Dulu semasa bekerja banyak juga undangan nyanyian yang dibuat pada hari bekerja saya tolak. Tetapi apabila sudah bersara saya bersama-sama kumpulan kawan yang dinamakan Kumpulan Nostalgia sering memenuhi undangan menyanyi di Kuala Lumpur atau di luar Lembah Kelang," cerita Hamidah mengenai Kumpulan Nostalgia yang dianggotainya, Datin Orchid Abdullah, Datin Azizah Mohamad dan Aspalela Abdullah.

Menurut Hamidah, bersama Kumpulan Nostalgia mereka bukan setakat menyanyi lagu-lagu asli, langgam dan pop malah mereka juga sering bermarhaban.

"Walaupun kini bersama kumpulan Nostalgia saya masih mampu memenuhi undangan menyanyikan lagu-lagu asli dan langgam, namun bimbang jika lagu tersebut terkubur begitu sahaja.

"Saya perhatikan tidak ramai penyanyi yang mampu membawakan lagu-lagu asli dengan baik. Menyanyi lagu asli patah suaranya lain.

"Tetapi sekarang penyanyi baru menyanyi lagu asli moden dengan patah suaranya lebih langgam," kata Hamidah.

Bagi Hamidah, ada ketika beliau memenuhi undangan sebagai pengadil pertandingan nyanyian.

Semua itu dilakukannya kerana amat sukar untuk beliau mengucapkan selamat tinggal pada bidang seni suara.

"Menyanyi memberi saya satu semangat apatah lagi apabila pergi mengadakan persembahan bersama rakan-rakan.

"Cuma apa yang menjadi harapan saya ialah pihak penganjur menghargai bakat kami dan bukan menilai kami daripada segi usia," kata Hamidah mengakhiri perbualan.

No comments: